http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Akar seakan wajah manusia

Akar seakan wajah manusia 
 Wajah pada akar pokok ru dirakam dari jarak dekat.

Akar seakan wajah manusia 
Ramli menunjukkan akar pokok ru yang menyerupai wajah manusia.


 MARANG - Akar pokok ru disimpan seorang nelayan di Kampung Baru Rhu Muda, di sini, menjadi tumpuan apabila terdapat satu bahagian pada akar pokok itu berbentuk seakan wajah manusia.

Keunikan itu disedari ahli keluarga Ramli Kecik, 54, yang membersihkan akar pokok ru disimpan sejak lima tahun lalu tersebut ketika mereka sedang berehat di ruang tamu.

“Mereka terus memanggil saya untuk sama-sama melihat wajah yang pelik dan menakutkan, tetapi menarik pada akar itu,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Baru Rhu Muda, di sini.

Menurutnya, seorang daripada anaknya turut merakam dengan menggunakan telefon bimbit dan wajah pelik serta menakutkan itu kelihatan lebih jelas berbanding apabila melihatnya secara langsung.

Menceritakan penemuan akar pokok itu lima tahun lalu, Ramli berkata, dia mengambil dan menyimpan akar pokok ru tersebut selepas mendapati ia tidak hangus walaupun pokoknya dibakar seorang rakan di Kampung Alur Tuman, di sini.

“Sebelum dibakar, kami sering diganggu ‘lembaga misteri’ ketika melalui laluan menuju ke pantai berdekatan pokok itu. Kerana marahkan ‘lembaga misteri’ dikatakan menjadi penunggu pokok itu, rakan saya membakarnya.

“Namun agak menghairankan apabila akar pokok itu tidak terbakar yang hanya disedari keesokan harinya ketika melalui laluan sama menuju ke pantai. Saya kemudiannya mengambil akar itu untuk disimpan,” katanya.

Bagaimanapun, Ramli berkata, tiada sebarang imej atau wajah manusia kelihatan pada peringkat awal dia menyimpan akar sepanjang setengah meter itu.

Menurutnya, mungkin ada rahsia di sebalik kejadian itu, namun dia tidak mahu masyarakat terlalu taasub dan menganggap akar pokok ru tersebut adalah jelmaan penunggu pokok atau sebagainya.

“Saya akan simpan akar pokok ini yang mungkin berguna satu hari nanti,” katanya.

Penemuan itu adalah kejadian ketiga berlaku di daerah ini, kejadian pertama membabitkan dua sahabat di Kampung Kijing, di sini, yang melihat seraut wajah manusia lengkap dengan mata, hidung dan mulut muncul pada batang pokok tembesu ditebang mereka pada 31 Mei yang disiarkan Sinar Harian 1 Jun, tahun lalu.

Dalam kejadian kedua pula, pokok jenis melaka kijang milik seorang nelayan di Jalan Surau Ayah De, di sini, menjadi tumpuan apabila satu daripada dahannya seakan berwajah manusia.

Wajah pada dahan pokok kayu hutan dikatakan dapat mengubati penyakit kencing manis itu juga agak menakutkan. Keunikan itu disedari Abdullah Ali, 57, ketika berehat di pekarangan rumahnya pada 21 November, tahun lalu.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan