Misteri jumpa kepingan emas

 
GAMBAR menunjukkan tiga kepingan emas yang ditemui oleh Muslim dan rakan-rakannya di Pontianak, Indonesia.

PONTIANAK - Seorang lelaki yang cuma dikenali sebagai Muslim dan dua rakannya menemui kepingan emas selepas dia mendapat mimpi aneh,.

Sejak minggu lalu, rumah lelaki itu dikunjungi oleh sejumlah tetamu yang mahu melihat sendiri kepingan emas yang ditemuinya di sebatang parit ketika menggali tanah di Desa Kalimas, Pontianak, Kalimantan.

Sebelum menemui kepingan emas itu, Muslim menyatakan dia bermimpi didatangi lapan ular dengan tujuh daripadanya berjaya dibunuh.

Menurutnya, dalam mimpi itu, seekor ular lagi dilemparkannya ke luar rumah.

"Saya turut bermimpi diserang penyengat dan naik sampan besar di sungai di depan rumah saya," katanya.

Rakannya, Rumbaka menyatakan dia juga bermimpi aneh tetapi menyangka ia merupakan petunjuk untuk membeli nombor ekor tetapi tidak pernah menang apabila membelinya.

Namun dia menemui kepingan emas yang bersegi dan berwarna kekuningan ketika menggali parit di tempat Muslim menemui barangan berharga itu.

Seorang lagi rakan Muslim, Musa menemui satu kepingan dipercayai emas yang mempunyai wajah Semar iaitu satu watak dalam wayang kulit Jawa dalam telur berwarna kuning ketika menggali dekat kawasan sama.

Seorang penduduk, Yani menyatakan barangan yang mempunyai nilai sejarah kerap ditemui di kawasan itu. - Agensi



Tiada ulasan:

Catat Ulasan