Lunga persis seekor ular

AKSI ular menjalar begitu mudah dilakukan Lunga.

GADIS Afrika Selatan berusia 22 tahun ini dianggap luar biasa kerana kebolehan menopang dagu dengan kaki yang dihulur dari belakang badan.

Walaupun aksi itu nampak menyakitkan, Nokulunga Buthelezi masih mampu bercakap seperti biasa.

Dia juga menyukai aksi berdiri di atas sebelah kaki manakala sebelah lagi kaki dijulang sehingga 180 darjah melebihi paras kepala. Aksi gadis ini kadangkala sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata kecuali setelah melihatnya sendiri.

Bukan itu sahaja, wanita tomboi itu yang merupakan ahli peliuk badan sebuah sarkas di negara itu sangat obses dengan ular sawa sehingga dia digelar Wanita Ular Sawa.

Kostum kulit ular sawa wajib menyaluti tubuhnya semasa dia melakukan persembahan.

Buthelezi yang selesa dipanggil Lunga memberitahu, kemahiran melipat badan itu diperoleh secara semula jadi sejak kecil.

"Semasa berumur tiga tahun ibu mengatakan saya gemar tidur meniarap dengan kedua-dua tangan dilipat ke belakang badan.

"Ibu khuatir dengan keadaan itu walaupun saya tiada masalah kesihatan," kata gadis eksentrik kelahiran Johannesburg itu.

Semasa berumur 10 tahun, Lunga yang tidak makan daging membuat 'persembahan' di ruang tamu rumahnya.

Neneknya, Thuli, menganggap cucunya itu seperti seekor ular kerana pergerakannya persis reptilia itu.

Lunga ternyata seorang yang pandai mengambil peluang terutama untuk memperoleh wang.

Semasa waktu rehat di sekolah rendah dahulu, dia sering membuat aksi di hadapan rakan-rakan sekolahnya.

Menggelikan

Abangnya, Bheiki akan berperanan mengutip wang daripada penonton. Wang itu digunakan untuk membeli gula-gula.

"Ada juga rakan yang iri hati kerana badan mereka tidak elastik seperti saya," kenangnya.

Kehidupan bak selebriti gadis ini bermula semasa dia berumur tujuh tahun. Ibunya, Nokuthula berjumpa dengan seorang ahli gimnastik bernama Sylevester yang sedang membuat persembahan di sebuah kompleks beli-belah di Johannesburg.

Ibunya menceritakan kelebihan anak gadisnya itu kepada Sylevester.

"Dia kemudian membawa saya menghadiri sesi uji bakat untuk kumpulan sarkas UniverSoul Circus di Afrika Selatan.

"Bagaimanapun, saya lebih menumpukan pada sesi latihan untuk pertunjukan sarkas di sebuah sekolah sarkas di Cape Town sebelum menerima tawaran mengadakan persembahan sarkas di seluruh dunia itu," cerita Lunga.

Habuan yang diterimanya sungguh lumayan. Dia dibayar lebih RM250,000 setahun untuk aksi itu sahaja.

"Pada mulanya saya agak sedih kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga tetapi apabila dapat melancong dan menikmati keindahan negara luar ia sememangnya satu momen yang menarik," katanya yang pernah melakukan pertunjukan di Britain, Jerman dan Australia.

Namun, jauh di sudut hati Lunga ada sedikit kekesalan kerana dia tidak dapat menikmati zaman kanak-kanaknya secara normal.

"Saya mula bekerja dengan kumpulan sarkas sejak berumur sembilan tahun sedangkan rakan sebaya masih seronok bermain, menonton wayang dan berkelah bersama keluarga," katanya.

Bercerita mengenai diet pemakanannya, Lunga memberitahu, dia tidak mengambil minuman tin berkarbohidrat. Dia juga tidak memakan daging haiwan.

"Saya harus kekalkan berat badan sekitar 45 kilogram. Jika saya gemuk pasti kostum ular saya menjadi ketat.

"Selain tidak selesa, saya juga akan diketawakan oleh penonton," tuturnya.

Lunga mendakwa tidak pernah terjatuh atau tercedera semasa pertunjukan.

"Sekiranya terjatuh sekali pun, penonton akan berfikir itu adalah muslihat terbaharu saya walaupun saya betul-betul terjatuh," ujarnya.

Sesetengah penonton pula menganggap kostum ular sawa yang dipakai Lunga menggelikan.

"Ada penonton yang menjerit dan menangis kerana takut dengan kostum yang saya pakai. Saya tidak pernah ambil kisah kerana saya memang ingin menjadi individu yang berbeza.

"Namun, saya tidak gemar orang memanggil saya ular kerana manusia dan haiwan itu berbeza sama sekali," katanya. 

1 ulasan: