http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Penduduk pakai kostum pelik di Silio

Trapajon creature
SEORANG lelaki memakai kostum seperti pokok pada Festival Vijanera di Silio kelmarin.


SILIO, Sepanyol - Beberapa orang lelaki memakai kostum pelik yang menyebabkan sebahagian mereka kelihatan seperti pokok pada Festival Vijanera di Silio, utara negara ini kelmarin.

Terdapat juga penduduk yang memakai topeng muka, kulit haiwan dan pakaian yang berwarna cerah pada festival itu.

Ia merupakan festival pertama diadakan di Eropah pada awal tahun ini.

Festival tersebut berasal dari era empayar Rom.

Muka penduduk yang menyertai festival itu diwarnakan hitam dengan kepercayaan ia akan dapat mengelak kedatangan roh jahat. - Agensi




Imej sotong gergasi yang dirakam di Lautan Pasifik didedahkan saintis

IMEJ yang disiarkan pihak stesen televisyen NHK dan Discovery Channel semalam menunjukkan sotong gergasi di dalam laut dekat Kepulauan Ogasawara, Jepun


TOKYO - Beberapa saintis menyatakan mereka berjaya merakamkan gambar seekor sotong gergasi sepanjang kira-kira lapan meter di dasar Lautan Pasifik.

Pendedahan itu dibuat semalam selepas pihak Muzium Sains Kebangsaan Jepun berjaya membuat penggambaran haiwan laut dalam itu di habitat semula jadi sotong berkenaan buat kali pertama.

Ia merupakan hasil kerjasama dengan stesen televisyen NHK dan saluran Discovery Channel.

Para saintis itu menemui sotong tersebut pada kedalaman 630 meter dengan menggunakan sebuah kapal selam pada Julai tahun lalu sekitar 15 kilometer ke timur Pulau Chichi di utara Lautan Pasifik.

Penyelidik muzium tersebut, Tsunemi Kubodera berkata, pasukan penyelidikannya mengekori sotong besar itu pada kedalaman 900 meter ketika haiwan berkenaan menyelam jauh ke dasar lautan.

Rakaman stesen televisyen NHK menunjukkan haiwan berwarna perak dan bermata hitam besar itu berenang melawan arus laut dengan belalainya melilit umpan sotong.

"Haiwan itu bersinar dan amat cantik," kata Kubodera.

Sebelum ini, Kubodera hanya merakamkan gambar seekor sotong raksasa yang ditangkap dan dinaikkan ke dalam botnya pada tahun 2006. - AFP






Rerambut dalam mata

mata rerambut


Doktor menyarankan remaja ini menjalani pembedahan untuk membuang sista diselaputi rerambut pada matanya itu.


LONDON - Seorang remaja berumur 19 tahun di Iran mengalami masalah Limbal dermoid (tisu kulit ditumbuhi rerambut) yang jarang berlaku dan hanya menyerang satu daripada 100,000 orang di dunia.

Sista berukuran lima milimiter pada mata kanannya itu telah menjejaskan penglihatan remaja tersebut dan turut menyebabkannya berasa tidak selesa setiap kali dia mengelipkan mata.

Penyakit jarang berlaku itu diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England selepas mereka menerima laporan berhubung perkara tersebut daripada doktor di Universiti Sains Perubatan Tabriz di Iran.Menurut jurnal itu, sista tersebut tidak menyebabkan rasa sakit tetapi ia telah mengganggu penglihatannya.

Profesor klinikal di Pusat Optometri Universiti Indiana, Dr Richard Meetz berkata, ia didakwa dua kali ganda lebih besar daripada saiz Limbal dermoid yang biasa.

"Penyakit yang dihidapi sejak lahir itu berlaku apabila proses pembentukan sel kulit semasa dalam kandungan terganggu," jelasnya.

Difahamkan, ia juga boleh tumbuh di bahagian lain pada tubuh dan dalam kes yang agak luar biasa sista tersebut mungkin boleh ditumbuhi gigi.

Meetz memberitahu, ia sememangnya memberi kesan pada penglihatan kerana kedudukannya pada bebola mata pesakit. - MailOnline

Mumia bayi dari Peru


Biarpun meninggal dunia pada usia kurang dari 10 bulan, namun jasadnya kini sudah berusia kira-kira 6500 tahun. Itulah keistimewaan mumia bayi dari Peru ini. Mumia yang lebih dikenali sebagai 'Detmold Child' ini diawetkan sekitar tahun 4504-4457 Sebelum Masihi. 3,000 tahun lebih awal sebelum kelahiran King Tut.

Cara memumiakannya pula adalah melalui persekitaran gurun yang panas dan kering. Ketika hidup, bayi ini dikatakan mengalami masalah jantung yang serius dan menderita akibat masalah pertumbuhan. Selepas paru-parunya mengalami radang dan gagal untuk berfungsi, bayi ini meninggal dunia dan dimumiakan bersama tangkal azimat yang digantung pada lehernya.





Baju emas 2013

Datta Phuge

MUMBAI: Sepasukan tukang emas mahir menghabiskan masa 15 hari menyiapkan sepasang baju khas untuk seorang ahli perniagaan India bagi membolehkan dia melaram menyambut kedatangan 2013.

Menurut laporan media semalam, sepanjang tempoh 15 hari itu, tukang emas terbabit bekerja 18 jam sehari sebelum dapat menyiapkan baju berkenaan.

Baju itu didakwa berharga RM800,000.
Akhbar melaporkan, ahli perniagaan di Pune, Mumbai itu mahukan baju berkenaan dihiasi enam butang kristal Swarovski - sebuah jenama pengeluar barang kemas elit berpangkalan di Austria.

Selain itu, ahli perniagaan terbabit juga mahu melaram dengan seutas tali pinggang emas.

Ahli perniagaan terbabit berkata, dia menganggap pakaian dan tali pinggang itu sebagai satu bentuk pelaburan.
“Memakai baju emas memang menjadi satu daripada impian saya,” katanya. Ahli perniagaan terbabit berkata, sebelum ini dia memiliki emas seberat 10 kilogram membabitkan 10 rantai emas, enam gelang, 25 cincin dan seutas jam tangan.

“Jika orang lain membeli kereta atau pergi bercuti, bagi saya emas menjadi daya tarikan mutlak.
“Tidak timbul isu keselamatan kerana saya juga mengupah pengawal peribadi,” katanya. - HT


Bapa bagi hantaran RM495 juta untuk perkahwinan anak perempuan


GAMBAR menunjukkan wajah anak perempuan Duanbiao yang berkahwin di Jinjiang.


JINJIANG, China - Seorang ahli perniagaan di sini, Wu Duanbiao bermurah hati apabila beliau memberikan hantaran mencecah 1.01 bilion yuan (RM495 juta) menjelang perkahwinan serba mewah seorang anak perempuannya, menurut beberapa laporan semalam.

Menurut akhbar The South China Morning Post, antara hadiah perkahwinan yang diberikan ahli perniagaan itu termasuk empat kotak barang kemas yang diperbuat daripada emas, sebuah buku akaun bank bersama deposit 20 juta yuan (RM9.9 juta) dan portfolio hartanah.

Duanbiao merupakan pengerusi firma seramik tempatan, Fujian Wanli Group.

Selain itu, beliau memberikan 500 juta saham dalam firmanya yang bernilai lebih 100 juta yuan (RM49.5 juta) kepada pasangan pengantin baharu tersebut.

Menurut laporan media tempatan, usahawan berkenaan turut menghulurkan derma berjumlah 15 juta yuan (RM7.4 juta) kepada dua buah badan amal di China.

Beliau juga menghadiahkan sebuah kereta Mercedes dan Porsche.

Seorang jurucakap firma Duanbiao mengesahkan hantaran tersebut tetapi menafikan majlis perkahwinan itu akan berlangsung selama lapan hari berturut-turut.

Menurutnya, majikannya mahu mengadakan acara yang ringkas tetapi meriah.

Sebelum ini, sebuah akhbar mendakwa beliau akan mengadakan majlis perkahwinan selama lapan hari bermula 28 Disember tahun lalu untuk menjamu tetamu dalam kalangan orang awam.

Pengantin lelaki yang merupakan seorang kakitangan awam sudah mengenali isterinya sejak dari zaman prasekolah.

Bagaimanapun nama anak perempuan Duanbiao itu tidak didedahkan.

Pada bulan lalu, seorang lagi bilionair di sini mengahwinkan anak perempuannya dengan jumlah hantaran lebih 2.48 bilion yuan (RM1.2 bilion). - Agensi





Kembar dipisah tapi tak boleh berpisah

HASSAN (kiri) dan Hussein yang masing-masing memiliki satu kaki gemar berlumba dengan kereta mainan mereka.
HASSAN (kiri) dan Hussein yang masing-masing memiliki satu kaki gemar berlumba dengan kereta mainan mereka.

LONDON: Kali pertama melihat imbasan dalam rahimnya, si ibu ternampak dua janin saling berpegangan tangan dan pasangan kembar itu mungkin tidak mempunyai harapan untuk hidup.

Doktor memberitahu Angie Benhaffaf bahawa ada kemungkinan seorang daripada anaknya akan selamat, tetapi seorang lagi akan meninggal dunia tidak lama kemudian.


Berdepan dengan kenyataan itu, Angie terpaksa menyediakan mentalnya untuk mengebumikan seorang daripada anaknya.


Kini, selepas pembedahan yang berjaya memisahkan mereka, anak kesayangan Angie itu membuktikan mereka sebenarnya ‘tidak boleh dipisahkan.’ Selepas tiga tahun lahir, keakraban antara Hassan dan Hussein begitu kukuh sehinggakan mereka tetap berpegangan tangan ketika tidur - sama seperti ketika mereka belum dipisahkan melalui pembedahan. Malah, jika duduk bersama, keadaan mereka juga sama seperti ketika mereka bercantum dari dada hingga ke tulang punggung. Di sebalik keadaan itu, Hassan dan Hussein memang tidak banyak berbeza berbanding kanak-kanak normal lain.


Kata Angie, 38, kembar itu sentiasa aktif bermain dan lasak. “Nampaknya ada persaingan antara Hassan dan Hussein,” katanya.


Ketika ini, pasangan kembar itu cuba berjalan menggunakan kaki palsu yang baru dipasang pada mereka.

“Memerhati mereka sangat mengasyikkan,” katanya.


Keadaan fizikal Hassan dan Hussein menyebabkan setiap seorang daripada mereka menggunakan satu kaki palsu.

Kata Angie, percantuman anaknya bermakna mereka berkongsi hampir segala-galanya, termasuk organ hati dan urat saraf di sekeliling jantung.


Walaupun berisiko tinggi, pakar bedah berjaya memisahkan mereka tanpa menyebabkan sebarang kesan mengancam nyawa.


Angie melahirkan Hassan dan Hussein hasil perkahwinannya dengan lelaki kelahiran Algeria, Azzedine. - DM