Ketam gergasi Tasmania dipamer di London

Pengurus akuarium Sea Life, Jemma Battric, memegang ketam gergasi diberi nama Claude, yang saiznya menyamai 100 ekor ketam biasa di Britain. Ia akan dipamerkan di akuarium Sea Life, Weymouth, Dorset. 


LONDON 1 Mei - Seekor ketam gergasi Tasmania yang ditangkap nelayan Australia pada bulan lalu sepatutnya dimasak, namun takdir menyebelahinya apabila sebuah akuarium di sini bertindak membelinya pada harga 3,000 pound (RM14,723).

Selepas 29 jam diterbangkan dari Australia ke London dan dikuarantin selama dua minggu, ketam gergasi diberi nama Claude itu telah bersedia untuk dipamerkan kepada orang ramai di London.

Claude menjadi ketam terbesar yang pernah dipamerkan di United Kingdom dengan berat 6.8 kilogram dan cangkerangnya setebal 38 sentimeter, cukup untuk membuat sebanyak 160 kek ketam.

Ia mempunyai saiz yang agak besar iaitu menyamai 100 ekor ketam biasa di Britain dan beratnya ketika ini mampu bertambah sekali ganda kerana umurnya yang masih 'remaja'.

Claude ditangkap di perairan pantai Tasmania pada bulan lalu dan dijual kepada kumpulan Sea Life bersama dua ekor lagi ketam gergasi Tasmania.

Ia akan dipamerkan di pusat Sea Life di Weymouth, Dorset pada Khamis ini, manakala dua lagi ketam tersebut akan ditempatkan di Birmingham dan Berlin tertakluk kepada tindak balas Claude di 'rumah' barunya itu.

Buat masa ini, Claude ditempatkan di sebuah tangki berbentuk silinder yang mempunyai ketinggian tiga meter dan lebar, 1.8 meter.

Dalam habitat asalnya, ketam hanya makan benda-benda mati, namun Claude kini diberi makan ikan tenggiri yang dipotong dadu serta sotong dan dia dilaporkan gembira dengan diet barunya itu. - AGENSI


Tiada ulasan:

Catat Ulasan