http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Gambar Bumi pada waktu malam

PENTADBIRAN Aeronautik Dan Angkasa Lepas Kebangsaan kelmarin menyiarkan imej waktu malam di benua Asia dan Australia.

Gambar tersebut dirakamkan dari kapal angkasa Apollo 8 milik Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, kelmarin, NASA mendedahkan Bumi pada waktu malam.

Gambar tanpa awan yang amat jelas itu dirakamkan lensa infra merah dan beresolusi tinggi menerusi satelit Pentadbiran Oseanik dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) milik NASA.

Sensor kamera pengimejan itu dapat merakamkan tiga imej cahaya kelam secara serentak sekali gus memberi peluang kepada para penyelidik untuk mengkaji atmosfera, daratan dan lautan di Bumi pada waktu malam.

"Data yang diperoleh amat tinggi kualitinya," kata seorang saintis NOAA, Christopher Elvidge kepada wartawan pada Persidangan Kesatuan Geofizik Amerika di sini baru-baru ini. - Agensi


Kubur unik dikelilingi projek kediaman

DUA buruh bekerja di lokasi pembinaan bangunan kediaman di tepi bukit yang mengandungi sebuah kubur (dalam bulatan) di Taiyuan semalam.



TAIYUAN, China - Sebuah kubur yang terletak di atas bukit yang dikelilingi projek sebuah bangunan kediaman di sini, utara China masih tidak dipindahkan.

Kubur itu dipercayai wujud sejak tahun 2004 lagi.

Pihak pemaju meneruskan kerja-kerja pembinaan di sekeliling bukit setinggi 10 meter itu selepas keluarga si mati enggan memindahkan kubur tersebut.

Keluarga si mati enggan menerima pampasan sebanyak AS$160,454 (RM488,903) yang ditawarkan oleh pihak pemaju supaya memindahkan lokasi kubur itu.

Pihak keluarga si mati itu menunggu tarikh yang dianggap bertuah untuk memindahkan kubur tersebut.

Kerja-kerja pembinaan itu dijangka siap pada April tahun depan.

Pada Ahad lalu, media melaporkan pihak berkuasa China telah merobohkan rumah lima tingkat yang terletak di tengah-tengah sebuah lebuh raya baharu dan menjadi kontroversi baru-baru ini.

Ketua kampung Xiayangzhang, Chen Xuecai memberitahu AFP bahawa rumah itu diroboh selepas pemiliknya yang juga seorang penternak itik, Luo Baogen setuju untuk menerima pampasan sebanyak AS$41,000 (RM124,615) daripada pihak pemerintah.- Agensi



Aksi ular sawa Afrika Selatan telan anak seladang dirakam


JOHANNESBURG: Aksi seekor ular sawa Afrika cuba menelan seekor haiwan liar dirakam pegawai taman haiwan semalam.

Kelihatannya mata ular itu lebih besar daripada perutnya ketika ia ditemui di kawasan semak di Afrika Selatan ketika cuba untuk menelan haiwan itu.


Foto penemuan mengerikan itu dirakam di taman haiwan Welgevonden, Afrika Selatan oleh pengurusnya, Rudi Hulshof.

Hulshof, 35, berkata: “Ini kali pertama saya menyaksikan sesuatu seperti itu dan saya sudah bekerja sebagai renjer taman ini selama 15 tahun di Afrika Selatan, selain berkunjung ke negara Afrika lain.


“Ini pemandangan yang amat jarang berlaku dan setahu saya yang pertama direkodkan, jauh sekali rakaman foto dan dokumentari memaparkan ular sawa Afrika Selatan menangkap mangsa sebesar anak seladang.


“Memang perkara biasa untuk ular sawa menangkap mamalia hidup, tetapi selalunya terdiri daripada spesies lebih kecil seperti arnab, kambing impala, antelop, tupai, burung dan tikus. “Namun, menangkap sesuatu sebesar ini tidak pernah terlintas di fikiran. Dapat dilihat bagaimana ular sawa itu membuka mulutnya sebesar-besarnya dan cuba untuk menelan mangsanya,” katanya. “Saya lihat ular itu hanya diam di atas tanah. Apabila mendekatinya saya nampak ia sedang menelan anak seladang yang berusia dua bulan.

“Saya hampir tidak percaya dengan apa yang saya saksikan sebelum berlari ke jalan raya secepat mungkin. “Saya perlu mendapatkan kamera saya dan merakam foto itu serta membenarkan pengunjung turut merakamnya sebelum matahari terbenam dalam tempoh beberapa minit lagi,” katanya.



Wanita tertua di dunia berusia 116 meninggal dunia di AS

GAMBAR fail menunjukkan Besse Cooper ketika berada di rumah jagaan di Monroe, Georgia, Amerika Syarikat pada Feb tahun lalu. - Foto AP
GAMBAR fail menunjukkan Besse Cooper ketika berada di rumah jagaan di Monroe, Georgia, Amerika Syarikat 


MONROE: Wanita yang disenaraikan sebagai tertua di dunia meninggal dunia di rumah orang tua di Georgia pada usia 116 tahun. 

Besse Cooper meninggal dunia pagi ini di Monroe, kata anak lelakinya, Sidney Cooper. 

Cooper berkata, ibunya sakit sepanjang minggu lalu dengan serangan virus dalam perut dan berasa sihat kelmarin. 

Beliau berkata, ibunya kemudiannya membuat dandanan rambut dan menonton video Krismas tetapi kemudiannya mengalami masalah pernafasan. 

"Ibu saya diberi bantuan oksigen dalam biliknya dan meninggal dunia pada kira-kira jam 2 petang (waktu tempatan)," katanya. - AP



Gunung di Perancis dipercayai tempat UFO muncul pada 'hari kiamat'

GAMBAR fail menunjukkan Gunung Pic de Bugarach di Bugarach, selatan Perancis.


PARIS - Gunung Pic de Bugarach setinggi 1,230 meter di selatan Perancis dipercayai merupakan satu-satunya tempat di dunia yang akan selamat daripada 'hari kiamat' pada 21 Disember depan, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.

Tarikh 21 Disember itu merupakan ramalan yang dibuat berdasarkan kalendar penduduk Maya yang bermula pada 3114 Sebelum Masihi.

Beberapa filem dokumentari dan laman web meramalkan bahawa berdasarkan kalendar penduduk Maya di Amerika Tengah itu, 'hari kiamat' akan berlaku pada 21 Disember depan.

Ramalan itu dibuat kerana kalendar Maya itu berakhir pada tarikh tersebut.

Menurut pihak yang percaya tentang 'hari kiamat' itu, sejumlah makhluk asing dan sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) akan muncul.

Golongan itu percaya 'garaj kapal angkasa' terdapat di kawasan pergunungan itu dan menyelamatkan golongan yang mempercayainya.

Pekan Bugarach kini menjadi popular dalam kalangan orang yang mempercayai bahawa kiamat akan berlaku pada tarikh tersebut.

Datuk Bandar Bugarach, Jean Pierre Delord bimbang ramai orang akan tiba di bandar kecil itu.

Kawasan di sekitar Bugarach hanya didiami seramai 180 orang.

Polis dan tentera telah dimaklumkan untuk berdepan dengan bilangan orang yang ramai yang dijangka tiba di bandar berkenaan.

Menurut kalendar Maya itu, sebuah planet akan merempuh Bumi pada 21 Disember depan dan dipercayai akan menyebabkan 'hari kiamat' berlaku. - Agensi




Puntianak dipercayai berkeliaran di kampung Serbia

KINCIR air yang musnah dan dipercayai menjadi tempat tinggal puntianak di Kampung Zarozje, Serbia.


BELGRADE - Penduduk di Kampung Zarozje, dekat bandar Bajina Basta, Serbia percaya terdapat puntianak yang menghisap darah sedang berkeliaran dan mereka kini hidup dalam ketakutan.

Seorang anggota majlis tempatan memberi amaran kepada penduduk kampung itu supaya membawa bawang putih di dalam saku dan lambang salib di bilik rumah mereka bagi mengelak kehadiran puntianak.

Mereka kini dilanda ketakutan tentang kehadiran puntianak legenda yang bernama Sava Savanovic.

"Kisah Savanovic merupakan satu legenda tetapi beberapa perkara ganjil telah berlaku sejak kebelakangan ini," kata seorang suri rumah, Milka Prokic yang memegang bawang putih di tangannya.

"Kami mewarisi legenda itu daripada nenek moyang dan kami menghidupkannya untuk generasi muda," tambahnya yang berusia 55 tahun.

Kewujudan puntianak itu berkeliaran di kampung tersebut tersebar selepas sebuah kincir air di Sungai Rogacica di kampung tersebut runtuh beberapa bulan lalu.

Kincir itu dipercayai menjadi tempat tinggal puntianak tersebut.

Justeru, puntianak itu kini berkeliaran selepas kincir air yang menjadi tempat tinggalnya musnah.

Puntianak itu kini marah kerana terpaksa mencari tempat untuk menggantung pakaiannya.

Beberapa penduduk mendakwa mereka mendengar bunyi daun-daun kering di hutan dipijak dan suara ganjil datang dari puncak sebuah kawasan pergunungan.

Kawasan pergunungan itu dipercayai menjadi tempat puntianak itu dibunuh dengan pancang tajam yang menembusi jantungnya.

Namun, puntianak tersebut masih hidup dalam bentuk roh seperti menjadi rama-rama.

Beberapa penduduk menyatakan mudah bagi orang di luar kampung itu untuk mentertawakan mereka ekoran kisah tersebut.

"Baru-baru ini, lima orang telah mati selepas seorang demi seorang di dalam komuniti kita" kata seorang anggota majlis perbandaran, Miodrag Vujetic. - Agensi






Gempar kelibat wanita teleport



ADEGAN filem Star Trek pada tahun 1966 yang memaparkan teknologi teleportasi ke atas manusia.

RAKAMAN video memaparkan wanita teleport (dalam bulatan) tiba-tiba muncul di hadapan lori lalu menyelamatkan penunggang basikal.



BAYANGKAN anda yang sedang duduk bersantai di Kuala Lumpur dan tiba-tiba dalam sekelip mata mendapati anda berdiri di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru.

BAYANGKAN anda yang sedang duduk bersantai di Kuala Lumpur dan tiba-tiba dalam sekelip mata mendapati anda berdiri di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru.

Ia kedengaran tidak masuk akal walaupun Gene Roddenberry, penerbit siri sains fiksyen Star Trek telah memvisualkan idea itu sejak 46 tahun lalu.

Dalam siri popular itu, seseorang dapat muncul atau menghilangkan diri selepas berdiri di bawah pancaran cahaya. Kaedah itu kemudian dikenali sebagai teleportasi.

Kemunculan manusia teleport heboh diperkatakan di China baru-baru ini apabila sebuah kamera yang dipasang di jalan raya berjaya merakam video seorang wanita yang boleh bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dalam sekelip mata.

Wanita China

Video yang dimuat naik ke laman YouTube itu memaparkan aksi wanita tersebut yang menyelamatkan nyawa seorang lelaki berbasikal yang hampir-hampir dilanggar oleh sebuah lori.

Dalam kejadian yang dirakamkan pada waktu malam itu, sebuah lori dilihat ingin membelok ke kanan di satu persimpangan apabila sebuah basikal yang ditunggangi lelaki itu meluncur laju di hadapannya.

Ketika basikal itu betul-betul berada di hadapan lori dan hampir dilanggar, dengan tidak semena-mena muncul satu cahaya yang disertai dengan kehadiran seorang wanita persis seorang adi wira. Wanita itu dengan pantas menyentuh basikal tersebut dan hilang dalam sekelip mata.

Dalam hanya sesaat, wanita serta penunggang basikal itu telah pun berada di bahu jalan dalam keadaan selamat.

Pemandu lori yang cemas itu kemudian memberhentikan kenderaannya. Dia terus meninjau ke belakang lori bagi mencari penunggang basikal yang dikhuatiri terperosok di bawah lorinya.

Namun, alangkah terkejutnya lelaki itu apabila dia mendapati penunggang basikal tadi sedang duduk di bahu jalan dalam keadaan keliru dan terkejut.

Sementara wanita yang menyelamatkannya tadi terus berjalan sebelum hilang daripada pandangan.

Selain itu, sebuah lagi rakaman video kamera amatur yang dirakam oleh seorang individu memaparkan wanita yang sama dilihat sedang berlari perlahan dan tiba-tiba ghaib.

Dalam sekelip mata, wanita itu berada di tempat lain berserta dengan satu cahaya yang menunjukkan pergerakannya yang pantas seperti kilat.


Kedua-dua kejadian yang dirakamkan di China itu mendapat pelbagai reaksi daripada beribu-ribu penonton YouTube yang masing-masing memperdebatkan mengenai kesahihan video tersebut.

Ada yang mendakwa video tersebut palsu dan hanyalah satu bentuk promosi sebuah permainan video.

Ada yang mempercayainya dengan mengatakan bahawa wanita itu sememangnya seorang adi wira yang menyelamatkan manusia, serta tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan propaganda pihak pemerintah China yang mahu menarik perhatian dunia.

Namun yang pasti, rata-rata individu mengaitkan kejadian luar biasa itu dengan fenomena teleportasi, iaitu suatu kaedah pergerakan yang menghubungkan sistem telekomunikasi dan pengangkutan bagi membolehkan sesuatu benda bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam sekelip mata tanpa melibatkan sebarang pergerakan fizikal.

Proses

Dari sudut sains, teleportasi melibatkan penghapusan suatu objek yang berada di satu tempat dengan cara menghantar butiran konfigurasi zarah-zarah objek berkenaan kepada satu lokasi lain, bagi menghasilkan semula objek tersebut di lokasi baharu itu.

Hal ini bermakna, ruang serta masa perjalanan dapat dihapuskan kerana objek tersebut akan berada di lokasi yang lain dengan segera, tanpa perlu melalui jarak sebarang medium yang ada.

Kajian mengenai fenomena teleportasi telah bermula sejak tahun 1993 apabila sepasukan penyelidik daripada syarikat gergasi IBM yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) mengesahkan bahawa kejadian teleportasi sememangnya wujud.

Menurut ketua penyelidik yang juga seorang ahli fizik, Charles Bennett, teleportasi akan dapat dilakukan hanya jika objek yang melalui proses itu dihapuskan sama sekali.


Pendedahan itu diumumkan buat pertama kalinya oleh Bennett pada satu mesyuarat tahunan Persatuan Fizik Amerika pada Mac 1993 yang turut menyerahkan satu laporan kajiannya mengenai penemuan fenomena luar biasa itu.

Semenjak itu, lebih banyak eksperimen yang menggunakan foton (sejenis zarah cahaya) dilakukan bagi membuktikan bahawa fenomena teleportasi bukanlah suatu yang mustahil.

Antaranya ialah satu kajian yang dilakukan oleh sekumpulan ahli fizik dari Institut Teknologi California, AS pada tahun 1998 yang berjaya menteleport foton suatu objek sehingga melepasi jarak 1 meter.

Pada tahun 2004 pula, sekumpulan penyelidik dari Australia meneruskan kajian mengenai fenomena itu dengan menteleport keseluruhan aliran foton dalam bentuk pancaran laser dari satu sudut ke satu sudut yang lain di dalam sebuah makmal.