Lelaki 96 tahun jadi bapa tertua di dunia

LAMAN YouTube semalam menunjukkan Raghav dan isterinya mendukung kedua-dua anak mereka.



HARYANA, India - Seorang lelaki berusia 96 tahun menjadi bapa paling tua di dunia selepas isterinya yang telah dikahwininya selama 17 tahun melahirkan anak kedua mereka pada awal bulan ini, lapor portal berita Indian Today semalam.

Lelaki itu, Ramajit Raghav dan isterinya, Shakuntala, 54, tidak pernah dikurniakan cahaya mata untuk tempoh 15 tahun pertama perkahwinan mereka.

Pasangan yang bertemu jodoh di sebuah perkampungan Kharkhosa di daerah Sonepat itu menerima kehadiran cahaya mata sulung lelaki dua tahun lalu.Bagaimanapun, anak kedua mereka, Ranjit dilahirkan 5 Oktober lalu.

"Tuhan mungkin mahukan kami memiliki lagi anak. Saya sangat gembira," katanya yang juga seorang petani.
Raghav yang berasal dari Azamgarh berhijrah ke Sonepat 20 tahun yang lalu bagi mendapat pekerjaan.
Dia merupakan bekas ahli gusti ketika zaman mudanya.Raghav memecahkan rekod sebagai bapa tertua di dunia buat kali pertama pada 2007.

Petani tersebut menewaskan rekod yang dipegang oleh lelaki dari Rajasthan, Nanu Ram Jogi yang berusia 90 tahun apabila memperoleh anaknya yang ke-21.Raghav kini memecahkan rekodnya sendiri apabila dia memperoleh anak keduanya.

Menurut petani tersebut, dia mahu kedua-dua anaknya menjadi pegawai tinggi pentadbiran.Akhbar dalam talian MailOnline melaporkan, Raghav mengamalkan diet dengan meminum susu, memakan buah badam dan mentega.

Petani itu berkata, jiran-jirannya berasa cemburu kerana dia berjaya memperoleh dua anak yang sihat.
Raghav berkata, jiran-jirannya kerap bertanya rahsia kesihatan dirinya.

Lelaki tersebut berkata, dia mengambil berat tentang isterinya dan memenuhi keperluannya."Dia seorang wanita yang amat gembira," katanya.Ketika Shakuntala melahirkan anaknya di sebuah hospital di sini, petani tersebut diketawakan oleh doktor-doktor kerana dia menyatakan bayi itu ialah anaknya.Shakuntala menyatakan dia amat sayang suaminya itu.

"Saya menyayanginya walaupun dia kadangkala menjerit ke arah saya," katanya.Menurut portal berita International Business Times, dia tidak mahu anak lagi selepas memperoleh dua cahaya mata. - Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan