Saintis guna DNA hidupkan gajah purba

 
 GAMBAR menunjukkan seekor gajah purba



MANITOBA - Sekumpulan saintis Kanada cuba mencipta gajah purba yang besar dengan menggunakan spesimen asid deoxyribonucleic (DNA) daripada beberapa tulang haiwan berkenaan yang ditemui di Siberia, Rusia, lapor sebuah akhbar semalam.

Bercakap mengenai eksperimen pertama seumpamanya itu, seorang saintis di Universiti Manitoba, Profesor Kevin Campbell berkata, DNA akan digunakan bagi menghasilkan semula darah gajah purba yang dikenali sebagai Mammoth.

"Menggunakan DNA spesimen adalah seperti kami kembali ke masa lampau dan mengambil sampel darah gajah Mammoth sebenar," kata Campbell.

Menurutnya, spesimen yang digunakan itu berusia sehingga 43,000 tahun.

Menurutnya, gajah Mammoth memiliki bulu tebal dan enzim antibeku dalam darahnya bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sejuk.

Projek untuk mewujudkan kembali gajah Mammoth yang memiliki ketinggian lebih 5 meter serta berat 12 tan itu bermula sejak tujuh tahun lalu apabila Profesor Campbell menghubungi Pusat DNA Purba Australia di Universiti Adelaide.

Sebelum ini filem dan novel Jurrasic Park menceritakan DNA dalam fosil seekor serangga berusia berjuta-juta tahun digunakan untuk menghasilkan dinosaur. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan