Drebar teksi jadi mumia

MAYAT Billis yang sudah diawet menjadi mumia.
MAYAT Billis yang sudah diawet menjadi mumia.


LONDON: Seorang memerintah kerajaan yang besar dari istananya di tebing Sungai Nil. Manakala, seorang lagi menguasai jalan raya sebagai pemandu teksi di Torquay.

Walaupun kehidupan dua individu berkenaan berbeza dan dipisahkan oleh jarak ribuan tahun, namun Raja Tutankhamun dan Alan Billis mempunyai persamaan dalam satu perkara utama. Billis yang sudah meninggal dunia adalah lelaki pertama yang diawet menjadi mumia mengikut cara penduduk Mesir kira-kira 3,000 tahun lalu. 

Menggunakan teknik yang mengawet mayat Tutankhamun selepas kematiannya pada 1323 SM, saintis mengawet lelaki berusia 61 tahun terbabit ekoran kematiannya akibat kanser paru-paru.

Billis yang gemar menonton dokumentari bersetuju supaya tubuhnya diawet selepas menyaksikan iklan syarikat televisyen yang berhasrat merakam proses pengawetan itu. Isterinya, Janet, 68, memberitahu suaminya berkata: “Saya baru menghubungi seseorang mengenai proses pengawetan mayat. “Saya terkejut kerana ia sesuatu yang dijangka akan dilakukan oleh Billis,” katanya.

Bagaimanapun, Janet dan tiga anak mereka merestui keputusan Billis dan hasilnya: - Proses Mumia Alan: Rahsia Terakhir Mesir - dijangka ditayangkan pada Saluran 4, Isnin ini.

Billis yang digelar Tutankhamun Torquay menjelaskan keputusan luar biasanya itu dalam dokumentari berkenaan sambil berkata: “Manusia menyerahkan tubuh mereka kepada sains sejak bertahun-tahun lamanya dan jika mereka tidak menawarkan diri untuk kajian tiada penemuan dapat diperoleh,” katanya. 

Sejak beberapa bulan ekoran kematiannya Januari lalu, organ dalaman Billis diambil dan disimpan di dalam balang kecuali otak dan jantungnya. Kulitnya dilumur dengan campuran minyak serta resin dan dimandikan dengan natron, sejenis garam ditemui di dasar sungai kering di Mesir.

Selepas sebulan berada dalam tangki kaca di Pusat Perubatan di Sheffield yang menempatkan rumah mayat di bandar raya itu, mayatnya dikeluarkan, diletakkan di kamar kering serta dibalut dengan kain.

Dr Stephen Buckley dari Universiti York yang membantu melakukan penyelidikan mengenai teknik pengawetan mumia sebelum program itu berkata, mayat Billis kini dapat bertahan hingga beberapa milenium lagi.

CALIFORNIA: Seorang nelayan menemui seekor jerung bermata satu di tengah-tengah muka haiwan itu.

Janin anak jerung yang bersifat albino itu dikeluarkan dari perut ibu jerung yang ditangkap di Teluk California pada musim panas lalu. Jerung bermata satu itu semakin terkenal sejak Pisces Fleet Sportfishing menerbitkan gambarnya Julai lalu, meningkatkan khabar angin mendakwa mungkin ia adalah palsu.

Bagaimanapun menurut laporan MSNBC, penyelidik yang memeriksa haiwan itu berkata ia adalah asli walaupun sukar baginya untuk terus hidup selepas dilahirkan. Pakar ikan jerung, Felipe Galvan Magana dari Centro Interdisciplinario de Ciencias del Mar di Mexico berkata: “Spesies itu memang jarang ditemui. Setakat yang saya tahu, kurang daripada 50 contoh spesies tidak normal seperti itu sudah direkodkan.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan