http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Cicak Spiderman ditemui di Kenya

Cicak Spiderman ditemui di Kenya
Cicak Spiderman adaptasi dari Mwanza Flat Headed Agama.

NAIROBI - Sepasang suami isteri berjaya merakamkan cicak Spideman atau nama saintifiknya, Mwanza Flat Headed Agama ketika menghadiri bengkel fotografi di Taman Negara Masai Mara di Kenya, minggu lalu.

Cassio Lopes bersama isterinya Alessandra hampir tidak percaya apabila spesies cicak yang berasal dari Afrika itu muncul mendekati mereka.

Menurut Lopes, cicak itu hanya pernah dilihat di dalam komik popular Spiderman.

"Cicak itu mempunyai warna di dada, lengan dan kaki, ia menyerupai cicak dalam animasi Spiderman dan hanya melekat pada batu berhampiran sungai," katanya.



Lubang misteri terbesar di China

Lubang misteri terbesar di China
Sebuah kereta terjerlus ke dalam lubang misteri di wilayah Hunan, kelmarin.

BEIJING - Sepasukan polis terpaksa melakukan operasi mencari dan menyelamat lewat malam kelmarin, apabila secara tiba-tiba sebahagian lebuh raya di jalan Xiangjiang, wilayah Hunan, China, roboh lalu membentuk sebuah lubang besar.

Kejadian itu turut meranapkan sebuah kereta dan meragut seorang pemandu akibat terjerlus ke dasar lubang berkenaan.

Lubang berkeluasan 30 meter persegi itu terbentuk pada laluan paling sibuk dalam wilayah berkenaan.

Menurut anggota penyelamat, mangsa yang terperangkap itu, gagal diselamatkan selepas usaha mengenal pasti dasar lubang tersebut menemui jalan buntu.

Justeru itu, bagi mengelakkan kemalangan berulang, pihak berkuasa tempatan terpaksa menutup jalan berkenaan dan siasatan kemunculan lubang misteri berhampiran sungai Viangjiang itu sedang dilakukan.


Misteri debu di sekeliling bintang hilang

LAKARAN artis menunjukkan sejumlah debu mengelilingi bintang TYC 8241 2652

WASHINGTON - Beberapa saintis terkejut dan hairan apabila mereka menyaksikan sejumlah debu kosmik yang bersinar di sekeliling sebuah bintang didapati telah hilang.
Menurut salah seorang saintis itu, Ben Zuckerman, debu kosmik yang mengelilingi bintang biasanya akan membentuk planet berbatu-batan.
"Kewujudan debu kosmik berdekatan sebuah bintang menandakan terdapat proses pembentukan planet. Namun, debu itu hilang dengan tiba-tiba," katanya.
Bercakap menerusitelefon dari Universiti California-Los Angeles, Zuckerman berkata, ahli astronomi biasa melihat peristiwa di alam semesta yang berlaku lebih beberapa juta atau bilion tahun dahulu.
Justeru, katanya, adalah pelik untuk melihat debu itu hilang dalam tempoh kurang tiga tahun atau bersamaan sekelip mata dalam konteks ilmu astronomi.
Penemuan tersebut disiarkan dalam jurnal Nature kelmarin.
Terdiri daripada bahan panas, debu angkasa lepas itu boleh dilihat dengan menggunakan teleskop yang memiliki fungsi cahaya infra merah.
Debu itu pada awalnya ditemui pada tahun 1983 oleh Satelit Astronomi Infra Merah Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan di sekitar sebuah bintang muda, TYC 8241 2652.
Lingkaran tersebut bersinar selama 25 tahun sebelum hilang dalam tempoh dua setengah tahun.
Bintang TYC 8241 2652 berada sekitar 450 juta tahun cahaya dari Bumi ke arah gugusan bintang Centaurus.
Satu tahun cahaya bersamaan 10 trilion kilometer atau jarak perjalanan cahaya selama satu tahun. - Reuters


Ikan duyung hanya dongeng

TIADA bukti menunjukkan ikan duyung pernah ditemui.
TIADA bukti menunjukkan ikan duyung pernah ditemui.

LOS ANGELES: Persoalan sama ada ikan duyung wujud atau tidak ditamatkan baru-baru ini apabila sebuah agensi saintifik Amerika Syarikat mengesahkan makhluk laut itu tidak wujud.

Pentadbiran Lautan dan Atmosferik Kebangsaan Amerika mengesahkan tidak ada bukti menunjukkan makhluk separuh manusia separuh ikan itu wujud.


Agensi berkenaan mengeluarkan kenyataan minggu lalu untuk menjelaskan bahawa spesies laut itu tidak wujud selepas menerima beberapa panggilan berikutan tayangan oleh saluran Animal Planet berjudul: Mermaid: The Body Found yang mengelirukan beberapa penonton. Selepas siaran rancangan fiksyen itu, yang direka untuk mempunyai format sama dengan sebuah dokumentari, beberapa penonton menelefon agensi berkenaan untuk mengetahui lebih banyak mengenai makhluk itu.

Agensi itu mengeluarkan kenyataan menerusi bahagian Fakta Lautan, mengakhiri teori kewujudan ikan duyung.


Kenyataan itu berbunyi: “Adakah ikan duyung wujud? Tidak ada bukti menunjukkan ia pernah ditemui.” Kenyataan itu seterusnya menerangkan bagaimana makhluk feminin itu ditemui pertama kali pada lukisan di gua kira-kira 30,000 tahun lalu.


Agensi terbabit menggabungkan kenyataan itu menerusi maklumat yang sudah sedia diperoleh untuk orang awam kerana ia tidak mempunyai program yang khusus untuk mengkaji ikan duyung, kata jurucakapnya, Carol Kavanagh kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Pusat Kawalan dan Pencegahan Wabak mengeluarkan kenyataan bulan lalu bahawa zombi tidak wujud.


Pusat berkenaan membuat kenyataan itu berikutan tersebar khabar angin kononnya seorang lelaki, Rudy Eugene, 31, ditembak mati oleh polis ketika mukanya berubah seperti zombi. - DM



Jejak haiwan tertua dijumpai di Uruguay

Jejak haiwan tertua dijumpai di Uruguay
Jejak haiwan tertua di dunia dutemui di Uruguay. Lubang dalam bulatan merah dipercayai ditinggalkan haiwan berkenaan.


WASHINGTON - Penyelidik kelmarin, melaporkan mereka menemui jejak kewujudan haiwan tertua di dunia berusia 585 juta tahun di Uruguay.

Penemuan diterbitkan menerusi jurnal sains itu menunjukkan spesies seperti lintah bulan berukuran satu sentimeter berusia 30 juta tahun lebih awal daripada haiwan purba lain.

Ahli geologi, Ernesti Pecoits dan Natalie Aubert dari Universiti Alberta menyatakan ‘lubang’ ditinggalkan haiwan itu membawa kepada penemuan baru tersebut.


Pisang udang dua warna

Pisang udang dua warna
Uda menunjukkan pisang udang yang ditanamnya mempunyai dua warna


LEDANG - Seorang pengusaha tanaman pisang terkejut mendapati salah satu daripada pokok pisang udang yang ditanamnya mengeluarkan buah mempunyai dua warna iaitu hijau dan merah.

Uda Esa, 43, berkata, dia menyedari keunikan pisang tersebut, kira-kira dua bulan lalu semasa jantung pisang mekar dan mula mengeluarkan anak pisang.

Menurutnya, penemuan itu adalah yang pertama kali berlaku sejak tujuh tahun lalu mengusahakan tanaman pisang udang di sebuah kebun di Kampung Sengkang Batu 22, Bukit Gambir, dekat sini. “Saya tanam pokok pisang ini setahun  lalu dalam kawasan seluas 1.3 hektar dengan 200 pokok pisang udang untuk dieksport ke Singapura.

“Lazimnya, pisang ini warna kemerah-merahan dan apabila sampai tempoh matang akan bertukar menjadi warna merah jambu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Uda berkata, jadi apabila mendapati setandan pisang itu mempunyai dua warna, pastinya mengejutkan dan dianggap terlalu unik.

“Tiga hari lagi pokok pisang ini sudah boleh ditebang kerana buahnya sudah cukup matang. “Saya tak hebahkan kepada orang ramai dan hanya memaklumkan penemuan ini kepada rakan rapat, mereka turut melahirkan kehairanan  dengan keunikan ini,” katanya.

Menurutnya, pisang tersebut mendapat permintaan yang tinggi terutamanya kaum Cina untuk upacara sembahyang. “Saya tidak teragak-agak untuk menjual pisang ini jika ada yang berminat untuk membelinya,” katanya.


Pokok pisang bertandan 5

Pokok pisang bertandan 5

Che Amat menunjukkan pokok pisangnya bertandan lima dan mempunyai lima jantung


KAMPUNG KUBANG BATANG (Tumpat) - Seorang warga emas di sini, terkejut apabila pokok pisang yang ditanam berdekatan rumah menantunya mengeluarkan lima tandan dan mempunyai lima jantung.

Warga emas berkenaan, Che Amat Che Mahmud, 70, berkata, dia menyedari kejadian pelik ini empat hari lalu ketika membersihkan kawasan pokok pisang itu.

Menurutnya, pada mulanya hanya tiga tandan kelihatan, tetapi selepas itu kelihatan dua dari tandan tersebut bercabang pula menjadikan lima kesemuanya.

“Pakcik tidak mengetahui spesies pokok pisang ini kerana benihnya dari Sabah, namun buah yang keluar itu seakan buah nangka.

“Pokok pisang ini dibawa pulang oleh menantu saya, Saupi dari Sabah. Kalau berdasarkan cakapnya, pokok pisang ini berasal dari Bugis,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya dia tidak yakin pokok pisang ini boleh hidup subur kerana akarnya pendek seperti dipotong.

“Bagaimanapun selepas dijaga rapi, ia berbuah tetapi agak pelik kerana mengeluarkan lima tandan,” katanya.

Menurutnya, kejadian pelik itu menyebabkan pokok pisangnya sering menjadi tumpuan orang ramai untuk melihat kekuasaan Allah.

“Pakcik akan biarkan pokok pisang ini berbuah hingga masak, buahnya lebat di setiap tandang walaupun di tandan yang bercabang,” katanya.