YUSOF enggan menjual lembu baka Bali Brahman walaupun ditawar harga yang tinggi.
KUALA TERENGGANU: Walaupun ditawarkan RM11,000, penternak lembu dari Kampung Gemuruh, Tepoh di sini, Yusof Mohammad, 39, tidak sanggup menjual lembu jantan baka Bali Brahman, miliknya seberat lebih satu tan.
Yusof berkata sepanjang menceburi bidang ternakan sejak lebih 20 tahun lalu, beliau tidak pernah melihat lembu setinggi 1.7 meter dan 1.6 meter panjang itu.
"Ketika membeli lembu ini daripada penternak di Kampung Buluh, Setiu pada harga RM6,000 pada September lalu, keadaannya tidaklah sebesar ini, tetapi berbekalkan pengalaman, selera haiwan ini bertambah apabila makan sehingga 20 kilogram rumput sehari, lima kilogram palet dan vitamin.
"Walaupun lembu ini kuat makan, ia perlu dijaga rapi bagi mengelakkannya cedera jika terjatuh kerana ia sangat berat,” katanya ditemui di rumahnya di sini.
Yusof berkata, harga semasa seekor lembu di pasaran sekitar RM2,000 hingga RM3,000, justeru walaupun ada seorang lelaki menawarkan membeli lembu kesayangannya itu pada harga hampir empat kali ganda menjelang Aidiladha lalu, dia tidak sanggup melepaskannya kerana sukar mencari lembu sebesar dan jinak seperti itu.
Katanya, tukang masak di kampung itu yang datang melihat lembu berkenaan memaklumkan sekiranya ternakan itu disembelih dagingnya dapat dimasak 10 kawah dan dapat diberi makan kepada 4,000 orang.
Yusof berkata, selain lembu gergasi yang menjadi perhatian penduduk, dia memiliki seekor lembu baka Mega dan 20 ekor lembu tempatan, 90 ekor kerbau serta tiga ekor kerbau denak untuk menangkap kerbau liar di seluruh negara.
Menceritakan pengalamannya sebagai penternak dan penangkap kerbau liar, Yusof berkata, dia mula mengikut bapanya mengambil upah menangkap kerbau liar sejak kecil, justeru, berbekalkan pengalaman itu dia menjadikannya sebagai kerjaya dan mula menternak beberapa ekor lembu dan kerbau sejak 20 tahun lalu.
Kini, Yusoff berkata, dia bersyukur kerjaya yang diceburinya itu memberi pulangan memuaskan kerana setiap tahun dia menjual antara 40 hingga 50 ekor kerbau dan lembu terutama pada musim perayaan termasuk Aidiladha. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan