http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Telur ayam dua kali lebih besar

GAMBAR menunjukkan telur ayam biasa (kanan) dan telur ayam sepanjang 9 sentimeter (kiri)


CHRISTCHURCH, Britain - Seekor ayam betina bernama Bolt di sini, mengejutkan pemiliknya, Denise Sloan, apabila ia mengeluarkan sebiji telur bersaiz dua kali ganda lebih besar daripada telur ayam biasa, lapor sebuah akhbar semalam.
Panjang telur gergasi itu 9 sentimeter (sm) manakala lebarnya adalah 5.7sm.
Sloan yang merupakan seorang petani berusia 52 tahun berkata, dia tidak pernah melihat telur sebesar itu walaupun telah memelihara ayam selama 15 tahun.
"Saya tidak pasti rekod dunia telur ayam tetapi telur ini amat besar," katanya baru-baru ini.
Rekod dunia telur ayam terbesar setakat ini menjadi milik Zhang Yinde iaitu seorang kakitangan Biro Perhutanan Daerah Suiling di China, setelah ayam peliharaannya mengeluarkan telur sepanjang 9.2sm dan lebar 6.3sm dengan berat 201 gram

Hantu ditangkap mungkin penunggu

GAMBAR menunjukkan lembaga seperti separuh badan manusia (dalam bulatan) yang dipercayai hantu disimpan dalam sebuah botol selepas ditangkap di rumah Agus di Situbondo kelmarin.



SITUBONDO, Indonesia - Hantu yang ditangkap oleh seorang ahli paranormal dan disimpan di dalam sebuah botol kelmarin mungkin penunggu yang menjaga tombak lama di pekarangan rumah seorang penduduk tempatan, Agus, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut Agus, paranormal yang menangkap hantu itu menyatakan jika ia berjaya ditangkap, kemungkinan makhluk tersebut merupakan penunggu yang menjaga sesuatu barang.
Tombak itu tertanam di pekarangan rumahnya dan selepas ia ditemui, hanya mata tombaknya sahaja kelihatan.
Menurut Agus, dia tidak mengetahui sama ada tombak itu peninggalan kerajaan zaman dahulu.
Namun, menurut ahli paranormal itu, tombak tersebut merupakan barang kuno.
"Kini, tombak itu sudah dibawa oleh paranormal (penangkap hantu)," katanya.
Kelmarin, akhbar Detikcom melaporkan bahawa hantu yang kelihatan seperti lembaga separuh badan manusia berwarna putih ditangkap oleh seorang ahli paranormal di rumah Agus.


Air Kencing Unta Mengubati Pelbagai Penyakit



Seorang pekerja penternakan unta menunjukkan air kencing unta yang akan dijualnya. Kencing unta sekitar 250ml dijual dengan harga 100 riyal atau sekitar RM82.

Selain susu dan dagingnya, kini kencing unta banyak dicari orang. Katanya kencing unta boleh dijadikan ubat pelbagai jenis penyakit. Kencing yang ada khasiat ialah kencing dari unta Badwi yang dipanggil Najeeb.

Anak kura-kura dua kepala

GAMBAR menunjukkan seekor anak kura-kura yang mempunyai dua kepala di Taman Hidupan Liar Xiaoyaojin, Hefeia, selatan China baru-baru ini.


BEIJING - Seekor anak kura-kura dilahirkan dengan mempunyai dua kepala di sebuah taman hidupan liar di Hefeia, selatan China, lapor sebuah akhbar semalam.

"Kedua-dua kepala kura-kura itu berfungsi dengan sepenuhnya dan ia makan berasingan dan kelihatan amat gembira," kata seorang penjaga di Taman Hidupan Liar Xiaoyaojin, Hefeia.
Menurut para penjaga haiwan itu, satu sahaja masalah yang dihadapi oleh kura-kura tersebut apabila ia dilihat tidak sehaluan semasa mahu memutuskan arah perjalanan. - Agensi