http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Basikal bertatahkan emas 24 karat berharga RM360,000









 


London: Pastinya jika anda memiliki basikal ini anda tidak akan meletakkannya di luar rumah walaupun ia dikunci.


Basikal yang bertatahkan emas 24 karat ini dianggarkan berharga £67,000 (RM359,086). Ia direka oleh sebuah syarikat di negara Scandinavia, Aurumania yang dilengkapi dengan 600 kristal Swarovski. Disebabkan kosnya yang tinggi, hanya 10 saja basikal seumpamanya dihasilkan dan seorang pembeli di London mempamerkan basikal miliknya itu di dinding sebagai karya seni.


Aurumania juga mereka sebuah basikal bukit yang bertatahkan emas 24 karat.

Setiap basikal yang dihasilkan syarikat itu juga diperbuat tanpa menggunakan mesin.


Pemegang hendalnya dibuat daripada kulit berwarna coklat yang dijahit tangan dan tempat duduknya pula dibuat daripada kulit Brooks dengan sentuhan penuh nostalgia.


Logo Aurumania juga terpampang cukup bergaya di depan palang basikal itu.

Syarikat yang mendapat nama daripada perkataan Latin untuk emas iaitu aurum dan mania itu biasanya menghasilkan produk barangan mewah. - AP



Gempar ‘Pontianak Kota Kemuning’

GAMBAR yang dirakam seorang lelaki dengan imej wanita berambut panjang (dalam bulatan) di Kota Kemuning.


Shah Alam: Penyebaran imej seorang wanita berambut panjang di sekitar Kota Kemuning, di sini, sejak beberapa hari lalu, menimbulkan misteri dalam kalangan penduduk setempat.

Imej dalam foto itu kini dikatakan tersebar luas pengguna telefon pintar dan dipercayai dirakam di sebuah kawasan pembinaan sekitar bandar raya ini sebelum diperoleh seorang penduduk.

Beberapa penduduk yang melihat gambar itu memberi pelbagai reaksi kerana sehingga kini tidak diketahui siapa merakam imej berkenaan.

Penduduk Shamsudin Daim, 40, berkata, imej dalam foto itu dipercayai dirakam pada waktu siang ketika beberapa pekerja menyiapkan kerja menambak tanah di sebuah tapak pembinaan.

Bagaimanapun, katanya, ketulenan foto itu tidak dapat disahkan kecuali selepas ia dinilai pakar dalam bidang teknologi fotografi atau grafik jika gambar berkenaan menggunakan teknik pertindihan.

“Memang foto imej wanita berambut panjang itu tersebar meluas di sekitar Kota Kemuning. Cuma kita tidak tahu siapa merakamnya. Mungkin ia tulen atau mungkin juga tidak. Hanya pakar dapat menentukannya.

“Namun berdasarkan imej diperoleh, memang tertera imej seorang wanita berambut panjang,” katanya yang tidak mengetahui identiti perakam gambar itu.

Sementara itu, Bilal Surau Al-Hidayah Jalan Kebun Jamal Sanusi, 50, yang turut melihat imej berkenaan berkata, tiada yang mustahil dalam kehidupan manusia, terutama membabitkan sesuatu yang ghaib atau di luar pengetahuan.

“Cuma kita tidak boleh terlalu taksub selagi kita tidak tahu kesahihan gambar berkenaan atau sebaliknya.

“Perkara begini kadangkala boleh menjejaskan akidah kalau kita tidak berhati-hati jika orang ramai mempercayainya bulat-bulat,” katanya.

Sepasang makhluk halus dikenali sebagai jenglot ditemui

Foto
PASANGAN jenglot yang ditemui di Pantai Muaya



Badung: Orang ramai di kawasan Badung, Bali gempar semalam selepas sepasang makhluk halus dikenali sebagai jenglot ditemui dan ditangkap seorang penduduk Pantai Muaya, Jimbaran.

Menurut media ketika ini jenglot berkenaan disimpan di rumah Jero Mangku Karang.
Sejak berita itu tersebar, rumah Jero dikunjungi ramai orang - termasuk dari kawasan luar - untuk melihat sendiri makhluk berkenaan.

Saksi berkata, jenglot itu berupa seperti kelawar, bertaring dan berambut seperti manusia.

“Dimaklumkan jenglot itu ditemui dua penduduk tempatan, Ketut Tarin dan Akob, di kawasan pantai dan selepas ditangkap ia diserahkan kepada Jero,” katanya.

Penduduk setempat mengenali Jero sebagai seorang tokoh spiritual yang dihormati. 

Sementara itu Ketut Tarin berkata, dia hairan apabila menemui objek ganjil ketika berjalan di kawasan pantai.

Melihat keadaan itu, katanya, dia mencampak objek itu ke laut tetapi ia kembali ke pantai dalam keadaan berpelukan.

“Seolah-olah mereka enggan dipisahkan,” katanya.

Disebabkan bimbang berdepan masalah, Ketut Tarin dan Akob berbincang dan bersetuju menyerahkan jenglot berkenaan kepada tokoh spiritual yang mereka kenali, Mangku Kayun.

Sementara itu Jero berkata, jenglot itu ditemui terbaring dalam jarak kira-kira satu meter antara satu sama lain di pantai ketika Ketut Tarin dan Akob berjoging. 

Mereka kemudian membawa makhluk itu ke rumahnya.

“Pada awalnya ada kuasa memancar dari jenglot berkenaan tetapi saya neutralkan supaya ia tidak memudaratkan sesiapa,” katanya. 

Kenyataan itu disokong Mangku Kayun.

“Kuasanya sangat kuat tetapi untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini ia berjaya kami kunci,” katanya. 

Menurut Mangku Kayun jenglot juga boleh digelar sebagai toyol kerana makhluk berkenaan boleh menyerupai apa saja.

Katanya, rambut jenglot yang terurai itu mungkin berasal daripada rambut manusia atau bulu kemaluan lelaki atau wanita. 

“Makanannya ialah darah manusia.

“Walaupun ia kelihatan kaku, auranya hidup dan sangat kuat dan boleh disuruh melakukan apa saja, termasuk membunuh,” katanya, semalam.

Jero berkata jenglot itu dimiliki pihak tertentu sebagai alat pelaris yang ditempatkan di kotak simpanan wang. - Agensi

Remaja hampir botak akibat tabiat cabut rambut



Rebecca Brown kini hampir botak berikutan tabiat gemar mencabut rambut ketika tertekan. - Agensi

LONDON 29 Nov. - Seorang remaja perempuan yang menghidap penyakit trichotillomania iaitu tabiat suka mencabut rambut, bulu kening atau bulu mata setiap kali mengalami tekanan, menjadi wira kepada beratus-ratus ribu pengidap penyakit tersebut, selepas mereka melihat rakaman videonya di Internet.

Rebecca Brown, 20, gemar mencabut rambutnya setiap kali dia mengalami tekanan sejak berusia 12 tahun lagi.

Tabiat berkenaan berterusan sehingga kepala Brown hampir-hampir botak ketika dia berusia 16 tahun dan dia juga sering menjadi bahan ejekan rakan-rakan di sekolah.

Rasa tertekan dan kesunyian dengan keadaan itu, dia mula mengambil gambar dirinya setiap hari dan memuat naik satu video di YouTube serta blog.

Tanpa disangka, video berkenaan mendapat sokongan serta komen-komen positif daripada pengunjung Internet dan sudah ditonton lebih daripada 12 juta kali.

Hasilnya kini, Brown sudah menemui semula keyakinan diri dan menjadi idola kepada beratus-ratus ribu pengidap penyakit sama dalam usaha menyembuhkan penyakit mereka.

"Saya menerima komen daripada mereka yang mengalami masalah trichotillomania, namun tidak memberitahu masalah itu kepada ibu bapa atau rakan-rakan mereka. Saya berasa gembira kerana mereka mempercayai saya.
"Sesetengah orang berkata penyakit ini disebabkan oleh trauma yang dialami ketika masih kecil, tapi bagi saya mencabut rambut merupakan satu perkara yang menenangkan. Saya lakukannya ketika saya tertekan atau sedih,'' kata Brown.

Selain itu, Brown juga percaya memuat naik video di Internet telah membantu kepada pemulihan dirinya, kerana sukar baginya untuk meluahkan perasaan kepada umum. - AGENSI

Kenderaan pelik RM3.5 juta

Foto
KERETA Youabian Puma mendapat perhatian setiap pengunjung pameran kereta LA.


Los Angeles: Satu daripada beratus-ratus kereta yang dipamerkan di pameran kereta LA minggu ini mendapat liputan meluas akhbar, tetapi bukan semuanya mendapat pujian.

Walaupun berharga AS$1.1 juta (RM3.5 juta), kereta biru Youabian Puma meraih pelbagai gelaran pelik, termasuk “raksasa”, “gila” hingga kepada “tidak munasabah”. 

Kenderaan besar yang dipamerkan berhampiran satu daripada pintu masuk pusat konvensyen itu tampil popular apabila puluhan ribu peminat kereta membanjiri pusat itu mulai semalam. 

Pameran terbabit berlangsung selama 10 hari. Kereta bernilai RM3.5 juta itu mendapat perhatian pengunjung dengan tajuk depan akhbar LA Times menggelarnya ‘benar-benar pelik’.

Laman Autoblog.com menggelarnya “nampak pelik” dan memetik kenyataan pengeluarnya yang menyifatkan ia “kenderaan untuk berseronok”.


“Lebih hebat daripada kehidupan, Youabian Puma memang tidak munasabah dari mana sudut pun anda lihat,” tulis carscoops.com, satu lagi laman media mengenai kereta yang meninjau kereta itu pada sidang akhbar sebelum pameran terbabit dibuka kepada awam. 

Kereta itu disifatkan sebagai gabungan antara kereta sport dan kereta kebal oleh LA Times. Ia mempunyai saiz yang besar hampir 8 kaki lebar dan melebihi 20 kaki panjang. - Agensi

Mayat 'hidup semula' di Brazil

Buried man unearthed after mourner discovers he's alive
KEADAAN lelaki yang dikatakan mati hidup semula selepas seorang wanita ternampak mangsa menggali keluar daripada 'kuburnya' sendiri di Ferraz de Vasconcelos, Sao Paulo



SAO PAOLO 8 Nov. - Seorang wanita Brazil yang menziarahi kubur keluarganya di sini pada minggu lalu, mengalami detik-detik menakutkan selepas ternampak mayat seorang lelaki 'hidup semula' dan cuba keluar daripada kuburnya.

Dalam kejadian yang berlaku di tanah perkuburan di Ferraz de Vasconcelos, Sao Paulo, wanita yang enggan dikenali itu berkata, dia pada mulanya terdengar suara halus daripada sebuah kubur di situ.

Jelasnya, dia terperanjat apabila melihat tanah di kubur terbabit bergerak dan susuk tubuh lelaki keluar dari tanah sambil menggerakkan kedua-dua belah tangannya.

"Saya berasa seram apabila melihat lelaki itu yang disangka telah mati, cuba keluar daripada kubur," katanya.

Wanita itu pada mulanya melarikan diri, tetapi datang semula ke lokasi kejadian dan menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.

"Pada mulanya saya menghubungi polis, namun mereka tidak percaya kerana berfikir saya sekadar berlawak dan cuba membuang masa mereka.

"Saya terpaksa mendapatkan bantuan daripada pihak perkuburan bagi meyakinkan pihak polis bahawa laporan saya itu benar," jelasnya.

Satu rakaman video yang disiarkan dalam laman perkongsian video, YouTube menunjukkan lelaki terbabit memakai pakaian kelabu dan separuh daripada badannya tertanam.

Mangsa kelihatan sukar bernafas, namun dapat diselamatkan oleh petugas keselamatan yang dikerah ke lokasi kejadian.

Siasatan polis mendapati, lelaki yang merupakan bekas pekerja majlis perbandaran itu, terlibat dalam pergaduhan sehingga menyebabkan dia cedera teruk, namun disangka telah mati oleh penyerangnya.

Penyerangnya kemudian menanam lelaki itu di tanah perkuburan terbabit untuk menyembunyikan kes 'pembunuhan' tersebut.

Lelaki yang tidak dikenali itu kini dirawat di sebuah hospital tempatan dan dilaporkan stabil serta akan menjalani ujian psikologi. - AGENSI



Tisu tandas emas RM4.3j



gold_tp.jpg





Sydney: Nampaknya tiada sebarang batasan untuk sesiapa menunjuk-nunjuk kemewahan masing-masing kepada umum.

Sebuah syarikat Australia semalam dilaporkan menjadi pengeluar pertama kertas tandas diperbuat daripada emas dengan harga AS$1,376,900 (RM4,346,666).

Menurut laman sesawang syarikat Toilet Paper Man itu, kertas tisu itu menggunakan emas 22 karat dan setiap satu gulung disertakan sebotol champagne percuma.

“Setiap pesanan akan dihantar sendiri kepada pelanggan kami,” katanya. Bagi sesiapa yang bimbang kertas tisu emas itu tidak menyediakan kebersihan sepatutnya, syarikat terbabit berkata, mereka memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku.

Kata jurucakapnya, produk itu dihasilkan dalam tiga lapisan untuk memberikan keselesaan maksimum.

“Kami mendapat idea untuk menghasilkan kertas tisu ini selepas melihat beberapa hotel di Dubai menggunakan kelengkapan bersalut emas,” katanya. Menurut jurucakap itu, mereka menghabiskan masa empat tahun untuk menghasilkan segulung produk berkenaan.

“Ini adalah kertas tisu tandas paling mahal di dunia,” katanya. Setakat ini hanya satu gulung dihasilkan dan ia dijamin selamat digunakan. - Agensi