Bunga paling busuk di dunia berkembang

Bunga paling busuk di dunia, Titan Arum dipamerkan 


RIO DE JANEIRO 28 Dis. - Taman botani di tenggara Brazil menerima kunjungan ratusan pengunjung setiap hari ekoran bunga paling berbau busuk di dunia yang juga bunga tropika terbesar, Titan Arum mula berkembang sejak Selasa lalu.

Peluang untuk menyaksikan bunga yang dikenali sebagai 'bunga mayat' yang sukar berkembang itu nyata tidak dipersiakan kerana ia hanya mempunyai jangka hayat selama 72 jam sahaja.

Seorang ahli botani, Patricia Oliveira memberitahu AFP, Titan Arum mula berkembang pada Hari Krismas dan kini ia semakin menguncup.

''Semasa tempoh itu (berkembang), bau busuk dan warna bunga menyerupai corak daging menarik perhatian agen pendebungaan seperti lalat dan kumbang,'' katanya yang bekerja di Taman Inhotim, yang menempatkan Titan Arum kira-kira 445 kilometer dari ibu negara Brazil.

Titan Arum, juga dikenali dengan nama saintifiknya, 'Amorphophallus titanum,' berasal dari hutan hujan barat Sumatera.

Ia jarang berbunga dan sukar untuk ditanam kerana mengambil masa enam tahun untuk berkembang.
Semalam, spesimen itu mencapai ketinggian 167 sentimeter, tetapi spesies ini boleh membesar sehingga lebih tiga meter tinggi.

''Ini adalah kali kedua ia berkembang selepas kali pertama pada Disember 2010,'' kata Oliveira.
Apabila Titan Arum berbunga, ia mempunyai suhu yang sama seperti tubuh manusia, yang membantu menyebarkan bau hancing. - AFP




Tiada ulasan:

Catat Ulasan