Masih hidup walau dua kali diisytihar mati

HARDY (kanan), anaknya, Anastasia (kiri) dan cucu, Nelli.
HARDY (kanan), anaknya, Anastasia (kiri) dan cucu, Nelli.


TOMSK (Siberia) : Seorang nenek dua kali bangkit daripada mati, malah terselamat selepas tiga hari berada di sebuah rumah mayat.

Wanita Russia berusia 61 tahun itu diisytiharkan mati sebanyak dua kali oleh doktor tetapi hidup semula, termasuk beberapa minit sebelum dibedah siasat.

Hardy Lyudmila Steblitskaya menghabiskan masa tiga hari di rumah mayat yang sejuk ketika keluarganya meratapi kematian bekas tukang masak itu di rumah mereka.

Akhbar Siberian Times melaporkan, kali pertama Hardy mengejutkan doktor, rakan dan keluarganya ialah November tahun lalu dan kali kedua pada Oktober tahun ini.


Dalam kejadian tahun lalu, dia dibawa ke Hospital Wilayah Tomsk dan dirawat beberapa hari kerana tidak sihat.


Apabila anaknya, Anastasia, 29, menelefon hospital, dia diberitahu bahawa ibunya sudah mati.

Anastasia yang begitu sedih mula merancang majlis pengebumian ibunya dan menyampaikan berita itu kepada rakan dan anggota keluarga lain.

Dia membelanjakan RM6,000 untuk membeli bunga, keranda, urusan gali kubur serta makanan. 

Apabila dia ke hospital untuk mengambil mayat Hardy, dia diberitahu supaya tunggu kerana doktor belum menjalankan bedah siasat.

Seorang doktor yang kelihatan terkejut kemudian memberitahu ibunya tidak mati dan masih bernafas di katilnya.

Anastasia yang hampir tidak percaya dengan kata-kata doktor itu, memasuki bilik ibunya dan mendapati wanita itu memanggill namanya. Dia menjerit sehingga beg yang dipegangnya terlepas.

“Saya begitu terkejut hingga terlupa untuk masuk semula ke bilik itu dan memeluk ibu saya. Sebaliknya saya menelefon rakan dan keluarga dan meminta supaya kerja menggali kubur dihentikan,” katanya kepada akhbar itu.

Ibunya hanya ingat bahawa dia berada di hospital itu pada hari Jumaat dan terjaga di rumah mayat pada Isnin.

Pada Oktober lalu, Hardy yang menghidap sakit jantung, dikatakan sudah tidak bernyawa lagi ketika dimasukkan ke sebuah hospital tetapi kali ini doktor berjaya menyedarkannya semula selepas beberapa jam. - DM


Planet kembar Bumi ditemui 2013?

planet Bumi
Lebih 800 exoplanet sesuai didiami makhluk Bumi dikenal pasti berada di luar Sistem Suria

SAN JUAN - Planet asing yang sesuai didiami makhluk Bumi akan dikenal pasti pada tahun depan, menurut laporan terbaru saintis baru-baru ini.

Saintis di Universiti Puerto Rico di Arecibo, Abel Mendez berkata, mereka yakin akan menemui planet 'kembar' Bumi yang pertama dalam masa terdekat memandangkan ahli astronomi telah menemui beberapa exoplanet (planet di luar Sistem Suria) sejak beberapa tahun lalu.

Difahamkan, pertama kali exoplanet ditemui pada tahun 1995 dan sejak itu lebih 800 dikenal pasti berada di luar Sistem Suria. Teleskop angkasa Kepler milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) juga telah mengesan lebih 2,300 planet asing berpotensi untuk didiami sejak Mac 2009. - SPACE.com


12 rangka manusia purba ditemui

rangka manusia purba
Antara rangka manusia purba dipercayai berusia 800 tahun, yang boleh dilihat di tapak penggalian di Cholula, kira-kira 120 kilometer dari Mexico City



CHOLULA, Mexico 29 Dis. - Ahli arkeologi di Mexico, menemukan rangka 12 kanak-kanak dan seorang dewasa yang dipercayai ditanam 800 tahun lalu, kata pakar Institut Antropologi dan Sejarah Nasional.

Rangka-rangka itu ditemui ketika ahli arkeologi berkenaan memantau pemasangan sistem perparitan di kawasan perumahan di Cholula, kira-kira 120 kilometer dari ibu negara Mexico.

Tengkorak pertama ditemui pada 8 Disember lalu dan pakar kemudian berjaya menggali kesemua 12 rangka, kelmarin.

Ahli arkeologi, Ashuni Romero Butron berkata, rangka manusia tersebut ditemui beberapa sentimeter di bawah satu bahagian yang diturap.

Beliau berkata, kebanyakan 12 rangka manusia tersebut lengkap dan jantina mereka akan ditentukan selepas pemeriksaan di makmal.

Etnik rangka manusia itu juga masih belum ditentukan, namun Butron menyatakan kawasan itu diduduki oleh etnik Tolteca-Chichimeca dan Olmeca-Xicalanca kira-kira 800 tahun lalu.

April lalu, satu lagi kawasan pengebumian yang mengandungi 17 rangka manusia yang dipercayai berusia 700 tahun telah ditemui berdekatan kawasan tersebut. - AFP





Bunga paling busuk di dunia berkembang

Bunga paling busuk di dunia, Titan Arum dipamerkan 


RIO DE JANEIRO 28 Dis. - Taman botani di tenggara Brazil menerima kunjungan ratusan pengunjung setiap hari ekoran bunga paling berbau busuk di dunia yang juga bunga tropika terbesar, Titan Arum mula berkembang sejak Selasa lalu.

Peluang untuk menyaksikan bunga yang dikenali sebagai 'bunga mayat' yang sukar berkembang itu nyata tidak dipersiakan kerana ia hanya mempunyai jangka hayat selama 72 jam sahaja.

Seorang ahli botani, Patricia Oliveira memberitahu AFP, Titan Arum mula berkembang pada Hari Krismas dan kini ia semakin menguncup.

''Semasa tempoh itu (berkembang), bau busuk dan warna bunga menyerupai corak daging menarik perhatian agen pendebungaan seperti lalat dan kumbang,'' katanya yang bekerja di Taman Inhotim, yang menempatkan Titan Arum kira-kira 445 kilometer dari ibu negara Brazil.

Titan Arum, juga dikenali dengan nama saintifiknya, 'Amorphophallus titanum,' berasal dari hutan hujan barat Sumatera.

Ia jarang berbunga dan sukar untuk ditanam kerana mengambil masa enam tahun untuk berkembang.
Semalam, spesimen itu mencapai ketinggian 167 sentimeter, tetapi spesies ini boleh membesar sehingga lebih tiga meter tinggi.

''Ini adalah kali kedua ia berkembang selepas kali pertama pada Disember 2010,'' kata Oliveira.
Apabila Titan Arum berbunga, ia mempunyai suhu yang sama seperti tubuh manusia, yang membantu menyebarkan bau hancing. - AFP




Bermain dengan beberapa ekor ular sawa

SEORANG lelaki bermain dengan beberapa ekor ular sawa di Bandar Malabon

 BANDAR MALABON, Filipina - Seorang lelaki bermain dengan beberapa ekor ular sawa di bandar ini semalam.

Dia membuat persembahan bagi meraikan kedatangan Tahun Ular berdasarkan kalendar Cina pada bulan depan.

Sejumlah orang menyaksikan persembahan lelaki itu yang berbaring bersama ular-ular tersebut.

Ular sawa Albino Burma merupakan antara yang dipamerkan lelaki berkenaan semasa dia bermain dengan haiwan berkenaan. - Reuters





Kuil berusia 3,000 tahun ditemui di Baitulmuqaddis

TAPAK kuil purba yang ditemui di Tel Motza, Baitulmuqaddis kelmarin.


TEL MOTZA, Israel - Beberapa ahli arkeologi Israel mendakwa telah menemui sebuah kuil dan patung-patung kecil keagamaan berusia kira-kira 3,000 tahun dan dipercayai wujud pada zaman empayar Judah, kata pihak berkuasa antikuiti negara itu kelmarin.

Artifak itu ditemui di Tel Motza, di luar Baitulmuqaddis semasa kerja-kerja arkeologi dilakukan di hadapan sebuah kawasan pembinaan lebuh raya baharu di lokasi terbabit.

"Struktur bangunan keagamaan yang ditemui amat luar biasa dan menarik," kata pengarah penggalian dalam satu kenyataan.

Salah seorang pengarah penggalian, Anna Eirikh memberitahu agensi berita AFP, penemuan tersebut membuktikan terdapat amalan keagamaan ketika zaman empayar Judah.

"Apa yang pasti semua patung kecil yang ditemui digunakan untuk tujuan keagamaan," katanya.

Penemuan bertarikh 9 hingga 10 sebelum Masihi itu membuktikan terdapat kuil pertama dibina di kawasan Baitulmuqaddis. - AFP






Rangka Bot Firaun Ditemui Di Abu Rawash

rangka bot, nabi musa, firaun
SEORANG pekerja mengukur lebar rangka sebuah bot Firaun.


KAHERAH - Rangka sebuah bot kayu yang digunakan pada zaman firaun dan berusia 5,000 tahun ditemui di kawasan arkeologi Abu Rawash, barat Kaherah oleh beberapa ahli arkeologi Perancis.

Panjang bot solar itu ialah 6 meter (m) panjang dan 1.5m lebar.

Pendedahan penemuan itu dibuat oleh Kementerian Antikuiti Mesir kelmarin.

Pada kebiasaannya, bot itu ditanam dekat mumia firaun kerana ia dipercayai mampu membawanya kepada tuhan di syurga. - AGENSI




Cinta antara 2 ‘darjat’


BRASILIA: Walaupun memiliki ketinggian luar biasa, ia tidak menghalang Elisany da Cruz Silva menjalani kehidupan seperti remaja lain, termasuk menjalinkan percintaan dengan lelaki pilihan.

Elisany, 17, ketika ini diiktiraf sebagai remaja perempuan tertinggi di dunia dengan ketinggian 2.07 meter, manakala teman lelakinya 40.6 sentimeter lebih rendah. Apabila perlu, Elisany terpaksa membongkok untuk mencium kekasihnya, Francinaldo da Silva Carvalho, 22.

Berasal dari Salinopolis, ketinggian Elisany meningkat ketara akibat ketumbuhan pada kelenjar pituitari yang mengawal tumbesaran.

Ketumbuhan itu telah dibuang melalui pembedahan sebelum ini.

Menurut Elisany, dia terpikat kepada Carvalho kerana pemuda itu memiliki personaliti yang menyenangkan.

Katanya, Carvalho bijak berinteraksi, sama ada dengan orang lain atau dirinya sendiri.

“Satu-satunya aspek yang menjejaskan hubungan kami ialah ketinggian.

“Apabila kami keluar berpegangan tangan, Carvalho kelihatan seolah-olah adik atau anak saya,” katanya.

Bagaimanapun, kata Elisany, bukan dia yang memilih Carvalho menjadi kekasih, sebaliknya ia berlaku atas kehendak Tuhan. Sementara itu, Carvalho berkata, rakannya tertanya-tanya bagaimana dia memeluk Elisany.

Kata pekerja pembinaan itu, ia tidak menjadi halangan kerana setiap masalah ada penyelesaian.

“Elisany seorang yang jelita walaupun ketinggiannya sangat ketara.

“Saya tiada masalah memiliki kekasih yang sangat tinggi,” katanya. Sementara itu, Elisany berkata, selain bermasalah untuk menaiki bas sekolah, dia berhenti belajar apabila ketinggiannya menjadi bahan ejekan rakan sekelas. Di rumah pula, Elisany mengaku berdepan banyak masalah apabila sering terhantuk kayu siling. - DM


Wanita Arab-Israel meninggal dunia pada usia 124 tahun

MARIAM menunjukkan dokumen pengenalan dirinya beberapa tahun lalu.
MARIAM menunjukkan dokumen pengenalan dirinya beberapa tahun lalu.


TEL AVIV: Seorang wanita Arab warga Israel dilaporkan meninggal dunia pada usia 124 tahun.

Sekiranya disahkan, ia bermakna wanita itu dalah wanita paling lama hidup, lapor media Israel. 

Mariam Amash dari Kampung Arab di Jisr al-Zarqa, kira-kira 400 kilometer dari utara Tel Aviv, meninggalkan 10 anak dan kira-kira 300 cucu dan cicit, menurut ynet, versi internet akhbar terlaris Israel, Yedioth Ahronot.

Kad pengenalan Israelnya menunjukkan dia dilahirkan pada 1888.


Buat masa ini, orang tertua yang pernah disahkan dan didokumenkan ialah Jeanne Calment dari Perancis (1875-1997) yang meninggal dunia ketika berusia 122 tahun.


Beberapa bulan lalu, Mariam memberitahu ynet bahawa dia memang berusia 124 tahun dan dia masih ingat tahun dia dilahirkan tetapi tidak tarikh tepatnya.

Maka, kerani yang mengeluarkan kad pengenalannya berpuluh-puluh tahun lalu meletakkan 00.00.1888 sebagai tarikh dia dilahirkan dalam dokumen pengenalan itu.

“Jadi, keluarga saya akan mengadakan majlis keraian dan memberi hadiah pada setiap akhir tahun,” katanya.

Berita mengenai Mariam ini diketahui selang seminggu selepas Buku Rekod Guinness mengesahkan Jiroemon Kumura, lelaki berusia 115 tahun dari Jepun sebagai lelaki tertua hidup di dunia selepas wanita dari Amerika Syarikat, meninggal dunia pada usia 115 tahun. - Agensi


Budak tak sangka pelihara anak ular berbisa

TUJUH ekor anak ular berbisa terdapat dalam sebuah bekas makanan yang terletak di dalam bilik tidur Cumming di Townsville, Queensland pada Isnin lalu.


SYDNEY - Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Kyle Cumming tidak menyangka terdapat tujuh ekor anak ular berbisa keluar dari tujuh biji telur yang dikutipnya di pekarangan rumahnya di Townsville, negeri Queensland.

Cumming yang merupakan peminat hidupan liar menemui sepuluh biji telur di padang rumput di kawasan rumahnya yang seluas 1.2 hektar beberapa minggu lalu.

Telur-telur itu kemudian diletakkan di dalam sebuah bekas makanan yang tertutup di dalam bilik tidurnya.

Bagaimanapun, pada Isnin lalu, ibunya, Donna Sim membuka penutup bekas tersebut dan mendapati terdapat tujuh ekor anak ular.

Dia kemudian menghubungi pakar-pakar hidupan liar untuk mengesahkan identiti haiwan yang ditemuinya itu.

Seorang pakar hidupan liar kemudian mendapati, haiwan tersebut ialah anak ular perang timur yang kedua berbisa selepas ular inland taipan di bumi.

Tiga lagi telur dalam bekas tersebut didapati busuk.

"Budak itu amat bertuah kerana dia tidak digigit," kata seorang penyelaras reptilia di Pusat Penjagaan Hidupan Liar Queensland Utara, Trish Prendergast.

Dia kemudian membebaskan haiwan tersebut ke hutan.

Menurutnya, bisa ular tersebut boleh membunuh manusia.

"Jika budak itu membuka penutup tersebut, dia mungkin tidak lagi hidup," katanya. - Agensi








Bina rumah berbentuk kapal angkasa lepas

RUMAH berbentuk seperti kapal angkasa lepas yang dibina oleh Vinholis di Alto Paraiso De Goias, Brazil.


ALTO PARAISO DE GOIAS, Brazil - Seorang pengamal perubatan alternatif, Agusto Vinholis membina sebuah rumah berbentuk seperti kapal angkasa lepas di sini.

Dia percaya rumah tersebut akan dapat melindungi keluarganya daripada kemusnahan akibat hari kiamat yang dipercayainya berlaku semalam.

Hari kiamat tersebut dipercayai berlaku berdasarkan tafsiran kalendar kaum Maya yang berakhir pada 21 Disember 2012.

Bagaimanapun, hari kiamat itu tidak berlaku seperti ramalan sebahagian pihak yang fanatik dengan kalendar tersebut. - Agensi




Tengkorak 'makhluk asing' ditemui di Mexico

GAMBAR yang dirakamkan di laman YouTube semalam menunjukkan tengkorak manusia berbentuk lonjong yang ditemui di Kampung Onavas, Mexico.

BANDAR RAYA MEXICO - Sekumpulan ahli arkeologi menemui sebuah tengkorak manusia yang berbentuk lonjong dekat Kampung Onavas di Mexico, menurut akhbar dalam talian, MailOnline kelmarin.

Tengkorak itu dipercayai berusia 1,000 tahun dan ia kelihatan seperti gambaran watak makhluk asing dalam filem-filem keluaran Hollywood.

Ia ditemui tertanam di sebuah kawasan yang mengandungi 25 rangka tulang manusia.

Tengkorak tersebut mempunyai bentuk lonjong disebabkan amalan tradisi penduduk yang tinggal di utara Mexico.

Penduduk tersebut mengamalkan tradisi menghasilkan pelbagai bentuk kepala dengan menggunakan pelbagai kaedah.

Antara kaedah itu ialah dengan menggunakan dua kepingan kayu yang diikat di bahagian kepala.

Ia dilakukan ketika tengkorak tersebut masih di peringkat kanak-kanak.

Seorang ahli arkeologi, Cristina Garcia Moreno berkata, tengkorak tersebut mempunyai bentuk sedemikian kerana untuk membezakan status sosial penduduk dan disebabkan upacara keagamaan.

Moreno mengetuai projek penyelidikan tersebut bagi pihak Universiti Negeri Arizona, Amerika Syarikat.

Projek itu mendapat kelulusan Institut Antropologi dan Sejarah Kebangsaan Mexico. - Agensi





Penduduk kampung pindahkan kubur unik

SEKUMPULAN orang termasuk penduduk kampung menyaksikan sebuah kubur di atas bukit di kawasan pembinaan sebuah bangunan di Taiyuan semalam.


TAIYUAN - Beberapa penduduk kampung bertindak memindahkan sebuah kubur yang terletak di atas sebuah bukit setinggi 10 meter di sebuah kawasan pembinaan sebuah bangunan kediaman di sini semalam.

Kubur tersebut terletak di atas bukit berkenaan tujuh bulan selepas kerja-kerja pembinaan bangunan berkenaan bermula.

Empat keranda digunakan untuk membawa tulang si mati yang dikebumikan di atas bukit tersebut pada tahun 2004.

Keluarga si mati dengan bantuan beberapa penduduk kampung memindahkan kubur berkenaan di sebuah lokasi yang tidak didedahkan.

Sebelum ini pihak media membuat spekulasi keluarga si mati bakal memperoleh pampasan sebanyak AS$160,400 (RM489,485).

Terdapat juga laporan media yang menyatakan, keluarga si mati menunggu tarikh yang dianggap bertuah untuk memindahkan kubur berkenaan. - Agensi



Ikan air tawar boleh 'berjalan' ditemui di Vietnam

IKAN kecil yang berukuran antara 15 milimeter (mm) hingga 20mm ditemui di Surat Thani, selatan Thailand 


HANOI - Beberapa saintis mengenal pasti sebanyak 129 spesies baharu di kawasan Mekong Besar termasuk ikan air tawar seperti keli yang boleh 'berjalan' di darat, kata Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) semalam.

Maklumat tersebut terdapat di dalam laporan baharu WWF yang memperincikan penemuan pada 2011 itu.

Kawasan Mekong Besar merangkumi sebahagian Thailand, Kemboja, Myanmar, Vietnam, Laos dan wilayah Yunnan di selatan China.

Ikan air tawar itu hidup di beberapa batang sungai di Pulau Phu Quoc, dekat Delta Mekong, dalam wilayah Kien Giang di Vietnam.

Dikenali dengan nama saintifik, Clarias gracilentus, spesies itu mempunyai kebolehan menggunakan sirip-siripnya untuk berdiri tegak dengan haiwan tersebut menggoyang-goyangkan badannya untuk bergerak ke hadapan seperti seekor ular.

Antara spesies baharu yang unik di kawasan berkenaan termasuk ikan terkecil baharu yang berukuran antara 15 milimeter (mm) hingga 20mm panjang dan katak yang boleh 'menyanyi' di utara Vietnam.

Ikan kecil itu ditemui di Surat Thani, selatan Thailand. - Agensi




Bandar kecil Sweden bakal miliki lapangan terbang angkasa lepas

GAMBAR lakaran artis menunjukkan sebuah lapangan terbang untuk penerbangan ke angkasa lepas di Kiruna.


KIRUNA, Sweden - Bandar kecil di utara negara ini merancang untuk menawarkan penerbangan angkasa lepas komersial dalam tempoh sedekad lagi.

Terletak di kawasan artik, Kiruna dilengkapi sebuah lapangan terbang antarabangsa dengan penerbangan tetap ke London dan Tokyo.

Penerbangan angkasa lepas itu akan dikendalikan oleh syarikat tempatan, Spaceport Sweden dari lapangan antarabangsa di sini.

"Kami sedang berusaha untuk mewujudkan penerbangan komersial dari Sweden bagi tujuan pelancongan dan penyelidikan dengan membina tempat berlepas di lapangan terbang tersebut," kata Pengarah Spaceport, Karin Nilsdotter.

Perancangan itu melibatkan sekumpulan pelancong yang akan terbang selama dua jam ke angkasa lepas dengan menaiki sebuah kapal angkasa yang masih diuji.

Kapal angkasa tersebut boleh membawa sehingga enam orang penumpang.

Penerbangan itu akan menghantar para penumpang sejauh 100 kilometer dari Bumi untuk membolehkan mereka memperoleh pengalaman berada dalam keadaan graviti sifar selama lima minit. - AFP




Tulis guna dua tangan pada satu masa

Tulis guna dua tangan pada satu masa
Chen berkebolehan menulis secara dengan dua tangan serentak tanpa sebarang alat bantuan.


Di zaman kecanggihan teknologi dan telefon pintar, pasti ada pengguna berhadapan kesukaran untuk menulis dengan baik walaupun dengan sebelah tangan sahaja.

Tetapi tidak buat seorang penterjemah China, Chen Siyuan, yang berkebolehan menulis dengan dua belah tangannya serentak pada satu masa.

Menarik sekali, Chen, 24, mampu menulis berlainan bahasa serentak seperti bahasa Cina dan Inggeris.

Menurut Chen, beliau tidak melakukan sebarang latihan tetapi bakatnya muncul tanpa disedari sewaktu cuba menyelesaikan timbunan kerja sekolah beberapa tahun lalu.

"Ketika di sekolah menengah, secara tidak sedar saya telah menulis dengan kedua-dua belah tangan secara serentak," katanya. - DailyMail




Bulu Pelepah Keluar Dari Leher Bayi

Bulu Pelepah


Kansas – Sepasang suami isteri terkejut apabila mendapati bulu pelepah keluar daripada leher bayi mereka, Mya Whittington yang berusia tujuh bulan. Bukan sahaja pasangan itu, malah doktor yang merawat Mya juga terperanjat dengan kejadian berkenaan.

Bulu pelepah sepanjang dua inci itu bagaimanapun berjaya ditarik keluar daripada leher bayi tersebut selepas ibu bapanya membawa Mya ke hospital apabila lehernya membengkak.

Menurut bapanya, Aaron Whittington, 27, Mya mula berasa sakit dan tidak selesa sejak Sabtu lalu, namun mereka tidak mengetahui apa puncanya.

“Isteri saya menghubungi saya di pejabat dan memberitahu bahagian kiri leher anak saya mula bengkak. Dia bertanya kepada saya sama ada kami perlu membawa bayi itu ke bilik kecemasan,’’ katanya.

Aaron dan isterinya kemudian memutuskan untuk menunggu hingga keesokan harinya dengan harapan bengkak itu akan surut

Namun selepas melihat bengkak itu semakin besar, mereka terus membawanya ke hospital.

“ Mya dimasukkan ke hospital. Pada mulanya doktor menyangka tekak Mya mengalami jangkitan dan bengkak itu mengandungi cecair. Namun mereka berasa hairan kerana selepas berjam-jam cuba mengeluarkan cecair tersebut, tiada apa yang keluar pun dari kawasan bengkak itu.

“Beberapa jam selepas itu saya dan isteri melihat sesuatu muncul di leher Mya. Doktor kemudiannya menanggalkan sarung tangannya dan menarik bulu pelepah,’’ katanya.

Jelas Aaron apabila doktor memaklumkan ia adalah bulu pelepah, dia dan isterinya terkejut dan tidak percaya dengan apa yang mereka saksikan itu.

“Doktor sendiri tidak tahu bagaimana bulu pelepah itu boleh keluar melalui lehernya. Namun doktor berkenaan mempunyai teori tersendiri iaitu kemungkinan besar Mya menelan bulu tersebut dan ia melekat di bahagian tekaknya.

“Badan Mya kemudiannya tidak dapat menerima bulu itu dan memaksanya keluar melalui leher,’’ kata Aaron.

Pasangan suami isteri itu kemudiannya teringat bagaimana anak mereka menangis dan menggaru-garu bahagian bawah telinga kirinya, beberapa minggu lalu.

Namun pasangan itu menyangka anak mereka terkena jangkitan di telinga atau mungkin kesakitan kerana baru tumbuh gigi.

Bayi berkenana kini sihat sepenuhnya dan doktor juga memutuskan dia tidak perlu menjalani pembedahan kerana badannya akan pulih dengan sendiri.

Menurut Aaron, dia gembira kerana anaknya kembali sihat namun terkejut kerana berita mengenai bulu pelepah itu tersebar luas.


Anak kambing berkaki enam

Kambing berkaki enam milik Ponidi. (mukhtarbagus/sindotv)


JOMBANG, Jawa Timur - Tidak dapat dipastikan sama ada kelahiran seekor kambing ada kaitan dengan tarikh istimewa 12 Disember 2012 atau hanya kebetulan semata-mata.

Namun, itulah perkara yang berlaku ke atas seekor kambing di Kampung Mancar, Mukim Peterongan, di sini yang dilahirkan pada Rabu lalu dengan mempunyai enam kaki dan dua alat kelamin.

Keunikan itu telah menarik perhatian penduduk kampung yang berduyun-duyun mengunjungi kediaman Ponidi, pemilik kambing berkenaan.

Ponidi ketika ditemui Liputan6.com memberitahu bahawa seekor kambingnya telah melahirkan dua ekor anak, baru-baru ini.

''Anak kambing yang pertama lahir dalam keadaan sempurna, namun anak kambing yang kedua sama sekali berbeza.




Singa betina di Zimbabwe cipta keajaiban

A lioness in Zimbabwe gave birth to eight cubs - a world record - despite being on the pill

The eight pups, pictured being fed, were born on November 4

Pasha, pictured, already gave birth to two cubs earlier this year and was given was put on a contraceptive pill to control her breeding

HARARE 12 Dis. - Seekor singa betina di Zimbabwe mencipta keajaiban, sekali gus memecahkan rekod dunia dengan melahirkan sebanyak lapan ekor anak pada bulan lalu, walaupun ia telah diberi pil perancang.

Singa yang diberi nama Pasha itu melahirkan sebanyak lapan ekor anaknya itu pada 4 November lalu di Taman Singa dan Cheetah di pinggir ibu negara ini.

Ketua Perkhidmatan Saintifik Pihak Pengurusan Taman Negara dan Hidupan Liar Zimbabwe, Dr. Hillary Madzikanda berkata, kejadian itu tidak pernah berlaku dalam sejarah singa, malah ia merupakan satu rekod dunia.

Jurucakap taman itu hanya mengumumkan kelahiran luar biasa itu pada minggu ini.

Pasha pada awal tahun ini telah melahirkan dua ekor anak dan terus diberi makan pil perancang bagi mengawal pembiakannya.

Kelahiran itu, sekali gus memberi kejutan kepada kakitangan taman berkenaan memandangkan singa diketahui hanya melahirkan dua hingga empat ekor anak.

Malah doktor haiwan turut beranggapan pemberian pil perancang itu telah ‘memakan diri’.

Pasha kini diberi pemakanan tambahan bagi meningkatkan kesihatannya, manakala anaknya dipantau rapi oleh kakitangan taman itu. - AGENSI





Bola gergasi bahtera ‘kiamat’

BOLA GERGASI...Liu membina ‘Bahtera Noh’ dilengkapi pelbagai keperluan.
BOLA GERGASI...Liu membina ‘Bahtera Noh’ dilengkapi pelbagai keperluan.


BEIJING: Berdasarkan kalendar Mayan, kiamat akan berlaku 10 hari lagi.

Berikutan itu, sesetengah pihak yang percaya kepada ramalan itu cuba mencari jalan untuk menghadapi bencana berkenaan. Seorang petani di China percaya, dia mampu menghadapi sebarang malapetaka selepas membina tujuh ‘bola gergasi’ yang mampu menyelamatkannya dalam keadaan darurat. Liu Qiyuan menyiapkan alat itu yang digelar ‘Bahtera Noh’ menggunakan gentian kaca selepas mendapat ilham daripada filem Hollywood, 2012.

Kata Liu, dia membina Bahtera Noh itu di halaman rumahnya di Qiantun, Hebei menggunakan rangka besi.

“Alat ini boleh dijadikan tempat berlindung ketika berlaku bencana alam seperti tsunami atau taufan,” katanya.

Liu mencipta Kapal Noh itu supaya boleh terapung di atas air serta dilengkapi pendayung. Turut dipasang, pelbagai bentuk tangki oksigen, tali keledar serta ruang yang mencukupi untuk 14 orang.

Kata Liu, Kapal Noh itu dibina dengan teliti supaya kedudukannya stabil ketika terapung di atas air. “Saya harap ciptaan ini dipelajari pihak yang berkenaan, termasuk jabatan kerajaan serta pertubuhan antarabangsa supaya boleh digunakan ketika sesuatu tempat dilanda tsunami atau gempa bumi,” katanya. Walaupun boleh terapung, ciptaan Liu itu agak berat dan empat lelaki dewasa diperlukan untuk menggerakkannya.

Awal tahun ini, seorang ahli perniagaan China, Yang Zongfu mendedahkan alat keselamatannya bagi menghadapi bencana alam bernilai hampir RM740,000.


Menurut Yang, alat bulat berwarna oren itu mempunyai ‘simpanan dan penyambung hidup’ mencukupi untuk satu keluarga tiga orang selama 10 bulan. - DM






Belum jalan dah pandai berenang

SEPERTI ITIK DALAM AIR...William (kiri) dan Ellenita, ketika berenang di kolam.
SEPERTI ITIK DALAM AIR...William (kiri) dan Ellenita, ketika berenang di kolam.

WILLIAM meniru kakaknya, Ellenita.



GLOUSTERSHIRE: Mereka terlalu muda untuk berjalan dan bercakap tetapi bayi kembar, William dan Ellenita Trykush boleh berenang sejauh 25 meter pada usia hanya sembilan bulan.

Kembar berkenaan gemar berenang sambil menendang kaki mereka di dalam air.


Dan gambar menarik ini memaparkan mereka tersenyum sambil berenang.

Pencapaian itu menjadi lebih menarik memandangkan kedua-duanya dilahirkan secara caesarean enam minggu lebih awal. Bakat luar biasa pasangan kembar itu mula dilihat ketika bercuti bersama keluarga di Cyprus Oktober lalu apabila mereka mula berenang tanpa bantuan.


Sekembalinya ke Cirenster, Gloustershire, ibu mereka, Charlotte, 3,5 membawa pasangan berkenaan ke kolam bayi tempatan apabila mereka tiba-tiba berenang. “Ia amat mengejutkan. Mulanya mereka berenang lima meter dan kemudian tujuh meter sebelum berenang sepanjang 12 meter,” kata Charlotte, wanita kelahiran Perancis yang juga bekas jurulatih renang.


“Memandangkan tidak ada orang di kolam dewasa, saya mencadangkan guru mereka mencuba di kolam renang besar itu.


“Mereka begitu riang. Mereka mula berenang sepanjang kolam itu dengan saya berenang di bawah mereka bagi memastikan kedua-duanya tidak menghadapi masalah dan memandu mereka jika tersalah arah.


“Ellie adalah yang pertama. William kelihatan meniru kakaknya. Kami sungguh gembira. Penyambut tetamu dan jurulatih renang datang melihat dan turut kagum.

Seorang jurulatih yang sudah mengajar selama 20 tahun berkata, ini kali pertama dia melihat keadaan seperti itu.


“Saya yakin ia semula jadi kerena mereka terlalu kecil untuk belajar berenang.” kata Charlotte. - DM



Anjing pandu kereta di litar lumba

SEEKOR anjing yang bernama Monty memandu kereta Mini di Auckland



WELLINGTON - Dua ekor anjing terlatih memandu sebuah kereta yang diubah suai di sebuah litar perlumbaan di Auckland, New Zealand semalam.

Kedua-dua ekor anjing itu yang bernama Monty dan Porter lulus ujian memandu manakala aksi haiwan tersebut disiarkan menerusi televisyen.

Tujuan aksi tersebut disiarkan adalah untuk meningkatkan minat orang ramai supaya menjadikan anjing dari rumah-rumah perlindungan sebagai haiwan peliharaan.

Dua ekor haiwan itu merupakan sekumpulan anjing penyelamat dari Auckland yang diajar untuk memandu kereta.

Rakaman anjing-anjing itu belajar memandu mencetuskan sensasi di internet sebelum ini.

Beberapa klip video yang menunjukkan anjing-anjing berkenaan memandu telah ditonton lebih 700,000 kali di laman YouTube setakat ini.

Dalam ujian memandu itu, Monty memandu sebuah kereta Mini yang telah diubah suai di sepanjang laluan yang lurus.

"Semuanya dilakukan sendiri oleh anjing jantan itu," kata jurulatih haiwan, Mark Vette ketika Monty memandu kereta tersebut di sepanjang litar berkenaan.

Menurut Vette, anjing itu menghidupkan enjin, meletakkan satu kakinya di brek untuk menolak gear dan memandu kereta berkenaan.

Papan pemuka kereta itu diubah suai dengan dilengkapi pedal minyak dan brek. - AFP





Anjing dilatih pandu kereta

GINNY berada di tempat duduk pemandu sebuah kereta.


WELLINGTON - Anjing-anjing di New Zealand diajar cara untuk memandu kereta dengan memusingkan stereng, menekan brek dan pedal minyak.

Idea melatih anjing itu dikemukakan oleh agensi pengiklanan DraftFCB dengan kerjasama syarikat kereta Mini dan pihak Persatuan Pencegahan Kekejaman Haiwan (SPCA) yang beribu pejabat di Auckland.

Buat masa ini, tiga ekor anjing yang bernama Porter, Monty dan Ginny dilatih selama dua bulan oleh pelatih haiwan, Mark Vette.

Vette melatih haiwan tersebut cara untuk memandu dengan menggunakan sebuah 'kereta beroda' kecil yang mengandungi tempat duduk, stereng dan papan pemuka.

Anjing itu duduk di atas kerusi dengan memakai abah-abah keselamatan, memusingkan stereng, menekan brek dan minyak.

Papan pemuka 'kereta' itu dicipta khas supaya ia mempunyai pedal brek dan minyak.

Anjing-anjing tersebut akan menjalani 'ujian memandu' yang akan disiarkan secara langsung menerusi televisyen di negara ini pada Isnin ini.

Projek itu bertujuan bagi meningkatkan pengambilan anjing oleh orang ramai dari pusat perlindungan haiwan untuk dipulihara. - Agensi


sumber:




Gambar Bumi pada waktu malam

PENTADBIRAN Aeronautik Dan Angkasa Lepas Kebangsaan kelmarin menyiarkan imej waktu malam di benua Asia dan Australia.

Gambar tersebut dirakamkan dari kapal angkasa Apollo 8 milik Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, kelmarin, NASA mendedahkan Bumi pada waktu malam.

Gambar tanpa awan yang amat jelas itu dirakamkan lensa infra merah dan beresolusi tinggi menerusi satelit Pentadbiran Oseanik dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) milik NASA.

Sensor kamera pengimejan itu dapat merakamkan tiga imej cahaya kelam secara serentak sekali gus memberi peluang kepada para penyelidik untuk mengkaji atmosfera, daratan dan lautan di Bumi pada waktu malam.

"Data yang diperoleh amat tinggi kualitinya," kata seorang saintis NOAA, Christopher Elvidge kepada wartawan pada Persidangan Kesatuan Geofizik Amerika di sini baru-baru ini. - Agensi


Kubur unik dikelilingi projek kediaman

DUA buruh bekerja di lokasi pembinaan bangunan kediaman di tepi bukit yang mengandungi sebuah kubur (dalam bulatan) di Taiyuan semalam.



TAIYUAN, China - Sebuah kubur yang terletak di atas bukit yang dikelilingi projek sebuah bangunan kediaman di sini, utara China masih tidak dipindahkan.

Kubur itu dipercayai wujud sejak tahun 2004 lagi.

Pihak pemaju meneruskan kerja-kerja pembinaan di sekeliling bukit setinggi 10 meter itu selepas keluarga si mati enggan memindahkan kubur tersebut.

Keluarga si mati enggan menerima pampasan sebanyak AS$160,454 (RM488,903) yang ditawarkan oleh pihak pemaju supaya memindahkan lokasi kubur itu.

Pihak keluarga si mati itu menunggu tarikh yang dianggap bertuah untuk memindahkan kubur tersebut.

Kerja-kerja pembinaan itu dijangka siap pada April tahun depan.

Pada Ahad lalu, media melaporkan pihak berkuasa China telah merobohkan rumah lima tingkat yang terletak di tengah-tengah sebuah lebuh raya baharu dan menjadi kontroversi baru-baru ini.

Ketua kampung Xiayangzhang, Chen Xuecai memberitahu AFP bahawa rumah itu diroboh selepas pemiliknya yang juga seorang penternak itik, Luo Baogen setuju untuk menerima pampasan sebanyak AS$41,000 (RM124,615) daripada pihak pemerintah.- Agensi



Aksi ular sawa Afrika Selatan telan anak seladang dirakam


JOHANNESBURG: Aksi seekor ular sawa Afrika cuba menelan seekor haiwan liar dirakam pegawai taman haiwan semalam.

Kelihatannya mata ular itu lebih besar daripada perutnya ketika ia ditemui di kawasan semak di Afrika Selatan ketika cuba untuk menelan haiwan itu.


Foto penemuan mengerikan itu dirakam di taman haiwan Welgevonden, Afrika Selatan oleh pengurusnya, Rudi Hulshof.

Hulshof, 35, berkata: “Ini kali pertama saya menyaksikan sesuatu seperti itu dan saya sudah bekerja sebagai renjer taman ini selama 15 tahun di Afrika Selatan, selain berkunjung ke negara Afrika lain.


“Ini pemandangan yang amat jarang berlaku dan setahu saya yang pertama direkodkan, jauh sekali rakaman foto dan dokumentari memaparkan ular sawa Afrika Selatan menangkap mangsa sebesar anak seladang.


“Memang perkara biasa untuk ular sawa menangkap mamalia hidup, tetapi selalunya terdiri daripada spesies lebih kecil seperti arnab, kambing impala, antelop, tupai, burung dan tikus. “Namun, menangkap sesuatu sebesar ini tidak pernah terlintas di fikiran. Dapat dilihat bagaimana ular sawa itu membuka mulutnya sebesar-besarnya dan cuba untuk menelan mangsanya,” katanya. “Saya lihat ular itu hanya diam di atas tanah. Apabila mendekatinya saya nampak ia sedang menelan anak seladang yang berusia dua bulan.

“Saya hampir tidak percaya dengan apa yang saya saksikan sebelum berlari ke jalan raya secepat mungkin. “Saya perlu mendapatkan kamera saya dan merakam foto itu serta membenarkan pengunjung turut merakamnya sebelum matahari terbenam dalam tempoh beberapa minit lagi,” katanya.



Wanita tertua di dunia berusia 116 meninggal dunia di AS

GAMBAR fail menunjukkan Besse Cooper ketika berada di rumah jagaan di Monroe, Georgia, Amerika Syarikat pada Feb tahun lalu. - Foto AP
GAMBAR fail menunjukkan Besse Cooper ketika berada di rumah jagaan di Monroe, Georgia, Amerika Syarikat 


MONROE: Wanita yang disenaraikan sebagai tertua di dunia meninggal dunia di rumah orang tua di Georgia pada usia 116 tahun. 

Besse Cooper meninggal dunia pagi ini di Monroe, kata anak lelakinya, Sidney Cooper. 

Cooper berkata, ibunya sakit sepanjang minggu lalu dengan serangan virus dalam perut dan berasa sihat kelmarin. 

Beliau berkata, ibunya kemudiannya membuat dandanan rambut dan menonton video Krismas tetapi kemudiannya mengalami masalah pernafasan. 

"Ibu saya diberi bantuan oksigen dalam biliknya dan meninggal dunia pada kira-kira jam 2 petang (waktu tempatan)," katanya. - AP



Gunung di Perancis dipercayai tempat UFO muncul pada 'hari kiamat'

GAMBAR fail menunjukkan Gunung Pic de Bugarach di Bugarach, selatan Perancis.


PARIS - Gunung Pic de Bugarach setinggi 1,230 meter di selatan Perancis dipercayai merupakan satu-satunya tempat di dunia yang akan selamat daripada 'hari kiamat' pada 21 Disember depan, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.

Tarikh 21 Disember itu merupakan ramalan yang dibuat berdasarkan kalendar penduduk Maya yang bermula pada 3114 Sebelum Masihi.

Beberapa filem dokumentari dan laman web meramalkan bahawa berdasarkan kalendar penduduk Maya di Amerika Tengah itu, 'hari kiamat' akan berlaku pada 21 Disember depan.

Ramalan itu dibuat kerana kalendar Maya itu berakhir pada tarikh tersebut.

Menurut pihak yang percaya tentang 'hari kiamat' itu, sejumlah makhluk asing dan sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) akan muncul.

Golongan itu percaya 'garaj kapal angkasa' terdapat di kawasan pergunungan itu dan menyelamatkan golongan yang mempercayainya.

Pekan Bugarach kini menjadi popular dalam kalangan orang yang mempercayai bahawa kiamat akan berlaku pada tarikh tersebut.

Datuk Bandar Bugarach, Jean Pierre Delord bimbang ramai orang akan tiba di bandar kecil itu.

Kawasan di sekitar Bugarach hanya didiami seramai 180 orang.

Polis dan tentera telah dimaklumkan untuk berdepan dengan bilangan orang yang ramai yang dijangka tiba di bandar berkenaan.

Menurut kalendar Maya itu, sebuah planet akan merempuh Bumi pada 21 Disember depan dan dipercayai akan menyebabkan 'hari kiamat' berlaku. - Agensi




Puntianak dipercayai berkeliaran di kampung Serbia

KINCIR air yang musnah dan dipercayai menjadi tempat tinggal puntianak di Kampung Zarozje, Serbia.


BELGRADE - Penduduk di Kampung Zarozje, dekat bandar Bajina Basta, Serbia percaya terdapat puntianak yang menghisap darah sedang berkeliaran dan mereka kini hidup dalam ketakutan.

Seorang anggota majlis tempatan memberi amaran kepada penduduk kampung itu supaya membawa bawang putih di dalam saku dan lambang salib di bilik rumah mereka bagi mengelak kehadiran puntianak.

Mereka kini dilanda ketakutan tentang kehadiran puntianak legenda yang bernama Sava Savanovic.

"Kisah Savanovic merupakan satu legenda tetapi beberapa perkara ganjil telah berlaku sejak kebelakangan ini," kata seorang suri rumah, Milka Prokic yang memegang bawang putih di tangannya.

"Kami mewarisi legenda itu daripada nenek moyang dan kami menghidupkannya untuk generasi muda," tambahnya yang berusia 55 tahun.

Kewujudan puntianak itu berkeliaran di kampung tersebut tersebar selepas sebuah kincir air di Sungai Rogacica di kampung tersebut runtuh beberapa bulan lalu.

Kincir itu dipercayai menjadi tempat tinggal puntianak tersebut.

Justeru, puntianak itu kini berkeliaran selepas kincir air yang menjadi tempat tinggalnya musnah.

Puntianak itu kini marah kerana terpaksa mencari tempat untuk menggantung pakaiannya.

Beberapa penduduk mendakwa mereka mendengar bunyi daun-daun kering di hutan dipijak dan suara ganjil datang dari puncak sebuah kawasan pergunungan.

Kawasan pergunungan itu dipercayai menjadi tempat puntianak itu dibunuh dengan pancang tajam yang menembusi jantungnya.

Namun, puntianak tersebut masih hidup dalam bentuk roh seperti menjadi rama-rama.

Beberapa penduduk menyatakan mudah bagi orang di luar kampung itu untuk mentertawakan mereka ekoran kisah tersebut.

"Baru-baru ini, lima orang telah mati selepas seorang demi seorang di dalam komuniti kita" kata seorang anggota majlis perbandaran, Miodrag Vujetic. - Agensi