http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Buaya 4.4 meter ditangkap di Australia

GAMBAR yang disiarkan semalam menunjukkan buaya sepanjang 4.4 meter yang ditangkap di Sungai Daly, selatan Darwin.


SYDNEY, Australia - Seekor buaya air masin sepanjang 4.4 meter yang membaham sembilan ekor anjing peliharaan ditangkap di sebatang sungai di utara Australia, menurut satu laporan semalam.

Laporan akhbar Northern Territory News menyatakan, buaya ganas itu ditangkap di penempatan penduduk Sungai Daly, sekitar 225 kilometer ke selatan bandar raya Darwin selepas reptilia itu menakutkan penduduk setempat.

Seorang pegawai polis, Mark Casey memberitahu, pejabatnya menerima sembilan aduan tentang anjing peliharaan penduduk dibaham haiwan itu dalam tempoh sebulan.

"Buaya adalah bahaya yang menanti kerana anda menyangka ia batang kayu terapung di permukaan sungai," kata Casey.

Menurutnya, selain haiwan itu, terdapat dua lagi buaya besar dan seekor buaya kecil yang masih berkeliaran di kawasan berkenaan.

Buaya air masin yang boleh membesar hingga sepanjang 7 meter dan mencapai berat satu tan, kerap ditemui di bahagian utara Australia.

Sebanyak dua orang mati akibat serangan haiwan itu di Australia pada setiap tahun. - AFP



Tiada ulasan:

Catat Ulasan