http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Pocong di tengah jambatan kedua?

Gambar pocong yang tersebar di laman sosial kononnya dijumpai di tengah jambatan Pulau Pinang.


BAYAN LEPAS - Segelintir penduduk di sini gempar apabila tersebarnya dua keping gambar mengenai kejadian penemuan pocong di tengah-tengah Jambatan kedua Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Shah.


Pengguna laman sosial, Rahimi Ishak berkata, gambar berkenaan tersebar sejak beberapa hari lalu dan menjadi buah mulut penduduk setempat.

Menurutnya, melalui gambar berkenaan dengan jelas menampakkan seolah-olah terdapat imej yang berbungkus putih dan terbang tinggi.

“Kemudian ia berada di atas jambatan pada gambar kedua, kejadian dikatakan berlaku di tengah-tengah jambatan pada waktu malam.

“Saya sendiri yang mendapat gambar berkenaan memang terkejut,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi pengguna jambatan, Mohd Ali Mohd Noor berkata, dia pada mulanya terkejut melihat gambar berkenaan dan cuba bertanya kepada rakannya yang juga kerap menggunakan jambatan.

“Mereka kata ini perkara biasa, kalau dia nak muncul kita mana boleh halang, yang penting kita kena buat biasa saja.

“Lagipun ini bukan pertama kali berlaku cerita jumpa macam-macam makhluk halus atas jambatan, ia adalah biasa,” katanya.

Sementara itu bagi Zulkifli Zainal berkata, pengalamannya diganggu pada waktu malam ketika menunggang motosikal di atas jambatan pertama Pulau Pinang membuatkannya berwaspada.

“Bukan apa, kadang-kadang ada yang terlalu terkejut sehingga boleh sebabkan kemalangan, kalau yang tak kuat semangat, lebih baik elakkan.

“Saya pernah tunggang motosikal pada tengah malam di atas jambatan, setibanya di tengah-tengah, motor saya berat dan saya terpaksa menunggang lebih kuat dan laju, tetapi tiba-tiba ia menjadi ringan dan saya seolah-olah dalam keadaan tercampak ke depan, nasib baik saya boleh kawal motor.

“Kalau saya silap, bimbang kemalangan saja, apa pun kita kena tawakal kepada ALLAH SWT,” katanya.

Bagi pengamal perubatan Islam, Izzwandy Mamat, kejadian penemuan pocong di tengah jambatan adalah perkara biasa.

“Laut memang tempat tinggalnya dan mereka akan buat pelbagai rupa di kawasan mereka tinggal.

“Tidak dinafikan laut juga menjadi tempat kepada tukang perubatan membuang benda yang tidak baik, jadi ia bukan mustahil,” katanya kepada Sinar Harian.

Sama seperti manusia, makhluk halus berkenaan juga memenuhi setiap pelosok tempat.

“Malah jin boleh menyerupai pelbagai bentuk tidak kiralah pocong, atau hantu raya ataupun toyol,” katanya.

Beliau menegaskan, bagaimanapun rupa bentuknya, perkara tersebut hanya berlaku dengan izin ALLAH SWT.

“ALLAH mahu menguji sejauh mana keimanan kita, sama ada takut pada makhluk atau pada-NYA.

“Ia juga sebagai tanda supaya kejadian sebegini akan mendekatkan kita lebih kepada ALLAH,” katanya.

Rumah pokok unik


White Tree Mixed-Use Tower

White Tree Mixed-Use Tower

White Tree Mixed-Use Tower
Apartmen ini direka hasil cetusan idea pereka Perancis dan Jepun.


SEBUAH apartmen setinggi 17 tingkat menyerupai pokok gergasi dan berlatarbelakangkan pemandangan gunung serta pantai akan dibina di Montpellier, selatan Perancis.

Projek L'Arbre Blanc atau The White Tree hasil kerjasama pereka tempatan dan Jepun yang menggabungkan seni arkitek abad ke-21 itu diilhamkan dari imej pokok sebenar.

Premis tersebut akan dilengkapi 120 unit kediaman dengan balkoni yang mengunjur ke luar pada arah berbeza seperti dahan pokok.

Selain itu, beberapa unit pejabat, restoran dan galeri seni juga bakal dibina bagi menarik lebih ramai pengunjung ke menara setinggi 56 meter tersebut.

Gizmodo.com.au melaporkan setiap apartmen itu turut menyediakan ruang balkoni terbuka untuk penduduk menikmati udara segar.

Difahamkan menurut DailyMail, projek pembinaan The White Tree akan bermula pada Julai 2015 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2017.


Keranda berusia 3600 tahun ditemui



GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan beberapa pekerja membantu mengangkat sebuah keranda berusia 3,600 tahun di bandar Luxor.

KAHERAH - Menteri Antikuiti Mesir, Mohammed Ibrahim berkata, sekumpulan ahli arkeologi telah menemui keranda mumia yang berusia 3,600 tahun di bandar Luxor.

Beliau yang membuat kenyataan itu kelmarin menyatakan, mumia tersebut mungkin dikebumikan ketika Dinasti Firaun ke-17 memerintah.

Keranda itu dipercayai milik seorang pegawai tinggi kerajaan.

Menurut Mohammed, kajian akan dilakukan ke atas keranda dan mumia itu. - AP


Kait pakaian guna rambut

Foto
XIANG memakai baju sejuk dan topi yang dikait menggunakan rambutnya. 



Beijing: Seorang pesara guru yang tinggal di Chongqing menghabiskan 11 tahun mengait baju sejuk dan topi yang diperbuat daripada rambutnya sendiri.

Ia sebahagian daripada usaha menyimpan kenangan zaman mudanya. 

Menurut laporan media tempatan, wanita bernama Xiang, 60, itu mengumpul kira-kira 110,000 helai rambutnya yang gugur sejak berusia 34 tahun sebelum mengait baju sejuk seberat 382 gram. 

Dia turut mengait sehelai topi seberat 119 gram untuk suaminya.

Xiang berkata, dia menyimpan semua rambutnya yang melekat di sikat setiap hari dan mula menggunakan rambut itu untuk mengait pada 2003.

Setiap helai rambut yang dikaitnya sepanjang 70 hingga 80 sentimeter, manakala 15 helai rambut digunakan untuk membuat satu gumpalan benang bulu. 

“Kaedah ini tidak sukar dilakukan. Rahsianya ialah kesabaran dan kesungguhan,” katanya.

Xiang juga ingin mengambil bahagian dalam rancangan “China’s Got Talent” bagi mempamerkan hasil baju sejuk yang siap dikaitnya.- Agensi


Kek berbentuk seperti kanak-kanak

ALFIE ROSE (kiri) bergambar bersama replika kek yang menyerupai dirinya.




BIRMINGHAM - Seorang pembuat kek, Lara Clarke telah menghasilkan kek luar biasa yang berbentuk seorang kanak-kanak, lapor akhbar Birmingham Mail kelmarin.


Dia dengan menggunakan campuran coklat dan krim mentega untuk membuat kek seberat 13 kilogram itu yang ditempah oleh seorang pelanggan.

Pelanggan itu, Chantelle Rose begitu teruja apabila melihat kek yang telah siap itu menyerupai anak lelakinya, Alfie Rose.

Dia membayar sebanyak AS$660 (RM2,200) kepada Clarke untuk menghasilkan kek tersebut.

Kek itu dibuat bagi meraikan ulang tahun keempat anaknya itu.

Clarke menghasilkan kek itu selama 15 jam. - Agensi

Fosil Tumbuhan Kuno Luar Biasa Ditemui Di Hulu Besut





BESUT: Fosil tumbuhan kuno luar biasa yang dianggarkan berusia antara 270 hingga 350 juta tahun ditemui sekumpulan pengkaji bumi di satu kawasan bukit berhampiran projek pembinaan Ampangan Paya Peda, Hulu Besut. 

Penemuan serpihan fosil tumbuhan kuno yang direkodkan setakat ini ialah daripada tujuh genus membabitkan bahagian daun, bunga, akar, buah dan batang yang terawet di bumi Paya Peda sedalam kira-kira 150 meter sebelum ditemui baru-baru ini. 


Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Datuk Yunus Abd Razak yang menganggapnya sebagai kejayaan istimewa, berkata penemuan itu adalah satu sejarah baharu yang amat penting kerana ia dapat menentukan usia negara ini di samping kaitannya dengan kewujudan negara di Asia sebelumnya. 

Katanya, penemuan yang begitu penting kepada ahli geologi di Malaysia itu menunjukkan bukti kukuh bahawa sebahagian timur Semenanjung Malaysia, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Selatan China dahulunya adalah satu benua dinamakan Cathaysian. 

Jelasnya, fosil tumbuhan kuno itu mula ditemui oleh seorang pembantu jurutera kaji tanah sebuah syarikat perunding yang melakukan kerja tanah di tapak Ampangan Paya Peda pada awal 2012 sebelum beliau melaporkannya kepada JMG. 

“Pegawai JMG yang membuat siasatan mengesahkan penemuan fosil tumbuhan berkenaan sebagai genus tumbuhan purba yang kini sudah pun pupus dari permukaan bumi negara,” katanya kepada pemberita semasa melakukan lawatan ke lokasi penemuan bersama pegawai dan juga anggota media di sini semalam. 

Turut sama dalam lawatan itu ialah pakar kaji bumi dan juga pakar fosil, Profesor Shafeea Leman dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Pengarah JMG Terengganu, Mohd Zukree Abd Ghani serta pegawai kanan dari JMG Terengganu dan Kelantan. 
Antara genus yang ditemui setakat ini ialah jenis dedaun yang dikenali dengan nama saintifiknya Pecopteris, Tinggia, Lepidodendron, Sigillaria, Sphenophyllum, Neurotepris dan Cordaites selain bahagian bunga atau organ pembiakan dikenali sebagai Lepidostrobos, bahagian akar (Stigmaria) dan batang (Artisia horizontallis). 

Yunus percaya ada lebih banyak lagi jenis tumbuhan yang bakal ditemui apabila pihaknya menjalankan kerja-kerja menggali dengan lebih giat di tapak berkenaan dan kawasan sekitarnya kelak. 

Dengan penemuan itu, JMG akan mengambil langkah awal mewartakan kawasan itu di samping memagarnya bagi mengelakkan ia dirosakkan. 

Katanya JMG akan bekerja dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bagi memastikan setiap kerja berkaitan penerokaan fosil tumbuhan kuno ini dapat diteruskan dan tidak tergendala. 

Yunus berkata, sehingga kini Terengganu merekodkan 23 lokasi sebagai sumber warisan geologi di mana dua daripadanya diberikan penataran luar biasa iaitu di Bukit Keluang dan Bukit Bewah tetapi penemuan di Paya Peda lebih istemewa kerana wujudnya kepelbagaian genus fosil tumbuhannya. 

Berbanding dengan beberapa kawasan lain yang pernah ditemui fosil tumbuhan kuno sebelum ini seperti di Gunung Panti, Johor, Gunung Gagau, di sempadan Kelantan, Terengganu dan Pahang, fosil yang terdapat di Paya Peda dianggap yang asli kerana ia tumbuh dan berasal dari kawasan itu dan bukan dipindahkan dari tempat lain. 

Katanya, kajian pihaknya mendapati kawasan Paya Peda pada satu ketika dahulu adalah kawasan paya rendah yang akhirnya menjadi berlapis-lapis dengan keadaan tanah yang tinggi dan rendah ekoran proses pemampatan. 

Beliau berharap kawasan itu terpelihara dan boleh dijadikan sebagai kawasan kajian oleh pengkaji bumi dari seluruh dunia dan untuk dilawati kanak-kanak sekolah dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Nelayan tangkap sotong gergasi

Nelayan tangkap sotong gergasi



SEKUMPULAN nelayan Jepun dapat menangkap sotong gergasi sepanjang 3.4 meter di perairan barat negara itu, kelmarin.

Difahamkan, hidupan laut seberat 100 kilogram itu masih hidup ketika ditangkap di perairan wilayah Tottori tetapi mati sebelum bot nelayan tiba di daratan.

Menurut laporan AP, sotong gergasi berkenaan dipercayai cedera kerana dua daripada sesungut panjangnya didapati hilang.

Ketibaan sotong itu menjadi tumpuan penduduk dan media tempatan.

Kebanyakan mereka membayangkan, jumlah sajian yang boleh dihidangkan jika sotong itu dipotong menjadi sashimi.

Bagaimanapun, kandungan ammonia yang tinggi dalam sotong itu dikatakan akan menjejaskan rasa enaknya.

Sotong itu dianggarkan boleh mencecah lapan meter panjang jika sesungutnya masih ada dan dipercayai berada di kawasan perairan sedalam antara 300 hingga 1,500 meter di dasar laut.