http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Belai harimau di Zoo Lujan







PERNAHKAH anda terfikir untuk membelai atau menyentuh seekor singa apabila melihat haiwan liar itu dalam sangkar di zoo. Sudah tentu jawapan yang dinyatakan adalah tidak dan enggan melakukan perkara berbahaya tersebut.

Masakan tidak kerana pada pemikiran logik siapa yang hendak mencari nahas.

Bagaimanapun, keadaan sangat berbeza di sebuah zoo di Argentina di mana pelawat boleh bermanja dengan haiwan-haiwan liar di sana.

Lebih menarik perhatian, haiwan-haiwan berkenaan merupakan pemangsa-pemangsa paling ditakuti di dalam hutan.

Zoo Lujan di Buenos Aires itu membenarkan pelancong membelai, memeluk, bermesra dan memegang hidung haiwan-haiwan buas itu.

Antara haiwan tersebut adalah singa, harimau dan beruang selain gajah serta pelbagai jenis burung dan haiwan reptilia.

Selain itu, keldai, kuda poni, llama, rusa dan burung merak juga merupakan antara haiwan yang berada dalam zoo tersebut.

Menurut laman web zoo tersebut terdapat lebih 50 singa Afrika, 20 harimau Bengal, 12 singa gunung dan kira-kira 50 jenis monyet Amerika Selatan di sana.

Zoo tersebut menyatakan tiada laporan serangan atau kejadian tidak diingini sejak dibuka sejak 1994.

Walaupun sesetengah pelawat mendakwa haiwan-haiwan itu diberikan ubat penenang namun pihak zoo menyatakan sebaliknya.

Zoo Lujan menyatakan haiwan-haiwan itu jinak kerana mereka dibesarkan oleh manusia sejak dilahirkan dan diajar untuk bertenang dan tidak makan manusia.

Kejinakan dan sikap pasif itu juga berlaku kerana pihak zoo sentiasa memberi mereka makan. Kebanyakan haiwan di sana juga dikatakan pernah dipelihara sebagai haiwan peliharaan secara haram dan dihantar ke zoo tersebut selepas mereka tidak boleh dijaga oleh pemilik mereka.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan