Abd Samad menunjukkan salah satu duit syiling yang ditemuinya dekat atas tunggul kayu dekat kebun sawitnya.
Abd Samad (kanan) menunjukkan barang lama yang dijumpa di kebunnya sekitar tahun 1998, diperhatikan oleh Shamsudin.
Beberapa duit syiling yang ditemui Abd Samad di kebun kelapa sawitnya
Rakan Abd Samad, Shamsudin Atin, 60, menunjukkan sebuah botol lama juga dipercayai berumur ratusan tahun yang dijumpai dekat kebun kelapa sawit.
JEMPOL – Mimpi didatangi seorang lelaki berkopiah membawa petunjuk penemuan sebuah barangan purba dipercayai berusia ratusan tahun di sebuah kebun sawit, dekat Felda Lui, di sini.
Kejadian berlaku kira-kira 15 tahun lalu, masih segar dalam ingatan pemilik kebun, Abd Samad Mahmud, 63, apabila bermimpi seseorang yang dipanggilnya sebagai Pak Sheikh memberitahu terdapat harta dalam kebunnya.
Menurut Abd Samad, pada mulanya dia tidak mengendahkan mimpi yang sering dialami sejak beberapa tahun kerana menganggap ia hanya sebagai mainan tidur.
Bagaimanapun, katanya, disebabkan kerap bermimpi perkara yang sama menyebabkan dia tertanya-tanya dan mahu tahu sama ada diperkatakan lelaki misteri dalam mimpi berkenaan benar atau sebaliknya, sebelum bertindak mencuba nasib selepas beberapa tahun bermimpi.
"Saya cuba beranikan diri mengorek di tempat yang dimaksudkan. Sebaik sahaja saya mengoreknya, saya terlihat beberapa barangan lama seperti mata wang purba, duit syiling lama, mata keris dan beberapa pinggan dipercayai diperbuat daripada tembaga, tertanam di situ.
“Tanpa berlengah lagi, saya terus membawa pulang kesemua barangan itu dan menunjukkannya kepada ahli keluarga lain," katanya.
Abd Samad berkata, dia tidak pernah mengamalkan sebarang amalan atau doa untuk mendapatkan mimpi seperti itu sebelum ini.
Katanya, mimpi tersebut muncul secara tiba-tiba dalam tidurnya setiap malam, selepas menunaikan solat Isyak.
“Walaupun sebelum ini saya tidak pernah mempercayai sebarang mimpi, tetapi kali ini berbeza kerana ia berhubung dengan 'harta' menyebabkan perasan ingin tahu itu semakin membuak-buak, saya cuba menggalinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Felda Lui Muda, dekat sini.
Abd Samad bagaimanapun berkata, kini sudah 15 tahun berlalu dan kebanyakan barangan lama itu telah diberikan kepada individu yang berminat tanpa sebarang bayaran.
“Saya yakin, barang-barang ini adalah peninggalan zaman lama dahulu yang tidak dapat saya tafsirkan tarikh tepatnya dan mimpi itu sekadar petunjuk sahaja.
"Hanya keris, pinggan tembaga dan beberapa duit syiling purba lama sahaja yang masih saya simpan untuk dibuat kenangan, malah tidak pernah berhasrat untuk menjualnya,” katanya.
Kebun jadi tumpuan
Disebabkan kejadian unik itu, katanya, kebunnya juga menjadi tumpuan masyarakat sehingga ada yang sanggup melakukan amalan khurafat dan pemujaan di situ.
Sebab itu, katanya, dia bertindak mengawal dan tidak membenarkan sesiapa jua memasuki kawasan kebunnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.
Sementara itu, bekas Imam I Masjid Ampangan, Norazman Mohamad ketika mengulas mengenai perkara itu berkata, mimpi hanya membawa dua maksud, sama ada ia memberi petanda baik atau sebaliknya.
Bagaimanapun, katanya, sesuatu itu juga boleh merosakkan akidah sekiranya dalam mimpi itu diajar perbuatan melanggari syariat Islam sehingga membawa kesesatan.
"Bagi kejadian mimpi yang dialami Abd Samad ini, ia membawa alamat yang baik memandangkan dia sendiri tidak pernah mengamalkan atau meminta untuk bermimpi sedemikian.
“Namun, dari segi pemilikan harta itu pula, dia tidak berhak untuk menyimpannya kerana itu bukan miliknya dan harus diserahkan kepada individu menguruskan harta purba tersebut,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Norazman berkata, sesungguhnya mimpi itu dapat ditafsirkan, namun tidak semua orang mampu menafsirkan kebenarannya.
Manakala, katanya, mimpi itu memang diakui ada dalam syariat Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan