http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Potret misteri banduan akhir


SEBAGAI tempat untuk menghukum penjenayah, entiti' 'Penjara Pudu adakalanya datang mengganggu. 




“AKU ingat kalau hangpa (kamu) kena ganggu macam ni, mau terkencing dalam seluar dan silap hari bulan boleh demam seminggu.” Begitulah kata-kata seorang warden penjara yang masih terngiang-ngiang dalam fikiran Ahmad Mohd. Jais saat dia melawat Penjara Pudu pada tahun 1996 selepas penjara itu dikosongkan.
Ahmad, 49, memberitahu, warden tersebut yang merupakan sahabatnya mendakwa, warden-warden penjara selalu menerima gangguan di pondok kawalan mereka bertugas.

“Di pondok kawalan inilah ramai warden yang bertugas pada waktu malam selalu menerima gangguan. Ada ketikanya kerusi dalam pondok kawalan ini terbang keluar seolah-olah dibaling atau dicampak keluar oleh seseorang, walhal pada masa itu tiada siapa di dalamnya,” kata Ahmad kepada Jurnal baru-baru ini.

Potret misteri

Penjara Pudu kini tinggal kenangan apabila tembok penjara berusia lebih 100 tahun di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur itu dirobohkan pada 21 Jun lalu.

Dalam tempoh lebih seabad, ramai banduan yang dihukum mati di Penjara Pudu termasuk penjenayah-penjenayah terkenal dalam lipatan sejarah negara. Dari 1960 hingga 1993 sahaja, seramai 180 pesalah menjalani hukuman gantung sampai mati.

Pada tahun 1996, Penjara Pudu ditutup manakala banduan dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh.
Seorang bekas penghuni Penjara Pudu yang hanya mahu dikenali sebagai Nasyitah menceritakan kisah seram yang pernah didengarinya di penjara itu. Ia tentang potret misteri.

“Ia berkisar tentang seorang banduan akhir iaitu panggilan untuk banduan yang akan dihukum mati.
“Dia banduan yang pandai melukis. Dia melukis potretnya sendiri di dalam selnya sebelum dia dihukum gantung. Warden memberitahu, lampu di bilik sel itu akan terpadam dan ia akan sentiasa gelap. Dalam kegelapan itu, potret itu akan bercahaya seolah-olah ia hidup.

“Banyak orang mengadu melihat bayang-bayang berkeliaran. Lebih menyeramkan, bilik sel itu berdepan dengan sel saya,” katanya yang mendakwa banduan akhir itu ialah seorang wanita.

Ada juga yang mendakwa bahawa potret wanita itu juga akan ‘menangis’ apabila hari penggantungan seseorang itu semakin hampir.




PENJARA Pudu akan dirobohkan sepenuhnya bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan komersial.



Walaupun hanya sempat ditahan di penjara itu selama dua hari, namun Nasyitah yang ditangkap kerana terlibat dengan demonstrasi jalanan dapat merasai keseraman suasana di situ.

“Saya takut. Apabila warden itu ingin membawa kami melihat sel itu, empat orang rakan saya pergi tengok, saya sahaja tidak mahu tengok. Seram.

“Kawan-kawan saya beritahu memang betul kata warden tersebut. Dalam gelap, lukisan itu berkilauan dan menyeramkan. Mereka juga bercerita lampu tidak boleh dinyalakan di bilik tersebut, ia terus terpadam,” ujarnya kepada Jurnal.

Bermalam

Sementara itu, pensyarah fotografi, Khairul Azril Ismail yang pernah bermalam selama enam bulan di Penjara Pudu untuk menghasilkan tesis bertajuk Pudu Jail’s Graffity menceritakan pengalaman anehnya.
Kata Azril, antara bahagian penjara itu yang paling menarik ialah bilik gantung kerana ia menawarkan banyak ‘cerita’.

“Bilik itu kosong, kecil sahaja. Saya melihat imej aneh yang sukar untuk dijelaskan. Saya dapat merakamkan satu garisan putih yang panjang dan melengkung. Bagi saya mustahil cahaya dapat dibengkokkan. Kalau hendak dikatakan ia asap, saya tahu sangat rupa kepulannya kerana saya seorang perokok.

“Saya bukan jenis yang gemar bercerita perkara-perkara mistik. Saya lebih suka kepada fakta dan akademik. Saya kemudian menghantar gambar itu untuk diteliti oleh pensyarah saya di Columbus College of Art & Design (CCAD) di Ohio, Amerika Syarikat.

“Mereka meminta saya untuk memeriksa peralatan tetapi tidak timbul masalah sama ada daripada kamera atau dalam proses mencuci gambar,” jelasnya kepada Jurnal tidak lama dahulu.
 

“Keadaan lazimnya gelap. Saya pula mahu merakam gambar tanpa bantuan cahaya tiruan seperti flash kamera, sebaliknya menggunakan cahaya semula jadi. Jadi saya kena menanti lama untuk mendapatkan pencahayaan yang baik. Makan masa satu hingga dua jam setengah.

Jiran

“Dalam masa menunggu itu, saya rasa kepala saya diketuk sebanyak tiga kali. Seperti ada tangan yang mengetuk kepala saya.



“Tapi saya tidak dapat tangkap apa yang disebut kerana bunyinya bergema,” ujar pensyarah di Jabatan Fotografi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu.

Selain itu, Azril juga mendengar bunyi lain seperti paluan beduk dua kali dan kakinya bagai dipeluk sesuatu ketika hendak memasuki bilik mayat.

Walaupun mempunyai kenangan seram di penjara itu, Azril menyatakan rasa duka-citanya kerana tembok dan kompleks Penjara Pudu itu dirobohkan.

“Ia satu seni bina ikon yang sungguh menarik dengan bentuk X. Saya mendapati ia mempunyai ciri persamaan dengan seni bina lama dari Perancis. Tapi masih banyak kajian perlu dilakukan untuk memastikan kesahihannya,” katanya.



Seorang pekerja penjara juga mendedahkan kepada media baru-baru ini bahawa mereka disakat oleh bayangan lembaga hitam yang merenung tajam, bayangan kanak-kanak berlari dalam kawasan penjara selain kelibat perempuan cantik yang berjalan sendirian di tengah-tengah lorong penjara.

Jurnal juga cuba mendapatkan pandangan ‘jiran-jiran’ di sekitar Penjara Pudu tentang sejauh mana keseraman penjara lama itu.

Seorang penghuni rumah pangsa berdekatan yang telah mendiami kawasan itu selama 18 tahun menyatakan dia tidak banyak mendengar cerita seram penjara itu.

“Ada juga orang bercerita. Tapi saya biasa sahaja. Dari rumah saya boleh juga melihat penjara itu tetapi tidak ada banyak peristiwa aneh.

“Pernah jugalah macam terdengar suara orang minta tolong. Entahlah,” katanya yang dikenali sebagai Faris yang kelihatan seperti gelisah untuk bercerita.

Seorang pekerja keselamatan di sebuah stesen pengangkutan awam berdekatan memberitahu selama 15 tahun dia berkhidmat di situ, tidak ada cerita aneh yang didengarnya.

“Berdasarkan pengalaman saya, stesen ini tidak ada. Tetapi kalau stesen lain banyak cerita,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan