http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Ikan mirip Naga

OTHMAN Abu Bakar, (dua kanan) bersama empat anaknya memegang ikan yang ditangkap oleh seorang nelayan pesisir pantai di Kuala Sungai Kerteh sepanjang 4 meter dan seberat 9 kilogram

KERTEH: “Saya terkejut melihat rupa bentuk ikan berkenaan sebelum membuat keputusan membelinya,” kata Othman Abu Bakar, 63, yang membeli ikan mempunyai fizikal ganjil sepanjang tiga meter dan berat sembilan kilogram daripada seorang nelayan di jeti Kuala Kerteh, di sini, kelmarin.

Othman berkata, ikan berkenaan berwarna putih dan mempunyai kulit keras serta tajam seperti pari dan berkepala seperti naga, manakala siripnya berwarna merah dan di kepala serta bawah mulutnya mempunyai sesungut panjang berwarna merah selain bintik tajam di bawah badan.


Katanya, ikan berkenaan dibawa pulang nelayan terbabit jam 11 pagi kelmarin dan dia yang secara kebetulan berada di jeti berkenaan tertarik hati untuk membelinya.

“Orang ramai yang ada di situ hairan melihat ikan berkenaan yang menyerupai naga, tetapi berwarna putih dan mempunyai kulit kasar seperti pari, namun tidak bersisik manakala sirip dan kepalanya seperti naga serta badannya lembik seolah-olah tidak bertulang.


“Saya meminta kebenaran nelayan berkenaan membeli ikan itu kerana selain tidak pernah melihatnya sebelum ini, saya juga berhajat membawanya pulang bagi ditunjukkan kepada penduduk kampung,” katanya yang enggan memaklumkan harga dibayarnya bagi membeli ikan berkenaan.


Menurutnya, sebaik pulang ke rumah di Kampung Telaga Papan, di sini, dia dimaklumkan beberapa jirannya mereka juga tidak pernah melihat ikan berkenaan.

“Bagaimanapun, ketika ikan itu dibawa naik ke darat, sebahagian kepalanya sudah hancur mungkin kerana tersangkut pada pukat yang digunakan nelayan.


“Seumur hidup saya, inilah kali pertama saya melihat ikan sedemikian rupa dan rakan nelayan di kampung ini juga tidak pernah mendapat tangkapan sepelik itu,” katanya yang bekerja sebagai pengeluar minyak urut.

Othman berkata, dia mungkin mengeringkan ikan itu dan cuba dijadikan ramuan menghasilkan minyak urut.


Sementara itu, Pegawai Penyelidik Departmen Penyelidikan dan Pengurusan Sumber Perikanan Marin, Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Terengganu, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, ikan itu dikenali sebagai ikan naga daripada keluarga Regalecidae yang juga ikan bertulang terpanjang di dunia.


“Laut China Selatan adalah satu daripada habitat ikan berkenaan dan bukan mustahil ia tersangkut pada pukat nelayan.


“Mengikut rekod jabatan, pihak kami pernah menerima ikan spesies itu daripada nelayan tempatan sekitar tahun 1990-an,” katanya yang memberitahu ikan naga terpanjang pernah ditangkap di Vietnam sepanjang 10 meter.

Garam daripada air mata?

GARAM yang didakwa diperbuat daripada air mata ketawa.
GARAM yang didakwa diperbuat daripada air mata ketawa



LONDON: Bila kali terakhir anda menangis? Ketika menonton sebuah filem? Atau ketika bergaduh?

Dan ketika anda menangis, adakah anda menjilat air mata anda yang masin itu? 
Sebuah emporium di sini mendakwa menghasilkan pelbagai jenis garam yang mereka kata diperbuat daripada air mata manusia. 

Mereka berkata: ‘Garam Daripada Air Mata’ mengandungi ‘air mata manusia paling segar yang dimasak.


“Malah anda boleh memiliki jenis air mata yang anda suka seperti Air Mata Daripada Kemarahan, Kesedihan, Ketawa, Menghiris Bawang atau Bersin.


Sebenarnya ia satu gimik pintar emporium berkenaan. Tetapi dengan RM150 satu set, harganya sudah cukup untuk membuat air mata anda meleleh. - Daily Mail




ikan ‘Frankenstein.’

SAWYER dengan ikan Frankenstein yang ditangkapnya.
SAWYER dengan ikan Frankenstein yang ditangkapnya.


LONDON: Pemancing, Mark Sawyer terkejut apabila dia menangkap ikan ‘Frankenstein.’

Sawyer, 53, pengarang majalah Angling Times berkata, ikan itu kelihatan terdiri daripada tiga spesies berbeza. 
“Kepala ikan itu seperti ikan lipas, badan dan ekornya seperti ikan emas coklat sementara sirip duburnya seperti ikan kakap,” kata Sawyer. 

Dia menangkap ikan berkenaan ketika memancing ikan kap di Tasik Magpie di Cambridge. - DM



Misteri lembaga wanita dalam kereta Sinar

misteri lembaga

Kelihatan imej lembaga berkenaan yang tertera di cermin belakang kereta.

Imej lembaga wanita dari jarak dekat.

Imej lembaga wanita dari jarak dekat.

KULIM - “Cepat, baca surah Yasin!, ada benda sebelah aku ni,” jerit seorang rakan yang berada dalam kereta Perodua Kancil Sinar Harian cemas apabila merasakan ada lembaga wanita duduk di sebelahnya di bahagian tempat duduk kerusi belakang.

Kejadian itu berlaku Khamis lalu apabila wartawan Sinar Harian bersama seorang anggota polis berpangkat koperal dan seorang rakan melalui jalan Bukit Lengkok kira-kira jam 4 pagi, Khamis lalu.

Ketika melalui di satu selekoh dalam keadaan hujan lebat, semua mereka ternampak batu nisan setinggi setengah meter di tepi jalan tetapi masing-masing hanya diam dan tidak mengendahkannya.

Keadaan mula cemas apabila rakan mereka itu menjerit meminta membaca surah Yasin dengan segera.

Bagaimanapun, anggota polis cuba menenangkannya dan membaca beberapa potong ayat al-Quran barulah rakannya itu tenang dan perjalanan pun diteruskan.

Setelah melepasi jalan Sungai Lengkok mereka kemudiannya berhenti di tepi Jalan Air Merah dan mula membuka cerita mengenai batu nisan tadi. Ternyata, mereka semua mengaku ternampak imej batu nisan yang dimaksudkan.

Bagaimanapun misteri terbabit tidak berhenti di situ saja apabila kelmarin kira-kira jam 12.30 pagi, seorang rakan wartawan terbabit telah merakam gambar kereta Kancil berkenaan dan mendapati ada imej lembaga wanita berambut panjang di dalamnya dan dipercayai
lembaga itu hilang selepas azan Subuh berkumandang.

Sementara itu. seorang pemandu van kilang yang tinggal di Taman Selasih dan tidak mahu dikenali berkata, kejadian seumpama itu sering berlaku di Jalan Bukit Lengkok.

Menurutnya, beberapa tahun lalu polis ada menemui mayat seorang wanita dipercayai dibunuh dan mayatnya dibuang ke dalam gaung berhampiran.

“Ramai pengguna jalan itu menjadi mangsa gangguan lembaga berkenaan. Lembaga itu pernah duduk di belakang penunggang motosikal, saya juga pernah nampak lembaga itu berada di atas bumbung kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Sememangnya jalan itu tidak dilalui oleh kenderaan pada lewat pagi terutama ketika hujan renyai atau lebat,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim juga tidak menafikan kewujudan lembaga itu yang sering mengganggu pengguna jalan raya yang melalui jalan Bukit Lengkok menjelang lewat pagi.

“Jalan itu tidak sesuai digunakan pada waktu Subuh terutama ketika hujan. Ini kerana terlalu banyak kejadian kemalangan berlaku di sekitar kawasan itu disebabkan keadaan jalan di situ sempit dan bengkang-bengkok.

"Saya menasihatkan pengguna supaya menggunakan lebuh raya Butterworth Kulim Express (BKE) untuk pergi ke Pekan Kulim dan jangan mengunakan jalan Bukit Lengkok sebagai jalan pintas walaupun ia lebih dekat,” katanya.



Kuasa ALLAH. Ayam disembelih tidak mati

Kuasa ALLAH semua boleh jadi



Oon melihat keadaan ayam itu sebelum disembelih sekali lagi sambil diperhati
Esomuddin.


Kuasa ALLAH semua boleh jadi
Beginilah keadaan leher ayam berkenaan selepas disembelih sembilan hari lalu


PENDANG – Sudah disembelih, tapi tidak mati. Begitulah tanda kekuasaan ALLAH di mana ayam sabung kacukan selasih yang disembelih oleh seorang penduduk kampung sekitar kawasan Bukit Raya Dalam dua minggu lalu, masih hidup.

Kejadian berlaku kira-kira 10 pagi apabila pemilik ayam, Esomuddin Idris, 40, menyembelih ayam itu untuk dijadikan juadah, namun selepas disembelih, ayam itu tidak mati walaupun urat mareh, leher dan pedal telah putus.

Menurutnya, dia tidak menyangka ayam sabung kacukan selasih yang diberikan rakannya dari Parit Buntar Perak itu mempunyai keistimewaan.

“Sudah sembilan hari disembelih, ayam itu tak mati-mati.

“Saya sembelih mengikut cara yang sepatutnya dan apabila sudah selesai saya keluarkan darahnya serta melepaskannya dengan harapan ayam itu akan mati.

“Saya terkejut, dua jam selepas itu ketika mahu untuk mengambil ayam terbabit, ia berjalan dan memanjat pokok seperti biasa bersama ayam lain,” katanya.

Esomuddin berkata, ayam itu kelihatan segar dan kuat walaupun ia tidak boleh makan dan minum kerana semua urat pada bahagian leher putus.

“Semua rakan-rakan serta penduduk kampung tidak ketinggalan melihat ayam terbabit sehingga ada penduduk yang meminta saya menjual ayam itu dengan harga RM10,000 namun saya tidak mahu menjual kerana bimbang disalahgunakan untuk tujuan khurafat.

“Hari ini (hari ke sembilan) saya sembelih ayam terbabit. Saya simpati keadaan ayam itu yang tidak boleh makan atau minum,” katanya.

Persiapan menyembelih ayam terbabit dilakukan seorang penduduk, Oon Md Hussin, 74. Oon berkata, dia membaca beberapa surah al-Quran, selepas itu barulah ayam terbabit mati serta-merta.

“Kejadian seperti itu pernah berlaku kira-kira 60 tahun lalu.

“Saya percaya bahawa kematian itu bukan terletak pada pisau.

“Kuasa ALLAH semua boleh jadi. Oleh sebab itu tiada yang mustahil kerana kita dan semua makhluk lain hanyalah hamba di dunia ini,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian cuba mendapatkan penjelasan mengenai perkara berkenaan daripada pegawai agama daerah Pendang, Syeh Ahmad Shukri Mohamed.

“Kejadian itu menunjukkan keagungan ALLAH SWT. “Ia dianggap pelik memandangkan jangka masa mati agak lama namun dari segi hukum, kita boleh makan ayam terbabit memandangkan kita sudah menyembelih mengikut syarat dan cara Islam,” katanya.




Al-Quran antara terkecil di dunia

KITAB suci bersaiz kecil dipercayai berusia 100 tahun.
KITAB suci bersaiz kecil dipercayai berusia 100 tahun.



SUNGAI MANIK: Kediaman Ketua Kampung Sungai Manik Lama Kiri, Hakim@Hasim Mohamad, 64, di Kuala Sungai Manik, di sini bukan saja menjadi tumpuan penduduk untuk mengadu masalah, malah kehadiran mereka adalah juga untuk melihat naskhah al-Quran, dipercayai antara terkecil di dunia.

Naskhah al-Quran berukuran 2.5 x 1.3 sentimeter (cm) dalam mashaf resam Othmaniah itu lengkap 30 juzuk. Dengan saiznya yang begitu kecil, ayat kitab suci itu begitu sukar dibaca kecuali menggunakan kanta pembesar.

Hakim berkata, al-Quran berusia 100 tahun yang menjadi koleksinya itu adalah pemberian arwah bapa saudaranya, Allahyarham Saima Ariff yang pulang daripada mengerjakan haji di Makkah pada 1949.
“Usia kitab suci itu dipercayai mencecah 100 tahun dan saya simpan kitab suci itu kerana ia paling saya sayang serta amat berharga kerana bukan mudah untuk menerima kitab suci sekecil itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Hakim berkata, ramai orang datang ke rumahnya untuk melihat secara dekat kitab suci itu, tetapi beliau tidak membenarkan ia dibawa keluar.

Katanya, beliau keberatan untuk meminjamkan kitab suci itu untuk dijadikan pameran oleh pihak tertentu kerana menghargai pemberian bapa saudaranya.

“Ada sekolah dan agensi kerajaan mahu meminjamnya untuk dipamerkan, tetapi saya tidak dapat memenuhi permintaan itu kerana saya bimbang ia akan rosak jika ramai orang memegang dan membeleknya. 
“Saya juga menolak tawaran beberapa tokoh korporat dan peminat sejarah yang mahu membeli kitab suci itu kerana bukan mahu mencari keuntungan,” katanya.

Beberapa tahun lalu, beberapa individu di Perlis, Negeri Sembilan dan Perak turut mendakwa memiliki naskhah al-Quran kecil sebesar ibu jari yang dipercayai terkecil di dunia.



Saintis Eropah minta bulu Bigfoot

GAMBAR fail 5 Jun, 2000 menunjukkan seorang sukarelawan Muzium Willow Creek, California memegang acuan kaki Bigfoot.


LONDON, Britain - Sekumpulan penyelidik Eropah merancang menggunakan teknologi baharu analisis asid deoksiribonukleik (DNA) bagi merungkai kewujudan makhluk berbulu separa manusia, Bigfoot.

Projek tersebut diumumkan oleh pasukan saintis Universiti Oxford dan Muzium Zoologi Lausanne kelmarin.

Mereka merayu pihak muzium, saintis dan peminat Bigfoot di seluruh dunia agar berkongsi sampel bulu yang dipercayai berasal daripada makhluk misteri tersebut.

Teknologi baharu itu cuma memerlukan beberapa helai bulu dengan keputusan ujian dijangka diketahui dalam tempoh beberapa minggu.

Jika sampel tersebut didapati berasal daripada spesies yang tidak diketahui, teknologi berkenaan dapat membantu saintis mengesan sama ada Bigfoot mirip kepada spesies lain termasuk manusia dan beruk.

Seorang penyelidik berkenaan daripada Universiti Oxford, Bryan Sykes berkata, mereka telah menerima beberapa tawaran sampel untuk diuji termasuk darah, bulu dan barangan yang dikunyah oleh Bigfoot.

Sykes dan saintis lain akan meneliti semua sampel yang mereka terima sebelum memilih spesimen yang akan diuji.

Mereka akan menyiarkan hasil kajian tersebut dalam sebuah jurnal saintifik. - Agensi


Muzium pamer fosil Ichthyosaur

BEBERAPA pekerja sedang menyiapkan dewan paleontologi Muzium Sains Semula Jadi di Houston, Texas 

HOUSTON, Amerika Syarikat (AS) - Muzium Sains Semula Jadi Houston akan membuka dewan paleontologi yang dibina dengan kos AS$85 juta (RM267.5 juta) kepada umum di sini pada Jun depan.

Dewan berkenaan menyimpan beberapa fosil unik dinosaur termasuk fosil anak Ichthyosaur yang terlekat pada saluran kelahiran ibu reptilia tersebut.

Ichthyosaur merupakan spesies dinosaur yang melahirkan anak dan hidup di lautan sekitar 200 juta tahun dahulu.

Beberapa ahli paleontologi dan saintis muzium berkenaan memberitahu, dewan paleontologi dibina bagi memberikan pendedahan kepada pelawat tentang evolusi kehidupan yang bermula sejak beberapa bilion tahun lalu.

"Anda juga boleh menyentuh fosil yang berusia 3.5 bilion tahun," kata kurator paleontologi muzium berkenaan, Robert Bakker.

Pameran pertama dewan tersebut, Safari Prasejarah, akan dibuka kepada orang ramai pada 2 Jun depan. - Agensi


Pondok telefon unik di Sao Paulo



SEORANG lelaki menggunakan pondok telefon awam yang dihiasi dengan lukisan otak manusia di Sao Paulo 

SAO PAULO, Brazil - Sebanyak 100 pondok telefon awam di bandar raya ini dihiasi dengan lukisan yang menarik seperti otak manusia.

Terdapat juga pondok telefon itu yang mempunyai hiasan yang unik seperti replika kincir angin.
Hiasan lukisan itu dibiayai oleh sebuah syarikat telefon tempatan.

Beberapa penduduk turut mengambil kesempatan dengan bergambar beramai-ramai di pondok tersebut. - Agensi




Juta​an saksi gerhana matahari cincin

Juta‚Äčan saksi gerhana matahari cincin





TOKYO – Gerhana matahari Anulus atau gerhana matahari cincin selama empat minit setengah, sejauh 240 hingga 300 kilometer dari Bumi dapat disaksikan di sekitar Asia Pasifik hingga barat Amerika Syarikat.

Menurut Portal Pendidikan Sains Angkasa sebelum ini, gerhana matahari berlaku apabila bulan melintasi antara bumi dan matahari, serta melindungi secara keseluruhan atau sebahagian imej matahari daripada pencerap yang berada di bumi.

Gerhana matahari Anulus berlaku apabila diameter ketara seperti bulan lebih kecil daripada cakera matahari menyebabkan matahari kelihatan seperti anulus (cincin) dan menyekat kebanyakan daripada cahaya matahari.

Menurut portal itu, fasa anulus akan dapat dilihat dari kawasan pantai China, utara Taiwan, selatan Jepun dan bahagian barat Amerika Syarikat serta Kanada.

Beribu-ribu orang di seluruh Asia menyaksikan keajaiban tersebut.

Gerhana dapat dilihat jelas di sekitar Tokyo, sebelum melintasi rantau pasifik, ia betul-betul di bawah Pulau Aleutian Alaska dan sepanjang Oregon, California, Amerika Syarikat.

Awan yang sedikit ketika gerhana bermula menyebabkan keadaan menjadi sempurna apabila ramai yang dapat menyaksikan gerhana dari awal hingga akhir.

Kanak-kanak yang menyaksikan gerhana tersebut, Kaori Sasaki berkata, kejadian gerhana ini adalah sesuatu yang misteri dan ini kali pertama dia menyaksikan fenomena ini.

Pihak Panasonic, salah sebuat pengeluar elektronik terbesar Jepun turut menghantar satu ekspedisi ke puncak Gunung Fuji bagi menyaksikan fenomena gerhana menggunakan peralatan berkuasa solar.

Jurucakap syarikat tersebut berkata, matlamat utama mereka adalah untuk menyiarkan fenomena yang dianggap tercantik di dunia dari puncak tertinggi di Jepun.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi penduduk di sekitar Hong Kong apabila beratus-ratus berkumpul di sepanjang pantai Kowloon, tidak dapat menyaksikan fenomena tersebut apabila terdapat awan tebal, yang menghalang pemandangan ketika keajaiban tersebut.





Buang ‘bola’ pada muka

KEADAAN Chen sebelum dibedah.
KEADAAN Chen sebelum dibedah.

KEADAAN Chen selepas dibedah.
KEADAAN Chen selepas dibedah.


BEIJING: Seorang lelaki China berjaya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan sebesar bola sepak dari mukanya, baru-baru ini.

Maklumat mengenai pembedahan itu yang dijalankan terhadap Chen Jianguo di Hospital Universiti Sun Yat-sen di Guangzhou bagaimanapun tidak banyak diperoleh.


Namun, dua gambar ini menunjukkan perubahan drastik pada penampilannya.

Lelaki berusia 37 tahun itu dikatakan mengalami ketumbuhan kecil di kepalanya sejak 1995.


Kerana tidak mahu membebankan ibubapanya ketika itu, dia meninggalkan kampungnya di Liandu dan menetap di bandar Zhaoqing pada 1998.


“Saya memberitahu mereka bahawa mereka hanya perlu menjaga adik saya.


“Mereka boleh melupakan bahawa mereka pernah melahirkan saya,” kata Chen kepada wartawan dalam video yang dimuat naikkan ke You Tube pada Mei tahun lalu.


Chen berkata, dia sudah pun bersedia menerima sebarang kemungkinan sebelum pembedahan itu dijalankan.


“Saya bersedia menjalani pembedahan itu walaupun risiko kesilapan adalah besar.


“Jika berjaya, perkara pertama yang saya akan lakukan ialah pulang ke kampung. “Jika tidak, saya dengan senang hati mendermakan organ saya kepada orang yang memerlukan,” katanya. - Agensi






Tangan robotik dikawal dengan minda

KOMBINASI gambar yang disiarkan pada Rabu lalu menunjukkan Hutchinson menggerakkan tangan robotik dengan menggunakan mindanya.


NEW YORK - Seorang wanita lumpuh dari negeri Massachusetts, Cathy Hutchinson mengawal pergerakan sebuah tangan robotik dengan menggunakan mindanya.

Teknologi terbaharu itu dapat membantu memudahkan kehidupan harian Hutchinson yang lumpuh seluruh badan sejak 15 tahun lalu.

Wanita itu mengarahkan tangan robotik tersebut untuk melakukan pelbagai tugas seperti mengangkat sebotol air kopi dan meletakkan minuman itu ke dalam mulutnya.

Inovasi tersebut disiarkan jurnal Nature di Internet pada Rabu lalu.

Ia dihasilkan oleh beberapa saintis Universiti Brown, Pusat Perubatan Providence VA di Pulau Rhode, Sekolah Perubatan Harvard dan beberapa tempat lain.

Tangan robotik tersebut dikawal dengan bantuan cip sebesar sebiji pil yang ditanam ke dalam otak manusia.

Ia menerima input aktiviti elektrik sel otak apabila individu berkenaan berimaginasi dia sedang menggerakkan tangannya.

Cip berkenaan kemudian menghantar isyarat tersebut ke sebuah komputer yang kemudian menggerakkan tangan robotik itu. - Agensi



Rahsia Ram Singh miliki misai 4.25m

Rahsia Ram Singh miliki misai 4.25m
Rahsia Ram Singh miliki misai 4.25m
Ram Singh Chauhan menunjukkan cara beliau menguruskan misainya, yang panjangnya 4.25 meter

NEW DELHI - Ram Singh Chauhan, 54,dari India bangga apabila diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai individu yang mempunyai misai terpanjang di dunia - mencecah 4.25 meter.

Untuk memiliki misai terpanjang seseorang itu perlu mengamalkan lima petua – bermula pada usia muda, jaga dengan rapi, dapatkan sokongan keluarga, sanggup menghadapi rasa tidak selesa dan jangan jadi hamba fesyen.

Mengulas lanjut, Chauhan berkata, untuk menyimpan misai seseorang itu perlu mulakan ‘misnya’ sejak usia muda.

Chauhan menyimpan misai sejak1970.

“Misai cepat tumbuh dan panjang di usia muda dan apabila usia meningkat, pertumbuhan misai juga akan menjadi perlahan,” katanya.

Beliau juga tidak pernah memotong misainya. Hanya mengguntingsedikit dari semasa ke semasa agarkelihatan kemas di sekitar bibir.

Beliau juga mengambil masa sejam setiap bagi membersih dan menyikat misainya.

“Setiap kali saya cuci, isteri akan menolong dan saya gunakan minyak kelapa bagi penjagaan misai dan perlu cuci setiap 10 hari,”katanya dipetik laporan BBC.

Naib Presiden Janggut Dunia dan Persatuan Misai, Rod Littlewood berkata, orang yang membela misai perlu elak makan di khalayak ramai kerana ia sesuatu yang menyeramkan.

Tambah Chauhan, pada tahun pertama beliau sering bertengkar dengan isteri kerana terpaksa mengambil masa yang lama untuk bersiap, membasuh dan menyebabkan orang ramai memerhati caranya.

Isterinya tidak selesa pada mulanya tetapi apabila misai suaminya mula panjang, beliau mula rasa hormat atas komitmen diberikan suaminya.

Kini isterinya merasakan misai suaminya itu adalah sebahagian dari keluarga mereka dan sinonim dengan maruah.

Kata Chauhan, hidupnya tidak terlalu mudah apabila memiliki misai yang panjang kerana pada mulanya boleh melilitnya di telinga.

Tetapi apabila misai menjadi semakin panjang, beliau terpaksa melilitnya di leher.Kadangkala Chauhan akan memasukkan misainya dalam pakaian agar kelihatan kemas.

“Tidur juga menjadi tidak selesa tetapi kita perlu hadapi kesakitan walupun perit untuk mendapatkan sesuatu.Jadi, saya berasa diri saya sangat istimewa dan tidak pernah bermimpi mengenainya,” katanya lagi.

Persatuan Movember menggalakkan lelaki menyimpan misai dan meningkatkan kesedaran ramai mengenai isu kesihatan lelaki.Tetapi  pengasas persatuan itu  berkata, lelaki harus berani dan mengabaikan soal gatal.

Chauhan juga berpesan agar mengelak dari menjadi hamba fesyen kerana menyimpan misai adalah sesuatu yang lazim di India tetapi mendapati anak muda zaman sekarang tidak begitu meminati untuk menyimpai janggut dan misai.

“Anak saya sendiri tidak menyimpan misai,”kata beliau.



Ibu tunggal diusir 12 hantu

VANESSA di rumah yang dikatakan berhantu.
VANESSA di rumah yang dikatakan berhantu.


ESSEX: Seorang wanita terpaksa meninggalkan rumah impiannya bersama-sama bayinya selepas diganggu 12 hantu di dalam rumah itu.

Vanessa Mitchell, 37, menceritakan bagaimana dia berdepan dengan hantu itu beberapa minggu selepas berpindah ke rumah berkenaan.


Antaranya, memukulnya dari belakang, menarik rambutnya dan cuba menolak tetamunya di tangga.

Hantu itu juga mengalihkan objek di sekitar rumah, menggoncang tombol pintu dan membuka paip air.


Kemudian mereka membuat percikan darah timbul di ruang tamu.


Kejadian terakhir yang menakutkan Vanessa ialah selepas dia melahirkan anaknya. Ketika anaknya Jesse berusia empat bulan, Vannessa berkata, dia melihat ‘hantu jantan’ berdiri di atas buai bayi itu.

Vanessa, yang bertahan tiga tahun tinggal di rumah itu berkata, dia menemui sekurang-kurangnya 12 hantu.


“Selaku ibu tinggal, saya tidak sanggup untuk terus menerus tinggal dengan hantu di rumah itu.” Dia masih berhutang sebanyak �147,000 (RM735,000) untuk rumah berkenaan yang sebelum ini menjadi penjara untuk tukang sihir di St Osyth, Essex.

Dalam usaha untuk mendapatkan pendapatan bagi membiaya kehidupannya, Vanessa bercadang membuka rumah itu untuk dijadikan ‘pelancongan hantu.’ Pakar, Chris Palmer, 36, ketika bercakap mengenai bangunan berusia 500 tahun itu berkata: “Ia mempunyai suasana paling negatif pernah saya temui.” - Agensi



Nanas kembar 15 bentuk hati

Nanas kembar 15 ditemui di Kampung Sungkup, Bukit Selambau.


BUKIT SELAMBAU – Seorang peniaga kedai perkakasan terkesima apabila suaminya membawa pulang nanas kembar 15 seberat 7.7 kilogram yang tumbuh di ladang getah mereka di Kampung Sungkup, Bukit Selambau.

Menurut Zuraini Md Isa, 41, nanas unik itu menjadi bualan penduduk kampung dan pengunjung yang memenuhi kedai mereka yang terletak depan masjid Bukit Selambau untuk melihat secara dekat, apabila buah itu diletak sebagai pameran.

“Nanas ini agak pelik sebab berbentuk hati, mempunyai 15 buah yang bercantum di bahagian tengah. Kalau dilihat secara kasar memang nampak ada yang sudah masak dan ada yang masih hijau,” katanya.

Zuraini berkata, dia dan keluarga tidak berhasrat untuk menjadikan buah nanas itu hidangan atau dimasak memandangkan kejadian disifatkan sangat unik dan tidak pernah dialaminya sebelum ini.

Budak derita kaki raksasa

DOKTOR di kawasan pedalaman di Peta, Uganda, merayu supaya ada pakar perubatan dari negara luar mampu mengatasi masalah  Oketch.
DOKTOR di kawasan pedalaman di Peta, Uganda, merayu supaya ada pakar perubatan dari negara luar mampu mengatasi masalah Oketch.

KAMPALA: Seorang budak Uganda kini bertarung dengan maut selepas kakinya membengkak secara misteri sehingga terlampau besar.

Baru berusia 10 tahun, Vincent Oketch kini hanya mampu duduk atau berbaring di katil kerana saiz kakinya menghalang dia berjalan.


Keadaan itu juga memaksa Oketch mengenakan pakaian budak perempuan atau skirt bagi menyesuaikan saiz kakinya. Doktor di Peta merayu kepada pakar perubatan antarabangsa supaya membantu mengubati Oketch kerana mereka yakin, jika lambat dirawat, budak itu mungkin meninggal dunia.

Bapa Oketch, Tito Opoya, berkata keadaannya itu sangat mengecewakan kerana anaknya menjadi bahan cemuhan apabila berpakaian seperti budak perempuan.


“Badannya kecil, tapi kakinya begitu besar dan sangat berat,” katanya.


Masalah Oketch mula dikesan keluarganya ketika dia berusia 18 bulan, tetapi kemiskinan memaksa mereka membiarkan keadaan itu begitu saja.

Apabila Oketch semakin membesar, kakinya juga bertambah besar.


Doktor pula bingung mencari punca masalah Oketch.

Sesetengah doktor percaya Oketch dilahirkan dengan masalah limfatik, menyebabkan kaki budak itu membengkak melampau.


Namun, keputusan pemeriksaan yang saling bercanggah serta masalah kemudahan perubatan yang terhad menyebabkan doktor tidak banyak pilihan untuk menyelesaikan masalah itu.


Menurut Dr Isaac Osire, dia percaya Oketch berdepan masalah jangkitan serius dan kaki itu mungkin terpaksa dipotong jika tidak mendapat rawatan segera.


Kini mengendalikan pertubuhan kebajikan kanak-kanak, Dr Osire membawa Oketch ke hospital di Kampala untuk dibedah.


Katanya, imbasan awal menunjukkan Oketch mungkin mengalami masalah sistem limfatik, untut dan keganjilan tisu.


Pemeriksaan juga mendapati keadaan itu turut menjejaskan tulang Oketch sehingga menyebabkan tulang pinggulnya beralih, manakala buku lalinya terseliuh.


Namun, pemeriksaan lanjut menunjukkan Oketch mungkin mengalami jangkitan kuman pemakan daging yang sangat berbahaya.


Dr Osire berkata, doktor mungkin memotong kaki Oketch di paras paha.


“Ia sangat membimbangkan kerana kami masih mendapat keputusan yang berbeza-beza.


“Sangat sukar mengetahui apa sebenarnya berlaku dan kami terdesak mahukan bantuan asing,” katanya. Sementara itu, seorang doktor Britain yang kini melawat Uganda berharap dalam bertemu Oketch minggu depan bagi melihat sendiri keadaan penyakit budak itu.


Dr Osire berkata, sebarang bantuan daripada pihak luar sentiasa dialu-alukan.


“Nampaknya kes ini mungkin terlalu rumit untuk dirawat di dalam negara ini.


“Saya mahu melakukan apa saja yang terdaya supaya Oketch boleh hidup normal,” katanya. Opoya pula berkata, dia berharap ada doktor yang mampu mengubati anaknya.


Setakat ini, katanya, dia begitu terhutang budi kepada Dr Osire atas segala bantuan diberikannya.


Pertubuhan disertai Dr Osire membantu kanak-kanak di seluruh Uganda.


Dalam keadaan tertentu, dia menggunakan sendiri keretanya untuk membawa kanak-kanak yang perlukan rawatan segera ke hospital.


“Kami masih memerlukan bantuan kewangan untuk membantu kanak-kanak di negara ini,” katanya. - DM


Kerusi bergerak ciptaan Honda

BEKAS angkasawan Jepun, Mamoru Mori menguji sebuah kerusi bergerak keluaran syarikat Honda Motor di Tokyo 

TOKYO - Syarikat Honda Motor mencipta kerusi bergerak dengan menggunakan teknologi robotik yang dikenali sebagai Uni-Cub.

Kerusi itu mempunyai sebuah roda utama di bahagian depan dan roda kecil di bahagian belakang yang membantu ia berpusing.

Para pengguna perlu menyengetkan badan mereka ke kiri jika mahu ia bergerak mengikut arah tersebut.

Jika mahu ke kanan, pengguna perlu melakukan pergerakan yang sama dengan menyengetkan badan ke arah itu.

Setakat ini syarikat itu tidak mempunyai rancangan untuk menjual kerusi tersebut. - AGENSI


Kereta api dalam rumah

HIGGINS menunjukkan gerabak yang diubah suai menjadi bilik tidur.
HIGGINS menunjukkan gerabak yang diubah suai menjadi bilik tidur

KEADAAN rumah Higgins tidak banyak berbeza daripada kediaman lain jika  dilihat dari  luar.
KEADAAN rumah Higgins tidak banyak berbeza daripada kediaman lain jika dilihat dari luar.

LONDON: Seorang pesara dari Buckinghamshire dianggap pemilik rumah paling aneh di Britain apabila menjadikan gerabak kereta api sebagai sebahagian daripada kediamannya.

Kini menetap di Ashton, Cornwall, Jim Higgins membina rumahnya dengan gerabak kereta api berusia 130 tahun yang pernah dimiliki syarikat Great Western Railway.


Menurut bekas pengurus pengangkutan itu, dia mengambil alih gerabak berkenaan daripada bekas bapa mentuanya, Charles Allen, yang dipaksa membina kediaman di sekeliling gerabak itu. Menurut Higgins, 64, gerabak itu pernah didiami wanita tempatan, dikenali sebagai Elizabeth Richards sejak 1930.

“Gerabak ini kemudian dikenali sebagai Lizzies Place apabila Elizabeth meninggal dunia pada 1966,” katanya.


Sejak itu, kata Higgins, gerabak berkenan terbiar kosong selama beberapa tahun sebelum Allan - seorang tukang kayu mahir - tercari-cari tempat tinggal selepas dia bersara.


“Dia datang dari Middlesex dan terus ‘jatuh cinta’ apabila melihat gerabak ini untuk kali pertama,” katanya.

Bagaimanapun, kata Higgins, apabila Allen memohon kebenaran menggunakan gerabak berkenaan untuk menjadi sebahagian banglonya, pihak berkuasa tidak memberi kebenaran.


Kata Higgins, gerabak itu tersadai di situ terlalu lama dan tidak mungkin dialihkan ke tempat lain.

“Disebabkan koc ini tidak boleh dipindahkan, Allen memutuskan untuk membina rumah di sekelilingnya,” katanya.


Menurut Higgins, dengan kemahirannya sebagai tukang, bapa mentuanya membina rumah berkenaan dengan menempatkan bilik tidur di dalam koc itu.


Kini, kata Higgins, dia sibuk menyiapkan projek pemuliharaan koc berkenaan dan menjangkakan ia siap sepenuhnya beberapa bulan lagi. “Ia memerlukan kesabaran sangat tinggi bagi mengekalkan keasliannya.


“Pada masa sama, tetapi tidak banyak maklumat yang ada mengenai koc ini,” katanya.


Apabila siap nanti, Higgins berkata, dia akan mempertimbangkan kemungkinan untuk membukanya kepada orang awam. “Saya mungkin menjadikannya sebuah muzium, tapi saya belum pasti,” katanya. - DM


Lunga persis seekor ular

AKSI ular menjalar begitu mudah dilakukan Lunga.

GADIS Afrika Selatan berusia 22 tahun ini dianggap luar biasa kerana kebolehan menopang dagu dengan kaki yang dihulur dari belakang badan.

Walaupun aksi itu nampak menyakitkan, Nokulunga Buthelezi masih mampu bercakap seperti biasa.

Dia juga menyukai aksi berdiri di atas sebelah kaki manakala sebelah lagi kaki dijulang sehingga 180 darjah melebihi paras kepala. Aksi gadis ini kadangkala sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata kecuali setelah melihatnya sendiri.

Bukan itu sahaja, wanita tomboi itu yang merupakan ahli peliuk badan sebuah sarkas di negara itu sangat obses dengan ular sawa sehingga dia digelar Wanita Ular Sawa.

Kostum kulit ular sawa wajib menyaluti tubuhnya semasa dia melakukan persembahan.

Buthelezi yang selesa dipanggil Lunga memberitahu, kemahiran melipat badan itu diperoleh secara semula jadi sejak kecil.

"Semasa berumur tiga tahun ibu mengatakan saya gemar tidur meniarap dengan kedua-dua tangan dilipat ke belakang badan.

"Ibu khuatir dengan keadaan itu walaupun saya tiada masalah kesihatan," kata gadis eksentrik kelahiran Johannesburg itu.

Semasa berumur 10 tahun, Lunga yang tidak makan daging membuat 'persembahan' di ruang tamu rumahnya.

Neneknya, Thuli, menganggap cucunya itu seperti seekor ular kerana pergerakannya persis reptilia itu.

Lunga ternyata seorang yang pandai mengambil peluang terutama untuk memperoleh wang.

Semasa waktu rehat di sekolah rendah dahulu, dia sering membuat aksi di hadapan rakan-rakan sekolahnya.

Menggelikan

Abangnya, Bheiki akan berperanan mengutip wang daripada penonton. Wang itu digunakan untuk membeli gula-gula.

"Ada juga rakan yang iri hati kerana badan mereka tidak elastik seperti saya," kenangnya.

Kehidupan bak selebriti gadis ini bermula semasa dia berumur tujuh tahun. Ibunya, Nokuthula berjumpa dengan seorang ahli gimnastik bernama Sylevester yang sedang membuat persembahan di sebuah kompleks beli-belah di Johannesburg.

Ibunya menceritakan kelebihan anak gadisnya itu kepada Sylevester.

"Dia kemudian membawa saya menghadiri sesi uji bakat untuk kumpulan sarkas UniverSoul Circus di Afrika Selatan.

"Bagaimanapun, saya lebih menumpukan pada sesi latihan untuk pertunjukan sarkas di sebuah sekolah sarkas di Cape Town sebelum menerima tawaran mengadakan persembahan sarkas di seluruh dunia itu," cerita Lunga.

Habuan yang diterimanya sungguh lumayan. Dia dibayar lebih RM250,000 setahun untuk aksi itu sahaja.

"Pada mulanya saya agak sedih kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga tetapi apabila dapat melancong dan menikmati keindahan negara luar ia sememangnya satu momen yang menarik," katanya yang pernah melakukan pertunjukan di Britain, Jerman dan Australia.

Namun, jauh di sudut hati Lunga ada sedikit kekesalan kerana dia tidak dapat menikmati zaman kanak-kanaknya secara normal.

"Saya mula bekerja dengan kumpulan sarkas sejak berumur sembilan tahun sedangkan rakan sebaya masih seronok bermain, menonton wayang dan berkelah bersama keluarga," katanya.

Bercerita mengenai diet pemakanannya, Lunga memberitahu, dia tidak mengambil minuman tin berkarbohidrat. Dia juga tidak memakan daging haiwan.

"Saya harus kekalkan berat badan sekitar 45 kilogram. Jika saya gemuk pasti kostum ular saya menjadi ketat.

"Selain tidak selesa, saya juga akan diketawakan oleh penonton," tuturnya.

Lunga mendakwa tidak pernah terjatuh atau tercedera semasa pertunjukan.

"Sekiranya terjatuh sekali pun, penonton akan berfikir itu adalah muslihat terbaharu saya walaupun saya betul-betul terjatuh," ujarnya.

Sesetengah penonton pula menganggap kostum ular sawa yang dipakai Lunga menggelikan.

"Ada penonton yang menjerit dan menangis kerana takut dengan kostum yang saya pakai. Saya tidak pernah ambil kisah kerana saya memang ingin menjadi individu yang berbeza.

"Namun, saya tidak gemar orang memanggil saya ular kerana manusia dan haiwan itu berbeza sama sekali," katanya.