BERLIN: Ratu Mesir kuno, Hatshepsut, didapati meninggal dunia kerana
meracun diri sendiri secara tidak sengaja dengan menggunakan losyen
kulit mengandungi bahan penyebab barah yang tinggi, menurut kajian baru
Universiti Bonn.
Dipercayai dibunuh suatu ketika dulu, Hatshepsut, mungkin juga maut
kerana punca lain iaitu berkemungkinan besar losyen kulit yang
digunakan, kata sarjana Jerman.
“Ada bukti kuat di sini dari segi itu,” kata pakar farmakologi, Helmut Wiedenfeld, dari Universiti Bonn.
Penyelidik menemui bahan penyebab barah dalam termos yang mengandungi
minyak sapu kulit yang digunakan firaun wanita kira-kira 3,500 tahun
lalu. Keluarga Hatshepsut diketahui menghidap masalah kulit.
“Kita sudah lama tahu Hatshepsut menghidap barah dan mungkin mati
kerananya. Kini kita tahu apa penyebabnya,” tambah pakar Mesir
universiti berkenaan pula, Michael Höveler-Müller.
Penyelidik menganalisis kandungan botol kecil haruman yang ditempatkan
di Muzium Mesir di universiti itu, mendedahkan kandungannya termasuk
minyak palma dan minyak buah pala, selain lemak poli tidak tepu yang
digunakan untuk melegakan sakit kulit seperti ‘psoriasis.’
Menariknya, gabungan itu mengandungi benzo(a)pyrene, komponen penyebab barah tar yang kini diharamkan dalam kosmetik.
Pakar Mesir pernah menganggap Hetshepsut dibunuh tetapi kajian terbaru
menunjukkan barah atau diabetes adalah punca kematiannya, pada
lingkungan usia 35 tahun.
Hatshepsut, yang memerintah Mesir pada abad ke-15 Sebelum Masihi, memulakan penguasaannya sebagai Raja Muda kepada anak tirinya.
Apabila anak tirinya sudah cukup umur, Hatshepsut, enggan menyerahkan
takhta dan menjadi pemerintah bersama. Hatshepsut kerap dirujuk
menggunakan sebutan lelaki dan dipaparkan memakai janggut palsu tradisi
firaun.
Pemerintahan Hatshepsut dilihat oleh sarjana sebagai kemuncak kestabilan
dan kemakmuran Mesir. Dia dikebumikan di Lembah Raja, dan petanda
paling popularnya ialah tinggalan kuil di Deir el-Bahari. – Agensi
Tak sangka aku orang dulu dulu pandai pakai losyen.Ada info tak siapa yang cipta losyen tu.
BalasPadam