http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Imej pelik dalam gambar nahas mungkin imbasan

Gambar kemalangan membabitkan peronda LPT di Ajil. Dalam bulatan menunjukkan imej yang dikatakan entiti yang sedang melihat kemalangan itu.


KUALA TERENGGANU – “Imej pelik yang muncul dalam gambar mungkin imbasan daripada persekitaran sehingga menampakkan ia seolah-olah entiti yang sering dikaitkan dengan makhluk halus,” kata Penasihat Kelab Fotografi dan Multimedia Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (K’Fomia), Mokhtar Ishak.

Mokhtar memberitahu, cahaya matahari juga boleh menghasilkan imbasan lain dan dalam keadaan tertentu boleh menyebabkan munculnya imej pelik hasil imbasan tersebut.

Selain faktor persekitaran katanya, aplikasi melalui telefon dengan imej-imej menakutkan yang sedia ada dalam gajet juga boleh disunting dengan mudah untuk menghasilkan gambar seram.

“Imbasan yang berlaku ini menyebabkan muncul gambar sesuatu dan kadang-kadang kita tak sedar. Debu dan unggas juga boleh mempengaruhi gambar di lensa. Begitu juga dengan software dalam telefon bimbit yang boleh menghasilkan orang tua yang menakutkan dan sebagainya.

“Imbasan sebegini boleh menyebabkan muncul imaginasi dalam fikiran kita, seperti kita lihat awan berupa wajah seseorang tetapi orang lain pula tengok bentuk lain,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai gambar yang tersebar dalam internet yang memperlihatkan seolah-olah dua entiti sedang memerhatikan kes kemalangan maut melibatkan kereta peronda Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Ajil, Jumaat lalu, beliau yakin ia bukanlah makhluk halus seperti digambarkan.

Pada masa sama, beliau tidak menolak bahawa imej tersebut memang kelihatan seperti orang yang sedang memerhatikan insiden tersebut.

Mengulas lanjut, Mokhtar yang merupakan jurugambar Pusat Komunikasi Korporat dan Pembangunan Citra UMT bagaimanapun tidak dapat mengesahkan imej tersebut asli atau tidak kerana resolusi imej yang dipaparkan dalam internet adalah kecil.

“Kalau dalam keadaan biasa, saya tak percaya mengenai makhluk halus yang muncul dalam gambar walaupun kita tidak menafikan kewujudannya.

“Sejak saya terlibat dalam bidang fotografi selama 19 tahun, tidak pernah berlaku kejadian sedemikian kecuali hasil daripada imbasan. Makhluk halus wujud tapi di alam lain dan mereka tak boleh berinteraksi secara langsung dengan kita lebih-lebih lagi menzahirkan diri mereka dalam gambar yang diambil,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan