BESUT: Fosil tumbuhan kuno luar biasa yang dianggarkan berusia antara 270 hingga 350 juta tahun ditemui sekumpulan pengkaji bumi di satu kawasan bukit berhampiran projek pembinaan Ampangan Paya Peda, Hulu Besut.
Penemuan serpihan fosil tumbuhan kuno yang direkodkan setakat ini ialah daripada tujuh genus membabitkan bahagian daun, bunga, akar, buah dan batang yang terawet di bumi Paya Peda sedalam kira-kira 150 meter sebelum ditemui baru-baru ini.
Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Datuk Yunus Abd Razak yang menganggapnya sebagai kejayaan istimewa, berkata penemuan itu adalah satu sejarah baharu yang amat penting kerana ia dapat menentukan usia negara ini di samping kaitannya dengan kewujudan negara di Asia sebelumnya.
Katanya, penemuan yang begitu penting kepada ahli geologi di Malaysia itu menunjukkan bukti kukuh bahawa sebahagian timur Semenanjung Malaysia, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Selatan China dahulunya adalah satu benua dinamakan Cathaysian.
Jelasnya, fosil tumbuhan kuno itu mula ditemui oleh seorang pembantu jurutera kaji tanah sebuah syarikat perunding yang melakukan kerja tanah di tapak Ampangan Paya Peda pada awal 2012 sebelum beliau melaporkannya kepada JMG.
“Pegawai JMG yang membuat siasatan mengesahkan penemuan fosil tumbuhan berkenaan sebagai genus tumbuhan purba yang kini sudah pun pupus dari permukaan bumi negara,” katanya kepada pemberita semasa melakukan lawatan ke lokasi penemuan bersama pegawai dan juga anggota media di sini semalam.
Turut sama dalam lawatan itu ialah pakar kaji bumi dan juga pakar fosil, Profesor Shafeea Leman dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Pengarah JMG Terengganu, Mohd Zukree Abd Ghani serta pegawai kanan dari JMG Terengganu dan Kelantan.
Antara genus yang ditemui setakat ini ialah jenis dedaun yang dikenali dengan nama saintifiknya Pecopteris, Tinggia, Lepidodendron, Sigillaria, Sphenophyllum, Neurotepris dan Cordaites selain bahagian bunga atau organ pembiakan dikenali sebagai Lepidostrobos, bahagian akar (Stigmaria) dan batang (Artisia horizontallis).
Yunus percaya ada lebih banyak lagi jenis tumbuhan yang bakal ditemui apabila pihaknya menjalankan kerja-kerja menggali dengan lebih giat di tapak berkenaan dan kawasan sekitarnya kelak.
Dengan penemuan itu, JMG akan mengambil langkah awal mewartakan kawasan itu di samping memagarnya bagi mengelakkan ia dirosakkan.
Katanya JMG akan bekerja dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bagi memastikan setiap kerja berkaitan penerokaan fosil tumbuhan kuno ini dapat diteruskan dan tidak tergendala.
Yunus berkata, sehingga kini Terengganu merekodkan 23 lokasi sebagai sumber warisan geologi di mana dua daripadanya diberikan penataran luar biasa iaitu di Bukit Keluang dan Bukit Bewah tetapi penemuan di Paya Peda lebih istemewa kerana wujudnya kepelbagaian genus fosil tumbuhannya.
Berbanding dengan beberapa kawasan lain yang pernah ditemui fosil tumbuhan kuno sebelum ini seperti di Gunung Panti, Johor, Gunung Gagau, di sempadan Kelantan, Terengganu dan Pahang, fosil yang terdapat di Paya Peda dianggap yang asli kerana ia tumbuh dan berasal dari kawasan itu dan bukan dipindahkan dari tempat lain.
Katanya, kajian pihaknya mendapati kawasan Paya Peda pada satu ketika dahulu adalah kawasan paya rendah yang akhirnya menjadi berlapis-lapis dengan keadaan tanah yang tinggi dan rendah ekoran proses pemampatan.
Beliau berharap kawasan itu terpelihara dan boleh dijadikan sebagai kawasan kajian oleh pengkaji bumi dari seluruh dunia dan untuk dilawati kanak-kanak sekolah dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).