KINCIR air yang musnah dan dipercayai menjadi tempat tinggal puntianak di Kampung Zarozje, Serbia.
BELGRADE - Penduduk di Kampung Zarozje, dekat bandar Bajina Basta, Serbia percaya terdapat puntianak yang menghisap darah sedang berkeliaran dan mereka kini hidup dalam ketakutan.
Seorang anggota majlis tempatan memberi amaran kepada penduduk kampung itu supaya membawa bawang putih di dalam saku dan lambang salib di bilik rumah mereka bagi mengelak kehadiran puntianak.
Mereka kini dilanda ketakutan tentang kehadiran puntianak legenda yang bernama Sava Savanovic.
"Kisah Savanovic merupakan satu legenda tetapi beberapa perkara ganjil telah berlaku sejak kebelakangan ini," kata seorang suri rumah, Milka Prokic yang memegang bawang putih di tangannya.
"Kami mewarisi legenda itu daripada nenek moyang dan kami menghidupkannya untuk generasi muda," tambahnya yang berusia 55 tahun.
Kewujudan puntianak itu berkeliaran di kampung tersebut tersebar selepas sebuah kincir air di Sungai Rogacica di kampung tersebut runtuh beberapa bulan lalu.
Kincir itu dipercayai menjadi tempat tinggal puntianak tersebut.
Justeru, puntianak itu kini berkeliaran selepas kincir air yang menjadi tempat tinggalnya musnah.
Puntianak itu kini marah kerana terpaksa mencari tempat untuk menggantung pakaiannya.
Beberapa penduduk mendakwa mereka mendengar bunyi daun-daun kering di hutan dipijak dan suara ganjil datang dari puncak sebuah kawasan pergunungan.
Kawasan pergunungan itu dipercayai menjadi tempat puntianak itu dibunuh dengan pancang tajam yang menembusi jantungnya.
Namun, puntianak tersebut masih hidup dalam bentuk roh seperti menjadi rama-rama.
Beberapa penduduk menyatakan mudah bagi orang di luar kampung itu untuk mentertawakan mereka ekoran kisah tersebut.
"Baru-baru ini, lima orang telah mati selepas seorang demi seorang di dalam komuniti kita" kata seorang anggota majlis perbandaran, Miodrag Vujetic. - Agensi
cool
BalasPadam