Purranque (Chile): Doktor di Chile bingung apabila seorang wanita mengalirkan air mata darah.
Yaritza Oliva ketakutan apabila kejadian ganjil itu mula menimpanya awal bulan ini.
Sejak itu, tanpa sebarang amaran, mata wanita berusia 20 tahun itu mengalirkan darah beberapa kali sehari.
Yaritza mengunjungi doktornya tetapi apabila tiada tanda jangkitan ditemui, dia disuruh pulang dengan diberikan ubat titis mata untuk menangani kesakitan yang menurutnya, tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.
Ibu bapa Yaritza meminta rakan dan jiran di Purranque untuk membantu mereka mengumpul wang secukupnya bagi membolehkan wanita itu dirawat pakar mata.
Bapanya, Jose yang bekerja sebagai tukang kayu, merayu dalam satu rancangan televisyen tempatan dengan berkata: “Letakkan tangan di dada anda, lihat keadaan kami dan bantu anak kami.” Yaritza mungkin menghidap penyakit yang jarang berlaku yang dikenali haemolacria. Penyakit itu menyebabkan penghidapnya mengalirkan air mata mengandungi darah.
Setakat ini hanya terdapat tiga kes yang dicatatkan yang mungkin menjadi tanda kepada penyakit lebih serius atau ketumbuhan atau berpunca daripada paras hormon yang tinggi pada wanita subur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan