http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Jadi bapa pada usia 94 tahun

RAMAJIT Raghav duduk bersama isteri dan anaknya di sebuah kampung di bandar Kharkhoda, Haryana, India baru-baru ini.



NEW DELHI - Seorang lelaki berusia 94 tahun, Ramajit Raghav mendakwa menjadi bapa tertua di dunia selepas dia memperoleh seorang anak hasil perkongsian hidup dengan isterinya, Shakantula pada bulan lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Raghav menetap di kampung Kharkhoda, Haryana yang terletak di utara India.
Dia berkata, anak lelakinya itu merupakan pemberian Tuhan kerana isterinya berumur dalam lingkungan awal 50-an.
Raghav menyimpan hasrat ingin mempunyai lebih ramai anak pada tahun depan.
Dia menjadi seorang ahli gusti semasa muda selain mendakwa masih bertenaga kerana diet yang diamalkannya.
"Diet harian saya ialah tiga liter susu, setengah kilogram badam selain setengah kilogram ghee (mentega)," katanya yang mendakwa berumur 100 tahun tetapi rekod pencen miliknya menunjukkan dia berusia 94 tahun.
Rekod bapa tertua di dunia ialah Nanu Ram dari India apabila dia memperoleh anak yang ke-22 semasa berusia 90 tahun pada 2007.







Anak kerbau dibaham buaya di Malamala

SEEKOR buaya membahan anak kerbau di hutan simpan Malamala di Johannesburg, Afrika Selatan baru-baru ini. 


JOHANNESBURG - Aksi seekor buaya besar yang membaham seekor anak kerbau di hadapan ibunya sempat dirakamkan di laluan berbasikal di hutan simpan Malamala di Johannesburg, Afrika Selatan, lapor sebuah akhbar semalam.

Imej-imej dramatik itu dirakamkan oleh seorang pelancong Britain ketika sekumpulan kerbau melintasi kawasan berair tersebut baru-baru ini.

Semasa kumpulan kerbau itu berhenti untuk minum air, seekor buaya muncul secara tiba-tiba.

Malangnya, kerbau-kerbau yang pada kebiasaannya bersifat proaktif hanya membiarkan anak kerbau malang itu dibaham buaya. Selepas bergelut selama hampir dua jam, anak lembu yang kepenatan itu diseret masuk ke dalam air.

Misteri huruf pada mata Mona Lisa

TERDAPAT huruf L dan V pada mata kanan potret Mona Lisa. 
 
MILAN - Potret Mona Lisa yang dilukis oleh Leonardo da Vinci pada tahun 1504 menimbulkan satu lagi misteri apabila sekumpulan pakar sejarah dan penyiasat seni di Itali menemui nombor-nombor serta huruf kecil pada bahagian matanya, lapor sebuah akhbar semalam. 

Nombor dan huruf kecil yang tersembunyi dalam cat hitam itu hanya disedari baru-baru ini menerusi penggunaan teknik pembesaran canggih mikroskop. 

Mata Mona Lisa dikatakan mengandungi huruf L dan V, yang merupakan nama pendek Leonardo manakala simbol pada mata kirinya kurang jelas.Ia juga mewakili kod Da Vinci yang sebenar. 

Presiden Jawatankuasa Kebangsaan Itali mengenai Warisan Budaya, Silvano Vinceti yang menjumpai simbol tersebut menyatakan ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Namun, ia boleh dilihat dengan jelas apabila menggunakan kanta. 

"Ia (simbol di mata kiri) mungkin kelihatan seperti huruf CE atau huruf B. Pada latarnya, tertulis nombor 72 yang mungkin juga bermaksud huruf L dan nombor 2. Harus ingat bahawa potret ini sudah berusia hampir 500 tahun. Berdasarkan kepada siasatan awal, kami yakin ia bukan satu kesilapan dan memang ditulis oleh artisnya," kata Vinceti
 

Seluar dalam kalis bom Taliban laris


SELUAR dalam buatan BCB International.


LONDON - Sejenis seluar dalam kebal berharga £60 (RM297) yang dibuat daripada bahan tahan lasak kevlar laris dijual di Britain, lapor sebuah akhbar semalam.
Seluar dalam jenis boxer itu dibeli oleh isteri dan kekasih anggota tentera Britain yang bertugas di medan perang di Afghanistan sebagai hadiah Hari Krismas.
Seluar dalam ringan itu dapat melindungi kelangkang dan pangkal paha askar Britain daripada impak bom buatan Taliban di Afghanistan yang menyebabkan ramai di antara mereka maut atau menjadi cacat.
Firma yang mengeluarkan seluar dalam kebal itu, BCB International, mendakwa produk mereka lebih efektif menahan impak letupan berbanding seragam standard tentera masa kini

Tasik ‘darah’ ditemui di Sumatera Selatan


TASIK merah di hutan Raje Mandare, Sumatera Selatan, Indonesia.


sumatera selatan - Merah bak darah! Itulah warna permukaan sebuah tasik seluas enam hektar yang ditemui sekumpulan penduduk tempatan dan peminat paranormal di Pagar Alam di sini, lapor akhbar Kompas semalam.
"Kami bersama rombongan 21 orang melakukan ekspedisi di kawasan Rimbacandi dengan menyusuri tebing, hutan, dan bukit bukau selama dua hari untuk sampai ke lokasi tasik merah itu," kata Asmidi, seorang penduduk tempatan.
Tasik berkenaan terletak di kawasan hutan berbukit Raje Mandare di sempadan Kota Pagar Alam dan Daerah Kaur, wilayah Bengkulu yang terkenal dengan banyak peninggalan bersejarah, termasuk candi.
"Anehnya, walaupun permukaan tasik ini merah, airnya pula jernih ketika dicedok keluar dengan menggunakan tapak tangan," kata Asmidi.
Selain tasik merah, hutan Raje Mandare turut menampilkan keganjilan lain termasuk spesies haiwan raksasa seperti lipan sepanjang 50 sentimeter (sm) dan lebar 30 sm serta burung raksaksa selain kerbau-kerbau yang mempunyai sarang lebah pada telinganya

Turun 10kg makan ubi kentang

CHRIS VOIGT duduk dekat beberapa ubi kentang.

WASHINGTON - Seorang warga Amerika Syarikat (AS), Chris Voigt yang gigih mengamalkan diet memakan ubi kentang selama 60 hari akhirnya berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 10 kilogram (kg), lapor sebuah akhbar semalam.
Diet istimewa itu membawa kesan baik terhadap kesihatan Voigt apabila berat badannya berkurangan dari 89.35kg kepada 79.83kg manakala tahap kolesterolnya berkurangan kepada 69 mata.
Pengurangan berat badan itu mengejutkan doktor yang memeriksanya.
Voigt kini dinasihatkan secara perlahan-lahan mengambil makanan yang lain selepas dia berhenti mengamalkan diet istimewa itu Isnin lalu.



Kucing gemuk jadi sensasi

GAMBAR menunjukkan Giuly si kucing gemuk.

FLORENCE, Itali - Seekor kucing betina seberat enam kilogram menjadi sensasi di Internet setelah pemiliknya, Chiara Bagnoli, 28, memuat naik gambar kucing itu di laman web peribadi, lapor sebuah akhbar semalam.
Chiara memberitahu, kucing gemuk bernama Giuly yang berusia lima tahun itu mendapat perhatian pelayar Internet dari Amerika Syarikat dan Sepanyol.
Kucing yang dibeli di sebuah kedai haiwan itu tidak kuat meragam.
Kucing itu sentiasa mengekori ke mana sahaja Chiara pergi seperti tabiat seekor anjing.
"Ia agak suka bermain tetapi sangat pemalas. Ia suka bersiar-siar dan memeluk pokok," kata Chiara