Objek berwarna cerah ditemui di Marikh

GAMBAR yang dirakamkan pada 15 Oktober lalu menunjukkan satu objek kecil berwarna cerah di planet Marikh.

LOS ANGELES - Kenderaan robotik Curiosity menemui satu objek kecil yang berwarna cerah di sebuah kawasan di planet Marikh, kata Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kelmarin.
Saiz objek tersebut hanya satu milimeter dan ditemui selepas kenderaan robotik milik NASA itu menggunakan peralatan penggalian.
Seorang saintis projek Marikh, John Grotzinger berkata, para penyelidik pada mulanya menyangka objek tersebut berasal dari kenderaan robotik itu.
Bagaimanapun, para saintis berpendapat objek itu mungkin sebahagian daripada kandungan yang terdapat di dalam tanah planet berkenaan.
Objek tersebut mungkin sejenis mineral.
Pada minggu lalu, NASA menyatakan satu lagi objek berwarna cerah yang turut ditemui Curiosity di planet Marikh sebenarnya serpihan plastik.
Menurut NASA, plastik tersebut mungkin jatuh dari kenderaan robotik itu.
Curiosity melakukan misi penerokaan di Marikh selepas ia tiba di planet tersebut pada 6 Ogos lalu.
Misi penerokaan selama dua tahun itu melibatkan kos sebanyak AS$2.5 bilion (RM7.62 bilion). - Agensi



Tiada ulasan:

Catat Ulasan