http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Kecoh hidangan sotong menari

HIDANGAN sotong menari di Jepun.

TOKYO - Klip video menunjukkan sotong menari di dalam pinggan semasa dihidangkan kepada pelanggan di restoran-restoran Jepun mencetuskan kemarahan di Internet, lapor sebuah akhbar semalam.
Ramai pengguna yang menonton klip video berkenaan di laman perkongsian video YouTube berang kerana percaya haiwan tersebut dimakan hidup-hidup.
Bagaimanapun, seorang pengusaha restoran memberitahu, aksi luar biasa itu berpunca daripada perbuatan menitikkan sos kacang soya ke atas sesungut sotong yang baru mati.
Bahan kimia sodium dalam sos berkenaan mencetuskan kejutan elektrik pada sel-sel sotong yang belum mati yang menyebabkan sotong itu menggelupur atau kelihatan seperti sedang menari.
Setakat ini, klip video berkenaan yang dirakam oleh seorang pelancong di Hokkaido, Jepun telah ditonton sebanyak sejuta kali. - Agensi



Imej UFO dirakam secara langsung

IMEJ objek terbang tidak dikenali (dalam bulatan) dirakamkan oleh seorang jurugambar stesen televisyen KXAS di Fort Worth, Texas baru-baru ini.

FORT WORTH, Texas - Satu imej objek terbang tidak dikenali (UFO) dirakamkan oleh seorang jurugambar sebuah stesen televisyen secara kebetulan, lapor sebuah akhbar semalam.
Para penonton dapat melihat satu objek berwarna putih bergerak semasa menonton program siaran langsung mengenai perkembangan lalu lintas di Forth Worth di stesen televisyen KXAS pada pukul 5.40 pagi waktu tempatan baru-baru ini.
Di bahagian kanan atas video itu kelihatan cahaya terang dari langit yang kemudian lenyap daripada pemandangan. Tayangan gerak perlahan menunjukkan cahaya samar berwarna putih berada di sebelah kanan gambar.
Terdapat beberapa penonton yang membuat spekulasi bahawa ia mungkin terjadi disebabkan pantulan cahaya daripada menara televisyen.
Namun, terdapat juga beberapa orang yang menyatakan mereka telah melihat objek itu.
"Saya sedang duduk di luar rumah jiran saya dan saya melihat satu cahaya di langit bergerak di atas pokok.
"Jiran saya, Bill juga melihat imej itu," kata seorang saksi yang menghantar mesej di laman web stesen berkenaan.
Menurut seorang lagi saksi, imej itu kelihatan seperti tahi bintang yang sudah tiba di atmosfera Bumi. - Agensi



Colin Furze builds world's longest motorbike


COLIN FURZE menunggang sebuah motosikal yang mengandungi 25 tempat duduk di Grantham baru-baru ini.

GRANTHAM, Britain - Seorang tukang paip, Colin Furze mencipta motosikal paling panjang di dunia dengan mempunyai 25 tempat duduk dan mampu bergerak pada kelajuan 56.3 kilometer sejam, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Furze menghabiskan masa selama sebulan untuk mencipta motosikal itu.

Dia menggunakan rangka sebuah motosikal berkuasa 125cc dan memanjangkannya melalui penggunaan kerangka aluminium.

Furze menunggang motosikal sepanjang 100 meter itu sejauh lebih satu kilometer di landasan Saltby di sini.

Menurut Guinness World of Records, motosikal terpanjang yang pernah direkodkan ialah 14 meter.

Dia akan menghantar rakaman video mengenai motosikal itu selain tandatangan beberapa saksi kepada Guinness World of Records untuk mendapat pengiktirafan sebagai motosikal paling panjang di dunia. - Agensi

Motosikal pelik reka bentuk naga

SEORANG pekerja menunggang motosikal yang mempunyai reka bentuk seperti naga di Bangkok kelmarin.

BANGKOK - Sebuah motosikal yang mempunyai reka bentuk seperti seekor naga dicipta oleh seorang artis di Bangkok, Roongrojna Sangwongprisarn dengan menggunakan pelbagai jenis alat ganti dan barang kitar semula.
Roongrojna yang berusia 54 tahun mencipta motosikal unik itu di dalam bengkelnya di sini.
Dia yang mempunyai empat bengkel di Thailand turut mengeksport pelbagai hasil ciptaannya kepada para pelanggannya dari seluruh dunia.- Reuters


Budak lelaki ada 34 jari pecah rekod


GAMBAR menunjukkan Akshat Saxena yang mempunyai tujuh jari pada setiap tangan dan 10 jari di setiap Kakinya.

NEW DELHI - Seorang budak lelaki berusia setahun di India memecahkan rekod dunia kerana dilahirkan dengan 34 jari tangan dan kaki, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang jurucakap Guinness Book of Records berkata, Akshat Saxena memiliki tujuh jari pada setiap tangannya manakala setiap kakinya mempunyai 10 jari kaki.
Kanak-kanak berkenaan berasal dari wilayah Uttar Pradesh, utara India.
Akshat yang dilahirkan tanpa mempunyai ibu jari menyebabkan doktor kini cuba untuk menggunakan jari yang sudah dipotong bagi menggantikan ibu jari tersebut.
"Saya amat gembira melihat anak saya buat pertama kali kerana dia merupakan cahaya mata pertama kami," kata ibunya, Amrita Saxenakata.
"Saya kemudian terkejut melihat jari-jarinya yang banyak," tambah wanita itu.
Didorong oleh seorang rakan mereka, keluarga berkenaan mendaftarkan anak mereka ke dalam Guinness Book of Records menerusi Internet.
Rekod untuk kategori tersebut sebelum ini dipegang oleh seorang budak lelaki di China berusia enam tahun yang memiliki 15 jari tangan dan 16 jari kaki.
Kanak-kanak China itu yang namanya enggan didedahkan keluarganya turut menjalani pembedahan untuk membuang baki jarinya.
Dia kini mempunyai 10 jari tangan dan 10 jari kaki selepas menjalani pembedahan selama enam setengah jam di sebuah hospital di Shenyang, Liaoning pada Mac lalu.
Satu kajian terbaharu menunjukkan lebihan jari tangan dan kaki itu merupakan sindrom yang dikenali sebagai polydactyly yang jarang berlaku ke atas bayi. - Agensi


Buaya berusia 70 juta tahun dikenal pasti




MINAS GERAIS, Brazil 26 Julai - Sejenis spesies buaya berusia 70 juta tahun bergigi besar dan mempunyai kepala seperti anjing telah dikenalpasti di sebuah pekan kecil di Brazil.

Fosil Pissarrachampsa sera yang dipercayai saintis memakan dinosaur, ditemui di dalam mendapan batu kapur di Minas Gerais oleh pekerja perbandaran.

Ketua penyelidikan, Hans Larsson dari Universiti McGill, Quebeck berkata, buaya darat yang mempunyai kepala pelik itu mendedahkan banyak tentang buaya baka Baurusuchia yang telah pupus itu.

"Buaya amfibia zaman moden mempunyai kepala yang rendah dan leper.

"Penemuan terbaru ini memberikan kita maklumat yang lebih mendalam tentang anatomi kepala baka kumpulan Baurusuchia yang pelik dan telah pupus itu," katanya.

Tambah Larsson, berdasarkan kajian mereka, ekologi baka spesies buaya tersebut berkemungkinan sama seperti anjing liar zaman sekarang.

Berdasarkan bilangan dan saiz gigi yang ditemui, pasukan penyelidik percayai buaya karnivor itu memakan haiwan bersaiz sepertinya antara 15 kaki hingga 20 kaki - dinosaur dan buaya-buaya lain.

Mereka dipercayai mempunyai penglihatan stereoskopik yang mampu mengesan mangsa dan tidak berebut seperti buaya hari ini. - Agensi


Gadis tertinggi Britain

Foto: Reprodução do site 'Daily Mail'
JESSICA PARDOE

LONDON, Britain - Gadis tertinggi Britain, Jessica Pardoe sukar memilih kasut kerana ketinggian dan saiz kakinya yang besar, lapor sebuah akhbar semalam. Pardoe, 18, yang memiliki ketinggian 2.108 meter memakai kasut saiz 11 yang jarang dijual di Britain. 
Menurutnya, tidak seperti kebanyakan gadis lain yang menganggap akiviti membeli kasut sebagai hobi, proses membeli kasut adalah sukar untuk dirinya.
"Saya terpaksa membeli kasut dari kedai khas di Internet. Saya sememangnya mahukan sepasang kasut yang murah tetapi kasut paling murah untuk saya berharga sekitar £50 (RM242)," katanya. Selain saiz kasut, jahitan juga akan menimbulkan masalah kepada Pardoe yang memiliki kaki sepanjang 96.5 cm. 
"Saya tidak pernah dengar mana-mana wanita mempunyai ukuran kaki melebihi saya," kata Pardoe. "Namun, saya bernasib baik kerana masih boleh membeli pakaian bergaya di Internet walaupun harganya lebih mahal," tambahnya. - Agens



Air terjun bergerak ke udara


PERCIKAN air terjun yang bergerak ke udara akibat tiupan angin kencang di Sydney pada minggu lalu.

SYDNEY - Satu kejadian ganjil berlaku di Sydney apabila air terjun didapati bergerak ke udara akibat tiupan angin yang kuat pada minggu lalu.
Kejadian yang ganjil itu berjaya dirakamkan menerusi kamera dan ia kemudian disiarkan di You Tube.
Air terjun itu tidak turun dari kawasan tinggi seperti kebiasaan.
Apa yang terjadi ialah air terjun itu dipaksa angin bergerak ke udara.
Kejadian itu berlaku akibat tiupan angin kencang yang melanda kawasan air terjun tersebut sehingga mencecah 120 kilometer sejam.
Seorang penyelidik mengenai perubahan cuaca dunia sebuah pertubuhan bukan kerajaan Oxfam, John Magrath berkata, Bumi menyampaikan satu mesej kepada kita.
"Mesej itu ialah cuaca keterlaluan akan menjadi satu kebiasaan," katanya. - Agensi







Projek manusia beruk

MEWUJUDKAN beruk  berciri manusia mendapat bantahan saintis di Britain.
MEWUJUDKAN beruk berciri manusia mendapat bantahan saintis di Britain.

LONDON: Saintis di Britain mendesak peraturan ketat dikenakan terhadap usaha segelintir penyelidik yang mahu mewujudkan makhluk separuh beruk dan separuh manusia seperti dalam filem Hollywood Planet of The Apes.
Dalam satu laporan, saintis berkenaan memberi amaran penyelidikan yang sedang dilakukan sekarang hampir melanggar etika dalam cubaan untuk menyatukan ciri manusia dengan haiwan.

Profesor Martin Bobrow, seorang pakar genetik perubatan di Universiti Cambridge dan penulis bersama laporan itu berkata, masyarakat perlu sedar penyelidikan yang mencampurkan adukan gen manusia dengan haiwan harus dikawal selia dengan ketat. 

‘Kami mahu masyarakat menyedari implikasi penyelidikan seumpama ini sebelum ia benar-benar melahirkan sesuatu yang tidak diingini,” beliau dipetik sebagai berkata oleh akhbar Daily Mail. 

Akademi Saintis Perubatan United Kingdom menubuhkan pasukan penyemak yang akan meneliti penyelidikan yang mencampur adukan gen manusia dalam tisu haiwan. 

Tahun lalu, lebih sejuta penyelidikan dilakukan membabitkan haiwan diubah secara genetik, kebanyakan membabitkan tikus dan ikan yang dilahirkan dengan DNA manusia. 
Haiwan makmal ini digunakan untuk mewujudkan ubat baru bagi penyakit seperti kanser dan Alzheimer atau untuk mengkaji fungsi gen tertentu. 

Penyelidik juga didapati mewujudkan haiwan berciri manusia dengan memasukkan sel tunjang manusia ke dalam embrio haiwan. 

Haiwan digelar ‘chimeras’ ini adalah untuk mengkaji penyakit seperti strok, hepatitis dan kanser. 

Laporan saintis itu tidak mempersoalkan penyelidikan seumpama itu, namun mereka berkata, jika tidak dikawal, lambat laun kegiatan itu akan mewujudkan haiwan yang memiliki ciri manusia yang tidak boleh diterima masyarakat. 

Laporan itu mendesak Kementerian Dalam Negeri memantau penyelidikan berkenaan dan mengharamkan uji kaji yang membabitkan suntikan sel tunjang manusia ke dalam otak beruk bagi mendapatkan haiwan yang mempunyai kelakuan seperti manusia. 

Pengharaman penyelidikan sedemikian dapat menghalang usaha mewujudkan beruk yang mempunyai daya ingatan dan pertuturan seperti manusia. 

Seorang lagi penulis bersama laporan itu, Profesor Thomas Baldwin berkata: “Kami bimbang jika sejumlah besar sel otak manusia disuntik dalam otak beruk ia boleh memberi haiwan itu keupayaan yang selama ini hanya dimiliki manusia seperti pertuturan atau kebolehan untuk memanipulasi.” – Agensi 




Menyelam dekat mulut ikan yu gergasi

SEORANG penyelam berada dekat mulut seekor ikan yu gergasi di luar pantai Isla Mujeres, Mexico baru-baru ini.

BANDAR RAYA MEXICO - Seorang penyelam bertindak berani dengan menyelam dekat mulut seekor ikan yu gergasi di luar perairan Isla Mujeres, di Mexico, lapor sebuah akhbar semalam.
Imej penyelam itu dirakamkan oleh seorang jurugambar, Mauricio Handler.
Handler menggunakan peralatan berteknologi tinggi untuk merakamkan gambar yang menakjubkan di dasar laut.
Ikan yu gergasi mempunyai mulut selebar 1.5 meter dan 350 barisan gigi.
Panjang haiwan itu boleh mencecah lebih 12.65 meter manakala beratnya lebih 21.5 tan.
Namun, ia tidak berbahaya kepada manusia. - Agensi



Makhluk ganjil ditangkap di China

Alien like monkey draws stares (credit: Europics)

MAKHLUK ganjil bermata besar, berkepala botak dan kurus ditangkap oleh seorang suri rumah, Mao Xiping di Kampung Gezhai, wilayah Henan, China baru-baru ini.

BEIJING - Seekor haiwan ganjil ditangkap seorang wanita dan dimasukkan ke dalam baldi sebelum diserahkan kepada polis, lapor sebuah akhbar semalam.
Wanita itu yang merupakan seorang suri rumah, Mao Xiping pada mulanya memberitahu polis bahawa dia menemui seekor makhluk yang kebuluran mencuri timun dari flatnya.
Xiping memberitahu polis, haiwan itu mempunyai muka seperti makhluk asing dan dia tidak pernah melihatnya.
Namun, polis tidak mempercayai dakwaan wanita tersebut.
Wanita itu kemudian bertindak memerangkap haiwan tersebut dan membawa makhluk berkenaan yang berada di dalam baldi ke sebuah balai polis di kampung Gezhai, wilayah Henan, tengah China.
Dia juga meminta polis menahan haiwan itu.
Kelmarin, beberapa pakar masih melakukan pemeriksaan bagi mengetahui dengan lebih terperinci tentang spesies makhluk itu.
Makhluk itu kelihatan amat kurus sehingga tulang rusuknya dapat dilihat selain berkepala botak.
Terdapat dakwaan bahawa ia merupakan seekor monyet yang bermata besar.
Menurut wanita itu, dia pada mulanya menyangka haiwan itu seekor arnab.
Dia berkata, jiran-jirannya juga menyatakan mereka tidak pernah melihat haiwan tersebut sebelum ini.
"Makhluk tersebut berhenti makan timun apabila kami memberikan haiwan itu buah pic. Haiwan itu kini tidak mahu lagi makan makanan lain," katanya. - Agensi





SATU kumpulan pemuda bergambar dengan kereta yang dipenuhi dengan pelekat yang memaparkan wajah pemain bola sepak di Birmingham, Britain.

BIRMINGHAM - Satu kumpulan peminat bola sepak menyertai satu perlumbaan kereta sejauh 3,379 kilometer tetapi kenderaan mereka dipenuhi dengan pelekat yang memaparkan wajah pemain bola sepak, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Kumpulan pemain tersebut, Ryan Dugmore, 23, Kelvin Misra, 22, Liam Bull, 22, dan Jack Orton, 23, dari utara Birmingham akan menyertai perlumbaan selama enam hari itu untuk tujuan amal.
Pelekat sebanyak 5,000 keping itu mengandungi wajah-wajah pemain bola sepak Liga Perdana Inggeris.
Kumpulan peminat bola sepak itu merancang untuk menyapu pelekat itu dengan lakuer bagi memastikan ia kalis air.
Perlumbaan itu akan bermula dari Birmingham, Britain ke Bolougne, Perancis dan menuju ke Itali menerusi Turin sebelum kembali ke Paris.
Pertandingan itu unik kerana kereta yang dinaiki mereka perlu berharga kurang £200 (RM967.99).
Kereta yang dinaiki mereka itu model Ford Escort yang berusia 12 tahun tetapi ia kini memerlukan pembaikan di bahagian alat suspensi. - Agensi





Alaskan Loch Ness

KEPALA raksasa (kiri) yang berjaya dirakamkan oleh seorang nelayan di Teluk Cadboro, British Columbia.

TELUK CADBORO, British Columbia - Imej seekor raksasa yang mempunyai bonggol di bahagian belakang berjaya dirakamkan di sini oleh seorang nelayan pada 2009 dekat Alaska, lapor sebuah akhbar semalam.

Imej itu disiarkan dalam program Discovery Channel kelmarin.

Bekas ketua di Jabatan Bumi dan Sains Lautan, Paul LeBlond berkata, dia tertarik dengan video tersebut.

"Walaupun dirakamkan semasa hujan dalam kapal yang bergoyang, ia amat asli," katanya. - Agensi



Bingkai iPhone berbentuk makanan





TOKYO - Bingkai telefon iPhone kini berbentuk pelbagai jenis makanan seperti mi, telur, sushi dan coklat, lapor sebuah akhbar semalam.
Ia kini menjadi kegilaan terbaharu di Jepun.
Namun, terdapat sedikit masalah pada bingkai tersebut kerana ia menghalang lubang kamera pada telefon bimbit itu. - Agensi







Pulau ada istana dijual RM2.25 juta

PULAU THORN FORT terletak di luar pantai Pembrokeshire, selatan Wales.

PEMBROKESHIRE, Wales - Sebuah pulau yang mengandungi sebuah istana yang terletak di luar pantai Pembrokeshire, selatan Wales menanti pembeli dengan harga jualan £750,000 (RM2.25 juta).
Ia yang dikenali sebagai Pulau Thorn Fort mempunyai sebuah istana yang mengandungi sembilan bilik tidur selain dapur, bilik makan dan bilik permainan.
Kubu yang terdapat di pulau itu dibina pada 1850-an bagi menghalang serangan tentera Perancis.
Pulau itu mempunyai pemiliknya sejak tahun 1930-an dan kemudian dijadikan sebuah hotel.
Ia kemudian dibeli oleh kumpulan hotel Von Essen 10 tahun lalu dan pada 2001 sebuah keluarga menjadi penjaga pulau berkenaan selepas memenangi satu pertandingan. - Agensi


Puting di tapak kaki wanita

PUTING  pada tapak kaki wanita berusia 22 tahun.

pix_topright
PUTING pada tapak kaki wanita berusia 22 tahun.


LONDON : Seorang wanita muda mencatatkan sejarah perubatan selepas disahkan mempunyai puting ketiga di kakinya.

Penyelidik percaya masalah yang dialami wanita berusia 22 tahun itu adalah yang pertama seumpamanya.

Antara satu hingga lima peratus penduduk dunia dipercayai menghidap masalah itu, yang secara klinikalnya dirujuk sebagai tisu payu dara tambahan. Puting tambahan itu biasanya ditemui pada bahagian atas pinggang.

Bintang pop, Lily Allen juga terkenal kerana memiliki puting tambahan pada payu dara kirinya.

Kakitangan perubatan percaya, kemunculan puting tambahan di bawah paras pinggang, terutama di tapak kaki, tidak pernah berlaku sebelum ini.

Penemuan itu dilaporkan dalam jurnal perubatan, Dermatology Online.

Pengarangnya menulis: “Seorang wanita berusia 22 tahun mendapatkan rawatan bagi masalah di tapak kaki kirinya, puting payu dara yang terbentuk dengan baik, dikelilingi areola dan bulu.

“Ujian mikroskopik terhadap dermis menunjukkan kewujudan folikel bulu, kelenjar ekrin dan kelenjar minyak. Tisu lemak juga dikesan pada pangkal lesi itu. Penemuan klinikal dan histopatologik adalah selaras dengan diagnosis tisu puting tambahan yang juga dikenali sebagai ‘pseudomamma.’ “Berdasarkan pengetahuan kami, ini adalah laporan pertama mengenai tisu payu dara tambahan di kaki.” Menurut laporan itu, ia wujud sejak lahir. Wanita berkenaan tidak mengadu sakit dan tidak ada anggota keluarganya yang lain berdepan dengan masalah itu. Puting tambahan itu kini mempunyai ukur lilit empat sentimeter.

“Tisu puting tambahan yang dikenali sebagai SBT jarang ditemui di luar garisan kelenjar mama. Namun, ia pernah dilihat sebelum ini di belakang badan, bahu, muka dan juga paha,” menurut jurnal itu. - Agensi

Kereta terbang ibarat Transformer kini jadi realiti















LONDON 18 Julai - Konsep kereta terbang yang telah lama dicetuskan bakal menjadi kenyataan di Britain dalam masa lima tahun lagi apabila pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dilapor telah meluluskan satu model kereta futuristik itu baru-baru ini.

Kereta terbang dua tempat duduk Terrafugia Transition yang bernilai 155,000 pound (RM752,021) itu boleh terbang dengan kelajuan maksimum 184 kilometer sejam.

Kenderaan itu perlu menjalani 20 jam ujian penerbangan dan setiap kali butang pendaratan ditekan, sayapnya akan tertutup secara automatik dalam masa 15 saat.

Untuk setiap perjalanan baru, kereta terbang itu memerlukan kuasa yang disalurkan dari bahagian kipas ke roda belakangnya.

Ketika dalam mode kereta, kenderaan masa depan itu boleh dipandu pada kelajuan maksimum 104 kilometer sejam dan ia boleh disimpan di dalam garaj sama seperti model kereta lain.

"Ia tidak ubah seperti apa yang digambarkan dalam filem Transformer," kata pengasasnya, Carl Dietrich.

Walaupun kenderaan itu pada mulanya disasarkan kepada pelanggan di AS, lebih 20 rakyat Britain telah menyatakan minat mereka untuk membeli kereta terbang bebas karbon tersebut.

Pengeluaran kenderaan itu bakal menjadi kenyataan selepas Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan AS baru-baru ini mengumumkan pengecualian untuk membenarkan ia berada di jalan-jalan AS.

Lembaga Penerbangan Sivil mengesahkan, pengumuman itu akan memudahkan lagi Terrafugia Transition menerima pengesahan oleh Agensi Keselamatan Eropah yang beribu pejabat di Cologne.

Dua prototaip kenderaan itu hampir siap sepenuhnya dan beberapa perubahan akan dilakukan sebelum ia mula dikilangkan tahun depan. - Agensi

Anjing gigit ikan jerung


\
ANJING itu mendekati seekor ikan jerung.

SYDNEY - Satu rakaman video menunjukkan seekor anjing menggigit ikan jerung di sebuah lokasi di Australia, lapor sebuah akhbar semalam.
Rakaman itu disiarkan di laman YouTube yang menunjukkan anjing tersebut berenang ke arah sekumpulan ikan berkenaan sebelum menyelam untuk menggigit seekor ikan jerung.
Lelaki yang merakamkan kejadian itu menyatakan dia tidak pernah melihat kejadian tersebut sebelum ini. - Agensi





Ahli arkeologi Mesir, Perancis temui artifak zaman Raja Shabaka berusia 2,700 tahun

GIZA: Ahli arkeologi Mesir dan Perancis menggali pintu batu berusia 2,700 tahun milik Shabaka iaitu Raja era Nubian ketika menggali berhampiran kuil Karnak di Luxor.
Pintu batu itu yang didapati ‘berada dalam keadaan baik,’ menjadi petunjuk menghala ke bilik yang menyimpan khazanah raja, kata Kementerian Antikuiti.

“Ia adalah kali pertama artifak lama milik dinasti ke-25 ditemui dalam keadaan agak baik dan tidak dimusnahkan oleh pemerintah dinasti ke-26,” kata Mansur Boraik, ketua Pusat Penyelidikan Mesir-Perancis di Kuil Karnak.

Pintu batu besar itu memapar ukiran warna warni menggambarkan Raja Shabaka menawarkan dewi kebenaran, Maat, kepada tuhan Amun Raa, iaitu ketua dewa.

“Petugas bagi misi Mesir-Perancis berjaya membuat penemuan penting dari dinasti ke-18 hingga 25,” kata Menteri Antikuiti, Zahi Hawass.

Misi itu juga menemui dan menggali sebuah dinding besi mengelilingi kuil Ptah, ketua tuhan bandar Memphis. Kuilnya dibina di tapak kuil terdahulu era ‘Middle Kingdom’ dan dipulihkan oleh Shabaka. 
“Penemuan itu menunjukkan kuil Karnak masih menyimpan banyak rahsia untuk didedahkan dan ia akan mengambil masa beberapa puluh tahun akan datang,” kata seorang penyelidik pusat itu, Dominique Valbelle dipetik dalam satu kenyataan kementerian. 

Shabaka adalah seorang Firaun Kush pada dinasti ke-25 Mesir antara 721 Sebelum Masihi (SM) atau 716 SM sehingga 702 SM. – Agensi 


Tiang masjid panas seperti bara


JAMBI - Satu peristiwa aneh berlaku di sebuah perkampungan di tengah Sumatera apabila tiang sebuah masjid dilaporkan tiba-tiba menjadi panas seperti bara api sehingga boleh membakar tangan orang yang menyentuhnya.

Kejadian itu berlaku di Masjid Jamik Nurul Ikhwah di Kampung Koto Tengah di daerah Kerinci, Jambi.

Ketua Jabatan Hubungan Masyarakat Daerah Kerinci, Julizarman berkata, satu daripada tiang masjid itu menjadi panas seperti bara api secara tiba-tiba dan telah mengarahkan orang untuk memeriksanya.

Menurutnya, kejadian aneh itu mula disedari oleh petugas masjid, Rahimi yang ketika itu sedang membersihkan masjid menjelang solat maghrib, Ahad lalu.

"Rahimi tiba-tiba menjerit ketika tapak kakinya memijak lantai masjid berhampiran tiang yang panas itu," kata Julizarman kepada Antara.

Menurut penduduk kampung, pada awalnya hanya lantai berhampiran tiang itu yang panas, tetapi hari demi hari, panas itu merebak ke satu tiang masjid, sekali gus mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk.

Julizarman berkata, mereka mengesyaki tiang masjid itu menjadi panas disebabkan pengeluaran wap panas bumi dari tanah ekoran pergerakan gunung berapi Kerinci yang terletak berdekatan dengan masjid itu.


"Apa pun kita tunggu keputusan penyelidikan yang dilakukan oleh Jabatan Tenaga Sumber Daya Mineral (ESDM), Kerinci," ujarnya. - AGENSI



BENTUK lingkaran misteri yang ditemui di kawasan dekat monumen batu Stonehenge (atas) di Wiltshire, Britain pada Rabu lalu.

LONDON - Satu lingkaran gergasi yang aneh ditemui dekat dengan lokasi pelancongan monumen batu purba Stonehenge di Wiltshire, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Lingkaran yang mempunyai diameter 60.96 meter yang ditemui pada Rabu lalu itu dipercayai mungkin disebabkan oleh objek terbang tidak dikenali (UFO), daya tarikan medan magnet atau buatan manusia.
Ia merupakan lingkaran ketiga yang ditemui di kawasan dekat Stonehenge sejak awal tahun ini. Misteri mengenai punca sebenar kewujudan lingkaran misteri masih tidak dapat dirungkai sehingga kini. - Agensi


Ayam ganjil berkaki empat

Ayama ini memiliki dua pasang kaki dan dua dubur



SAMPANG (Indonesia)- Aneh tapi benar. Seekor ayam mempunyai dua pasang kaki dan dua dubur.

Ayam itu dimiliki oleh H Mohamad Sohib, 43 yang tinggal di Jalan Syamsul Arifin di Kampung Polagan dalam daerah Kota Sampang 
Sejak berita tentang ayam itu tersebar luas, penduduk kampung malah orang ramai dari wilayah lain, datang berpusu-pusu untuk melihat sendiri ayam milik Mohamad itu. 

“Sebelum telur menetas, saya pernah bermimpi bertemu dengan ular naga,” kata Mohamad.

Keesokan paginya antara 10 telur ayamnya, dua saja yang menetas.

Mohamad terperanjat melihat anak ayam tersebut mempunyai dua pasang kaki dan dua kemaluan. 

“Ayam ini akan membuang najis menggunakan dua duburnya secara bergilir-gilir.” 

Mohamad berkata dia berat hati hendak menjual ayamnya yang sekarang berusia lima bulan. 

“Saya hanya akan menjual ayam ini sekiranya ada orang yang menawarkan mahu membeli dengan harga Rp50 juta (RM18,000).” 

Misteri imej Bigfoot berjalan

SEEKOR makhluk berbulu berjalan dekat sebatang pokok dekat tapak perkhemahan di Osawatomie, Kansas, Amerika Syarikat baru-baru ini.

OSAWATOMIE, Amerika Syarikat (AS) - Satu rakaman video disiarkan di laman YouTube menunjukkan seekor makhluk berbulu berjalan seperti manusia pada waktu siang, lapor lamanGhost Theory semalam.
Imej itu menunjukkan makhluk itu berjalan di belakang beberapa buah pokok dekat tapak perkhemahan di Osawatomie, Kansas, AS.
Makhluk itu menundukkan kepala semasa ia berjalan di belakang barisan pokok itu.
Tangan saksi yang merakamkan imej itu kemungkinan menggeletar kerana rakaman video tersebut kerap kali bergoyang-goyang.
Rakaman itu dibuat oleh salah seorang anggota satu keluarga yang terdiri daripada bapa, ibu dan anaknya.
Dalam rakaman berkenaan, suara si ibu berasa terkejut melihat makhluk tersebut manakala si anak bertanya apakah yang sedang dilihatnya itu.
Jika dilihat sekali imbas, ia seperti seorang manusia memakai kostum gorila atau Bigfoot.
Namun, kelibat Bigfoot juga pernah dilihat di negeri Kansas sebelum ini.
Imej makhluk berbulu itu disiarkan di laman Youtube sejak 11 Julai lalu. - Agensi


Saintis rungkai misteri ikan ganjil

IKAN ganjil ini mempunyai kepala yang lut sinar.

LOS ANGELES - Sekumpulan saintis cuba menyelesaikan misteri yang berusia 50 tahun terhadap seekor ikan ganjil yang mempunyai dua mata di hadapan kepalanya, lapor sebuah akhbar semalam.
Ikan itu turut mempunyai bahagian kepala yang lut sinar dan hidup di dasar laut dalam.
Ahli-ahli biologi di Institut Akuarium Teluk Monterey, California di Amerika Syarikat (AS) menggunakan video untuk mengkaji pergerakan mata ikan ganjil itu.
Pada kebiasaannya ikan mempunyai mata di sisi badan sekali gus mampu melihat apa yang berlaku di sekeliling kawasan haiwan itu.
Ikan ganjil itu mempunyai mata di depan kepala sama seperti manusia.
Namun, saintis-saintis itu mendapati mata ikan tersebut boleh bergerak ke dalam bahagian lut sinar di kepalanya bagi membantunya mengesan pencari mangsa dan makanan. - Agensi


Ayam gergasi lintas jalan?


SEBUAH kereta menghampiri sebatang pokok berbentuk ayam di England kelmarin.

CAMBRIDGESHIRE - Pemandu-pemandu baru di sebatang jalan raya di sini panik apabila melihat objek berupa ayam jantan setinggi 15 meter cuba melintas jalan, lapor sebuah akhbar semalam.
Namun, mereka kemudian menyedari bahawa ayam jantan gergasi di tepi jalan raya sibuk itu sebenarnya sebatang pokok berbentuk ayam hasil fenomena alam semula jadi.
"Saya pernah mendengar ayam melintas jalan sebelum ini tetapi saya tidak pernah terfikir akan bertembung dengan ayam sebesar itu," kata seorang pemandu, Rachel Jones, 24 sambil ketawa.
Fenomena alam semula jadi yang berlaku di England itu turut mengejutkan pakar-pakar botani negara itu.
"Ia benar-benar kelihatan seperti seekor ayam jantan tetapi sebenarnya ia sebatang pokok yang diliputi belukar," kata seorang pengkaji tumbuhan, Bob Widd. - Agensi