http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Helang botak sambar burung kuang


SEEKOR burung helang menyambar burung kuang di Dakota Selatan, Amerika Syarikat.

DAKOTA SELATAN, Amerika Syarikat (AS) - Seorang jurugambar kelahiran Britain, Chris Bailey berjaya merakam beberapa gambar seekor helang botak besar yang kelaparan menyambar burung kuang di kawasan salji di sini untuk dijadikan makanan, lapor sebuah akhbar semalam.
Salah satu gambar tersebut merakam aksi dramatik helang botak menyambar burung kuang itu dengan menggunakan kedua-dua belah kakinya sebelum terbang tinggi.
Bailey, 54, yang terkejut pada masa itu cuba menjejaki helang botak yang membawa burung kuang tersebut ke kawasan berdekatan sebelum menjadikannya sebagai makanan.
Menurut Bailey yang bekerja sebagai pengarah servis Ford, dia sedang merakam gambar salji yang menutupi keseluruhan sebuah padang di sini.
"Tidak lama kemudian, saya menyaksikan helang botak yang cuba menyambar burung kuang berada di sana. Kejadian ini berlaku pada masa dan tempat yang tepat di depan mata saya," jelasnya.
Helang botak yang memiliki sayap berukuran 2.44 meter boleh terbang dengan kelajuan 72 kilometer sejam dan boleh hidup sehingga 30 tahun.



Ubi Kentang Berbentuk Tubuh Manusia


Ubi aneh berbentuk tubuh manusia, ditemukan Zheng Dexun, seorang petani berasal dari China Langzhong. Penemuan 'luar biasa' itu tentu saja menarik perhatian umum. Uniknya, di bahagian 'kepala' ubi terdapat mata dan hidung yang menonjol. Sebagaimana bentuk tubuh manusia, ubi tersebut juga dilengkapi dengan lengan, kaki serta sedikit bergelombang mirip dada manusia.



Pada Desember 2008, ubi yang mirip dengan temuan Zheng juga pernah menggegarkan kota Shandong China. Malah, ubi yang ditemukan dalam tahun sebelumnya itu 'berpasangan'. Ubi bit yang ditemui sebelumnya, terdiri daripada dua bentuk tubuh manusia. Satu diantaranya menyerupai perempuan dengan bentuk 'dada' di bahagian atasnya, manakala satu lagi didefinisikan sebagai lelaki kerana kelihatan maskulin dengan anggota tubuh yang menonjol dan menggantung di bahagian bawah.




'Spiderman' takluki Burj Khalifa

PEMANJAT Perancis, Alain Robert (dalam bulatan), memanjat bangunan Burj Khalifa setinggi 828 meter di Dubai semalam.

DUBAI - Pemanjat nekad dari Perancis, Alain Robert berdepan cabaran terhebatnya apabila memanjat binaan setinggi 828 meter yang merupakan bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa, semalam.
Halangan angin kencang menyebabkan Robert, 48, tiba di puncak Burj Khalifa lewat beberapa jam daripada jadual asalnya.
Mendapat jolokan Spiderman kerana kehebatannya memanjat, dia mengambil masa sekitar enam jam untuk memanjat bangunan setinggi lebih 160 tingkat itu dengan menggunakan tali dan abah-abah seperti yang ditetapkan oleh penganjur.
"Sebenarnya, saya berdepan tekanan yang besar kerana mereka memasang semuanya untuk saya di sini. Terdapat sebuah skrin gergasi setinggi 50 meter dan sepanjang 30 meter. Saya sedar saya menjadi tumpuan orang ramai dan faktor tersebut memberi tekanan kepada saya," kata Robert sebelum mula memanjat.
Dia memanjat bangunan seawal usia 12 tahun apabila terpaksa memanjat untuk masuk ke dalam apartmen setinggi lapan tingkat milik keluarganya selepas tertinggal kunci rumah.
Sejak itu, Robert telah memanjat lebih 80 buah bangunan pencakar langit di seluruh dunia termasuk Menara Sears di Chicago, Amerika Syarikat (AS) dan Taipei 101 di Taiwan.- 





Saintis rancang gali pusat Bumi


GAMBARAJAH lapisan bumi.

LONDON - Sekumpulan saintis Britain merancang untuk menggerudi lapisan batu-batan untuk sampai ke bahagian mantel bumi buat kali pertama, lapor sebuah akhbar semalam.
Ekspedisi itu bertujuan membawa naik sampel mantel Bumi untuk kajian. Ia melibatkan operasi menggerudi melepasi lapisan batu pejal sejauh 8 kilometer di dasar laut dengan suhu mencecah 298° Celsius.
Projek itu bakal dilaksanakan pada tahun 2018 dan diketuai oleh pakar Pusat Oseanografi Southampton, Dr. Damon Teagle serta Dr. Benoit Ildefonse dari Universiti Montpellier, England.
Terdapat beberapa cubaan untuk menggali mantel Bumi pada tahun 1960-an tetapi gagal kerana masalah organisasi dan kos.


Kuda paling kerdil di dunia

EINSTEIN berada dekat dengan seekor kuda normal di New Hampshire, Amerika Syarikat baru-baru ini.

NEW HAMPSHIRE - Seekor kuda kerdil, Einstein yang merupakan kuda paling kecil di dunia akan menyambut hari ulang tahun kelahiran yang pertama pada bulan depan, lapor sebuah akhbar semalam
Einstein yang hanya mempunyai ketinggian 50.8 sentimeter dan ia menjadi tarikan kerana kuda kerdil yang normal yang lahir akan mempunyai purata tinggi 0.53 meter.
Bagaimanapun, pihak Guinness World of Records tidak akan mengiktiraf Einstein menjadi kuda kerdil paling kecil di dunia selagi haiwan itu belum berumur empat tahun.
"Namun, kami berdua yakin ia (Einstein) sudah berhenti pembesarannya," kata pemilik kuda kerdil itu, Charlie Cantrell dan Rachel Wagner di ladang milik mereka di Barnstead.
Ibu kuda itu setinggi 81.3 sentimeter manakala bapa haiwan itu mempunyai ketinggian 76.2 sentimeter.
Kuda itu dibeli oleh pemiliknya daripada seorang pembiak kuda kerdil.

Dakwa temui lukisan dinosaur

LUKISAN haiwan dinosaur sauropod (dalam bulatan) didakwa ditemui di dinding gua Jambatan Kachina, Utah, Amerika Syarikat.


LAKARAN haiwan dinosaur sauropod.

BANDAR SALT LAKE, Amerika Syarikat - Seorang ahli biologi membuat spekulasi dengan mendakwa haiwan prasejarah, dinosaur dan manusia pernah hidup bersama, lapor sebuah akhbar semalam.
Professor biologi dari Universiti Fayetteville State berkata, beliau menemui lukisan mirip seekor dinosaur dari jenis pemakan sayur, sauropod pada tahun 2009 lalu.
Lukisan itu ditemui di dinding gua Jambatan Kachina, Utah.
Ia kelihatan seperti tompok-tompok cerah dan jika dilihat sekali imbas bentuk lukisan tersebut mempunyai bentuk leher yang panjang serta empat kaki.
Pelik dengan gambaran tersebut, dia membawa foto lukisan itu kepada seorang ahli arkeologi, Sally Cole yang pakar dalam lukisan dinding prasejarah.
Namun, ramai saintis mendakwa adalah mustahil untuk manusia hidup sezaman dengan dinosaur dan lukisan prasejarah itu adalah lukisan ular dan kakinya mungkin kesan lumpur sahaja. 



Pokok dipenuhi sarang labah-labah

DUA batang pokok dipenuhi dengan sarang labah-labah di wilayah Sindh, Pakistan.

KARACHI, Pakistan - Sejumlah pokok di wilayah Sindh dekat sini dipenuhi dengan sarang labah-labah sehingga menghasilkan satu pemandangan yang menyeramkan, lapor sebuah akhbar semalam.
Walaupun kejadian banjir melanda Pakistan tahun lepas tetapi terdapat air yang masih lagi tidak surut sepenuhnya menyebabkan banyak serangga kecil menjadikan pokok sebagai tempat tinggal.
Menurut penduduk tempatan, mereka tidak pernah melihat fenomena tersebut berlaku sebelum ini tetapi sarang labah-labah itu telah berjaya mengurangkan populasi nyamuk.
Sebahagian besar kawasan bencana yang melanda Pakistan masih lagi belum surut selepas enam bulan hujan lebat melanda negara itu.
Fenomena pokok yang menggerunkan itu pula adalah kesan terbaru akibat banjir besar yang telah menyebabkan 2,000 orang terbunuh


Biri-biri lahirkan anak anjing


ANAK anjing dan induk biri-biri yang melahirkan mamalia itu di wilayah Shaanxi, China.
KIRI: Anak anjing milik Naiying berbulu seperti biri-biri.

XIAN, China - Pakar-pakar veterinar menyatakan ia mustahil, tetapi seorang petani, Liu Naiying menganggap kelahiran anak anjingnya sebagai satu keajaiban, lapor sebuah akhbar semalam.
Naiying mendakwa, anak anjing itu dilahirkan oleh seekor biri-biri betina peliharaannya di ladangnya dekat sini, wilayah Shaanxi, tengah China.
Menurut petani tersebut, badan anak anjing itu dipenuhi bulu seperti seekor biri-biri tetapi mulut, hidung, mata, tapak kaki, dan ekornya menyerupai anjing, malah mamalia itu juga gemar bermain bersama anjing-anjing lain.
"Saya sedang menggembala biri-biri baru-baru ini apabila melihat seekor biri-biri menjilat anaknya yang baru lahir. Saya terkejut melihat anak biri-biri itu menyerupai seekor anjing," kata Naiying.
Kini, ladangnya dikunjungi oleh ramai penduduk setempat dan luar daerah yang mahu melihat sendiri anak anjing pelik itu.
Mengulas mengenai kes itu, seorang saintis di sebuah pusat penyelidikan haiwan tempatan, Yue Guozhang berkata, anjing dan biri-biri merupakan dua spesies berbeza.
"Mustahil biri-biri boleh bunting dengan anak anjing. Namun, ia seekor anak biri-biri yang ganjil," katanya. -



Haiwan mirip watak Yoda dalam filem Star Wars

HAIWAN Tarsier yang memiliki wajah mirip watak Yoda.
MANILA - Seorang jurugambar, Erik Mikhailov merakamkan gambar seekor haiwan yang mirip satu watak dalam siri filem Star Wars, Yoda ketika dia mengunjungi sebuah kawasan hutan hujan di Filipina baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebenarnya, haiwan yang dirakamkan gambar itu merupakan Tarsier yang mempunyai ciri-ciri fizikal mirip watak Yoda.
Haiwan itu mempunyai bentuk telinga yang tajam ke atas dan memiliki mata besar.
"Saya terus teringatkan Yoda (semasa melihat haiwan tersebut). Ketika itu, saya tidak tahu jenis makhluk tersebut walaupun terdapat pelbagai kehidupan yang menakjubkan untuk dilihat," katanya.
Tarsier merupakan haiwan yang hidup di Asia Tenggara. Ia dikenali dengan nama Maumag di Filipina dan mempunyai mata sangat besar dan menjadikan serangga sebagai makanan.


Pelagak ngeri atasi legenda silap mata

KEDUA-DUA tangan Rob Roy Collins mula menanggalkan baju yang dipakainya.

RESORT MENARA ALTON, Britain - Seorang pelagak ngeri, Rob Roy Collins menggantungkan dirinya dalam keadaan terbalik pada tiang sebuah rollercoaster di Britain seperti yang pernah dilakukan ahli silap mata legenda, Harry Houdini yang meninggal dunia pada tahun 1926 ketika berusia 52 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Semasa aksi itu, Collins, 33, memakai baju pesakit mental yang ketat menyebabkan kedua-dua tangannya terikat.
Dia kemudian berjaya menanggalkan baju itu dalam masa satu minit 53 saat semasa dia berada dalam keadaan terbalik pada ketinggian 18.3 meter di udara.
Catatan itu mengatasi masa Houdini iaitu dua minit 37 saat yang melakukan aksi serupa dengan menggunakan sebuah kren di New York, Amerika Syarikat (AS).
Aksi mendebarkan itu menarik kehadiran ramai orang yang berkumpul di sekitar rollercoaster berkenaan di sini, baru-baru ini.
"Aksi ini amat mengujakan dan pada masa yang sama ia juga menakutkan. Saya menjadi pelagak ngeri selama 10 tahun tetapi ini kali pertama saya melakukan aksi 'gila' seperti ini," kata Collin selepas itu 

Bilik jadi akuarium


NOTTINGHAM - Tidak ramai yang sanggup menukarkan bilik bawah tanah kediaman mereka menjadi sebuah akuarium besar tetapi itulah yang dilakukan oleh seorang lelaki di Britain, Jack Heathcote, lapor sebuah akhbar semalam.
Heathcote, 37, membina akuarium persendirian itu dengan kos £5,000 (RM24,603) di rumahnya di sini dan memenuhinya dengan beberapa spesies hidupan air tawar eksotik.
Akuarium gergasi itu yang berukuran 3.8 meter x 3.9 meter x 2.1 meter terletak di bawah ruang tamu kediaman lima biliknya.
"Hobi saya bukan sekadar menguasai hidup saya tetapi ia juga menguasai rumah saya," katanya.
Lelaki itu yang bekerja sebagai guru turut memberitahu, tiada televisyen di rumahnya kerana dia lebih gemar melihat ikan-ikan peliharaannya itu berenang. 


Laluan pejalan kaki unik

LALUAN pejalan kaki yang kelihatan seperti curam di Alicante, Sepanyol.

ALICANTE, Sepanyol - Satu laluan pejalan kaki yang dibina dengan menggunakan bata di bandar tepi pantai di sini memiliki corak kiub yang memberikan kesan tiga dimensi (3D) apabila dipandang, lapor sebuah akhbar semalam.
Laluan itu mencetuskan kontroversi berikutan ilusi 3D tersebut menyebabkan orang ramai berasa gayat apabila melaluinya.
Corak 3D itu menampakkan laluan berkenaan curam dengan susunan bata itu menyerupai anak tangga yang besar walaupun ia sebenarnya rata dan landai.

Wanita bogel terperangkap di cerun bukit

SEORANG anggota penyelamat mendekati seorang wanita yang berada dalam keadaan bogel di tepi cerum sebuah bukit di San Diego kelmarin.



SAN DIEGO, Amerika Syarikat (AS) - Seorang wanita yang berada dalam keadaan bogel diselamatkan oleh anggota-anggota penyelamat selepas dia terperangkap di tepi cerun setinggi 137 meter dari permukaan laut di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Wanita tersebut yang identitinya tidak didedahkan tidak mengalami sebarang kecederaan semasa dia diselamatkan dalam operasi selama 30 minit kelmarin.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat dari San Diego, Maurice Luque, ramai yang pernah terperangkap di cerun itu sebelum ini selepas mereka mendaki.
Jelasnya, wanita itu tidak ditahan selepas dia diselamatkan.
Pihak berkuasa sebaliknya masih belum mendapat gambaran jelas bagaimana wanita tersebut boleh berada dalam keadaan bogel dan terperangkap di cerun tersebut

Kucing duduk seperti manusia

PENYIARAN gambar yang menunjukkan seekor kucing sedang duduk kini menjadi trend dalam kalangan pengguna Internet.


LONDON - Bukan sahaja manusia memerlukan masa berehat dan untuk menenangkan fikiran tetapi kucing juga perlu melakukan perkara yang sama, lapor sebuah akhbar semalam.
Kini terdapat trend dalam kalangan pengguna komputer di beberapa laman web, e-mel dan blog yang menyiarkan foto-foto kucing yang sedang duduk dengan gaya seperti seorang manusia sedang bersandar.
Kucing sering kali dikaitkan dengan manusia sejak hampir 9,500 tahun lalu dan merupakan haiwan peliharaan manusia yang paling popular di dunia.

Bayi perempuan gergasi Britain

LIBBY (kanan) bersama sepupunya, (Thomas) dipangku nenek mereka.

WIGAN, Britain - Seorang wanita, Gemma Woods, 28, melahirkan bayi perempuan terbesar di Britain seberat 5.6 kilogram (kg), dua kali ganda berat bayi normal pada Oktober lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Walaupun saiznya besar, bayi yang bernama Libby itu dilahirkan secara normal dengan proses bersalin pendek iaitu selama enam jam di sini baru-baru ini.
"Saya seperti tidak percaya apabila bidan memberitahu berat Libby, bunyinya seperti mendengar berat sesuatu barang," kata Gemma.
Sepupu Libby, seorang bayi lelaki bernama Thomas yang lahir tiga minggu lebih awal hanya mempunyai berat 3kg.
Bayi paling berat di dunia setakat ini dilahirkan di Aversa, Itali pada September 1955 yang mempunyai berat mencecah 10.17kg
SEEKOR burung flamingo berdiri (kiri) di sebuah kolam di Zoo Moscow, Rusia, sebelum ia tiba-tiba terjatuh (kanan)

.MOSCOW, Rusia - Seorang jurugambar, Tatiana Adamenko, merakam aksi lucu seekor burung flamingo terjatuh ke dalam air kerana hilang keseimbangan badan ketika ia sedang berdiri, lapor sebuah akhbar semalam.
Dalam foto tersebut, jelas kelihatan kekeliruan pada 'wajah' burung itu manakala kaki haiwan itu pula terangkat.
"Saya cuma mahu merakam aksi burung flamingo mencelup kepala ke dalam air tetapi tiba-tiba, burung itu terjatuh," kata Tatiana yang merakam foto itu di Zoo Moscow baru-baru ini.
Selepas beberapa ketika, burung flamingo itu berjaya bangkit semula dan berenang seperti biasa.
Flamingo terkenal sebagai sejenis burung yang dapat berdiri dengan sebelah kaki selama berjam-jam. 


100 ekor monyet rosakkan kereta Mercedes


ENGLAND - Sekumpulan monyet di Taman Safari Longleat diberi sebuah kereta Mercedes-Benz lama untuk dimusnahkan dan aksi mereka dirakam sebelum disiarkan menerusi satu klip video di laman web YouTube, dibawah ini.
Sebanyak 100 ekor monyet daripada spesies beruk itu kelihatan seperti mahu menanggalkan kereta itu dengan mencabut cermin sisi dan tayar kereta tersebut. Sebuah beg pakaian di atas bumbung kereta pula, turut dimusnahkan.
Menurut kakitangan safari, monyet-monyet tersebut sudah dua tahun tidak melakukan kerja memusnahkan kereta kerana safari itu ditutup untuk kerja-kerja membaik pulih.
Jadi, mereka mengambil keputusan untuk memberi layanan istimewa kepada monyet-monyet nakal itu sebelum pembukaan semula safari tersebut pada hujung minggu ini.




Pelangi awan luar biasa di Gunung Everest


OLEG BARTUNOV merakamkan gambar pelangi yang luar biasa di Gunung Everest, Nepal baru-baru ini.

KATHMANDU - Seorang ahli astronomi, Oleg Bartunov, 51, berjaya merakamkan imej pelangi luar biasa di Gunung Everest ketika dia menyertai ekspedisi ke Himalaya di Nepal di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Imej tersebut dirakamkan oleh Burtunov yang merupakan anggota Institut Astronomi Sternberg di Moscow, Rusia dengan menggunakan sebuah kamera biasa.
Fenomena yang pelik tersebut berlaku disebabkan oleh pantulan cahaya kristal ais yang kecil di dalam awan.
Orang tempatan juga dilaporkan jarang menemui pelangi luar biasa itu.
"Saya hanya merakamkan beberapa gambar disebabkan ingin melihat dengan mata saya sendiri terhadap kejadian pelangi awan yang luar biasa itu," kata Bartunov yang turut menyaksikan keajaiban itu bersama beberapa wanita Britain lain.





Dulu ahli bina badan, kini mak nyah glamor

CHRISIE EDKINS semasa dia seorang lelaki.Gambar kecil wajah Chrisie Edkins selepas menjadi mak nyah

SOUTHAMPTON, Britain - Seorang bekas ahli bina badan lelaki, Chrisie Edkins kini bergelar model glamor selepas dia menukar identitinya menjadi seorang wanita, lapor sebuah akhbar semalam.
Edkins, 31, ditawarkan banyak kontrak peragaan yang menyaksikannya beraksi sebagai model wanita malah dia juga menceburi bidang nyanyian.
Lelaki tersebut yang memiliki seorang anak perempuan berusia sembilan tahun, Chloe, hidup sebagai seorang wanita selama bertahun-tahun sebelum dia tampil secara terbuka dengan identiti barunya itu pada tahun 2003.
"Saya masih melaksanakan tanggungjawab sebagai penjaga dan anak saya memahami kehidupan baru saya," katanya.
Edkins yang dahulunya dikenali dengan nama lelaki, Chris pernah bekerja sebagai seorang mekanik dan juruelektrik dengan tujuan untuk membuktikan kepada dirinya bahawa dia ialah seorang lelaki 'sejati'.
Namun, dia kemudian memutuskan untuk akur kepada naluri kewanitaan yang kuat dalam dirinya.
Edkins kemudian menjalani terapi hormon dan pelbagai rawatan kosmetik termasuk rawatan membesarkan payu dara untuk tampil sebagai seorang wanita yang cantik.
Dia mengubah profil diri di Facebook kepada wanita pada tahun 2003. 


Telur direbus guna air kencing

RATUSAN telur direbus dengan menggunakan air kencing di wilayah Zhejiang, China dengan menggunakan resipi berusia ribuan tahun lalu.



BEIJING - Sebuah kedai di wilayah Zhejiang, timur China menjual telur yang direbus dengan air kencing budak sekolah dan ia merupakan resipi tradisonal berusia ribuan tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Chef makanan tradisonal, Lu Ming berkata, dia mahu mempromosikan semula makanan tradisional itu sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Air kencing tersebut dikumpul daripada pelajar sekolah lelaki yang berumur 10 tahun, mereka kencing di dalam sebuah tong dan kami mengambil air itu pada setiap hari.

"Telur-telur itu akan direbus dalam air kencing tersebut dengan kulitnya," katanya.

Menurutnya, telur tersebut berasa sedap dan berkhasiat untuk menyembuhkan demam selain meningkatkan konsentrasi serta menghilang rasa mengantuk.


Tsunami Jepun berlaku selepas saintis beri amaran





























Keadaan gempa bumi dan Tsunami yang terburuk dalam tempoh 300 tahun di Jepun

LONDON - Tsunami yang melanda pantai timur Jepun berlaku dua hari selepas beberapa saintis memberi amaran mengenai pergerakan bulan yang boleh menyebabkan bencana alam di Bumi, lapor sebuah akhbar semalam.

Pergerakan bulan itu yang digelar adi bulan, diramalkan berlaku pada 19 Mac ini apabila bulan berada paling rapat dengan Bumi sejak tahun 1992.

Ketika itu, jarak bulan dan Bumi sekitar 354,507 kilometer berbanding 384,403 kilometer pada hari-hari biasa.

Pada kedudukan tersebut, daya graviti bulan adalah sangat kuat dan dikhuatiri boleh mencetuskan bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi. Ahli astronomi Amerika Syarikat (AS) Richard Nolle percaya pergerakan bulan itu mencetuskan bencana di Bumi.

"Fenomena itu memiliki kaitan sejarah dengan ribut kencang, air pasang besar dan gempa bumi," katanya dalam satu wawancara dengan stesen ABC minggu ini.

Fenomena itu pernah berlaku pada 1955, 1974, 1992 dan 2005. Bencana tsunami yang menyebabkan 200,000 orang di Indonesia terbunuh itu melanda dua minggu sebelum fenomena bulan berada dekat dengan Bumi pada Januari 2005








Remaja 17 tahun bakal manusia terendah

KHAGENDRA THAPA MAGAR

MANILA - Seorang remaja yang berumur 17 tahun, Junrey Balawing dari wilayah Zamboanga del Norte di sini bakal mencatat rekod sebagai lelaki paling kecil di dunia dengan memiliki ketinggian cuma 55.9 sentimeter (sm), lapor sebuah akhbar semalam.
Ketinggian Junrey yang lebih rendah berbanding kanak-kanak berusia setahun membuatkan dia akan memecahkan rekod terbaru dunia apabila umurnya meningkat 18 tahun pada 12 Jun ini.
Remaja itu masih berusaha untuk berjalan dengan normal kerana dia sukar berdiri dalam tempoh yang lama.
"jika saya merupakan lelaki paling kecil di dunia, ia akan menjadi sesuatu yang amat hebat," katanya.
Junrey bagaimanapun bangga apabila bercakap tentang ketinggiannya bakal mencatat rekod dunia
Remaja itu tinggal di rumah bersama ibunya, Concepcion semasa tiga adik beradiknya, Jaycel, 13, Jay-art, 11 dan Jeanritch, 6 pergi ke sekolah.
Menurut Concepcion, 35, anaknya itu memerlukan perhatian setiap hari kerana dia hanya boleh berjalan dengan bantuan orang lain seperti bapanya, Reynaldo, 37.
Bapanya itu merupakan seorang tukang besi dan jarang berada di rumah atas urusan kerja.
Concepcion hanya menyedari tentang pembesaran anak lelakinya yang terbantut semasa umurnya hampir dua tahun.
"Dia (Junrey) selalu sakit dan kami perasan dia tidak membesar. Justeru, kami membawa dia menemui doktor dan malangnya doktor tidak boleh melakukan apa-apa," jelasnya.
Menurut Concepcion, apabila Junrey meningkat umur 12 tahun, doktor yang sama menyarankan mereka untuk memberi vitamin kepada anaknya.
Namun, mereka tidak berkemampuan untuk membeli vitamin.
"Walaupun Junrey bersaiz kecil, dia masih mempunyai selera makan seperti dia memakan kepingan roti dan jagung," ujarnya yang masih menyimpan sijil kelahiran anaknya yang dibuktikan lahir pada tahun 1993.
Rekod terkini lelaki paling kecil di dunia dipegang oleh Khagendra Thapa Magar dari Kathmandu,Nepal dengan ketinggian 60.96sm

Budak terumbu karang di China

TUBUH badan Li Shenghan kelihatan seperti terumbu karang.
BEIJING - Seorang budak lelaki berusia empat tahun, Li Shenghan dari Shenyang, timur laut China menghidap penyakit kanser yang ganjil dikenali sebagai acute manocytic leukemia dengan menyebabkan kulit badannya seperti cangkerang, lapor sebuah akhbar semalam.
Pada mulanya keluarganya mengesan terdapat bintik kecil di lengannya setahun lalu tetapi ia kemudian disilap diagnosis sebagai gigitan serangga.
Bintik kecil itu terus membesar dan merebak ke seluruh tubuhnya termasuk di dalam mulut dan di bawah kelopak mata menyebabkan dia kelihatan seperti terumbu karang hidup.
Doktor-doktor berkata, budak tersebut memerlukan rawatan kemoterapi untuk menghalang kanser tersebut merebak ke tulang sumsum.
Namun, ibunya, Mu Xiaojie dan bapa budak itu, Li Wenrui yang memperoleh pendapatan kurang 1,061 yuan (RM490.76) seminggu tidak mampu untuk membiayai rawatan perubatan.
Ibu dan bapanya juga tidak mempunyai simpanan wang selepas ia digunakan untuk membiayai rawatan anak mereka setahun lalu.
Menurut ibunya, doktor-doktor mengesyaki penyakit itu disebabkan pencemaran atau alam sekitar.
Walaupun budak itu menjalani pemindahan tulang sumsum dan rawatan kemoterapi untuk mengubati penyakitnya, doktor-doktor memberinya peluang 50-50 untuk budak tersebut terus hidup



Burung helang terbang terbalik

Pam Mullins berjaya merakamkan gambar seekor burung helang yang terbang dalam keadaan terbalik di Prince Rupert Kanada.



PRINCE RUPERT, Kanada - Seorang pengurus penerbitan yang meminati burung, Pam Mullins berjaya merakamkan gambar seekor burung helang yang terbang dalam keadaan terbalik, lapor sebuah akhbar kelmarin. Pengurus itu, Pam Mullins, 49, menghabiskan masa selama bertahun-tahun untuk cuba merakamkan gambar tersebut.
Gambar itu berjaya dirakamkan dekat rumahnya di Prince Rupert, Kanada.
"Sungguh susah untuk merakamkan aksi burung helang itu kerana ia berlaku terlalu pantas," katanya.
Aksi burung helang yang dirakamkan dalam foto itu hanya berlaku dalam sekelip mata yang menunjukkan gerakan akrobatik haiwan itu




Kura-kura dua kepala dipamer

BENTUK belakang seekor kura-kura yang mempunyai dua kepala yang dipamerkan di Zilina, Slovakia semalam.

ZILINA, Slovakia - Seekor kura-kura kecil daripada spesiesGeochelone sulcata yang mempunyai dua kepala dan lima kaki dipamerkan di Zilina, Slovakia semalam.
Kura-kura yang berusia tujuh minggu itu dilahirkan di Slovakia dan diberi dua nama, Magda untuk kepala kiri dan Lenka untuk kepala kanan.