http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Jumpa rangka gladiator Rom kuno


MORRISON bersama rangka gladiator yang ditemui 30 sentimeter di bawah lantai Muzium Yorkshire, England.

YORK - Rangka seorang gladiator zaman Rom Kuno setinggi 1.77 meter berjaya ditemui oleh seorang ketua kurator, Andrew Morrison sewaktu kerja-kerja membaik pulih Muzium Yorkshire, England dilakukan baru-baru ini.
Bagi seorang lelaki Rom, rangka itu cukup tinggi dan memiliki tubuh yang tegap. Purata ketinggian manusia yang hidup pada waktu itu ialah 1.6 meter.
Gladiator merupakan lelaki yang dilatih untuk bertarung menggunakan senjata dalam pertunjukan di gelanggang seperti yang digambarkan dalam filem Gladiator lakonan Russell Crowe.
Rangka itu ditemui hanya 30 sentimeter di bawah lantai muzium. Analisis yang dibuat membuktikan rangka itu milik seorang lelaki yang kuat tetapi mati ditikam secara bertubi-tubi, termasuk satu kesan tikaman pedang di bahagian belakang kepalanya.
"Bukti fizikal menunjukkan gladiator ini tidak dikebumikan sebagaimana sepatutnya.
"Memang mustahil untuk disahkan, tetapi dia mungkin seorang gladiator yang dibunuh secara kejam dan dibiarkan mati begitu sahaja," kata Morrison.
Pakar dari Osteo Arkeleologi York merumuskan bahawa lelaki itu berusia antara 36 hingga 45 tahun. Menurut pengarahnya, Malin Holst, jangkaan umurnya diperoleh menerusi analisis kemerosotan bahagian sendi dan keadaan giginya.
Berikutan penemuan itu, pakar arkelogi semakin yakin mengenai kewujudan gelanggang sukan berbahaya itu di bandar tersebut. Pada 1,600 tahun lalu, York yang kini sebuah bandar di England merupakan ibu negara Rom untuk wilayah utara.
Bahagian bawah tanah Muzium Yorkshire juga sudah lama dijangka menjadi salah satu lokasi utama perlawanan itu.
Rangka itu kini dipamerkan untuk tatapan umum di muzium yang sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan