Tak makan, minum selama 70 tahun

 

NEW DELHI - Sekumpulan doktor yang berkhidmat dengan tentera India kini melakukan kajian terhadap seorang lelaki, Prahlad Jani selepas dia mendakwa tidak pernah makan dan minum selama 70 tahun.

Jani, 83, dikaji oleh 30 doktor yang bermula pada 22 April lalu. Kajian itu bakal mengambil masa selama 15 hingga 20 hari di sebuah hospital di bandar Ahmedabad, Gujerat selama 24 jam sehari.

"Pemerhatian daripada kajian itu akan memberi harapan terhadap kehidupan tanpa makanan dan minuman," kata Pengarah Institut Pertahanan Fisiologi dan Sains Sokongan, Dr. G. Ilavazahagan.

Doktor-doktor itu percaya dia memiliki kualiti yang dapat membantu menyelamatkan nyawa manusia.

Setakat ini, dia tidak makan, minum atau membuang air selama enam hari tetapi beberapa doktor menyatakan, kesihatan Jani tidak terjejas akibat kekurangan zat.

Jani mendakwa dia meninggalkan rumah semasa berusia tujuh tahun sebelum mengabadikan dirinya pada Tuhan di negeri Rajasthan.

Lelaki misteri itu mendakwa dia diberi makan oleh seorang dewi yang memasukkan sejenis pati ke dalam lubang di lelangitnya.

Pasukan doktor itu menjangkakan lelaki itu akan mengalami masalah kekurangan air, penurunan berat badan, keletihan dan kegagalan fungsi beberapa organ dalam tempoh kajian. - Agensi 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan