http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Imej UFO dirakam Russell Crowe

GAMBAR objek terbang tidak dikenali yang dirakamkan

SYDNEY - Gambar objek terbang tidak dikenali (UFO) yang dirakamkan oleh aktor terkenal Hollywood, Russell Crowe dibincangkan dengan hangat di internet, lapor akhbar The Sydney Morning Herald semalam.

Crowe sebelum ini menyatakan imej UFO itu dirakamkan di luar pejabatnya di sini.

Klip video yang disiarkan di laman perkongsian sosial YouTube menunjukkan objek berwarna merah dengan cahaya berwarna kuning melintasi luar tingkap pejabatnya.

Akhbar New York Post turut melaporkan bahawa Crowe memuat naik video itu kerana dia mungkin percaya tentang makhluk asing.

Imej itu menyebabkan isu sama ada terdapat makhluk asing yang telah mendarat di Sydney dibincangkan dengan meluas di internet.

Bagaimanapun, beberapa pakar video dan gambar menyatakan imej tersebut sebenarnya sebuah bot.

Seorang pengguna YouTube memberi komen objek tersebut kelihatan ganjil kerana terdapat teknik muslihat fotografi telah digunakan.

Bagaimanapun, menurut akhbar The Sydney Morning Herald yang memetik agensi berita AAP, Crowe membuat kenyataan di Twitter bagi mempertahankan imej tersebut.

"Saya tidak mengetahui apakah sebenarnya, tetapi menganggap gambar itu sebagai palsu merupakan kebodohan," katanya.

Menurut Crowe, imej itu kelihatan semasa dia mahu merakamkan gambar kelawar keluar dari Taman Botani.

Pelakon berusia 48 tahun dari Australia itu terkenal menerusi filem Gladiator dan Les Misérables. - Agensi

Video tersebut anda boleh ditonton disini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan