http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Gempar kelibat wanita teleport



ADEGAN filem Star Trek pada tahun 1966 yang memaparkan teknologi teleportasi ke atas manusia.

RAKAMAN video memaparkan wanita teleport (dalam bulatan) tiba-tiba muncul di hadapan lori lalu menyelamatkan penunggang basikal.



BAYANGKAN anda yang sedang duduk bersantai di Kuala Lumpur dan tiba-tiba dalam sekelip mata mendapati anda berdiri di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru.

BAYANGKAN anda yang sedang duduk bersantai di Kuala Lumpur dan tiba-tiba dalam sekelip mata mendapati anda berdiri di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru.

Ia kedengaran tidak masuk akal walaupun Gene Roddenberry, penerbit siri sains fiksyen Star Trek telah memvisualkan idea itu sejak 46 tahun lalu.

Dalam siri popular itu, seseorang dapat muncul atau menghilangkan diri selepas berdiri di bawah pancaran cahaya. Kaedah itu kemudian dikenali sebagai teleportasi.

Kemunculan manusia teleport heboh diperkatakan di China baru-baru ini apabila sebuah kamera yang dipasang di jalan raya berjaya merakam video seorang wanita yang boleh bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dalam sekelip mata.

Wanita China

Video yang dimuat naik ke laman YouTube itu memaparkan aksi wanita tersebut yang menyelamatkan nyawa seorang lelaki berbasikal yang hampir-hampir dilanggar oleh sebuah lori.

Dalam kejadian yang dirakamkan pada waktu malam itu, sebuah lori dilihat ingin membelok ke kanan di satu persimpangan apabila sebuah basikal yang ditunggangi lelaki itu meluncur laju di hadapannya.

Ketika basikal itu betul-betul berada di hadapan lori dan hampir dilanggar, dengan tidak semena-mena muncul satu cahaya yang disertai dengan kehadiran seorang wanita persis seorang adi wira. Wanita itu dengan pantas menyentuh basikal tersebut dan hilang dalam sekelip mata.

Dalam hanya sesaat, wanita serta penunggang basikal itu telah pun berada di bahu jalan dalam keadaan selamat.

Pemandu lori yang cemas itu kemudian memberhentikan kenderaannya. Dia terus meninjau ke belakang lori bagi mencari penunggang basikal yang dikhuatiri terperosok di bawah lorinya.

Namun, alangkah terkejutnya lelaki itu apabila dia mendapati penunggang basikal tadi sedang duduk di bahu jalan dalam keadaan keliru dan terkejut.

Sementara wanita yang menyelamatkannya tadi terus berjalan sebelum hilang daripada pandangan.

Selain itu, sebuah lagi rakaman video kamera amatur yang dirakam oleh seorang individu memaparkan wanita yang sama dilihat sedang berlari perlahan dan tiba-tiba ghaib.

Dalam sekelip mata, wanita itu berada di tempat lain berserta dengan satu cahaya yang menunjukkan pergerakannya yang pantas seperti kilat.


Kedua-dua kejadian yang dirakamkan di China itu mendapat pelbagai reaksi daripada beribu-ribu penonton YouTube yang masing-masing memperdebatkan mengenai kesahihan video tersebut.

Ada yang mendakwa video tersebut palsu dan hanyalah satu bentuk promosi sebuah permainan video.

Ada yang mempercayainya dengan mengatakan bahawa wanita itu sememangnya seorang adi wira yang menyelamatkan manusia, serta tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan propaganda pihak pemerintah China yang mahu menarik perhatian dunia.

Namun yang pasti, rata-rata individu mengaitkan kejadian luar biasa itu dengan fenomena teleportasi, iaitu suatu kaedah pergerakan yang menghubungkan sistem telekomunikasi dan pengangkutan bagi membolehkan sesuatu benda bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam sekelip mata tanpa melibatkan sebarang pergerakan fizikal.

Proses

Dari sudut sains, teleportasi melibatkan penghapusan suatu objek yang berada di satu tempat dengan cara menghantar butiran konfigurasi zarah-zarah objek berkenaan kepada satu lokasi lain, bagi menghasilkan semula objek tersebut di lokasi baharu itu.

Hal ini bermakna, ruang serta masa perjalanan dapat dihapuskan kerana objek tersebut akan berada di lokasi yang lain dengan segera, tanpa perlu melalui jarak sebarang medium yang ada.

Kajian mengenai fenomena teleportasi telah bermula sejak tahun 1993 apabila sepasukan penyelidik daripada syarikat gergasi IBM yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) mengesahkan bahawa kejadian teleportasi sememangnya wujud.

Menurut ketua penyelidik yang juga seorang ahli fizik, Charles Bennett, teleportasi akan dapat dilakukan hanya jika objek yang melalui proses itu dihapuskan sama sekali.


Pendedahan itu diumumkan buat pertama kalinya oleh Bennett pada satu mesyuarat tahunan Persatuan Fizik Amerika pada Mac 1993 yang turut menyerahkan satu laporan kajiannya mengenai penemuan fenomena luar biasa itu.

Semenjak itu, lebih banyak eksperimen yang menggunakan foton (sejenis zarah cahaya) dilakukan bagi membuktikan bahawa fenomena teleportasi bukanlah suatu yang mustahil.

Antaranya ialah satu kajian yang dilakukan oleh sekumpulan ahli fizik dari Institut Teknologi California, AS pada tahun 1998 yang berjaya menteleport foton suatu objek sehingga melepasi jarak 1 meter.

Pada tahun 2004 pula, sekumpulan penyelidik dari Australia meneruskan kajian mengenai fenomena itu dengan menteleport keseluruhan aliran foton dalam bentuk pancaran laser dari satu sudut ke satu sudut yang lain di dalam sebuah makmal.







Planet Utarid mengandungi simpanan ais

GAMBAR menunjukkan bahagian utara planet Utarid.


WASHINGTON - Planet yang hampir dengan matahari, Utarid mengandungi simpanan ais yang banyak, menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kelmarin.

Menurut seorang penyelidik NASA yang mengkaji planet itu, David Lawrence, kawasan simpanan itu sebesar Washington D.C, Amerika Syarikat dan setebal 3.2 kilometer.

Washington D.C merupakan pusat pentadbiran AS yang seluas 68.3 meter persegi.

Maklumat itu diperoleh berdasarkan data yang diperoleh daripada kapal angkasa Messenger yang mendarat di planet tersebut pada tahun lalu. - Agensi






Gambar otak Einstein didedahkan muzium AS


GAMBAR yang disiarkan pihak Muzium Kebangsaan Kesihatan dan Perubatan di Maryland menunjukkan otak Einstein.



WASHINGTON - Gambar otak saintis terkenal dunia, mendiang Albert Einstein (gambar kecil) disiarkan oleh pihak Muzium Kebangsaan Kesihatan dan Perubatan di Silver Spring, Maryland dekat sini.

Pihak muzium itu menyiarkan gambar tersebut kelmarin.

Ia merupakan gambar otak Einstein yang dirakamkan selepas beliau meninggal dunia pada tahun 1955.

Beliau meninggal dunia di Princeton, New Jersey, Amerika Syarikat (AS) semasa berumur 76 tahun.

Selepas kematiannya, waris saintis itu membenarkan otaknya dikeluarkan untuk tujuan kajian.

Einstein merupakan seorang pakar fizik terkenal di dunia menerusi teori relativiti Einstein.

Menurut artikel dalam jurnal Brain, permukaan visual korteks otak Einstein mempunyai lipatan tebal.

Beliau dilahirkan di Jerman tetapi kemudian menetap di AS. - Agensi





Harimau 170kg jadi sahabat

ANTARA aksi manja Mulan dengan Abdullah.

ANTARA aksi manja Mulan dengan Abdullah.


MALANG: Persahabatan dijalin sejak kira-kira empat tahun lalu membolehkan seekor harimau Benggala menjadi sahabat kepada manusia.

Haiwan liar yang dinamakan sebagai Mulan itu kini menjadi kawan akrab kepada Abdullah Sholeh.

Mulan - kini berusia empat tahun dan seberat lebih 171 kilogram - mula dijaga Abdullah sejak haiwan berkenaan berusia tiga bulan. Sejak dipelihara, hubungan Mulan dengan Abdullah semakin rapat dan kini haiwan yang lazimnya ganas dan berbahaya kepada manusia itu boleh bergurau dengan penjaganya.

Bagaimanapun, Abdullah bukanlah pemilik Mulan, sebaliknya dia cuma dibayar sebagai penjaga oleh majikannya, Noer Mohammaed Sholeh.

Mereka kini tinggal di sebuah kawasan di Malang, Indonesia.

Dikenali sebagai “pengasuh harimau” Abdullah dilaporkan sering menolak untuk tidur di katil sendiri, sebaliknya dia lebih selesa tidur bersama Mulan di kandang haiwan berkenaan. Ditanya perasaannya terhadap Mulan, Abdullah, 31, berkata dia tidak pernah takut atau bimbang terhadap harimau bertina berkenaan.

“Saya menganggap Mulan sama seperti rakan lain.

“Apabila dia menggigit atau mencakar, itu petanda Mulan seekor harimau yang normal,” katanya. - TS

Pemuda tarik trak dengan telinga

PATARAIA menarik sebuah trak dengan menggunakan tali yang diikat di telinganya di Rustavi, Georgia 


RUSTAVI, Georgia - Seorang pemuda berusia 32 tahun, Lasha Pataraia menarik sebuah trak dengan menggunakan tali yang diikat di telinganya di sini semalam.

Dia berjaya menarik trak seberat 8,250 kilogram itu sejauh 21.50 meter.

Pemuda tersebut berjaya mencipta rekod Guinness World Records ekoran usahanya itu. - Reuters



Menara condong sejak tahun 1960-an di China

BEBERAPA pelajar bermain bola keranjang di tepi 
Menara Wanshousi yang condong di Xi'an, wilayah Shaanxi kelmarin.


XI'AN, China - Menara Wanshousi di sini yang terletak berdekatan sebuah sekolah di sini condong sejak tahun 1960-an.
Ia dibina sejak zaman dinasti Ming yang memerintah pada tahun 1368 hingga 1644.
Bagaimanapun, beberapa rangka besi dipasang bagi menyokong menara itu bagi mengelak ia tumbang.
- Reuters


Pemuda Mesir miliki lengan terbesar dunia

MOUSTAFA mengangkat kedua-dua lengannya.


MILFORD, Massachusetts - Seorang pemuda berketurunan Mesir, Moustafa Ismail yang tinggal di sini dipercayai memiliki lengan paling besar di dunia.

Ukur lilit lengan Moustafa yang berusia 24 tahun itu ialah 79 sentimeter.

Pemuda itu makan tiga kilogram (kg) protein, 4.08kg karbohidrat dan minum air sebanyak 11.35 liter pada setiap hari .

Pihak Guinness World Records kini menimbang sama ada akan mengiktiraf Moustafa sebagai pemilik lengan terbesar di dunia.

"Mereka (penduduk) memanggil saya Popeye, Popeye Mesir.

"Bagaimanapun, tidak seperti watak kartun Popeye, saya suka makan ayam, daging dan apa jua makanan kecuali bayam," katanya.

Dia juga mengambil vitamin dan makanan tambahan lain.

Moustafa juga sukar untuk mencari baju yang sesuai dengan tubuhnya.

Dia mula berusaha untuk memperoleh bentuk lengan itu di bandar kelahirannya, Alexandria di Mesir sebelum berpindah ke Amerika Syarikat pada 2007 dan menetap di Franklin, barat daya Boston.

Moustafa melakukan senaman angkat berat selama dua jam hampir setiap hari.

Pemuda itu pernah mengangkat bebanan seberat 272kg.

Dia sanggup melakukan dua pekerjaan termasuk sebagai pembantu di sebuah stesen minyak untuk membiayai senamannya di sebuah pusat kecergasan dan makanannya.

Namun, isterinya meminta dia meninggalkan salah satu pekerjaan kerana menganggap suaminya itu bekerja terlalu keras.

Pihak Guinness kemudian menghubunginya dengan menawarkan pemuda itu lawatan ke London, Britain untuk muncul bersama beberapa pemegang pelbagai rekod dunia termasuk wanita paling kecil di dunia.

Moustafa memenuhi undangan itu.

Bagaimanapun, kontroversi muncul kerana terdapat dakwaan di internet bahawa dia menggunakan dadah steroid dan menanam implan pada lengannya.

Beberapa pihak lain mendakwa, dia menyuntik minyak synthol yang digunakan oleh ahli bina badan.

Dia pernah pergi ke Tokyo untuk muncul dalam program dokumentari stesen televisyen Fuji yang menunjukkan beberapa doktor mengambil sampel darah manakala ototnya turut menjalani ujian X-ray.

Doktor-doktor itu bagaimanapun tidak menemui sebarang bahan terlarang dalam tubuhnya.

Namun, pihak Guinness mengeluarkan nama Moustafa dalam laman webnya.

Jurucakap Guinness, Sara Wilcox berkata pada Oktober lalu, pihaknya masih melakukan penyelidikan dengan pakar-pakar perubatan berhubung kes Moustafa sebelum mengiktiraf lengannya. - AP