http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html
Memaparkan catatan dengan label pelik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pelik. Papar semua catatan

Satelit Rusia cetus cahaya luar biasa

SATU cahaya ganjil muncul pada waktu malam di bandar Ekaterinburg, utara Rusia pada Rabu lalu.

MOSCOW - Satu cahaya ganjil yang menjelma pada waktu malam sehingga menarik perhatian pemerhati angkasa lepas didapati berasal dari sebuah satelit komunikasi tentera milik Rusia, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Cahaya berwarna biru itu muncul di bandar Ekaterinburg di kawasan pergunungan Ural sehingga menyebabkan terdapat sangkaan sebelum ini bahawa ia merupakan objek terbang tidak dikenali (UFO).
Rusia mempunyai lebih 100 satelit di orbit.
Cahaya itu dihasilkan apabila booster roket terpisah dan jatuh di bumi.
Booster roket itu milik kapal angkasa Soyuz-2 yang membawa satelit Meridian 4 yang dilancarkan pada Rabu lalu dari pusat angkasa lepas Plesetsk, utara Rusia pada pukul 9.41 malam.
Kapal angkasa itu terdiri daripada pelbagai bahagian termasuk booster yang setiap satunya mengandungi enjin dan akan dilepaskan selepas kehabisan minyak. -

Perhentian bas keluar bunyi batuk

SEBUAH perhentian bas yang mengeluarkan bunyi batuk di Britain.



LONDON - Pihak berkuasa kesihatan Britain akan membina perhentian bas baru yang mengeluarkan bunyi batuk berkahak perokok apabila orang ramai mendekatinya, lapor sebuah akhbar semalam.
Perhentian bas itu yang menelan belanja £1,200 sebuah (RM5,939), dilengkapi cip sensor yang dapat mengesan kehadiran manusia seterusnya mengeluarkan bunyi manusia sedang batuk.
Setakat ini, sebanyak 15 buah kemudahan itu telah dibina dalam fasa percubaan di seluruh Britain, terutamanya di kawasan yang banyak mencatatkan kes kanser paru-paru.
Pembinaannya merupakan sebahagian kempen antimerokok di negara itu bagi menggalakkan perokok yang mengalami batuk berpanjangan supaya menjalani pemeriksaan kesihatan.
"Tempat perhentian bas unik ini merupakan kempen iklan kesihatan baru yang dapat menarik perhatian orang ramai," kata seorang pegawai kesihatan, Dr. Phil Sawyer. 

Laluan pejalan kaki unik

LALUAN pejalan kaki yang kelihatan seperti curam di Alicante, Sepanyol.

ALICANTE, Sepanyol - Satu laluan pejalan kaki yang dibina dengan menggunakan bata di bandar tepi pantai di sini memiliki corak kiub yang memberikan kesan tiga dimensi (3D) apabila dipandang, lapor sebuah akhbar semalam.
Laluan itu mencetuskan kontroversi berikutan ilusi 3D tersebut menyebabkan orang ramai berasa gayat apabila melaluinya.
Corak 3D itu menampakkan laluan berkenaan curam dengan susunan bata itu menyerupai anak tangga yang besar walaupun ia sebenarnya rata dan landai.

Wanita bogel terperangkap di cerun bukit

SEORANG anggota penyelamat mendekati seorang wanita yang berada dalam keadaan bogel di tepi cerum sebuah bukit di San Diego kelmarin.



SAN DIEGO, Amerika Syarikat (AS) - Seorang wanita yang berada dalam keadaan bogel diselamatkan oleh anggota-anggota penyelamat selepas dia terperangkap di tepi cerun setinggi 137 meter dari permukaan laut di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Wanita tersebut yang identitinya tidak didedahkan tidak mengalami sebarang kecederaan semasa dia diselamatkan dalam operasi selama 30 minit kelmarin.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat dari San Diego, Maurice Luque, ramai yang pernah terperangkap di cerun itu sebelum ini selepas mereka mendaki.
Jelasnya, wanita itu tidak ditahan selepas dia diselamatkan.
Pihak berkuasa sebaliknya masih belum mendapat gambaran jelas bagaimana wanita tersebut boleh berada dalam keadaan bogel dan terperangkap di cerun tersebut

Telur direbus guna air kencing

RATUSAN telur direbus dengan menggunakan air kencing di wilayah Zhejiang, China dengan menggunakan resipi berusia ribuan tahun lalu.



BEIJING - Sebuah kedai di wilayah Zhejiang, timur China menjual telur yang direbus dengan air kencing budak sekolah dan ia merupakan resipi tradisonal berusia ribuan tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Chef makanan tradisonal, Lu Ming berkata, dia mahu mempromosikan semula makanan tradisional itu sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Air kencing tersebut dikumpul daripada pelajar sekolah lelaki yang berumur 10 tahun, mereka kencing di dalam sebuah tong dan kami mengambil air itu pada setiap hari.

"Telur-telur itu akan direbus dalam air kencing tersebut dengan kulitnya," katanya.

Menurutnya, telur tersebut berasa sedap dan berkhasiat untuk menyembuhkan demam selain meningkatkan konsentrasi serta menghilang rasa mengantuk.


Kanak-kanak serigala di Bangkok

SUPATRA SASUPHAN

BANGKOK - Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di Thailand, Supatra Sasuphan digelar 'perempuan serigala' kerana wajahnya yang dipenuhi dengan bulu, lapor sebuah akhbar semalam.
Walaupun kerap diejek oleh rakan-rakan sebaya, Supatra yang tinggal di sini berkata, dia kini amat popular selepas Guinness Book of Records mengiktirafnya sebagai perempuan yang memiliki bulu badan paling lebat di dunia.
"Saya gembira nama saya berada dalam Guinness Book of Records. Ramai orang terpaksa berusaha keras untuk tersenarai tetapi saya cuma perlu menjawab beberapa soalan," katanya.
Kanak-kanak itu merupakan antara 50 penghidap penyakit ganjil dikenali sebagai Sindrom Ambras yang menyebabkan tubuhnya dipenuhi bulu.
Dia memiliki bulu lebat yang tumbuh di seluruh wajah, telinga, tangan kaki dan belakangnya.
Pelbagai kaedah rawatan termasuk rawatan laser setakat ini gagal menghentikan bulu-bulu tersebut daripada tumbuh semula.


‘Air mata’ pokok petai

PELIK...Norhayati menunjukkan air yang ditadah bawah pokok petai yang didakwa menangis di Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal.

KEPALA BATAS: Penduduk Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal gempar apabila sebatang pokok petai dikatakan ‘menangis’ sehingga air turun seperti hujan sejak tiga hari lalu.

Pokok setinggi kira-kira 10 meter dan berusia lebih 35 tahun itu dikatakan mengeluarkan air melalui dahannya, malah lebih banyak ketika tengah malam.


Berikutan itu, penduduk kampung berkenaan berpusu-pusu melihat sendiri pokok petai yang dikatakan ‘menangis’, malah sanggup menunggu hingga jam 4 pagi.

Pemilik pokok petai itu, Norhayati Abdul Karim, 38, berkata dia menyedari pokok petai yang ditanam arwah bapanya, Abdul Karim Kassim, mengeluarkan air seperti hujan pada petang Jumaat lalu ketika menjemur pakaian.


“Mulanya, saya sangka hujan apabila terkena titisan air. Namun, saya berasa pelik kerana cuaca cerah selain tiada tanda akan hujan.


“Selepas beberapa minit berada di bawah pokok, baru saya sedar titisan air itu dari dahan pokok petai dan bukannya hujan,” katanya Menurutnya, ia kali pertama kerana sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian pelik seperti itu, malah tahun ini pokok berkenaan baru mengeluarkan buah.



“Bukan penduduk kampung ini saja yang berpusu-pusu datang, malah penduduk beberapa kampung berhampiran turut datang untuk melihat sendiri pokok petai ‘menangis’.

“Ramai juga mengambil air yang ditadah dan meminumnya,” katanya.


Penduduk, Sopian Ahmad, 40, berkata, baju dipakainya basah selepas berada di bawah pokok petai itu beberapa minit.

“Saya minum sedikit air ditadah dengan niat dijadikan ubat dan rasanya payau. Namun, setakat ini tiada penduduk membuat perkara bukan-bukan kerana bimbang menjadi khurafat,” katanya.





Akuarium paling kecil di dunia

AKUARIUM paling kecil di dunia hanya mengandungi 10 mililiter air.

MOSCOW - Seorang seniman di bandar Omsk, Siberia, Rusia, Anatoly Konenko mencipta sebuah akuarium paling kecil di dunia yang mengandungi air dua sudu teh, lapor sebuah akhbar Metro.co.uksemalam.
Akuarium itu dilengkapi dengan satu penapis air dan ia mengambil masa selama dua minggu untuk dihasilkan.
Menurut akhbar dalam talian, Voice of Russia, akuarium itu dilengkapi dengan pasir, batu pelbagai warna, ikan dan rumpai laut yang mengandungi air sebanyak 10 mililiter.
Konenko merupakan pakar dalam menghasilkan pelbagai perhiasan mini sejak 30 tahun lalu.
Dia sebelum ini menghasilkan tulisan pada beras dan rambut manusia

Bayi hidup semula dalam pelukan ibu

GAMBAR menunjukkan Kate dengan anak lelakinya yang didakwa mati pada
satu program televisyen di Australia baru-baru ini. 

SYDNEY - Seorang bayi lelaki pramatang yang telah disahkan meninggal dunia di Australia hidup kembali selepas dia dipeluk oleh ibunya selama dua jam.

Dalam kejadian pada Mac lalu yang disifatkan sebagai keajaiban Tuhan, doktor-doktor memberitahu, bayi berkenaan yang diberi nama Jamie Ogg, tidak berpeluang untuk hidup setelah dia dilahirkan pada minggu ke-27 dengan berat badannya hanya 600 gram di sebuah hospital di sini.

Bagaimanapun, kembar Jamie iaitu Emily berjaya diselamatkan selepas dia diberikan bantuan pernafasan selama 20 minit.

Doktor kemudian menyerahkan Jamie yang disahkan telah meninggal dunia kepada ibunya Kate dan pasangannya David untuk penghormatan terakhir.

Sedih dan sukar menerima hakikat bahawa anaknya telah mati, Kate meletakkan Jamie di atas dadanya dan mengusap-usap anakya sambil menceritakan mengenai apa yang mereka ingin lakukan bersama jika dia dapat membesar bersama adik kembarnya, Emily.

Selepas dua jam dipeluk, tubuh Jamie kembali hangat dan dia mula menunjukkan tanda-tanda bernafas.
Kate kemudian memberikannya susu dengan menggunakan jari.

"Saya berasa sangat sedih apabila doktor memberitahu dia tidak dapat diselamatkan. Tanpa berfikir panjang saya terus memeluknya. Dia kemudian mula bernafas dan membuka mata. Sungguh ajaib," kata Kate.
Seorang doktor yang dipanggil untuk memeriksa Jamie mengesahkan bahawa bayi itu hidup, tetapi tidak dapat menerangkan bagaimana fenomena itu berlaku.
















Nmachi si bayi ajaib

ANGGOTA BARU...pasangan Ben dan Angela bersama anak mereka. 
 Selepas diperiksa, bayi perempuan itu, Nmachi Ihegboro (bermaksud Keindahan Tuhan), didapati normal dan bukannya menghidap penyakit albino.

Bapanya, Ben, 44, berkata dia dan isterinya, Angela, amat terkejut dan sekadar mampu memerhatikan Nmachi selepas dia dilahirkan.

Bagi Angela, 35, anak bongsunya itu dianggap ‘bayi ajaib’.

Kata Ben, apabila kali pertama melihat Nmachi, dia bergurau dan bertanya: “Benarkan dia anak saya?”

“Sebenarnya, perkara pertama yang terlintas di kepala ketika itu adalah pertanyaan - di mana silapnya?” 
Namun, katanya, rasa tertanya-tanya itu segera hilang selepas melihat Nmachi dikelilingi abang dan kakaknya - semua berkulit hitam - di rumah mereka di London Selatan.

Katanya, dia yakin Nmachi memang lahir sebagai darah dagingnya.

Saya kenal Angela dan tidak mungkin dia curang,” katanya.

Kelahiran Nmachi memang memeningkan kepala pakar genetik kerana pasangan berasal dari Nigeria itu tidak mempunyai sejarah perkahwinan campur sebelum ini.

Ben tiba di Britain bersama Angela lima tahun lalu dan bekerja dengan syarikat South Eastern Trains.

Antara kemungkinan yang ada bagi menjelaskan fenomena itu, kata mereka, adalah gen tertentu yang tenggelam selama beberapa generasi sebelum muncul dalam tubuh Nmachi.

Doktor di Hospital Queen Mary di Sidcup mengesahkan bayi itu bebas daripada penyakit albino.

Kata Ben, ibunya berasal dari Nigeria walaupun kulitnya agak cerah berbanding penduduk lain di negara itu.

“Kami tidak pasti jika ada nenek moyang terdahulu berkulit putih.

“Adakah ia berlaku akibat pertukaran genetik? Jika benar pun, bagaimana dengan rambutnya yang perang?” katanya.

Ketua Unit Genetik Kemanusiaan di Universiti Oxford, Prof Bryan Sykes, berkata kelahiran Nmachi itu memang ‘luar biasa’.

Katanya, dalam percampuran ras, kemungkinan bayi berkulit cerah di kalangan keluarga berkulit gelap memang biasa berlaku.

“Ia tidak menghairankan di kalangan populasi yang terdedah dan banyak percampuran seperti Afro-Caribbean.

“Tetapi di Nigeria, percampuran ras sangat terhad,” katanya.

Bagi Sykes, kemungkinan Ben dan Angela mewarisi gen kulit putih di kalangan nenek moyang masing-masing.

“Bagaimanapun, sifat rambut Nmachi luar biasa kerana tidak ramai kanak-kanak berambut perang dilahirkan begitu,” katanya.

Makan Setiap 15 Minit Tapi Masih Kurus


GAMBAR menunjukkan Lizzie Velasquez duduk di atas meja dipenuhi dengan makanan ringan. 

AUSTIN - Seorang gadis yang menjadi pelajar sebuah universiti di Amerika Syarikat (AS), Lizzie Velasquez makan 60 kali sehari tetapi memiliki berat badan seperti kanak-kanak berusia lapan tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Velasquez menghidap penyakit Sindrom Neonatal Progeroid (NPS), menyebabkan dia cepat tua, hilang lemak dan tisu badan.

Untuk kekal bertenaga, pelajar perempuan berusia 21 tahun itu makan setiap 15 minit dalam sehari dengan pengambilan tenaga bersamaan 5,000 hingga 8,000 kalori tetapi berat badannya tidak pernah melebihi 27.4 kilogram.

"Saya selalu menimbang berat saya dan saya akan teruja jika berat saya bertambah walaupun cuma 0.4 kilogram," kata Lizzie yang memiliki ketinggian 157.5 sentimeter.

"Saya makan sedikit kerepek, gula-gula, coklat, piza, kek, donut, ais krim, mi dan kuih sepanjang hari dan saya sedih apabila orang mendakwa saya kurus kerana menghidap aneroksia," tambahnya.

Lizzie dilahirkan empat minggu pramatang dengan berat cuma 1.1 kilogram dan kesihatannya sering terganggu.- Agensi

Pemilik ular kepala wanita ditangkap




JAKARTA - Pemilik tubuh seekor ular berkepala wanita yang sudah mengeras, Zamroji dari Kabupaten Blitar ditangkap polis untuk disoal siasat ekoran haiwan itu rupa-rupanya palsu dan bukan tulen, lapor sebuah akhbar semalam.
Zamroji yang merupakan seorang petani ditangkap kelmarin selepas ujian makmal oleh sebuah agensi perlindungan hutan mendapati kepala ular yang disangka wanita itu sebenarnya kepala kelawar yang dilekatkan pada badan ular jali.
Kepala kelawar itu dilekatkan pada badan ular itu yang didakwa oleh Zamroji ditemui di sawah miliknya pada Sabtu lalu di bawah pohon pisang.
Badan ular itu asli dan sudah direndam dengan air panas.
Rambut kuda ditanam pada kepala kelawar supaya ia kelihatan mirip seperti wajah wanita.
"Taring dan jari adalah milik kelawar yang diawet," kata seorang pegawai polis, Edi Herwiyanto.
Menurutnya, Zamroji mengaku haiwan yang dipamerkan kepada orang ramai itu sebenarnya palsu dan diperolehi daripada seorang lelaki yang dikenali dengan panggilan Cipto.
Sebelum ditangkap, Zamroji mendakwa pada malam Jumaat lalu dia bermimpi bertemu seorang wanita yang cantik sebelum menemui haiwan itu.
Ular palsu itu sepanjang 10 sentimeter (sm), manakala rambut di bahagian kepala itu sepanjang 8 hingga 10sm. Kukunya pula sepanjang 3sm dan terdapat taring pada mulutnya.
Pada awalnya, Zamroji mendedahkan penemuan haiwan itu kepada orang ramai selepas mendapat petunjuk yang memintanya berbuat demikian. - Agensi

Remaja lelaki bersisik ular


ENDE, Indonesia - Penduduk bandar ini di wilayah Nusa Tenggara Timur, gempar dengan kewujudan remaja lelaki bersisik seperti ular dan seorang budak perempuan berwajah mirip monyet.

Khabar mengenainya yang tersebar meluas tiga hari lalu ternyata benar apabila dua manusia ganjil itu dikunjungi oleh wartawan akhbar Kompas.

Seorang remaja berumur 13 tahun, Ari Wibawa memiliki tubuh bersisik mirip ular yang hendak bersalin kulit.
Setiap 41 hari dia berganti kulit dan ia berlaku sejak dia dilahirkan.

Seorang budak perempuan, Septiani Abdullah, 11, mempunyai wajah mirip monyet.
Seluruh tubuh Septiani bermula dari tengkuk ditumbuhi rambut lebat.

Ari ialah anak sulung pasangan Erman dan isterinya, Nur Ali yang berasal dari Desa Pondok Pucung, Tangerang, Pulau Jawa.

Menurut abang Ari, Arfan Afandi, setiap 15 minit, tubuh adiknya perlu dibasahkan dengan air manakala setiap tiga jam tubuhnya juga harus disapu dengan losen.

"Jika tidak disapu losen, tubuh Ari akan mengerut menyerupai patung seperti mayat hidup, mirip orang yang tubuhnya terbakar mengeras dan dia tidak boleh bergerak seperti kaku," kata Arfan.

Budak perempuan berwajah seperti monyet itu merupakan anak kedua pasangan Yusuf Abdullah dan Fatma Nusi dan berasal dari kampung Dumbaya Wulan, di wilayah Gorontalo, Pulau Sulawesi.

"Dia bermain dengan kanak-kanak lain yang normal. Hanya wajahnya terutama mulut dan hidungnya yang mirip monyet," kata ibu Septiani,

Lelaki Pakai Susuk 36 Biji Berlian



BIARPUN dicerca dan ditohmah dengan kata-kata yang kurang menyenangkan, pelawak, Pian Cecupak atau nama sebenarnya Mohd. Rafik Abd. Rahman, 40, tetap tenang menghadapi perjalanan hidupnya.

Menurut Pian, apa sahaja yang pernah dilakukannya termasuk memakai susuk serta mengubah rupanya dahulu dengan suntikan kolagen adalah kerana mengikut kata hati.

“Bila aku rasa nak buat, aku buat. Macam itu juga bila aku rasa nak buang, aku buanglah. Itu pun orang masih mengata lagi.

“Lagipun aku perlukan kepuasan diri. Jadi aku buatlah apa yang patut. Setakat nak elokkan muka, itu sahaja. Bukannya sebab aku tak bersyukur atau nak jadi perempuan.

“Pedulilah dengan apa orang nak kata, janji aku dah rasa. Dan Alhamdulillah aku sudah buang semua itu sebab fikirkan anak-anak.

“Aku tak nak mereka malu tengok ayah mereka macam ini selain ingin menjadi ayah yang baik untuk mereka,” tuturnya yang telah bercerai dengan bekas isteri pada tahun 2000.

Hasil perkahwinan itu, Pian dikurniakan dua puteri berumur 13 dan 11 tahun yang kini bersekolah di Kuala Lumpur.

Seperti bola

Bekas anggota kumpulan lawak, Cecupak ini mengaku mengubah muka kerana ingin tampil menarik dan lebih berkeyakinan.

“Aku berketurunan Pakistan dan Jawa, bila tengok hidung adik-beradik yang lain ‘meletup-letup’, aku buatlah juga hidung aku,” ujar Pian.

Ketika suntikan pada bahagian hidung dilakukan, Pian memberitahu, darah daripada mukanya memancut deras begitu juga pada bahagian mulut.

Sepanjang tempoh itu juga bibir Pian tidak dapat digerakkan sementara hidungnya tidak boleh disentuh bagi membolehkan cecair yang dimasukkan itu sebati dan mendapatkan bentuk hidung yang dikehendaki.

Suntikan turut dilakukan untuk menonjolkan kedua-dua belah pipi sehingga mukanya bengkak seperti bola.

“Salah satu sebab aku nak betulkan bibir kerana bibir aku sumbing sebab bergaduh dulu. Setiap kali tengok di cermin, rasa nak ubah,” luah Pian.

Pian mengakui keterlanjurannya mengubah bentuk fizikal bukan di muka sahaja, malah di keseluruhan tubuhnya termasuk punggung.

“Memang aku ada ‘cucuk’ di sana sini. Pakai susuk 36 biji berlian, tapi itu cerita dulu iaitu semasa usia belasan tahun.

“Malah ada yang bertanya mana aku dapat duit? Siapa yang bela?

“Tak ada orang bela aku! Aku bela diri sendiri melalui rezeki yang halal. Jadi tak payahlah nak persoalkan mana aku dapat duit.

“Tapi bila ada orang hantar santau dan busung kepada aku, semua susuk itu terus hilang setelah berubat.
“Masa kena buatan orang itu, memang aku jadi takut sebab rasa macam nak mati.
“Jadi sekarang, aku rasa macam mati hidup semula,” ujarnya.
Santau
Cerita Pian lagi, episod hitam yang berlaku sekitar tahun 1998 itu telah memaksa dia untuk mendapatkan rawatan daripada banyak bomoh termasuk bomoh India dan Siam.
“Masa aku berubat, keluar setengah baldi air termasuk rambut, kaca-kaca kecil dan telur kuning.
“Selama tiga bulan aku terpaksa berubat dan menderita. Walaupun aku tahu siapa yang buat, tapi aku tak akan balas.”
Mungkin tiada siapa menyangka perjalanan hidupnya dulu pernah bermula sebagai seorang anggota jemaah Tabligh yang sentiasa taat pada tuntutan agama.
Pian sering membaca doa untuk setiap perkara yang dilakukannya termasuk semasa menjamah makanan, mandi atau keluar rumah.
Tetapi sebagai seorang insan biasa, Pian kadang-kadang tersasar daripada landasan hidup.

“Tuhan Maha Kaya. Dalam sekelip mata sahaja hidup kita boleh berubah. Keluarga aku dah cukup berikan didikan agama.
“Yang memporak-perandakan agama adalah diri aku sendiri. Bukan salah ibu bapa aku.
“Jalan hidup ini aku yang pilih sendiri sejak tamat tingkatan lima,” ungkapnya yang telah mula bekerja sejak berusia 12 tahun lagi.
Ujar Pian, rawatan pemulihan untuk membuang kolagen yang telah mengubah bentuk wajahnya selama ini dilakukan melalui kaedah yang betul.
“Aku juga nak berterima kasih pada doktor yang merawat aku.
“Banyak perubahan yang berlaku sejak buat rawatan di situ,” katanya yang masih mendapatkan rawatan di sebuah pusat rawatan di Kuala Lumpur bagi memulihkan rupanya kepada bentuk asal.
Buang toksin
Menurut pakar yang merawat Pian, masalah yang dihadapi Pian adalah serius dan memerlukan rawatan yang sempurna.
“Saya terkejut apabila melihat wajah Pian yang semakin teruk. Jadi saya nasihatkan dia supaya menjalani rawatan pemulihan yang dimulakan dengan membuang toksin di dalam badan.
“Setelah itu untuk membaik pulih wajahnya ke bentuk asal, kaedah rejuvenation atau memudakan kembali wajah digunakan.
“Setelah selesai, oksigen akan dimasukkan ke dalam muka melalui teknik pengoksigenan dan melakukan krioterapi iaitu kaedah pembekuan ais untuk mengecutkan urat-urat muka yang telah diubah.
“Semua rawatan ini kami lakukan dengan menggunakan mesin terbaru yang diimport dari Switzerland tanpa menggunakan pisau yang boleh mengakibatkan kesan berpanjangan,” jelasnya yang enggan namanya didedahkan.

Pian yang kini sedang giat mengusahakan perniagaannya telah menanam janji untuk berubah dan mahu melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ayah dengan sebaiknya.
“Aku tak nak buat dah. Cukuplah dengan apa yang ada. Lagipun umur dah meningkat. Cuma amalan dan keluarga yang aku fikirkan sekarang.

“Tapi jangan terkejut kalau kulit aku berubah. Bukan sebab botox, bukan sebab cucuk.
“Tapi sebab aku jalani rawatan yang betul,” katanya yang berhajat untuk menunaikan umrah pada tahun ini.