http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Bas tersadai di hutan selepas 'dialih' makhluk halus

ORANG ramai melihat keadaan bas Pahala Kencana yang tersadai di hutan Gadogan, Jawa Tengah selepas laluannya dipercayai 'dialihkan' oleh makhluk halus. 

JAKARTA - Seorang pemandu bas bersama 33 penumpang lain mengalami peristiwa aneh apabila bas yang dinaiki mereka secara tiba-tiba berada di tengah-tengah hutan walaupun pada mulanya berada di atas jalan raya.

Dalam kejadian tersebut, bas milik syarikat Pahala Kencana yang dalam perjalanan dari Jakarta ke Madura, pada mulanya menggunakan jalan Juwana-Rembang sebelum pemandunya beralih ke jalan alternatif.

Namun ketika menyusuri jalan Jaken di wilayah Jati, bas tersebut secara tiba-tiba berada di hutan Gadogan yang terletak di Jawa Tengah. Pemandu bas tersebut cuba untuk bergerak ke depan dan ke belakang, namun gagal disebabkan pokok jati menghalang pergerakan kenderaan itu.

Selepas menyedari bas itu terperangkap di tengah-tengah hutan, pemandu itu kemudian meminta pertolongan daripada penduduk di kawasan terbabit.

Namun, kereta peronda polis tidak dapat memasuki lokasi kejadian disebabkan tiada jalan yang menghubungkan tempat tersebut.

Selepas lima jam tersadai, sekumpulan mekanik syarikat Pahala Kencana berjaya mengeluarkan bas tersebut selepas memotong pokok-pokok yang menghalang laluan kenderaan itu.

Pegawai polis yang ditemui, Briptu Suwignyo mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, badan bas itu tidak mempunyai kesan calar atau rosak akibat melanggar pokok di hutan terbabit.

Namun, jelasnya, ia bukan kejadian kali pertama kerana sebelum ini dua trak minyak pernah mengalami nasib yang sama dan ia dipercayai berkaitan gangguan makhluk halus.

"Kawasan hutan ini sering dijadikan pihak tertentu melakukan amalan syirik dengan harapan menjadi kaya dengan cepat.

"Oleh itu tidak hairan orang yang melalui jalan di sini sering diganggu makhluk halus yang dipuja golongan tidak bertanggungjawab itu,"




Syiling zaman besi ditemui

Pakar arkeologi, Neil Mahrer dari badan amanah bebas bertanggungjawab ke atas penemuan artifak, Jersey Heritage, memeriksa duit syiling yang ditemui di Jersey, Perancis, baru-baru ini.

LONDON 27 Jun - Usaha selama 30 tahun oleh dua orang pencari harta karun akhirnya berbaloi dengan penemuan sejumlah besar wang syiling zaman besi yang dianggarkan bernilai kira-kira 10 juta pound (RM50 juta).

Penemuan syiling Celtic di ladang pertanian di Jersey oleh kedua-dua pencari harta tersebut, Reg Mead dan Richard Miles merupakan yang terbesar pernah berlaku dengan jumlah 30,000 hingga 50,000 keping syiling perak dan sekeping syiling emas.

Berat kesemua syiling terbabit dianggarkan mencecah satu tan dan setiap syiling mempunyai nilai sehingga 200 pound (RM995).

Syiling itu dipercayai ditanam kira-kira 2,000 tahun dahulu oleh puak Celtic yang dikenali sebagai Coriosolitae ketika tentera Roman pimpinan Julius Caesar menyerang Pulau Channel, kini terletak di utara Perancis.

Mead dan Miles memulakan pencarian harta tersebut selepas mendengar khabar angin mengenai seorang petani terjumpa syiling lama di kawasan terbabit.

Pasangan pencari itu menggunakan pengesan besi yang kuat dalam usaha mencari lebih banyak harta karun di kawasan terbabit.

Namun selepas melakukan pencarian besar-besaran, mereka hanya menemui 120 syiling pada Februari lalu.

"Pada minggu lalu, mesin pengesan itu menunjukkan petanda yang kuat dan kami dengan segera memaklumkan kepada ahli arkeologi profesional untuk membantu kami.

"Saya sangat terkejut penemuan ini kerana kami sudah mencarinya sejak 1959 dan tidak pernah menemui syiling yang banyak sebegini," kata Mead, yang turut merahsiakan lokasi sebenar penemuan itu. - AGENSI


Doktor buang ketumbuhan 15kg daripada badan kanak-kanak

GAMBAR X-ray menunjukkan rangka badan Rodriguez yang mengalami ketumbuhan di bahagian kanan badannya.


BANDAR RAYA MEXICO - Sekumpulan doktor di Mexico berjaya membuang ketumbuhan seberat 15 kilogram (kg) daripada badan seorang kanak-kanak berusia dua tahun, Jesus Rodriguez.
Pengarah Pediatrik Pusat Perubatan La Raza di sini, Dr. Gustavo Hernandez berkata, ketumbuhan tersebut lebih berat daripada pesakit itu.
Beliau berkata, kanak-kanak itu ketika dibedah pada 14 Jun lalu mempunyai berat badan 12kg.
Doktor itu menyatakan kanak-kanak tersebut dilahirkan bersama satu bonjolan yang membesar sehingga ke bahagian celah lengan dan pinggul kanannya.
Kanak-kanak itu berasal dari negeri Durango di utara Mexico.
Hernandez memberitahu, sepasukan doktor mengambil masa sehingga 10 jam untuk membuang ketumbuhan tersebut.
Menurutnya, pesakit itu berada dalam keadaan baik dan semakin sembuh.
Beliau berkata, pembedahan tersebut adalah yang pertama melibatkan doktor di Mexico membuang ketumbuhan bersaiz lebih besar daripada pesakit. - Agensi


Ikan mirip Naga

OTHMAN Abu Bakar, (dua kanan) bersama empat anaknya memegang ikan yang ditangkap oleh seorang nelayan pesisir pantai di Kuala Sungai Kerteh sepanjang 4 meter dan seberat 9 kilogram

KERTEH: “Saya terkejut melihat rupa bentuk ikan berkenaan sebelum membuat keputusan membelinya,” kata Othman Abu Bakar, 63, yang membeli ikan mempunyai fizikal ganjil sepanjang tiga meter dan berat sembilan kilogram daripada seorang nelayan di jeti Kuala Kerteh, di sini, kelmarin.

Othman berkata, ikan berkenaan berwarna putih dan mempunyai kulit keras serta tajam seperti pari dan berkepala seperti naga, manakala siripnya berwarna merah dan di kepala serta bawah mulutnya mempunyai sesungut panjang berwarna merah selain bintik tajam di bawah badan.


Katanya, ikan berkenaan dibawa pulang nelayan terbabit jam 11 pagi kelmarin dan dia yang secara kebetulan berada di jeti berkenaan tertarik hati untuk membelinya.

“Orang ramai yang ada di situ hairan melihat ikan berkenaan yang menyerupai naga, tetapi berwarna putih dan mempunyai kulit kasar seperti pari, namun tidak bersisik manakala sirip dan kepalanya seperti naga serta badannya lembik seolah-olah tidak bertulang.


“Saya meminta kebenaran nelayan berkenaan membeli ikan itu kerana selain tidak pernah melihatnya sebelum ini, saya juga berhajat membawanya pulang bagi ditunjukkan kepada penduduk kampung,” katanya yang enggan memaklumkan harga dibayarnya bagi membeli ikan berkenaan.


Menurutnya, sebaik pulang ke rumah di Kampung Telaga Papan, di sini, dia dimaklumkan beberapa jirannya mereka juga tidak pernah melihat ikan berkenaan.

“Bagaimanapun, ketika ikan itu dibawa naik ke darat, sebahagian kepalanya sudah hancur mungkin kerana tersangkut pada pukat yang digunakan nelayan.


“Seumur hidup saya, inilah kali pertama saya melihat ikan sedemikian rupa dan rakan nelayan di kampung ini juga tidak pernah mendapat tangkapan sepelik itu,” katanya yang bekerja sebagai pengeluar minyak urut.

Othman berkata, dia mungkin mengeringkan ikan itu dan cuba dijadikan ramuan menghasilkan minyak urut.


Sementara itu, Pegawai Penyelidik Departmen Penyelidikan dan Pengurusan Sumber Perikanan Marin, Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Terengganu, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, ikan itu dikenali sebagai ikan naga daripada keluarga Regalecidae yang juga ikan bertulang terpanjang di dunia.


“Laut China Selatan adalah satu daripada habitat ikan berkenaan dan bukan mustahil ia tersangkut pada pukat nelayan.


“Mengikut rekod jabatan, pihak kami pernah menerima ikan spesies itu daripada nelayan tempatan sekitar tahun 1990-an,” katanya yang memberitahu ikan naga terpanjang pernah ditangkap di Vietnam sepanjang 10 meter.

Garam daripada air mata?

GARAM yang didakwa diperbuat daripada air mata ketawa.
GARAM yang didakwa diperbuat daripada air mata ketawa



LONDON: Bila kali terakhir anda menangis? Ketika menonton sebuah filem? Atau ketika bergaduh?

Dan ketika anda menangis, adakah anda menjilat air mata anda yang masin itu? 
Sebuah emporium di sini mendakwa menghasilkan pelbagai jenis garam yang mereka kata diperbuat daripada air mata manusia. 

Mereka berkata: ‘Garam Daripada Air Mata’ mengandungi ‘air mata manusia paling segar yang dimasak.


“Malah anda boleh memiliki jenis air mata yang anda suka seperti Air Mata Daripada Kemarahan, Kesedihan, Ketawa, Menghiris Bawang atau Bersin.


Sebenarnya ia satu gimik pintar emporium berkenaan. Tetapi dengan RM150 satu set, harganya sudah cukup untuk membuat air mata anda meleleh. - Daily Mail




ikan ‘Frankenstein.’

SAWYER dengan ikan Frankenstein yang ditangkapnya.
SAWYER dengan ikan Frankenstein yang ditangkapnya.


LONDON: Pemancing, Mark Sawyer terkejut apabila dia menangkap ikan ‘Frankenstein.’

Sawyer, 53, pengarang majalah Angling Times berkata, ikan itu kelihatan terdiri daripada tiga spesies berbeza. 
“Kepala ikan itu seperti ikan lipas, badan dan ekornya seperti ikan emas coklat sementara sirip duburnya seperti ikan kakap,” kata Sawyer. 

Dia menangkap ikan berkenaan ketika memancing ikan kap di Tasik Magpie di Cambridge. - DM



Misteri lembaga wanita dalam kereta Sinar

misteri lembaga

Kelihatan imej lembaga berkenaan yang tertera di cermin belakang kereta.

Imej lembaga wanita dari jarak dekat.

Imej lembaga wanita dari jarak dekat.

KULIM - “Cepat, baca surah Yasin!, ada benda sebelah aku ni,” jerit seorang rakan yang berada dalam kereta Perodua Kancil Sinar Harian cemas apabila merasakan ada lembaga wanita duduk di sebelahnya di bahagian tempat duduk kerusi belakang.

Kejadian itu berlaku Khamis lalu apabila wartawan Sinar Harian bersama seorang anggota polis berpangkat koperal dan seorang rakan melalui jalan Bukit Lengkok kira-kira jam 4 pagi, Khamis lalu.

Ketika melalui di satu selekoh dalam keadaan hujan lebat, semua mereka ternampak batu nisan setinggi setengah meter di tepi jalan tetapi masing-masing hanya diam dan tidak mengendahkannya.

Keadaan mula cemas apabila rakan mereka itu menjerit meminta membaca surah Yasin dengan segera.

Bagaimanapun, anggota polis cuba menenangkannya dan membaca beberapa potong ayat al-Quran barulah rakannya itu tenang dan perjalanan pun diteruskan.

Setelah melepasi jalan Sungai Lengkok mereka kemudiannya berhenti di tepi Jalan Air Merah dan mula membuka cerita mengenai batu nisan tadi. Ternyata, mereka semua mengaku ternampak imej batu nisan yang dimaksudkan.

Bagaimanapun misteri terbabit tidak berhenti di situ saja apabila kelmarin kira-kira jam 12.30 pagi, seorang rakan wartawan terbabit telah merakam gambar kereta Kancil berkenaan dan mendapati ada imej lembaga wanita berambut panjang di dalamnya dan dipercayai
lembaga itu hilang selepas azan Subuh berkumandang.

Sementara itu. seorang pemandu van kilang yang tinggal di Taman Selasih dan tidak mahu dikenali berkata, kejadian seumpama itu sering berlaku di Jalan Bukit Lengkok.

Menurutnya, beberapa tahun lalu polis ada menemui mayat seorang wanita dipercayai dibunuh dan mayatnya dibuang ke dalam gaung berhampiran.

“Ramai pengguna jalan itu menjadi mangsa gangguan lembaga berkenaan. Lembaga itu pernah duduk di belakang penunggang motosikal, saya juga pernah nampak lembaga itu berada di atas bumbung kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Sememangnya jalan itu tidak dilalui oleh kenderaan pada lewat pagi terutama ketika hujan renyai atau lebat,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim juga tidak menafikan kewujudan lembaga itu yang sering mengganggu pengguna jalan raya yang melalui jalan Bukit Lengkok menjelang lewat pagi.

“Jalan itu tidak sesuai digunakan pada waktu Subuh terutama ketika hujan. Ini kerana terlalu banyak kejadian kemalangan berlaku di sekitar kawasan itu disebabkan keadaan jalan di situ sempit dan bengkang-bengkok.

"Saya menasihatkan pengguna supaya menggunakan lebuh raya Butterworth Kulim Express (BKE) untuk pergi ke Pekan Kulim dan jangan mengunakan jalan Bukit Lengkok sebagai jalan pintas walaupun ia lebih dekat,” katanya.