http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Dapat ikan air tawar gergasi

DAVID KENT (kiri) bergambar bersama seekor ikan air tawar gergasi yang berjaya ditangkapnya 
di sebuah tasik di Krabi, Thailand baru-baru ini.

TENBY, Wales - Seorang penduduk Wales, David Kent menggunakan jagung manis sebagai umpan untuk menangkap seekor ikan air tawar gergasi dengan berat lebih lebih 118 kilogram (kg) di sebuah tasik di Krabi, Thailand, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Kent, 54, yang merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Britain menghabiskan masa selama sejam untuk menaikkan ikan sepanjang dua meter itu.
Dua lelaki membantu dia memegang ikan tersebut yang 32kg lebih berat daripada rekod sebelum ini.
Dia menangkap ikan itu semasa bercuti di Krabi bersama dengan isterinya.
Kent berkata: "Ikan itu mungkin terlalu lapar kerana ia memakan secebis kecil jagung (yang dijadikan umpan)."
Ikan itu kemudian dilepaskan ke dalam tasik selepas gambar haiwan itu dirakamkan sebagai bukti penangkapan.
Kent dan isterinya kemudian memeriksa rekod tangkapan air tawar dan mendapati rekod terdahulu hanya seberat 86.18kg. - Agensi



Wanita penuh tindik berkahwin

ELAINE bersama suaminya selepas mendaftar perkahwinan mereka di Edinburgh, semalam.

LONDON: Bagi seseorang yang dipenuhi dengan hampir 7,000 aksesori tindikan, satu lagi cincin tambahan mungkin tidak begitu istimewa.
Namun, bagi Elaine Davidson, tambahan koleksi itu mungkin yang akan kekal di hatinya.

Elaine, wanita yang paling banyak bertindik di dunia melangsungkan perkahwinannya, semalam. Dia yang mempunyai 6,925 tindikan berkahwin di Edinburgh, tempat dia tinggal dan menguruskan kedai.

Wanita berusia 42 tahun itu ditemani dua pengapitnya untuk ke pejabat pendaftaran perkahwinan dengan memakai gaun putih dan membawa bunga merah jambu.

Bakal suaminya, Douglas Watson yang tidak mempunyai walau satu pun tindikan mengenakan sut biru untuk acara selama 35 minit itu.

Bekas jururawat kelahiran Brazil itu kali pertama memecahkan rekod pada Mei 2000 sebagai wanita paling banyak bertindik, apabila pegawai Rekod Dunia Guiness memeriksanya dan mendapati terdapat 462 tindikan di tubuhnya termasuk 192 pada wajahnya.

Elaine sebelum ini berkata, dia tidak pernah menanggalkan cincin dan anting-anting yang dipakainya yang semuanya dianggarkan seberat kira-kira tiga kilogram.

Dia juga berkata tidak mengalami kesakitan ketika bertindik dan tidur dengan aksesori tindikan setiap malam. Bagaimanapun, pada 2009 dia mendedahkan bahawa dia tidak suka ditindik dan mengalami kesakitan. 

Elaine berkata pada Februari 2009 ketika mempunyai 6,005 tindikan termasuk 1,500 di bahagian sulit tubuhnya: “Saya rasa tidak seronok ditindik tetapi untuk memecahkan rekod anda perlu bertindak di luar jangkauan. Dan saya melakukannya kerana mahu memecahkan rekod.

“Keluarga saya tidak suka langsung tatu ataupun tindikan.” Di laman webnya, Elaine yang turut tidur di atas papan dipenuhi paku dan berjalan di atas api serta kaca, berkata, dia gemarkan sukan ekstrim tetapi tidak minum arak ataupun merokok. - Agensi


Tatu gambar rakan Facebook

UNIK...pengguna YouTube menunjukkan tatu gambar rakan Facebook di lengannya.

AMSTERDAM: Sesetengah orang suka menunjuk-nunjuk mengenai bilangan rakan yang mereka miliki dalam Facebook.

Namun, kebanyakannya tidaklah melakukan perbuatan keterlaluan hingga mentatu gambar profil mereka di lengan. Seorang wanita mengambl keputusan mengingati semua rakan Facebooknya seramai 152 orang dengan mentatu gambar profil mereka pada lengannya.


Penggemar rangkaian sosial warga Belanda terbabit memuat turun rakaman video mengenai tatunya itu di YouTube.

Wanita yang menggunakan nama ‘Suzyj87’ menulis: “Selepas beberapa bulan bekerja, saya mahu menunjukkan kepada anda semua tatu sosial saya. Cantik, bukan? Saya cukup bangga dengannya. Harap anda sukakannya juga!” Bagaimanapun, sesetengah pengguna YouTube mempertikaikan sama ada rakan Facebooknya itu akan kekal seperti tatu itu.


“Tahniah atas tatu yang cantik itu. Harap anda terus berkawan dengan semua rakan anda dalam tempoh yang lama,” tulis seorang lelaki selepas menonton tindakan Suzyj 87 menerusi Youtube.

Ilham membuat tatu itu mengikuti trend yang dimulakan penyanyi rap T-Pain. Dia mempunyai tatu Facebook di lengannya yang berbunyi: “Anda tidak perlu sukakan saya” dengan tanda bagus, lambang laman itu.

T-Pain memuat turun gambar tatu baru itu di laman Twitter dengan menulis: “Saya membuat tatu setiap kali saya datang ke Hawaii. Saya rasa tatu yang ini cantik, kecuali Facebook menghentikan operasinya,” - Agensi



Letusan debu gunung berapi dirakam dari angkasa lepas

BEBERAPA cahaya kilat muncul di kawasan gunung berapi Puyehue-Cordon Caulle di Chile



SANTIAGO - Imej kepulan debu yang dikeluarkan gunung berapi Puyehue-Cordon Caulle di Chile pada Sabtu lalu dapat dilihat dari angkasa lepas.
Kepulan debu itu dirakamkan menerusi satelit Aqua sejurus selepas ia meletus buat kali pertama sejak 1960. Pada 1960, gunung itu meletus akibat gempa bumi kuat berukuran 9.5 Richter di Chile.
Sementara itu, gambar kilat di sekitar gunung itu kelmarin juga dapat dirakamkan oleh jurugambar agensi AgenciaUno yang disiarkan agensi berita AP semalam.
Letusan itu yang masih berterusan kelmarin menyebabkan 4,000 penduduk dipindahkan dari kawasan berdekatan gunung tersebut. - Agensi

Lintah raksasa serang kampung Jawa Tengah

SEORANG pegawai tentera, Kapten Bambang Susilo menunjukkan seekor lintah raksasa yang melekat 
pada tangan kirinya di Desa Timbol Sloko, Demak, Jawa Tengah semalam.



DEMAK - Penduduk di Desa Timbul Sloko, Demak, di Jawa Tengah kini berada dalam kebimbangan ekoran serangan lintah raksasa di kawasan berair dan jalan yang basah akibat hujan, lapor akhbar dalam talian, Kompas.com semalam.
Seorang penduduk kampung itu, Satiman, 36, berkata, bentuk lintah tersebut kelihatan berbeza dengan lintah darat.
Ratusan haiwan tersebut muncul selepas banjir kilat surut.
Menurut Satiman, kehadiran lintah yang bersaiz lima kali ganda daripada biasa itu menyebabkan penduduk kampung buntu untuk mencari cara bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Ketua Tentera Daerah Kecil Sayung, Arief Sudaryanto berkata, lintah yang sama turut ditemui di Desa Sidogemah dan Sriwulan.
Dia menjelaskan bahawa jenis lintah itu belum diketahui tetapi penduduk kampung tidak perlu bimbang kerana ia tidak membahayakan mereka.
Seorang lagi pegawai tentera, Kapten Bambang Susilo berkata, penduduk kampung tidak perlu takut kerana lintah tersebut tidak menghisap darah.
"Sudah 15 minit ia melekat di tangan, lintah ini tidak menggigit saya," katanya. - Agensi

Moyang dinobat lelaki paling banyak tatu

TUBUH Tommy Wells dipenuhi dengan 1,000 bentuk tatu.

MANCHESTER - Seorang moyang berusia 69 tahun, Tommy Wells dinobatkan sebagai lelaki yang memiliki paling banyak tatu pada tubuhnya, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia memiliki 1,000 tatu pada tubuhnya seperti di lengan, perut, kaki, tangan dan kemaluannya selepas menghabiskan masa selama 52 tahun untuk memiliknya.
Tatunya yang terakhir mempunyai ayat cinta yang menyatakan perasaan cintanya terhadap isterinya yang sudah meninggal dunia.
Isterinya, Sandra meninggal dunia tujuh tahun lalu semasa berusia 61 tahun kerana penyakit diabetes.
Wells dan isterinya itu menjalin hubungan semasa mereka bersekolah menengah dan mula keluar temu janji semasa kedua-duanya berumur 13 tahun.
Dia mula bertatu sejak berumur 17 tahun dan telah membelanjakan ribuan pound sterling bagi memenuhi hobinya itu.
Menurutnya, dia tidak lagi bertatu kerana semua bentuk tatu yang diidamkannya telah dimilikinya. - Agensi



Cipta rekod tubuh dikerumuni lebah

BADAN Zhang Wei dan kerangka khas pada tubuhnya dikerumumi lebah 
seberat 83.5 kilogram di daerah Zizhou, barat China baru-baru ini.


BEIJING – Seorang lelaki, Zhang Wei dari daerah Zizhou, barat China mencipta rekod dunia kerana tubuhnya dikerumuni sejumlah besar lebah yang berat keseluruhan haiwan itu ialah 83.5 kilogram (kg), lapor sebuah akhbar semalam.
Dia memakai gogal dan bernafas melalui tiub yang diletakkan di dalam mulutnya untuk bernafas semasa lebah-lebah tersebut mengerumuni sekitar tubuhnya di sini baru-baru ini.
Satu kerangka khas yang kelihatan seolah-olah seperti dahan pokok juga dilekatkan pada tubuhnya bagi membolehkan lebah-lebah tersebut mengerumuni tubuhnya.
Dia tidak memakai topeng dan sarung tangan tetapi memakai baju, kasut dan seluar panjang semasa haiwan berkenaan mengerumuninya.
Wei mencipta rekod dunia dua hari selepas tubuh seorang penternak lebah China, Shyen Zonghong dikerumuni lebah seberat 36kg.