http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Nmachi si bayi ajaib

ANGGOTA BARU...pasangan Ben dan Angela bersama anak mereka. 
 Selepas diperiksa, bayi perempuan itu, Nmachi Ihegboro (bermaksud Keindahan Tuhan), didapati normal dan bukannya menghidap penyakit albino.

Bapanya, Ben, 44, berkata dia dan isterinya, Angela, amat terkejut dan sekadar mampu memerhatikan Nmachi selepas dia dilahirkan.

Bagi Angela, 35, anak bongsunya itu dianggap ‘bayi ajaib’.

Kata Ben, apabila kali pertama melihat Nmachi, dia bergurau dan bertanya: “Benarkan dia anak saya?”

“Sebenarnya, perkara pertama yang terlintas di kepala ketika itu adalah pertanyaan - di mana silapnya?” 
Namun, katanya, rasa tertanya-tanya itu segera hilang selepas melihat Nmachi dikelilingi abang dan kakaknya - semua berkulit hitam - di rumah mereka di London Selatan.

Katanya, dia yakin Nmachi memang lahir sebagai darah dagingnya.

Saya kenal Angela dan tidak mungkin dia curang,” katanya.

Kelahiran Nmachi memang memeningkan kepala pakar genetik kerana pasangan berasal dari Nigeria itu tidak mempunyai sejarah perkahwinan campur sebelum ini.

Ben tiba di Britain bersama Angela lima tahun lalu dan bekerja dengan syarikat South Eastern Trains.

Antara kemungkinan yang ada bagi menjelaskan fenomena itu, kata mereka, adalah gen tertentu yang tenggelam selama beberapa generasi sebelum muncul dalam tubuh Nmachi.

Doktor di Hospital Queen Mary di Sidcup mengesahkan bayi itu bebas daripada penyakit albino.

Kata Ben, ibunya berasal dari Nigeria walaupun kulitnya agak cerah berbanding penduduk lain di negara itu.

“Kami tidak pasti jika ada nenek moyang terdahulu berkulit putih.

“Adakah ia berlaku akibat pertukaran genetik? Jika benar pun, bagaimana dengan rambutnya yang perang?” katanya.

Ketua Unit Genetik Kemanusiaan di Universiti Oxford, Prof Bryan Sykes, berkata kelahiran Nmachi itu memang ‘luar biasa’.

Katanya, dalam percampuran ras, kemungkinan bayi berkulit cerah di kalangan keluarga berkulit gelap memang biasa berlaku.

“Ia tidak menghairankan di kalangan populasi yang terdedah dan banyak percampuran seperti Afro-Caribbean.

“Tetapi di Nigeria, percampuran ras sangat terhad,” katanya.

Bagi Sykes, kemungkinan Ben dan Angela mewarisi gen kulit putih di kalangan nenek moyang masing-masing.

“Bagaimanapun, sifat rambut Nmachi luar biasa kerana tidak ramai kanak-kanak berambut perang dilahirkan begitu,” katanya.

Ratusan lebah di tiang lampu di Soho

                                  GAMBAR menunjukkan ratusan lebah mengerumuni sebatang tiang lampu di Wardour Street, Soho.


LONDON – Orang ramai yang melalui kawasan Soho di sini akan tertarik melihat sebatang tiang lampu yang dikerumuni dengan beratus-ratus ekor lebah liar, lapor sebuah akhbar semalam.

Kejadian pada musim panas di Wardour Street, Soho, di sini,dirakam dan dimuatkan ke laman jaringan sosial Twitter oleh seorang penduduk tempatan yang meng-gunakan nama samaran PopeRamone.

Kehadiran serangga itu mencetuskan sensasi di kalangan orang awam kerana populasi lebah ternakdan lebah liar berkurangan dengan mendadak di Britain. Lebah-lebah itu kelihatan bersantai dan berehat sekejap di tiang lampu tersebut.


Lebah merupakan serangga tidak agresif tetapi sengatnya boleh menyebabkan kematian kepada mereka yang menghidap alahan.

Anak lembu berkepala dua


GAMBAR menunjukkan anak lembu berkepala dua di sebuah kampung dekat Iskandariah di Mesir kelmarin.


KAHERAH - Seorang bekas petani di utara Mesir, Sobhy el-Ganzoury menyatakan seekor lembu miliknya melahirkan anak lembu berkepala dua yang disifatkannya sebagai keajaiban Tuhan di sebuah kampung di Iskandariah.

Sobhy menyatakan kelmarin anak lembu ganjil itu mengambil masa dua jam untuk dilahirkan dan dia terpaksa membantu proses kelahiran dengan menarik haiwan tersebut keluar.

Menurutnya, proses kelahiran yang sukar itu menyebabkan kaki anak lembu tersebut lemah.

Dia berkata, seorang doktor haiwan memaklumkan kepadanya bahawa anak lembu yang lahir pada minggu lepas itu kini stabil dan dijangka dapat terus hidup.

Katanya, dia mahu memelihara haiwan itu sebagai peringatan bahawa Tuhan mampu melakukan apa sahaja.
Anak lembu berkenaan tidak dapat berdiri kerana kepalanya yang berat dan kakinya masih lemah.

Haiwan itu minum susu ibunya yang diberi dengan menggunakan botol susu bayi. - AP

Gempar ikan berwajah manusia



GAMBAR (dalam bulatan) menunjukkan seekor ikan kap milik Brenda O'Sullivan yang memiliki wajah seperti manusia.


DAGENHAM - Seekor ikan peliharaan di Britain menggemparkan pemiliknya kerana memiliki wajah seperti manusia, lapor sebuah akhbar semalam.

Ikan kap itu dibela seorang lelaki, Brendan O'Sullivan di sebuah kolam di rumahnya di sini. Lelaki berusia 44 tahun itu membeli ikan tersebut lima bulan lalu tetapi dia mula mengetahui ia memiliki tanda seperti mulut, hidung dan mata manusia baru-baru ini.

"Hanya pada minggu lalu ketika saya berjemur di belakang rumah saya, saya memerhati ke dalam kolam dan melihat ikan tersebut berenang ke arah saya," kata Brendan.

"Saya kemudian terkejut. Ia memiliki tanda seperti dua mata, hidung dan mulut. Pada mulanya, saya ingat saya mengalami halusinasi," tambahnya.

Ekoran keunikan itu, ikan kap milik lelaki berkenaan kini dianggarkan berharga £40,000 (RM196,067). -

Potret misteri banduan akhir


SEBAGAI tempat untuk menghukum penjenayah, entiti' 'Penjara Pudu adakalanya datang mengganggu. 




“AKU ingat kalau hangpa (kamu) kena ganggu macam ni, mau terkencing dalam seluar dan silap hari bulan boleh demam seminggu.” Begitulah kata-kata seorang warden penjara yang masih terngiang-ngiang dalam fikiran Ahmad Mohd. Jais saat dia melawat Penjara Pudu pada tahun 1996 selepas penjara itu dikosongkan.
Ahmad, 49, memberitahu, warden tersebut yang merupakan sahabatnya mendakwa, warden-warden penjara selalu menerima gangguan di pondok kawalan mereka bertugas.

“Di pondok kawalan inilah ramai warden yang bertugas pada waktu malam selalu menerima gangguan. Ada ketikanya kerusi dalam pondok kawalan ini terbang keluar seolah-olah dibaling atau dicampak keluar oleh seseorang, walhal pada masa itu tiada siapa di dalamnya,” kata Ahmad kepada Jurnal baru-baru ini.

Potret misteri

Penjara Pudu kini tinggal kenangan apabila tembok penjara berusia lebih 100 tahun di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur itu dirobohkan pada 21 Jun lalu.

Dalam tempoh lebih seabad, ramai banduan yang dihukum mati di Penjara Pudu termasuk penjenayah-penjenayah terkenal dalam lipatan sejarah negara. Dari 1960 hingga 1993 sahaja, seramai 180 pesalah menjalani hukuman gantung sampai mati.

Pada tahun 1996, Penjara Pudu ditutup manakala banduan dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh.
Seorang bekas penghuni Penjara Pudu yang hanya mahu dikenali sebagai Nasyitah menceritakan kisah seram yang pernah didengarinya di penjara itu. Ia tentang potret misteri.

“Ia berkisar tentang seorang banduan akhir iaitu panggilan untuk banduan yang akan dihukum mati.
“Dia banduan yang pandai melukis. Dia melukis potretnya sendiri di dalam selnya sebelum dia dihukum gantung. Warden memberitahu, lampu di bilik sel itu akan terpadam dan ia akan sentiasa gelap. Dalam kegelapan itu, potret itu akan bercahaya seolah-olah ia hidup.

“Banyak orang mengadu melihat bayang-bayang berkeliaran. Lebih menyeramkan, bilik sel itu berdepan dengan sel saya,” katanya yang mendakwa banduan akhir itu ialah seorang wanita.

Ada juga yang mendakwa bahawa potret wanita itu juga akan ‘menangis’ apabila hari penggantungan seseorang itu semakin hampir.




PENJARA Pudu akan dirobohkan sepenuhnya bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan komersial.



Walaupun hanya sempat ditahan di penjara itu selama dua hari, namun Nasyitah yang ditangkap kerana terlibat dengan demonstrasi jalanan dapat merasai keseraman suasana di situ.

“Saya takut. Apabila warden itu ingin membawa kami melihat sel itu, empat orang rakan saya pergi tengok, saya sahaja tidak mahu tengok. Seram.

“Kawan-kawan saya beritahu memang betul kata warden tersebut. Dalam gelap, lukisan itu berkilauan dan menyeramkan. Mereka juga bercerita lampu tidak boleh dinyalakan di bilik tersebut, ia terus terpadam,” ujarnya kepada Jurnal.

Bermalam

Sementara itu, pensyarah fotografi, Khairul Azril Ismail yang pernah bermalam selama enam bulan di Penjara Pudu untuk menghasilkan tesis bertajuk Pudu Jail’s Graffity menceritakan pengalaman anehnya.
Kata Azril, antara bahagian penjara itu yang paling menarik ialah bilik gantung kerana ia menawarkan banyak ‘cerita’.

“Bilik itu kosong, kecil sahaja. Saya melihat imej aneh yang sukar untuk dijelaskan. Saya dapat merakamkan satu garisan putih yang panjang dan melengkung. Bagi saya mustahil cahaya dapat dibengkokkan. Kalau hendak dikatakan ia asap, saya tahu sangat rupa kepulannya kerana saya seorang perokok.

“Saya bukan jenis yang gemar bercerita perkara-perkara mistik. Saya lebih suka kepada fakta dan akademik. Saya kemudian menghantar gambar itu untuk diteliti oleh pensyarah saya di Columbus College of Art & Design (CCAD) di Ohio, Amerika Syarikat.

“Mereka meminta saya untuk memeriksa peralatan tetapi tidak timbul masalah sama ada daripada kamera atau dalam proses mencuci gambar,” jelasnya kepada Jurnal tidak lama dahulu.
 

“Keadaan lazimnya gelap. Saya pula mahu merakam gambar tanpa bantuan cahaya tiruan seperti flash kamera, sebaliknya menggunakan cahaya semula jadi. Jadi saya kena menanti lama untuk mendapatkan pencahayaan yang baik. Makan masa satu hingga dua jam setengah.

Jiran

“Dalam masa menunggu itu, saya rasa kepala saya diketuk sebanyak tiga kali. Seperti ada tangan yang mengetuk kepala saya.



“Tapi saya tidak dapat tangkap apa yang disebut kerana bunyinya bergema,” ujar pensyarah di Jabatan Fotografi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu.

Selain itu, Azril juga mendengar bunyi lain seperti paluan beduk dua kali dan kakinya bagai dipeluk sesuatu ketika hendak memasuki bilik mayat.

Walaupun mempunyai kenangan seram di penjara itu, Azril menyatakan rasa duka-citanya kerana tembok dan kompleks Penjara Pudu itu dirobohkan.

“Ia satu seni bina ikon yang sungguh menarik dengan bentuk X. Saya mendapati ia mempunyai ciri persamaan dengan seni bina lama dari Perancis. Tapi masih banyak kajian perlu dilakukan untuk memastikan kesahihannya,” katanya.



Seorang pekerja penjara juga mendedahkan kepada media baru-baru ini bahawa mereka disakat oleh bayangan lembaga hitam yang merenung tajam, bayangan kanak-kanak berlari dalam kawasan penjara selain kelibat perempuan cantik yang berjalan sendirian di tengah-tengah lorong penjara.

Jurnal juga cuba mendapatkan pandangan ‘jiran-jiran’ di sekitar Penjara Pudu tentang sejauh mana keseraman penjara lama itu.

Seorang penghuni rumah pangsa berdekatan yang telah mendiami kawasan itu selama 18 tahun menyatakan dia tidak banyak mendengar cerita seram penjara itu.

“Ada juga orang bercerita. Tapi saya biasa sahaja. Dari rumah saya boleh juga melihat penjara itu tetapi tidak ada banyak peristiwa aneh.

“Pernah jugalah macam terdengar suara orang minta tolong. Entahlah,” katanya yang dikenali sebagai Faris yang kelihatan seperti gelisah untuk bercerita.

Seorang pekerja keselamatan di sebuah stesen pengangkutan awam berdekatan memberitahu selama 15 tahun dia berkhidmat di situ, tidak ada cerita aneh yang didengarnya.

“Berdasarkan pengalaman saya, stesen ini tidak ada. Tetapi kalau stesen lain banyak cerita,” ujarnya.