Jumpa duit syiling 214 tahun

Jumpa duit syiling 214 tahun
Nazarudin menunjukkan koleksi duit syiling lama dan RM1 berusia 36 tahun ketika ditemui di kediamannya di Taman Indah, kelmarin.

Jumpa duit syiling 214 tahun
Koleksi duit syiling lama Nazarudin.

TAMPIN – Seorang kaki pancing tidak menyangka minat memancing kira-kira dua tahun lalu berjaya menemukannya dengan 11 duit syiling lama yang antaranya berusia 214 tahun. 

Nazarudin Ali, 37, dari Taman Indah berkata, dia sememangnya berminat mengumpul duit syiling lama dan tidak menyangka terjumpa duit syiling yang tertera tahun 1799 ketika dalam perjalanan memancing di lombong terletak lima kilometer dari rumahnya.

Menurutnya, sebelum ini duit syiling paling lama dalam simpanannya ialah RM1 bersaiz besar dan berwarna perak yang tertera tahun pengeluarannya 1977.

"Saya gemar menyimpan duit syiling yang bukan hanya keluaran dalam negara sahaja, bahkan dari negara jiran pun turut disimpan untuk dijadikan kenangan.

"Oleh itu, apabila terjumpa duit syiling ini bertaburan di hutan berhampiran lombong tempat saya dan anak sulung memancing, saya tidak membazirkan masa mengutip serta membersihkan duit syiling yang disaluti tanah," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Taman Indah, dekat sini kelmarin.

Nazarudin berkata, dia pernah terbaca duit syiling berusia ratusan tahun mempunyai nilai sangat tinggi dalam kalangan penggemarnya terutamanya jika di luar negara.

"Saya juga gemar membaca kisah individu yang memiliki duit syiling lama termasuk yang pernah mengalami pengalaman mistik setelah memiliki duit syiling lama berkenaan.

"Tetapi saya tidak pula mengalami pengalaman seumpama itu dan aktiviti mengumpul duit syiling termasuk syiling lama kini menjadi hobi paling digemari saya serta ahli keluarga," katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan