Tak kesah suami jadi perempuan

 


GAMBAR Barry dan Anne ketika majlis perkahwinan mereka pada 2002 (kiri) dan keadaan mereka pada 2011.

LONDON: Seperti kebanyakan pasangan suami isteri, Barry dan Anne Watson mahu memperbaharui ikrar perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, ketika ia akan dilangsungkan sembilan tahun kemudian, muncul perbezaan ketara - kali ini Barry muncul sebagai wanita bernama Jayne.

Tanpa mempedulikan perubahan itu, Anne tetap mahu meneruskan majlis berkenaan sebagai bukti cinta sejatinya.

Menceritakan pengalamannya, Jayne, 43, berkata pada peringkat awal Anne berang apabila diberitahu dia akan menjalani pembedahan menukar jantina.

Bekas pemandu bas itu berkata, rumah tangga mereka bermasalah kerana Anne menyangka dia menjalin hubungan dengan wanita lain.

“Sebaliknya, Anne tidak faham kerana sebenarnya saya yang mahu jadi wanita,” katanya.

Selepas diberi penjelasan, katanya, Anne akhirnya bersetuju dengan keputusan menukar jantina itu.

“Anne bersedia mencintai saya sebagai Jayne, sekali gus memperbaharui ikrar sebagai cara terbaik membuktikan bahawa kami bahagia,” katanya.

Sementara itu, Anne, 53, berkata dia sedih kerana ‘kehilangan’ Barry tetapi pada masa sama, ada aspek lain pada diri Jayne yang menarik perhatiannya.

“Kini kami duduk bersama dan berborak gembira mengenai rambut, pakaian dan mekap,” katanya.

Mengenai majlis memperbaharui ikrar itu, Anne berkata, ia lebih istimewa berbanding detik perkahwinan mereka sebelum ini.

Katanya, dia gembira kerana Jayne kini lebih selesa dengan keadaan fizikal dirinya.

Sejak kecil Jayne memang menyedari dia mempunyai banyak perbezaan berbanding budak lelaki lain.

Di sekolah, katanya, dia gemar bermain dengan budak perempuan berbanding menghabiskan masa di padang bola sepak.

“Saya mula memakai pakaian ibu ketika dia tiada di rumah.

“Apabila saya menyarung semula pakaian lelaki, saya seperti kembali ke penjara,” katanya. - TS



Tiada ulasan:

Catat Ulasan