Guru paling kenit di dunia

Guru paling kenit di dunia
Masalah hormon pelik yang berlaku pada anggota badan Azad membuatkan tumbesarannya terbantut sejak berusia lima tahun.


SEWAKTU berumur 18 tahun, beliau pernah dilabelkan sebagai peserta sarkas pelik, namun lelaki kenit Azad Singh yang berketinggian hanya 91 sentimeter (sm) berjaya menutup mulut masyarakat setempat apabila menjadi guru paling kecil di dunia.

Azad, 22, disahkan menghidap sejenis penyakit gangguan genetik luar biasa yang menghentikan tumbesarannya ketika berumur lima tahun, sekali gus kekal sehingga ke hari ini.

Anak muda yang amat kecil itu, bertanggungjawab mengajar mata pelajaran kemahiran komputer di sebuah sekolah rendah perempuan dalam Haryana, India.

"Kesemua pelajar saya lebih tinggi daripada saya," katanya sambil ketawa.

Bagaimanapun, Azad mempunyai sedikit masalah untuk mengajar, beliau terpaksa berdiri di atas meja guru untuk membolehkannya menulis di papan putih.

Pelajar turut menggelar Azad sebagai 'Chotu' atau 'Cikgu kecil' berikutan memiliki ketinggian 91 sm serta berat 18 kilogram (kg).

"Sejak bekerja sebagai guru, saya memiliki pendapatan sendiri iaitu setiap bulan saya menerima 10,000 rupees (RM563.70)," katanya.

Azad terpaksa akur dengan fizikalnya di mana beliau terpaksa memakai pakaian kanak-kanak walaupun usianya telah mencecah golongan dewasa.

Beliau berkata, walaupun tubuh badannya kenit dan tidak akan membesar seperti lelaki normal, beliau amat berbangga kerana mampu mencapai impian yang diidamkan iaitu menjadi seorang guru.

"Masyarakat sememangnya melayan saya sebagai lelaki normal kerana kini saya sudah bekerja dan pekerjaan saya ini amat dihormati orang ramai.

"Pernah sekali ketika saya berusia 18 tahun, saya telah disalah tafsir sebagai bayi oleh seorang pengawal kereta api.

"Sewaktu di sekolah pula saya juga pernah dibuli kerana masalah saiz badan saya dan berasa amat takut dengan ancaman yang saya berkemungkinan akan diculik oleh pengurus sarkas," katanya.

Bagaimanapun, Azad berkata cemuhan yang dilemparkan kepadanya sewaktu di zaman kanak-kanak menjadi pemangkin kepada beliau untuk membina karakter, sekali gus mematangkannya sehari demi sehari.

"Si pembuli itu berjaya membuatkan saya berusaha keras mencapai matlamat dan mereka tidak akan dapat berkata apa-apa lagi sekarang ini," katanya.  - MailOnline



Tiada ulasan:

Catat Ulasan