Wajah mumia 2,000 tahun dipamer

CHICAGO - Wajah seorang penyanyi kuil pada zaman Mesir purba, Meresamun yang hidup ratusan tahun sebelum kelahiran Nabi Isa didedahkan buat pertama kali oleh saintis, lapor sebuah akhbar semalam.
Beberapa saintis menggunakan sebuah pengimbas di hospital bagi melihat wajah Meresamun yang disimpan di dalam keranda dan dibalut dengan kain linen.
Imej tiga dimensi itu turut menunjukkan rangka tulang manakala batu diletakkan di bahagian mata yang berlubang. Seorang pakar kajian Mesir purba dari Muzium Institut Kajian Timur Universiti Chicago. Dr. Emily Teeter berkata: "Mumia itu masih berada dalam keranda. Imej itu seperti X-ray bagi melihat kaitan antara keranda, balutan dan penggunaan kain linen."
Mumia Meresamun itu akan dipamerkan di muzium institut itu minggu ini.
Meresamun dipercayai bekerja dan tinggal dalam kuil Thebes kira-kira 800 Tahun Sebelum Masihi.
Berdasarkan pengimbas hospital itu, tinggi Meresamun adalah 165 sentimeter, berumur dalam lingkungan 20-an atau awal 30-an ketika dia meninggal dunia.
Punca kematian masih tidak diketahui dan ia mencetuskan misteri kerana kesihatannya berada dalam tahap terbaik.
Berdasarkan penelitian terhadap tulang-tulang, dia didapati mengamalkan diet berkhasiat dan menjalani kehidupan yang aktif.
Giginya juga tidak menunjukkan sebarang tanda pereputan. - Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan