Ritual Ma'ene tukar baju mumia

Mumia puluhan tahun dipakaikan sut lengkap dan dipamerkan kepada sanak saudara.
Mumia puluhan tahun dipakaikan sut lengkap dan dipamerkan kepada sanak saudara.

JAKARTA - Setiap tiga tahun sekali iaitu pada September, sebuah kawasan perkuburan di daerah Toraja, wilayah Selatan Sulawesi, Indonesia dipenuhi keluarga si mati bagi melakukan upacara Ma'ene atau ritual menggantikan pakaian si mati termasuk menyolekkan mereka.

Upacara dilakukan dengan menggali semula kubur nenek moyang atau waris, lalu menggantikan pakaian baru.

Menurut penduduk tempatan, upacara ini adalah sebagai penghormatan kepada si mati dan tanda ingatan daripada keluarga mereka.

"Mumia yang siap berpakaian baru itu kemudian dibawa berjalan mengelilingi kampung dan pastinya kelihatan seperti zombi dan ia dilakukan dengan iringan muzik seperti sebuah pesta," katanya.

Beliau berkata, penduduk tempatan percaya bahawa upacara ini dapat mengeratkan 'hubungan' dengan si mati, walaupun telah meninggal dunia lebih ratusan tahun.


Kucing 2 wajah

LUAR BIASA...Venus
LUAR BIASA...Venus

RALEIGH: Seekor kucing yang mempunyai dua warna berbeza pada mukanya mengejutkan pengguna Internet di seluruh dunia dan membolehkan kucing berkenaan, Venus, menjadi sensasi di atas talian dalam masa yang singkat.

Ribuan pengunjung melawati laman Facebook kucing aneh itu yang setakat ini sudah menerima 40,000 ‘like,’ sementara video mengenai kucing yang comel itu di YouTube ditonton hampir sejuta kali dalam masa beberapa hari saja.

Bulu muka kucing itu yang terbahagi secara simetri dengan warna hitam dan perang kemerah-merahan disamakan dengan versi lebih comel karektor komik, musuh Batman paling terkenal, Two-Face.

Venus mungkin kelihatan seperti ia datang dari planet lain tetapi penampilannya yang menyerlah dan warna mata yang berbeza mungkin dapat menerangkan dengan lebih mudah - perubahan genetik.


“Kami menerima pelbagai komen dari teknik Photoshop hingga kepada dakwaan kami mewarnakan sebahagian mukanya.”


“Dia dilahirkan sedemikian. Kami memiliki seekor kucing belang dan seekor hitam. Apabila saya melihat Venus kali pertama, saya berkata: ‘Oh. Ia kelihatan kombinasi kedua-dua kucing kami itu,’” kata pemilik kucing itu, Christina, dari Carolina Utara kepada rancangan Today Show. 

“Ketika itu kami tidak melihat matanya. Reaksi pertama teman saya ialah: ‘Kita tidak perlukan haiwan lain lagi untuk dipelihara.

“Tetapi apabila kami lihat matanya dari jarak dekat, kami jatuh hati dengannya. dan saya berkata: ‘Kita perlu memiliki kucing ini!’

“Anda adalah bintang, Venus! Menarik!!!,” tulis seorang pengunjung dalam laman Facebook rasminya.

Seorang lagi menulis: “Kucing yang sungguh cantik. Saya begitu gembira Venus menemui kediaman yang baik dengan ibu bapa yang penyayang.”

Kini, populariti menanti Venus. Selepas muncul dalam rancangan Today Show, kucing yang berwajah luar biasa dikatakan akan membintangi video akan datang Lady Gaga. - DM



Motosikal tandas bergerak sejauh 300 kilometer

SEORANG wanita menunggang motosikal tandas di Omiya, pinggir Tokyo 

TOKYO - Syarikat pengeluar motosikal tandas di Jepun semalam menyatakan ia boleh bergerak sejauh 300 kilometer (km) jika diisi penuh dengan najis dan kumbahan haiwan.

Ia dianggap sebagai motosikal pertama dijana dengan najis sebagai bahan bakar di dunia.

Motosikal itu mempunyai tiga roda dan mempunyai mangkuk tandas di tempat duduk.

Namun, pihak pengeluar motosikal itu, TOTO menyatakan orang yang menunggangnya tidak mengeluarkan najis untuk membolehkan ia bergerak.

"Minyak bio yang dijadikan bahan bakar itu tidak dihasilkan daripada najis manusia.

"Ia adalah daripada najis dan kumbahan ternakan," kata jurucakap syarikat tersebut, Kenji Fujita.

Motosikal itu dipamerkan di bilik pameran syarikat tersebut di pinggir Tokyo.

Menurutnya, para pelanggan amat berminat dengan kenderaan tersebut dengan sebahagian mereka merakamkan gambar.

Setakat ini motosikal itu tidak akan dijual. - AFP


Panjat gunung batu untuk gambar perkahwinan

PASANGAN pengantin, Bob Ewing dan Antonie Hodge merakamkan gambar perkahwinan mereka di puncak gunung batu Seneca Rocks di Virginia Barat.

CHARLESTON - Sejauh manakah anda sanggup lakukan untuk mengabadikan ikatan perkahwinan anda?

Di Amerika Syarikat (AS), sepasang pengantin baharu, Bob Ewing dan isterinya, Antonie Hodge bertindak mendaki sebuah gunung batu setinggi 275 meter dengan lengkap berpakaian pengantin.

Mereka berbuat demikian untuk merakam gambar perkahwinan yang unik dan luar biasa.

Walaupun berdepan kesukaran, usaha pasangan itu berbaloi apabila gambar perkahwinan mereka ditonton lebih 500,000 kali di internet.

Gambar perkahwinan yang dirakam itu menunjukkan lokasinya adalah di puncak Gunung Seneca di negeri Virginia Barat.

Idea untuk mendaki gunung yang curam dan sempit itu datang daripada pengantin perempuan ekoran ibunya, Evangeline Hodge merupakan seorang pendaki gunung.

Turut sama melakukan pendakian termasuklah ibu pengantin perempuan dan rakan-rakan mereka yang juga merupakan pendaki amatur.

"Saya perlu membuktikan kepada diri sendiri bahawa saya mampu mendaki gunung batu ini," kata Hodge.

Mereka melakukan pendakian tersebut baru-baru ini dengan bantuan tali dan abah-abah. - Agensi



Misteri kesan tapak kaki melekat pada batu

Misteri kesan tapak kaki melekat pada batu
Omar (kanan) menunjukkan kesan tapak kaki yang masih jelas kelihatan.

Misteri kesan tapak kaki melekat pada batu
Batu besar yang terlatk di belakang Omar itulah sering menjadi tempat Bilal Awang bertapa ketika hayatnya.

KUALA TERENGGANU – Bukan sesuatu asing bagi masyarakat di sini, apabila ditanya mengenai kesan tapak kaki manusia pada batu besar yang terletak di kawasan Tanah Perkuburan Kampung Maras, di sini, kerana ia sememangnya terselit sejarah dan cerita yang tersendiri.

Malah, kesan tapak kaki berukuran kira-kira 12 inci (0.3 meter) itu turut menjadi tumpuan ramai setiap kali berlangsungnya majlis atau upacara di kawasan tanah perkuburan berkenaan, bagi melihat sendiri sekali gus mensahihkan lagi cerita-cerita yang sampaikan ke pendengaran mereka sebelum ini.

Justeru itu, ada segelintir pihak berharap agar pihak terlibat dalam penilaian sejarah menilai kesahihan tersebut dengan harapan untuk menjadikan ia sebagai salah satu monumen yang harus dipelihara.

Sinar Harian difahamkan, kesan tapak kaki itu merupakan milik Allahyarham Bilal Awang Mohd Amin, yang dikatakan menghentak kakinya pada batu berkenaan setelah kecewa tidak memperoleh ilmu persilatan daripada salah seorang gurunya.

Allahyarham Bilal Awang yang meninggalkan dunia ketika usianya 66 tahun, sememangnya dikenali masyarakat setempat kerana kehebatannya dalam ilmu persilatan serta sering bertapa di dalam hutan untuk memperoleh ilmu yang diingininya.

Sehubungan itu, bagi mendapatkan gambaran lebih jelas, Sinar Harian menemui waris terdekat yang juga cucunya, Omar Abdullah, 66, untuk mendapatkan cerita di sebalik kisah tapak kaki yang membuatkan tanah perkuburan berkenaan mempunyai tarikan tersendiri.

“Boleh dikatakan hampir kesemua penduduk di kampung ini terutamanya generasi lama mengetahui cerita ini, di mana kesan tapak kaki yang berusia lebih 60 tahun itu masih jelas kelihatan sehingga kini, meskipun kejadian itu telah lama berlaku,” katanya.

Katanya lagi, kehebatan datuknya dalam ilmu persilatan sememangnya diakui ketika zaman dahulu dan kesan tapak kaki itu turut menjadi lambang kekuatan ilmu yang dipelajari, dalam usaha untuk menguasai sebanyak mungkin ilmu tentang persilatan.

Jelasnya lagi, ada antara orang ramai datang berjumpa dengannya semata-mata ingin mengetahui cerita di sebalik misteri tapak kaki manusia yang masih jelas di atas batu yang terletak di kawasan tanah perkuburan kampung berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Maras Tengah, Ismail Awang, nilai sejarah yang terdapat di tanah perkuburan berkenaan secara tidak langsung menjadi tarikan hingga ada yang datang semata-mata untuk melihat kesan tapak kaki tersebut.

“Sambutan hari raya enam baru-baru ini menyaksikan ramai antara saudara dan waris yang jenazahnya disemadikan tanah perkuburan itu, berpusu-pusu menuju ke batu besar yang terletak di kawasan tanah perkuburan, semata-mata untuk melihat dengan mata sendiri kesan tapak kaki manusia berkenaan,” katanya.

Katanya lagi, sejarah yang terpahat di batu berkenaan wajar dipelihara sebagai nilai yang memiliki tarikan tersendiri, di samping memberi pengajaran dan teladan berguna kepada generasi akan datang.





Jerman perkenal bas 32.6m, terpanjang di dunia

Pemandangan dari luar bas terpanjang di dunia yang bakal diperkenalkan di Jerman 


BERLIN - Jerman bakal memperkenalkan bas awam terpanjang  di dunia, Autotram Extra Grand  98 kaki (32.6 meter) panjang dan mampu memuatkan 256 penumpang pada satu-satu masa.

Ia akan digunakan mulai Oktober ini selepas tamat ujian keselamatan.

Bas tersebut yang digambarkan sebagai ‘kereta api beroda’ itu diperkenalkan buat pertama kali di bandar Dresden, dijangka dapat memenuhi keperluan sistem pengangkutan awam negara itu.

Rekaan kenderaan yang mempunyai tiga bahagian badan itu mendapat sentuhan hasil kerjasama seorang pereka, Fraunhofer IVI dan Universiti Teknikal Dresden tidak memerlukan sebarang latihan khas untuk pemandu.

Laporan Y! Tech menyebut bahawa kenderaan terbabit turut dikatakan mudah dikendalikan seperti bas biasa dan mengaplikasikan penggunaan sistem komputer Autotram Extra Grand untuk membantu pemandu membelok.

Tujuan utama sistem tersebut digunakan bagi memastikan bahagian belakang bas mengikut tepat bahagian depan dan tengah bas pada setiap masa.

Sebagai tambahan, sistem pengangkutan canggih ini turut menggabungkan teknologi hijau dalam pengendalian enjinnya yang menggunakan gas bagi menggantikan petrol dan enjin elektrik hibrid yang boleh bergerak sejauh lima kilometer atas kuasa bateri.

Perekanya turut mengakui bahawa mereka telah menerima pertanyaan dari bandar-bandar lain di seluruh dunia bagi mendapatkan versi bas mereka sendiri kerana ia pembinaan bas gergasi itu dilihat mampu menjimatkan kos operasi.

 

Selain itu, bas gergasi itu juga dilihat bergerak di atas jalan raya yang mempunyai pengguna yang ramai berbanding di sistem rel komuter.



sumber:http://www.sinarharian.com.my/global/jerman-perkenal-bas-32-6m-terpanjang-di-dunia-1.79737


Kambing panjat pokok di Maghribi


BEBERAPA ekor kambing memanjat pokok argan untuk memakan buahnya di sebuah gurun dekat Essaouira, Maghribi 


RABAT - Senario beberapa ekor kambing memanjat sebuah pokok argan di sebuah kawasan gurun dekat Essaouira, barat Maghribi mendapat sambutan hebat di laman perkongsian video YouTube.

Haiwan itu memanjat pohon berkenaan untuk memakan buahnya yang manis.

Pokok yang dapat hidup pada musim kemarau itu digunakan oleh penduduk Maghribi untuk menghasilkan sejenis minyak bagi pembuatan kosmetik dan ubat.

Minyak argan merupakan antara minyak termahal di dunia dengan komoditi tersebut dijual pada harga sekitar AS$300 (RM939) seliter. - AFP



Legenda Neil Armstrong meninggal dunia bersama 'misteri'


Gambar fail Nasa bertarikh 20 Julai 1969 menunjukkan Neil Armstrong berada dalam model lunar selepas mendarat di permukaan bulan.



Gambar fail Nasa bertarikh 20 Julai 1969 menunjukkan Neil Armstrong berada di bulan.


LEGENDA Neil Armstrong, orang pertama yang berjaya menjejakkan kaki di bulan, meninggal dunia hari ini.

Bagi kebanyakan orang, Armstrong seorang hero Amerika Syarikat (AS) yang melakukan misi mustahil. Beliau memenuhi visi mendiang Presiden John F. Kennedy yang meletakkan seorang lelaki di bulan di sebelum akhir dekad.

Armstrong berjalan di bulan melaui paparan di televisyen dan disaksikan oleh 500 juta manusia empat dekad lalu.

Ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan mencetuskan harapan untuk manusia menjelajah ke ruang angkasa lepas selepas itu.

Apa yang Armstrong alami hari itu menjadi kontroversi apabila siaran radio senyap selama dua minit serta mengejutkan penonton dan menimbulkan banyak teori apa sebenarnya berlaku.

Menurut maklumat gambar dokumen-dokumen kerajaan yang bocor, Armstrong bukan hanya melihat ketandusan permukaan di bulan ketika itu, tetapi sesuatu yang lebih penting.

Merujuk dakwaan pihak dalaman agensi angkasa lepas, Nasa dan radio HAM dikatakan memintas penghantaran, apa yang Armstrong saksikan itu mengubah hidupnya, dan membawa kepada pengabaian misi lunar yang dikendalikannya.

Menurut dokumen yang bocor, dua kapal angkasa besar menonton pendaratan Apollo 11 dan melihat Armstrong dan Buzz Aldrin berjalan di bulan.

Semasa Apollo 11 melakukan pendaratan, selama dua minit radio menjadi senyap.

Menurut Nasa, masalah ini timbul dari salah satu daripada dua kamera televisyen yang terlalu panas, sekali gus mengganggu penerimaan isyarat.

Sebenarnya apa yang berlaku, menurut pelbagai sumber, Armstrong dan Aldrin dilihat oleh satu objek lain semasa proses mendarat di bulan.

Menurut Timothy Baik, pengarang Above Top Secret (1998) operator radio HAM menerima isyarat VHF yang dihantar dari Apollo 11 ke ibu pejabat Houston Nasa, memintas mesej yang disaring oleh Nasa daripada orang ramai berikutan tempoh dua minit radio hilang siarannya.

Kemudian pada 1979, Maurice Chatelain, bekas jurutera komunikasi Nasa berkata, detik Armstrong melihat dua UFO di kawah lunar telah disembunyikan daripada pengetahuan media dan umum oleh Nasa.

"Pertemuan ini adalah pengetahuan umum dalam Nasa, tetapi tiada siapa yang telah bercakap mengenainya sehingga kini," kata Chatelain. Katanya: "... semua penerbangan Apollo dan Gemini telah diikuti, kedua-duanya pada jarak dan kadang-kadang agak rapat, oleh kenderaan angkasa yang berasal dari ruang angkasa - piring terbang atau UFO.

Setiap kali ia berlaku Misi Kawalan diarah untuk menjadi senyap secara mutlak."

Kehilangan dua minit disebabkan radio menjadi senyap semasa Apollo 11 mendarat, satu cubaan oleh Nasa dibuat untuk menutup keadaan sebenar yang dilihat oleh Armstrong di bulan? Adakah UFO yang dilihat?

Menurut Aldrin dalam beberapa wawancara akhbar, Appollo 11 sememangnya merakam UFO semasa dalam perjalanan ke bulan. Aldrin menerangkan bagaimana angkasawan Apollo 11 mengelak menyebut perkataan UFO dan sebaliknya meminta Houston tentang lokasi pelancaran roket Saturn V.

Kebenaran Aldrin masuk menyebabkan gangguan dua minit siaran radio bukan disebabkan UFO dan Armstrong membuat laporan tentang ini. Pandangan Aldrin juga menyokong Chatelain bahawa terdapat lebih daripada satu kenderaan ruang angkasa menonton pendaratan Apollo 11 di bulan.

Adakah terdapat mana-mana sumber lain yang menyokong tuntutan kontorversi bahawa Armstong telah menyaksikan dua kenderaan di ruang angkasa ke atas lunar yang menonton pendaratan Apollo 11.




Jurutera bina robot kumbang

HIDUNG robot RX-03 boleh mengeluarkan asap

TOKYO - Seorang jurutera Jepun, Hitoshi Takahashi membina sebuah robot berbentuk seperti seekor kumbang gergasi dinamakan Kabutom RX-03.

Robot sepanjang 11 meter dengan berat 17 tan itu diperkenalkan kepada orang ramai dalam satu demonstrasi di sini semalam.

RX-03 boleh bergerak dengan menggunakan enam kakinya.

Dijana enjin diesel berkuasa tinggi, robot berkenaan turut mengeluarkan asap daripada hidungnya. - AFP






Guru jejaki haiwan pelik

TEGAP... kerapu gergasi yang ditangkap di Queensland, Australia.
TEGAP... kerapu gergasi yang ditangkap di Queensland, Australia.

Foto
NGERI... Wade dengan ikan Payara yang juga dikenali sebagai ikan pontianak kerana giginya.

Foto
KUAT... ikan keli Wels yang ditangkap di Sepanyol.


ADA yang sebesar kuda, ada yang boleh melumpuhkan anda dengan renjatan elektrik 500 volt dan ada yang berminat terhadap kemaluan lelaki.

Di dalam air sungai yang tenang, hidup haiwan bergigi tajam, licin dan berwajah menakutkan hingga menyebabkan penduduk tempatan menggigil setiap kali menceritakan kisah menyeramkan mengenai hidupan itu.

Namun, penerbit filem Britain, Jeremy Wade sentiasa melanggar pantang larang tradisional dalam usahanya menjejaki ikan air tawar yang paling menakutkan, untuk mengetahui betapa seramnya mereka.

Wade memburu kumpulan haiwan berwajah ganjil itu untuk siri barunya, ‘River Monsters’ (raksasa sungai) yang menyaksikan dia bertarung dengan ikan pari air tawar, bergelut dengan salamander Jepun, malah berenang dengan ikan keli goonch India yang seberat 73 kilogram.


Jeremy berkata, yang mendorongnya ialah keinginan bukan setakat melihat sesuatu yang tidak pernah dilihat tetapi juga menyedarkan orang ramai bahawa kehidupan haiwan itu lebih terancam berbanding manusia.


Menurutnya, raksasa sungai yang lengkap itu adalah ‘besar dan pelik, kelihatan seperti ia tidak sepatutnya berada dekat dengan manusia’.

“Menemuinya adalah satu perkara, tetapi untuk memuliharanya adalah perkara lain. Orang ramai tidak boleh diharap untuk menjaga sesuatu yang mereka tidak tahu kewujudannya.

“Sebahagian besar haiwan ini tidak pernah dilihat oleh orang ramai, apatah lagi menerusi televisyen. Dan anda tidak boleh menghasilkan program yang menunjukkan sifat semula jadi mereka kerana tahap penglihatan buruk atau langsung tidak ada dalam kebanyakan sungai.

“Setiap kali selepas menangkap dan melihat ikan, saya melepaskannya. Meskipun berbahaya kepada manusia, kita tidak memahami sifat raksasa itu.

“Hanya dalam keadaan tertentu, seperti ikan haruan gergasi yang melindungi anak mereka, ikan gergasi akan menyerang manusia dengan sengaja.

“Selaku pemangsa yang berada di tempat teratas, mereka adalah petunjuk baik terhadap keseluruhan keadaan sungai kita, sesuatu yang perlu kita pelihara, untuk kepentingan kita juga.”

Bagi Wade, meskipun menemui banyak jenis ikan, termasuk bergigi tajam, duri sirip beracun dan saiz sesetengah ikan yang sangat besar, paling menakutkannya ialah ikan yang saiznya tidak besar.

“Bagi saya, ikan paling menakutkan mungkin belut elektrik. Mereka tidak kelihatan menyeramkan tetapi renjatan elektrik 500 volt ikan itu mampu melumpuhkan anda.

“Dan jika ia membuatkan anda tertiarap di dasar air, sukar bagi anda untuk terus hidup. Sesiapa yang datang untuk membantu mungkin turut terkena kejutan itu.

“Saya pernah mendengar orang mati dalam air yang hanya separas lutut kerana diserang haiwan itu. Menurut cerita, belut itu kadangkala membelit dada mangsa dan mengeluarkan arus elektrik secara berterusan hingga jantung mangsa terhenti,” kata Wade.

Bekas guru sekolah menengah, Wade yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sains bidang zoologi daripada Universiti Bristol berkata, dalam beberapa kes, dia menyangka tidak akan berjaya menemui ikan yang kisah mereka pernah didengarinya.

“Mulanya, saya ragu-ragu mengenai ikan keli goonch di India. Saya dan jurukamera hampir tidak tidur sebelum kami akhirnya merakam seekor ikan itu. Panjangnya hampir dua meter dan berat 73 kilogram.

“Beberapa tahun sebelum ini, saya pernah menangkap ikan keli goonch yang lebih besar. Saya tidak pasti besarnya tetapi apabila saya berenang di sungai yang sama ketika membuat rakaman River Monsters, jurukamera kami ternampak seekor ikan itu yang sebesar kuda.”

Kata Wade, dokumentari mengenai ikan sungai terbitannya secara tidak langsung menjadi catatan mengenai ikan yang mungkin tidak wujud dalam masa 50 tahun lagi.

“Kebanyakan ikan yang saya temui jarang ditemui berbanding 50 tahun lalu. Dan banyak lagi yang pupus. Namun, kebanyakan mungkin dapat terus hidup di sesuatu kawasan dalam jumlah dan saiz lebih kecil.

“Ia tidak termasuk ‘kaluga sturgeon’ di Sungai Amur, Russia yang mungkin pupus beberapa tahun lagi kerana dalam perdagangan kaviar, telur ikan itu diasinkan dan dimakan sebagai hidangan mewah dan istimewa.”



Spesies burung hantu baharu ditemui

GAMBAR yang disiarkan semalam menunjukkan dua ekor spesies baharu burung hantu di Pulau Camiguin, Filipina.

MANILA - Sekumpulan saintis dan pemerhati burung menemui 10 spesies baharu burung hantu di Filipina dengan menggunakan peralatan canggih, kata beberapa pegawai pemuliharaan kelmarin.

Menurut Pengarah Lapangan Program Pemuliharaan Kepelbagaianbio Filipina, Lisa Paguntalan, kebanyakan spesies baharu itu kemungkinan terancam kerana ia hanya ditemui di Kepulauan Cebu dan Pulau Camiguin serta di kawasan hutan yang kecil.

"Bunyi burung itu yang berbeza menyebabkan ia berlainan dengan spesies lain," katanya.

Penyelidikan itu mengambil masa selama 10 tahun tetapi keputusan penemuan itu hanya diumumkan kelmarin.

Kajian tersebut melibatkan sekumpulan pemerhati burung dari Universiti Negeri Michigan, Amerika Syarikat dan pakar-pakar burung.

Dua spesies baharu itu ialah burung hantu Cebu dan burung hantu Camiguin.

Kedua-dua haiwan itu berukuran kira-kira 20 hingga 30.5 sentimeter. - AFP


Lelaki gigit ular tedung hingga mati

GAMBAR fail menunjukkan seekor ular tedung.

KATHMANDU - Seorang petani Nepal menggigit seekor ular tedung sehingga haiwan itu mati, kata polis semalam.

Petani itu, Mohamed Salmo Miya melakukan perbuatan itu bagi membalas dendam selepas haiwan tersebut mematuknya, lapor agensi berita AFP semalam.

Ketua polis tempatan, Uma Prasad Chatrubedi menyatakan Mohamed sedang bertani dekat kampungnya yang terletak 200 kilometer ke tenggara Kathmandu ketika dia dipatuk ular tersebut.

"Seorang petani di Kampung Bardanga telah membunuh seekor ular tedung putih dengan giginya kerana marah.

"Ular tersebut mematuknya semasa dia sedang bekerja di sawah padi miliknya pada Selasa lalu.

"Lelaki itu kemudian berlari dan membunuh ular tersebut," katanya.

Mohamed turut dirawat di sebuah klinik tempatan dan dia kini berehat di rumahnya.

"Saya berasa amat marah selepas ular itu mematuk saya. Kemudian saya mengekori haiwan itu, menangkap dan menggigitnya sehingga mati," dakwanya yang berusia 55 tahun kepada akhbar Annapurna Post.

"Saya mungkin membunuhnya dengan kayu tetapi saya menjadi 'gila' kerana marah dan mahu membalas dendam.

"Saya membunuhnya dengan gigi saya," tambahnya.

Nepal mempunyai pelbagai jenis ular berbisa dan tidak berbisa.

Salah satu ular berbisa itu dikenali sebagai ular batu India sepanjang 10 meter.

Menurut agensi berita Reuters, seorang pegawai polis, Niraj Shahi berkata, lelaki itu tidak akan didakwa membunuh ular tersebut.

Menurutnya lelaki itu tidak didakwa kerana haiwan tersebut tidak disenaraikan sebagai spesies terancam. - Agensi


Tengkorak berusia antara 43,000 hingga 63,000 tahun ditemui

GAMBAR menunjukkan bahagian-bahagian tengkorak yang ditemui di kawasan pergunungan Annamite di Laos.

CHICAGO - Satu tengkorak yang ditemui di dalam sebuah gua di Laos mungkin merupakan fosil manusia yang paling tua pernah ditemui di Asia Tenggara, menurut satu kajian yang disiarkan kelmarin.

Tengkorak yang ditemui di kawasan pergunungan Annamite itu dipercayai berusia antara 46,000 hingga 63,000 tahun.

Penemuan itu memperkukuhkan kajian genetik sebelum ini yang mempercayai manusia moden tinggal di kawasan tersebut sejak 60,000 tahun lalu.

Tengkorak itu ditemui pada kedalaman lebih dua meter di gua tersebut pada tahun 2009.

Kajian tentang tengkorak itu disiarkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences. - AFP



10 tahun garfu dalam perut

GARDNER menunjukkan garfu yang dikeluarkan dari perutnya.
GARDNER menunjukkan garfu yang dikeluarkan dari perutnya

BARNSLEY: Apabila Lee Gardner bergegas ke hospital selepas muntah darah dan mengalami sakit perut yang amat sangat, dia bimbang keadaannya kesihatannya itu lebih teruk lagi.

Bagaimanapun, doktor di Barnsley terkejut apabila menemui garfu sembilan inci dalam perut lelaki itu dan lebih mengejutkan, ia berada di situ sejak lebih 10 tahun lalu.

Pakar perubatan itu bertambah keliru lagi apabila Garner, 40 berkata, dia langsung tidak ingat tertelan garfu berkenaan.

Sepuluh tahun lalu, doktor berkata, garfu itu akan melalui sistem penghadamannya secara semula jadi dan dia menjangka ia sudah tidak ada lagi.


Tetapi, ia sebenarnya masih berada di dalam perutnya.


Garner kini sudah pulih sepenuhnya.

“Saya muntah darah dan apabila mereka memeriksa perut saya dengan kamera, doktor bertanya: ‘Adakah anda pasti anda tidak menelan sesuatu?’” katanya.

“Saya memberitahu mereka tidak tetapi doktor itu bertanya lagi: ‘Anda pasti? 
Saya melihat sesuatu seperti garfu?’ Saya teringat menelannya secara tidak sengaja beberapa tahun lalu.

“Saya begitu terkejut. Saya tidak pernah menghadapi masalah dengan perut saya, kecuali beberapa tahun sebelum ini apabila saya merasakan ada sesuatu di dalam perut saya apabila saya membongkok.” 

Tetapi nasihat doktor selepas saya tertelannya ialah ia akan melalui sistem penghadaman dalam perut saya dan itu sudah lama berlaku. Saya tidak pernah terfikir ia disebabkan garfu itu.

Gardner teringgat bagaimana dia bermain dengan garfu plastik dalam mulutnya beberapa tahun lalu apabila dia tercekik dan menelannya secara tidak sengaja.

Doktor di Hospital Barnsley menggunakan kamera untuk melihat dalam perutnya bagi mencari punca kesakitan yang dialami Garner apabila menemui objek misteri itu. 

Imej menunjukkan kepala garfu itu terletak dalam perutnya dengan pemegangnya tersembul pada usus kecil.

Kepala garfu itu menekan pada perutnya hingga menyebabkan ulser yang membawa kepada pendarahan. - DM


Galaksi hasilkan banyak bintang ditemui

LAKARAN artis menunjukkan galaksi yang menghasilkan banyak bintang.

WASHINGTON - Sekumpulan ahli astronomi Amerika Syarikat telah membuat penemuan menakjubkan apabila mereka menemui sebuah ibu kosmik yang jauh di cakerawala.

Ibu kosmik itu merupakan sebuah galaksi tidak bernama yang melahirkan lebih banyak bintang sehari berbanding galaksi Bima Sakti.

Bima Sakti menghasilkan bintang selama setahun.

Kumpulan ahli astronomi berkenaan menggunakan teleskop X-Ray Chandra milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan untuk melihat galaksi gergasi itu.

Ia melahirkan sekitar 740 bintang baharu dalam tempoh setahun.

"Galaksi itu amat ekstrem kerana melahirkan terlalu banyak bintang baharu," kata seorang ahli astronomi Universiti Harvard yang turut bersama menulis kajian tersebut, Ryan Foley.

Menurutnya, bilangan bintang baharu yang dihasilkan itu jauh lebih besar berbanding Bima Sakti yang melahirkan cuma sebuah bintang baharu pada setiap tahun.

Ibu kosmik itu berada sekitar 5.7 bilion tahun cahaya dari pusat gugusan galaksi yang ditemui baru-baru ini.

Gugusan galaksi itu memancarkan sinaran X-ray paling terang yang pernah dilihat oleh ahli-ahli astronomi.

Penemuan tersebut disiarkan dalam jurnal saintifik Nature kelmarin. - AP




Vila atas bumbung pasar raya

EMPAT vila unik yang dibina di atas Plaza Antarabangsa Jiutian di Zhuzhou, China.
EMPAT vila unik yang dibina di atas Plaza Antarabangsa Jiutian di Zhuzhou, China

BEIJING: Di sesebuah bandar raya yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, tanah boleh menjadi komoditi yang terlalu sukar diperoleh.

Namun, bagi penghuni vila luar biasa di bandar Zhuzhou di Hunan, tanah tidak lagi menjadi halangan kepada mereka. Disebabkan tiada kawasan lapang sesuai untuk dibangunkan rumah mewah yang lengkap dengan kawasan lapang, pemaju membina kediaman unik itu di atas bumbung sebuah pusat beli-belah. Dikenali sebagai Plaza Antarabangsa Jiutian, bangunan itu menempatkan satu daripada pasar borong kasut paling terkenal di wilayah itu. Pemaju kemudian merancang dan membina secara teliti empat vila di atas bangunan lapan tingkat itu sehinggakan tidak ramai yang menyedari kewujudannya.


Ketika ini, ia dianggap vila paling hebat di China.

Zhuzhou adalah bandar kedua terbesar di Hunan - selepas Changsha - dan menjadi pusat perindustrian penting di wilayah berkenaan.


Perindustrian di situ tertumpu kepada penghasilan logam, mesin, bahan kimia dan bahan binaan. Bandar itu didiami hampir empat juta penduduk dan lebih daripada 800,000 daripadanya tinggal di empat daerah bandar pusat.


Zhuzhou juga digelar sebagai pusat lokomotif China kerana menjadi pengeluar utama gerabak kereta api kelajuan tinggi. Sejak lima tahun lalu, harga hartanah di bandar raya itu meningkat lebih tiga kali ganda. Menurut sebuah laman sesawang, vila berkenaan dimiliki empat ahli perniagaan terkaya di China. - DM


Ular sawa gergasi ditangkap

PETUGAS di Muzium Florida membelah perut ular sawa itu.
PETUGAS di Muzium Florida membelah perut ular sawa itu.


TIGA daripada 87 telur yang dikeluarkan dari perut ular berkenaan.
TIGA daripada 87 telur yang dikeluarkan dari perut ular berkenaan.

FLORIDA : Seekor ular gergasi sepanjang 5.4 meter dengan 87 telur ditangkap ketika ia berkeliaran di Taman Negara Everglades.

Ular sawa Burma seberat 70 kilogram itu adalah yang paling besar pernah ditemui di Florida dan dipercayai yang terbesar pernah ditangkap di Amerika Syarikat.

Ular jenis itu berasal dari Asia Tenggara tetapi beribu-ribu ekor haiwan berkenaan dipercayai hidup di taman negara itu selepas dilepaskan oleh penduduk dan beranak-pinak. 

Dan saintis memberi amaran, haiwan sebesar itu boleh memusnah hidupan lain.


Pakar dari Muzium Florida, Kenneth Krysko berkata: “Ular sepanjang 17 kaki akan memakan apa saja yang diingininya.


“Ular ini hidup sejak sekian lama di hutan. Tidak ada apa yang dapat menghalang mereka dan hidupan liar lain berdepan dengan masalah.”

Ular sawa yang dibunuh itu mempunyai bulu di dalam perutnya. Saintis merancang untuk mengenal pasti hidupan liar yang dimakannya.

Ular sawa Burma membiak di kawasan iklim panas dan lembap di Everglades selepas banyak di antaranya dibebaskan oleh pemiliknya.

Pakar berkata, yang lain mungkin terlepas dari kedai haiwan peliharaan selepas Taufan Andrew pada 1992 dan membiak sejak itu.

Ular itu membunuh mangsa dengan membelit dan melemaskannya. Mereka mampu menelan haiwan sebesar rusa dan buaya.

Pengimportan ular sawa kini diharamkan di Florida dan kerja memburunya dibenarkan. 

Bagaimanapun, langkah itu memberi kesan yang kecil saja terhadap populasi mereka.

Pakar bilogi Muzium Florida, Rob Robins berkata, haiwan itu sukar ditangkap dan memandangkan mereka sudah membiak di Everglades, usaha untuk menghapuskan mereka tidak mungkin dapat dilakukan.

“Saya percaya anda akan melihat lebih banyak ular seumpama itu ditangkap,” katanya. - DM




Ayam hasilkan telur luar biasa

Jessica the white Sussex hen with a normal egg and the whopping 6oz egg which she laid on 31 July


Jeremy Paget's hen, Hattie, laid an egg which weight a hefty 5.7oz, was three and a half inches long and eight inches in circumference

This giant egg was laid by a hen in Eastwood, Essex and weighed 5.7ozs

LONDON: Ketika Annie Egginton meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-59 baru-baru ini, dia terkejut mendapat ‘hadiah’ luar biasa berbentuk telur ayam yang sangat besar, lapor media semalam.

Memelihara ayam betina berusia setahun, Annie dan suaminya, Steve Egginton, bagaikan tidak percaya apabila melihat telur seberat 170 gram berbanding telur biasa 57 gram.


Menetap di Chew Magna, Somerset, pasangan suami isteri itu mendapat kejutan istimewa pada hari pembukaan Sukan Olimpik 2012 baru-baru ini. Menurut Egginton, 60, dia tidak pernah melihat telur sebesar itu walaupun mula memelihara ayam lebih tiga dekad lalu.

Ketika ini, mereka memelihara tiga ayam bernama Jessica, Doris dan Henryetta untuk membekalkan telur bagi kegunaan harian. Walaupun mempunyai keistimewaan begitu, Egginton tidak bercadang menyimpan telur dihasilkan Jessica itu, sebaliknya ia dijadikan hidangan sarapan. “Ia sangat lazat dan mengenyangkan,” katanya. - TS







Potong tembikai dengan daun terup

Foto
KAD yang dilontar Tongxin membelah tembikai.

TONGXIN berlatih dua jam setiap malam.
TONGXIN berlatih dua jam setiap malam.

SHANGHAI: James Bond mampu melakukan pelbagai perkara aneh, termasuk memotong konkrit dengan topi kelulinya.

Dia bagaimanapun pasti tertarik dengan Ye Tongxin yang mampu memotong buah dan sayur dengan daun terup plastik.

Tongxin, 48, warga China, berusaha mencatatkan rekod baru Guinness selaku orang terbaik di dunia untuk melakukannya.

Ia mungkin kelihatan mudah tetapi dia menjalani latihan sejak 10 tahun lalu untuk melakukannya.

Pengurus bas sekolah di Nanjing di wilayah Jiangsu, timur China itu, berlatih dua jam setiap malam, membaling kad sepantas sebuah kereta api laju.

Timun atau labu mungkin kelihatan mudah untuk dipotong kerana kulitnya yang rapuh. 

Tetapi tidak seperti ninja lain yang mahir dalam membaling kad, Tongxin berupaya memotong epal dan tembikai dengan begitu mudah.

Dia menggunakan bingkai setinggi dua meter untuk menggantung beg berbentuk timun untuk berlatih membaling dan meningkatkan kemahirannya.

Menurut Tongxin, kad yang dibalingnya bergerak selaju 50 meter dalam setengah saat. Ini bermakna, kad itu terbang dari tangannya selaju 360 kilometer sejam.

Persembahan terbaiknya ialah memotong sebaris 12 timun dalam masa 47.2 saat. 
Bagaimanapun, matlamat Tongxin ialah memotong 18 timun kurang daripada seminit bagi mencipta rekod baru dunia. - DM








Kek ular untuk hari jadi anak

CLAUDIA meniup lilin pada kek ularnya. Gambar kecil (atas), kek ular yang yang sudah dipotong.
CLAUDIA meniup lilin pada kek ularnya. Gambar kecil (atas), kek ular yang yang sudah dipotong.


LONDON: Ular ini tidak mungkin mengancam nyawa anda, kecuali menyebabkan anda sakit gigi, kerana ia sebenarnya kek yang dibuat mengikut saiz ular sebenar.

Ia dibuat oleh Francesca Pitcher untuk anaknya, Claudia, sebagai menyambut ulang tahun kelahiran keenam kanak-kanak itu apabila dia meminta sesuatu yang ‘menakutkan,’ selepas melawat sebuah zoo.


Francesca, 37, yang fobia terhadap ular, menghabiskan masa tiga hari untuk menghasilkan replika realistik ular sawa Burma selepas mengkaji imejnya menerusi Internet.

Dia memasak kek yang sama besar dengan enam kek sepan sebelum mengukirnya menjadi ular sawa, antara ular tidak berbisa paling bahaya di dunia.


Wanita itu juga mengambil masa 12 jam menghiasi kek itu dengan fondan coklat putih serta pewarna khas untuk membuat kulitnya serta tanda yang berbeza.


Di majlis sambutan hari jadinya itu, Claudia dan 26 rakannya berebut-rebut untuk memakan kepala ‘ular’ berkenaan.

Francesca, ibu dua anak, yang menjalankan perniagaan membuat kek di Maid- stone, Kent, berkata: “Sebaik berjaya menangani fobia, saya terus membuatnya.


“Apabila siap, saya meletakkannya di dalam kotak dan menyimpannya di dalam bilik. Saya tidak boleh menengoknya.

“Kanak-kanak itu terpesona dengan kek berkenaan dan langsung tidak takut. “Tetapi ibu bapa mereka tidak berani dekat dan ada yang takut,” katanya. - DM



CCTV rakam hantu budak

RAKAMAN kamera menunjukkan satu bentuk ganjil melompat di atas kereta.
RAKAMAN kamera menunjukkan satu bentuk ganjil melompat di atas kereta.

LONDON : Sepasang suami isteri di Clifton yang memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk menangkap penceroboh terkejut apabila ia merakam apa yang mereka percaya hantu kanak-kanak melompat di atas kereta mereka.

Lisa Rigley, 44, dan suami, Phil, 51, memasang kamera itu di luar kediaman mereka selepas berlaku beberapa pencerobohan terhadap kereta mereka.


Tetapi selepas menyaksikan rakaman itu mereka melihat bentuk ganjil terbang ke jalan masuk ke rumah mereka dan memanjat kereta itu.

Ia kemudian hilang sebelum muncul semula di seberang jalan.


Lisa, ibu dua anak itu berkata: “Saya sungguh terkejut. Saya melihat rakaman itu dan ia adalah imej seorang kanak-kanak yang berusia empat atau lima tahun.


‘Seorang jiran datang dan bertanya sama ada kami boleh melihat rakaman itu kerana dia kehilangan beberapa barang di depan lamannya.

“Kami melihat rakaman itu untuk melihat kemungkinan ada orang melintasi pintu pagar kami ketika kejadian curi itu dan nampak hantu itu melompat di atas kereta kami.


“Ia sungguh menyeramkan. Ia kelihatan seperti Casper the Friendly Ghost tetapi ia melompat-lompat di atas kereta kami. Ia sudah pasti hantu.” Suaminya berkata: “Saya tidak percaya pada hantu tetapi rakaman itu sungguh ganjil.” - DM