http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Kereta terbang ibarat Transformer kini jadi realiti















LONDON 18 Julai - Konsep kereta terbang yang telah lama dicetuskan bakal menjadi kenyataan di Britain dalam masa lima tahun lagi apabila pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dilapor telah meluluskan satu model kereta futuristik itu baru-baru ini.

Kereta terbang dua tempat duduk Terrafugia Transition yang bernilai 155,000 pound (RM752,021) itu boleh terbang dengan kelajuan maksimum 184 kilometer sejam.

Kenderaan itu perlu menjalani 20 jam ujian penerbangan dan setiap kali butang pendaratan ditekan, sayapnya akan tertutup secara automatik dalam masa 15 saat.

Untuk setiap perjalanan baru, kereta terbang itu memerlukan kuasa yang disalurkan dari bahagian kipas ke roda belakangnya.

Ketika dalam mode kereta, kenderaan masa depan itu boleh dipandu pada kelajuan maksimum 104 kilometer sejam dan ia boleh disimpan di dalam garaj sama seperti model kereta lain.

"Ia tidak ubah seperti apa yang digambarkan dalam filem Transformer," kata pengasasnya, Carl Dietrich.

Walaupun kenderaan itu pada mulanya disasarkan kepada pelanggan di AS, lebih 20 rakyat Britain telah menyatakan minat mereka untuk membeli kereta terbang bebas karbon tersebut.

Pengeluaran kenderaan itu bakal menjadi kenyataan selepas Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan AS baru-baru ini mengumumkan pengecualian untuk membenarkan ia berada di jalan-jalan AS.

Lembaga Penerbangan Sivil mengesahkan, pengumuman itu akan memudahkan lagi Terrafugia Transition menerima pengesahan oleh Agensi Keselamatan Eropah yang beribu pejabat di Cologne.

Dua prototaip kenderaan itu hampir siap sepenuhnya dan beberapa perubahan akan dilakukan sebelum ia mula dikilangkan tahun depan. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan