Kolkata: Seorang pemegang rekod dunia Guinness kerana melakukan lagak ngeri menggantung dirinya dengan rambut untuk jarak paling jauh, terbunuh ketika beraksi, kata pihak berkuasa semalam.
Anggota polis India, Sailendra Nath Roy, sedang cuba menyeberangi Sungai Teesta di Bengal Barat menggunakan wayar setinggi 180 meter kelmarin.
Selepas mengikat rambutnya ke wayar berkenaan, Roy, 49, berjaya bergerak sehingga pertengahan jarak tetapi dia tersangkut tidak lama kemudian.
Insiden itu menyebabkan dia gagal bergerak.
Orang ramai yang menyaksikan aksi itu pada awalnya bersorak memberi semangat kepada Roy tetapi kemudian menjerit ketakutan apabila dia kelihatan terdesak untuk terus bergerak.
Jurucakap polis berkata, Roy menggelupur untuk terus bergantung di wayar berkenaan dan sampai ke hujung tali.
“Selepas 20 minit, dia kaku dan akhirnya diselamatkan polis,” katanya.
Tiada sebarang doktor atau ambulans disediakan di situ.
Selepas dimasukkan ke hospital di Siliguri, 450 kilometer dari tempat kejadian, Roy disahkan mati dan doktor percaya dia mengalami serangan jantung. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan