http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Akar Pokok Menyerupai Jantung Manusia


Pelik! Akar Pokok Menyerupai Jantung Manusia | Jika anda masih ingat lagi, artikel sebelum ini kami ada menyiarkan mengenai pokok yang menyerupai seakan-akan tubuh manusia. Tetapi kali ini kejadian yang pelik telah berlaku yang mana sepasang suami isteri telah menjumpai akar pokok yang seakan-akan jantung manusia. Akar ganjil itu dijumpai ketika mana pasangan ini mencari akar kayu di hutan.

Pasangan berkenaan, Madon Ismail, 65, dan Fatimah Ibrahim, 55, yang tinggal di Kampung Tembioh pernah menolak tawaran sebanyak RM10,000 daripada rakan yang berminat mahu memiliki akar ganjil itu.
Madon berkata, keunikan akar ganjil itu membuatkannya mudah menolak tawaran daripada mereka yang mahu membelinya.

“Pertama kali apabila saya terjumpa akar ini iaitu pada tahun lepas, saya bersama isteri sedang mencari akar kayu di sebuah hutan berhampiran Bukit Aping,” katanya 

Menurutnya, ketika sedang mendaki bukit, dia berasa aneh apabila ternampak akar ganjil pada sebatang pokok yang mempunyai bonggol besar di bahagian hujungnya.

“Didorong perasaan ingin tahu dan merasakan ia sesuatu yang ganjil, saya mengambil keputusan mengorek tanah berkenaan. Ternyata, usaha yang dilakukan tidak sia-sia apabila mendapati akar itu seakan jantung manusia.

“Dengan pertolongan anak-anak, kami berjaya membawanya pulang ke rumah. Namun, ia terpaksa mengambil masa selama dua hari ekoran akar berkenaan yang terlalu berat,” katanya. Sementara itu, Fatimah berkata, ekoran penemuan pelik itu ramai saudara mara dan rakan yang datang ke rumah mereka untuk melihat sendiri akar ganjil itu.

“Ia adalah keajaiban ciptaan ALLAH SWT, malah kami juga tidak menyangka akan menjumpai akar seaneh ini. Setelah dibersihkan dan divarnis, akar berkenaan kini dijadikan hiasan di rumah dan sehingga kini ada sahaja kunjungan daripada rakan dan saudara yang ingin melihat sendiri akar itu,” katanya.

Menurutnya, kerana merasakan ia sesuatu yang unik dan sukar dijumpai terutama pada zaman ini, mereka lebih suka menjadikan ia sebagai koleksi perhiasan di rumah berbanding dijual.

“Kami berat hati untuk menjual akar ganjil itu malah telah banyak kali menolak tawaran daripada pelbagai pihak yang ingin membeli akar ganjil ini walaupun ditawarkan dengan harga yang lumayan,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan