Panjat gunung batu untuk gambar perkahwinan

PASANGAN pengantin, Bob Ewing dan Antonie Hodge merakamkan gambar perkahwinan mereka di puncak gunung batu Seneca Rocks di Virginia Barat.

CHARLESTON - Sejauh manakah anda sanggup lakukan untuk mengabadikan ikatan perkahwinan anda?

Di Amerika Syarikat (AS), sepasang pengantin baharu, Bob Ewing dan isterinya, Antonie Hodge bertindak mendaki sebuah gunung batu setinggi 275 meter dengan lengkap berpakaian pengantin.

Mereka berbuat demikian untuk merakam gambar perkahwinan yang unik dan luar biasa.

Walaupun berdepan kesukaran, usaha pasangan itu berbaloi apabila gambar perkahwinan mereka ditonton lebih 500,000 kali di internet.

Gambar perkahwinan yang dirakam itu menunjukkan lokasinya adalah di puncak Gunung Seneca di negeri Virginia Barat.

Idea untuk mendaki gunung yang curam dan sempit itu datang daripada pengantin perempuan ekoran ibunya, Evangeline Hodge merupakan seorang pendaki gunung.

Turut sama melakukan pendakian termasuklah ibu pengantin perempuan dan rakan-rakan mereka yang juga merupakan pendaki amatur.

"Saya perlu membuktikan kepada diri sendiri bahawa saya mampu mendaki gunung batu ini," kata Hodge.

Mereka melakukan pendakian tersebut baru-baru ini dengan bantuan tali dan abah-abah. - Agensi



Tiada ulasan:

Catat Ulasan