http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Projek manusia beruk

MEWUJUDKAN beruk  berciri manusia mendapat bantahan saintis di Britain.
MEWUJUDKAN beruk berciri manusia mendapat bantahan saintis di Britain.

LONDON: Saintis di Britain mendesak peraturan ketat dikenakan terhadap usaha segelintir penyelidik yang mahu mewujudkan makhluk separuh beruk dan separuh manusia seperti dalam filem Hollywood Planet of The Apes.
Dalam satu laporan, saintis berkenaan memberi amaran penyelidikan yang sedang dilakukan sekarang hampir melanggar etika dalam cubaan untuk menyatukan ciri manusia dengan haiwan.

Profesor Martin Bobrow, seorang pakar genetik perubatan di Universiti Cambridge dan penulis bersama laporan itu berkata, masyarakat perlu sedar penyelidikan yang mencampurkan adukan gen manusia dengan haiwan harus dikawal selia dengan ketat. 

‘Kami mahu masyarakat menyedari implikasi penyelidikan seumpama ini sebelum ia benar-benar melahirkan sesuatu yang tidak diingini,” beliau dipetik sebagai berkata oleh akhbar Daily Mail. 

Akademi Saintis Perubatan United Kingdom menubuhkan pasukan penyemak yang akan meneliti penyelidikan yang mencampur adukan gen manusia dalam tisu haiwan. 

Tahun lalu, lebih sejuta penyelidikan dilakukan membabitkan haiwan diubah secara genetik, kebanyakan membabitkan tikus dan ikan yang dilahirkan dengan DNA manusia. 
Haiwan makmal ini digunakan untuk mewujudkan ubat baru bagi penyakit seperti kanser dan Alzheimer atau untuk mengkaji fungsi gen tertentu. 

Penyelidik juga didapati mewujudkan haiwan berciri manusia dengan memasukkan sel tunjang manusia ke dalam embrio haiwan. 

Haiwan digelar ‘chimeras’ ini adalah untuk mengkaji penyakit seperti strok, hepatitis dan kanser. 

Laporan saintis itu tidak mempersoalkan penyelidikan seumpama itu, namun mereka berkata, jika tidak dikawal, lambat laun kegiatan itu akan mewujudkan haiwan yang memiliki ciri manusia yang tidak boleh diterima masyarakat. 

Laporan itu mendesak Kementerian Dalam Negeri memantau penyelidikan berkenaan dan mengharamkan uji kaji yang membabitkan suntikan sel tunjang manusia ke dalam otak beruk bagi mendapatkan haiwan yang mempunyai kelakuan seperti manusia. 

Pengharaman penyelidikan sedemikian dapat menghalang usaha mewujudkan beruk yang mempunyai daya ingatan dan pertuturan seperti manusia. 

Seorang lagi penulis bersama laporan itu, Profesor Thomas Baldwin berkata: “Kami bimbang jika sejumlah besar sel otak manusia disuntik dalam otak beruk ia boleh memberi haiwan itu keupayaan yang selama ini hanya dimiliki manusia seperti pertuturan atau kebolehan untuk memanipulasi.” – Agensi 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan