BERSAMA tiga anak mereka.
MOHAMMAD bersama isteri, Farhat.
HYDERABAD: Seorang lelaki berusia 62 tahun yang digelar ‘lelaki buih’
kerana badannya yang dilitupi ketumbuhan mendedahkan bagaimana dia
dilayan lebih buruk daripada haiwan terbiar oleh orang ramai.
Tubuh Mohammad Umar mula mengalami ketumbuhan pada tangannya ketika
dia berusia 14 tahun dan sejak itu tumor tidak berbahaya berkenaan
merebak secara perlahan-lahan ke seluruh anggota tubuhnya.
“Saya
lelaki baik. Dan saya boleh bekerja keras. Tetapi paras rupa saya
menjadi masalah kepada orang ramai. Tidak ada orang yang suka melihat
saya atau mendekati saya. Ia memusnahkan kehidupan saya,” kata
Mohammad.
Mohammad yang berasal dari Hyderabad, India, dilahirkan sihat.
Ibunya mempunyai ketumbuhan pada tangannya tetapi tidak di tempat lain.
Tanpa disedari, wanita itu menurunkan penyakit yang lebih agresif
kepada anaknya. Ibu Mohammad meninggal dunia pada 2001.
“Saya
dilahirkan dengan kulit yang lembut dan licin. Saya tidak tahu apa
yang tumbuh pada tubuh saya ketika berusia 14 tahun. Tetapi ibu saya
menyedari ia sama dengan yang ada pada tangannya dan membawa saya
berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.
Tetapi, lama
kelamaan, keadaan Mohammad bertambah teruk. Ketika berusia 20 tahun,
tumor tumbuh secara rambang di beberapa bahagian badannya.
“Saya tahu ia akan bertambah teruk. Saya sedar ia akan menjadi mimpi buruk bagi saya,” katanya.
Doktor memberitahu dia boleh menurunkan penyakit itu kepada anaknya jika dia berkahwin.
“Doktor tidak memberi jaminan tetapi ia mungkin berlaku. Ia
menghantui kehidupan saya selama beberapa tahun. Saya tidak pasti sama
ada saya akan berkahwin,” katanya.
Tetapi akhirnya, dia
berkenalan dengan Farhat-un-Nisa, 45. Mereka bercinta dan berkahwin,
Farhat tidak pedulikan penyakit suaminya ketika itu.
“Mohammad
lelaki yang baik dan pemurah. Keluarga saya memberi amaran mengenai
masa depan saya yang akan menjadi rumit jika penyakitnya bertambah
teruk. Mereka mendapatkan nasihat doktor bagi pihak saya. Tetapi saya
tidak mempedulikannya,” kata Farhat.
Pasangan itu dikurniakan
dua anak dan kedua-duanya membesar tanpa mewarisi penyakit Mohammad.
Bagaimanapun, lama-kelamaan, Farhat hanya boleh melihat seluruh tubuh
suaminya dilitupi tumor besar yang gatal. “Saya tidak boleh berbuat
apa-apa. Doktor berkata penyakitnya tidak boleh diubati. Ia mengubah
sikap suami saya. “Dulu dia begitu bahagia tetapi selepas itu dia
menjadi begitu takut. Kami berusaha keras untuk hidup dan membesarkan
anak kami,” kata Farhat.
Dalam pada itu, Mohammad dipecat
daripada jawatan sebagai pembantu bagasi di sebuah stesen kereta api
tempatan. Dan sejak itu, tidak ada orang yang bersedia untuk
mengambilnya bekerja. - DM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan