Ais krim telur buaya

Ais krim telur buaya

SEBUAH restoran di Davao City, Filipina tampil dengan idea luar biasa apabila menghasilkan ais krim menggunakan telur buaya bagi menggantikan telur ayam.


Bagaimanapun, pihak restoran Sweet Spot milik Dino dan Bianca Ramos memberi jaminan pencinta haiwan tidak perlu bimbang kerana ais krim tersebut tidak menggunakan daging buaya, sebaliknya hanya menggunakan telur yang tidak menetas atau telur lebihan.

Dino memberitahu, telur buaya diperoleh daripada bapa saudaranya iaitu pemilik Taman Buaya Davao yang tidak mengetahui apa yang perlu dilakukan dengan telur itu.

"Rasanya sama seperti ais krim biasa, dan oleh kerana buaya merupakan spesies terancam, kami hanya boleh mendapatkan telur yang tidak menetas atau lebihan," katanya kepada Daily Mail.

Menurut restoran itu lagi, telur buaya mengandungi 80 peratus telur kuning dan lebih berkhasiat berbanding telur ayam.

Kubur wanita mati beranak ditelan bumi

Norazizan menunjukkan dua batu nisan asal di kubur dipercayai milik wanita yang mati sebaik melahirkan anak hasil zina dengan anak kandung.



KUALA KUBU BHARU - Tidak kiralah ia cerita dongeng atau tidak, kisah yang disampaikan dari mulut ke mulut sejak berpuluh tahun lalu di kalangan penduduk setempat tentang sebuah kubur lama di tengah-tengah kawasan perumahan di Kampung Kelapa di sini, ternyata memberi peringatan bahawa azabnya balasan ALLAH SWT.

Pusara tidak bernama lebih 110 tahun itu dikatakan wujud berikutan satu peristiwa yang dikaitkan dengan hubungan terlarang, zina antara ibu dan anak kandungnya.

Ketua Kampung Kuala Kubu Bharu, Norazizan berkata, kubur tersebut dipercayai milik seorang wanita yang mati sebaik melahirkan bayinya.

Bagaimanapun, katanya terdapat dua cerita yang masih belum terungkai berkaitan bagaimana arwah dua beranak itu dikebumikan di kawasan itu.

“Ada cerita beritahu mungkin arwah tak sempat dikebumikan di tanah kubur Ampang Pecah jadi dikebumikan di sini, dan sebab mengapa tak sempat tu, masih tak tahu. Ada pula cerita mengatakan perempuan tu ditelan bumi sebaik bersalin dan tak sempat diselamatkan. Bayi yang dilahirkan katanya hasil hubungan terlarangnya dengan anak kandung sendiri," katanya.

Cerita Norazizan ini dikuatkan lagi menerusi laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 1904 berkaitan peristiwa kubur tersebut.

Kini, keratan akhbar tersebut berada dalam simpanan Persatuan Sejarah Kuala Kubu (Peskubu).

Laporan akhbar tersebut antara lain menyatakan, telah tersebar cerita pelik melalui sumber masyarakat Melayu mengenai seorang wanita di Kuala Kubu secara misteri telah ditelan atau dirantai oleh tanah akibat dosa dilakukan dan wanita itu sukar dikeluarkan.

Menurut laporan itu lagi, orang ramai yang menyaksikan peristiwa dia ditelan bumi itu berasa simpati dan telah mendirikan atap agar memayunginya daripada kepanasan dan hujan.

Malah, menurut akhbar itu lagi, cerita tersebut telah tersebar luas sehingga penduduk dari Kuala Lumpur sanggup datang ke Kuala Kubu semata-mata untuk menyaksikan lokasi kejadian misteri itu.

Bagaimanapun, Norazizan berkata, selang beberapa tahun kejadian, kubur yang sepatutnya dijadikan peringatan tentang kekuasaan ALLAH itu telah disalah gunakan pihak tidak bertanggungjawab dengan melakukan amalan-amalan khurafat.

"Kubur tu dah dijadikan tempat puja nombor ekor judi oleh sesetengah penduduk," katanya kesal.

Katanya, dua batu nisan yang hilang tidak diketahui semenjak ia dijadikan tempat pemujaan.

“Akibat ada orang buat benda-benda haram dan dosa tu, sejak daripada itu berlaku macam-macam kejadian pelik kepada penduduk kampung antaranya gangguan histeria,” katanya.

Norazizan berkata, ada pihak berminat untuk menjadikan kubur lama tersebut sebagai sebahagian peninggalan sejarah Kuala Kubu.

"Jika benar nak buat, eloklah kajian menyeluruh dijalankan," katanya yang menyokong.


Fibroid terbesar dalam dunia.

Foto

Chennai: Sepasukan doktor di sini berjaya melakukan pembedahan rumit ke atas seorang wanita untuk mengeluarkan ketumbuhan dalam rahim seberat 14 kilogram dan berukuran lilit 53 sentimeter, yang terbesar dalam dunia.


Wanita berusia 52 tahun itu yang dikenali sebagai Latha, menghadapi masalah untuk bernafas dan sentiasa letih selama beberapa tahun, tetapi tidak menyedari ketumbuhan sebesar buah tembikai itu membesar dalam rahimnya.


Dia hanya mendapatkan rawatan di Hospital Kumaran selepas mengalami pendarahan teruk sebulan lalu.

Doktor yang menjalankan ujian mendapati dia terlalu lesu sebelum mengesan ketumbuhan besar pada permukaan luar rahim yang menyebabkan tekanan pada tubuhnya.


Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Dr Mani Mekalai berkata, pihaknya terkejut menemui ketumbuhan sebesar itu.


Menurutnya, fibroid terbesar pernah dikeluarkan pakar perubatan sebelum ini ialah di Afrika yang seberat 10 kilogram.

“Berdasarkan saiz fibroid pada Latha, ia mungkin sudah berada di situ lebih 20 tahun lalu,” kata pakar itu. Mani juga berkata, tanda-tanda ketumbuhan biasanya berkait dengan lokasi fibroid.


“Memandangkan ia tumbuh di luar rahim, pesakit tidak menyedarinya,” kata Mani.



Latha menjalani pembedahan dua hari selepas dimasukkan ke hospital.


Pakar bedah, Dr Shiva Kumar berkata, pasukan empat doktor mengambil masa tiga jam setengah untuk membuang fibroid berkenaan.


Mereka terpaksa membuang uterus bersama-sama ketumbuhan itu bagi mengelaknya tumbuh semula.


Menurut Mani, walaupun ketumbuhan dalam rahim adalah perkara biasa, tetapi fibroid yang dibuang biasanya tidak sebesar itu. - Agensi

Fosil telur pterosaur dalam keadaan sempurna dijumpai



BEIJING 7 Jun - Fosil telur dipercayai milik seekor reptilia terbang prasejarah yang mampu membesar mencapai saiz sebuah kapal terbang kecil, ditemukan di wilayah Xinjiang di China baru-baru ini.


Telur pterosaur atau ‘cicak bersayap’ itu adalah yang pertama kali dijumpai dalam keadaan sempurna dengan ahli paleontologi mendakwa, penemuan tersebut dapat membantu merungkai maklumat mengenai spesies yang tidak diketahui terbabit.

Mail Online melaporkan, penemuan fosil itu mengandaikan sekurang-kurangnya beberapa ekor haiwan tersebut tinggal dalam satu koloni bersarang yang besar seperti kehidupan burung-burung moden.

Sekurang-kurangnya lima fosil telur dalam keadaan sempurna ditemukan di lokasi itu di barat laut China bersama sekurang-kurangnya 40 tulang pterosaur dewasa.

Kesemua pterosaur itu dipercayai daripada spesies Hamipterus tianshanensis yang mempunyai sayap berukuran lebar antara 1.5 meter dan 3.4 meter.

Saintis percaya, telur-telur yang retak itu bukannya datang daripada induk yang sama.

"Kombinasi kebanyakan pterosaur dan telur itu menunjukkan kehadiran kawasan sarang berhampiran dan mengandaikan spesies tersebut mempunyai tingkah laku suka berkawan," kata ketua penyelidik, Dr. Xiaolin Wang dari Akademi Sains China di Beijing.

Sebelum ini, empat butir biji telur pterosaur ditemukan dalam keadaan tidak sempurna iaitu tiga di China dan satu lagi di Argentina.

Kundur gergasi saiz kanak-kanak

Mohd Zain dengan sebahagian kundur yang tumbuh di tepi rumahnya.


PADANG BESAR - Seorang penoreh getah terkejut apabila buah kundur yang tumbuh di tepi rumahnya bersaiz gergasi menyamai saiz kanak-kanak berusia dua tahun.

Mohd Zain Mat Isa, 64, berkata, dia mula menyedari pokok kundur itu tumbuh sejak awal tahun  ini namun tidak menyangka saiznya membesar seperti itu namun dia tidak pernah menimbang berat dan mengukur saiz buah berkenaan.

“Apabila saya tengok ada pokok kundur tumbuh saya pun memacak buluh dan kayu supaya pokok ini dapat menjalar, tetapi saya tak sangka bila hujan mula turun pada hujung Mac baru-baru ini, buah ini semakin membesar.

“Kini umur buah kundur ini sudah hampir lima bulan dan semuanya bersaiz besar, sebiji kundur ini saya dah beri kepada seorang rakan manakala empat biji lagi saya berhajat untuk berikan kepada jiran saya untuk majlis kenduri kahwin anaknya tidak lama lagi,” kata Mohd Zain ketika ditemui di  rumahnya di Felda Mata Ayer di sini, semalam.

Menurutnya, kundur itu kini menjadi perhatian orang ramai terutamanya pada musim cuti sekolah.

“Ramai yang datang tengok semasa cuti sekolah ini malah ada orang dari luar seperti dari Kuala Lumpur dan Pahang yang datang ke sini untuk makan kenduri turut singgah melihat dan bergambar dengan kundur ini.

“Saya tak pasti bagaimana pokok ini boleh tumbuh, semasa kenduri anak saya tahun lepas ada hidangan gulai kundur, mungkin orang yang menyediakan gulai kundur ini membuang biji kundur ke atas tanah bersebelahan rumah ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pertanian Perlis Zulkifli Amin Yusuf  ketika dihubungi berkata kundur gergasi tersebut juga dikenali sebagai beligu ataupun nama saintifiknya Benincasa Hispida yang berasal dari Asia Tenggara.

Katanya buah kundur dari jenis tersebut boleh mencapai berat sehingga 20 kilogram (kg) namun mengikut lokasi seperti kawasan iklim Mediterranian di Israel, kundur itu boleh mencecah sehingga 50kg.

Seluar 3,300 tahun ditemui dikawasan perkuburan Yanhai di China

What are thought to be the world's oldest trousers (pictured) have been discovered in one of the Yanghai tombs in China's Tarim Basin. The trousers are made of three bits of cloth, one for each leg and one for the crotch, stitched together. A woven decoration is also visible on the trousers, thought to have been used for horse riding

Other items have also been found as part of the project known as Silk Road Fashion. These include various garments dating back 3,000 years discovered in eastern central Asia. A fur coat (pictured being analysed by German and Chinese scientists), is among the finds and each of the relics is said to be of great value

Seluar berusia 3,300 tahun yang ditemui di kawasan perkuburan Yanhai di China.

Beijing: Penemuan sehelai seluar yang dipercayai berusia lebih 3,000 tahun adalah sesuatu yang mengejutkan dan sekalipun ia kelihatan usang dan lusuh tetapi tetap kelihatan utuh. 

Seluar itu ditemui bersama pakaian lain di kawasan perkuburan Yanghai di Lembangan Tarim, di China. Seluar yang diperbuat daripada tiga cebisan kain itu dijahit bersama dan hasil tenunan dapat dilihat dipermukaannya. Lebih menarik lagi, ia dipercayai pakaian yang digunakan untuk menunggang kuda. Seluar yang dianggarkan berusia lebih 3,300 tahun itu juga dianggap sebagai yang tertua pernah ditemui. 


Penemuan itu juga memberi ilham kepada penyelidik Ulrike Beck dari Institut Arkeologi Jerman di Berlin untuk mencadangkan bahawa penciptaan seluar itu adalah untuk digunakan bagi menunggang kuda. 

Penyelidik turut menemui serpihan seluar bulu yang dipercayai digunakan sejak abad ke 10 dan 13 sebelum Masihi. 

Seluar tertua untuk menunggang itu dipercayai mula digunakan sejak 4,000 tahun lalu. 


Jumpa peralatan kuda, senjata 
Penyelidik juga menemui peralatan kuda dan senjata. Mereka membuat andaian bahawa ciptaan pakaian itu terbahagi kepada dua bahagian, iaitu untuk dua kaki dan kemaluan, dikaitkan dengan zaman baharu menunggang kuda bertujuan memudahkan pergerakan ketika berperang. 

Penyelidik menyifatkan seluar sebagai perlindungan yang penting kepada manusia untuk meningkatkan kualiti fizikal. Ia lebih bersesuaian berbanding jenis pakaian lain seperti jubah. 

Laporan penemuan itu sudah dikeluarkan untuk kegunaan antarabangsa dan menyokong idea penciptaan seluar menunggang untuk kegunaan gembala yang sering berpindah-randah. - AGENSI

Gajah Thailand boleh main piano



GAJAH digelar sebagai Peter ini dikurniakan kebolehan luar biasa.

Rakaman dimuat naik PaulBartonPiano di Youtube menunjukkan haiwan mamalia ditempatkan di bawah program Elephantstay di Royal Elephant Kraal & Village di Thailand tersebut boleh bermain piano.

"Peter kelihatan seronok menikmati muzik terbabit kerana ia turut 'menari' walaupun tidak mengikut alunan rentak dan irama lagu," kata jurucakap Elephantstay kepada laporan Daily Mail.

Di program Yayasan Phra Kochabaan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, pengunjung juga dibenarkan untuk merasai pengalaman menyeronokkan tinggal bersama gajah.

Tapak kaki bersaiz luar biasa ditemui


PUCHONG – Kesan tapak kaki bersaiz gergasi yang ditemui di halaman sebuah rumah di Kampung Sri Aman Dalam dekat sini petang kelmarin, menimbulkan persoalan ia milik ‘bigfoot’ atau makhluk jenis lain.


Bersaiz 23 inci panjang, dua belah tapak kaki itu turut ditemui bersama satu lagi kesan tapak kaki kiri bersaiz 15 inci.

Pesara, Abdul Wahab Md Wali, 78, berkata, dia menemui empat objek pelik ketika berjalan menuju ke kebun buah-buahan terletak kurang 50 meter dari jarak rumahnya.

Dari jarak rumah ke kebun dia menghamparkan sebidang permaidani bagi mengelakkan rumput tumbuh sejak sebulan lalu.

Namun dia tidak menyangka akan menemui kesan tapak kaki gergasi atas permaidani yang dihampar, petang kelmarin.

"Kesan tapak kaki bersaiz besar itu mempunyai lima jari mirip tapak kaki manusia dan jarak antara tapak kaki kanan dan kiri hampir satu meter.

"Kira-kira tiga meter dari jarak dua tapak kaki itu terdapat dua lagi kesan menyerupai tapak kaki berukuran 15 inci manakala satu lagi hanya menampakkan kesan tumit kaki yang dipijak," katanya kepada Sinar Harian.

Terkejut dengan penemuan itu, dia kemudian memanggil anaknya menyebabkan kini mereka sekeluarga dihantui rasa takut.

“Mula-mula pakcik tak perasan kesan tapak kaki tu tapi bila diamati memang terkejut. Ia serupa tapak kaki manusia tapi besar macam gergasi.

“Lepas jumpa semalam (kelmarin) pakcik taklah kecoh-kecoh tapi ada juga orang kampung yang dah tahu datang tengok,” katanya.

Difahamkan, buah pokok belimbing buluh yang ditanam Abdul Wahab berhampiran kesan tapak kaki ditemui sering ‘ghaib’ sebelum ini.

Sementara itu, adik ipar Abdul Wahab, Kamarudin Ismail, 68, berkata sepanjang hidupnya, itulah kali pertama dia melihat tapak kaki bersaiz besar.

Bagi mendapat kepastian, penemuan itu diajukan kepada pihak polis dan Jabatan Perhilitan.

“Jabatan Perhilitan kata ia bukan tapak kaki ‘bigfoot’...jadi tapak kaki ni milik siapa? Haiwan, manusia atau jin, kami semua nak tahu..., sekarang saya akan simpan permaidani yang terdapat kesan tapak kaki ni jika ada mana-mana pihak nak kaji,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung penemuan objek itu daripada seorang penduduk Kampung Seri Aman.

Katanya, pihaknya akan melakukan siasatan dan memanggil pakar jika perlu untuk kajian lanjut.